TvTarekat | MEMAHAMI HAKIKAT IKHLAS DALAM IBADAH DAN AMAL



Apakah makna "ikhlas" yang sebenar menurut Islam?
Apakah hakikat ikhlas menurut Ilmu Tauhid?
Apakah tuntutan Allah terhadap hamba-hamba Nya dari hal "ikhlas"?

Kedudukan Ikhlas di dalam Ibadah dan Amal :

Ikhlas merupakan syarat batin (hati) yang paling utama bagi setiap ibadah.

Firman Allah :

وَمَآ أُمِرُواْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدّينَ

"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya." [Al-Bayyinah : 5]


Ikhlas adalah pemisah di antara qabul dan tertolaknya amal. Ini bermakna sekalian amal yang tiada ikhlas bersertanya, akan menjadi sia-sia dan tertolak...!

Rasulullah ﷺ bersabda;
"Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali amal yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan semata-mata untuk mengharap redha Allah." [Abu Daud dan An-Nasa'i]

Hakikat Ikhlas adalah Tauhid

Berdasarkan keterangan-keterangan Ulama Arif Billah yang mengetahui rahsia-rahsia Ketuhanan dan kehambaan, ikhlas membawa makna yang sangat murni terhadap kehambaan insan dan hakikat Tauhid. Ikhlas merupakan cabang utama Tauhid dan pintu masuk kepada Hadrat Ilahi. Tanpa ikhlas seseorang hamba (insan) tidak akan menemui Tuhannya. Bahkan tidak mungkin dia menjadi hamba Allah!

Pembahagian Tingkatan "Ikhlas" orang beriman:

Para Ulama Arifin, membahagikan ikhlas kepada beberapa peringkat seperti :

1. Ikhlas orang awam

2. Ikhlas orang abrar

3. Ikhlas orang 'Arif

Sebahagian lainnya memberikan perincian lebih halus dengan pembahagian berikut :

1. Ikhlas Orang Awam - 3 tingkatan

2. Ikhlas Salikin - 3 tingkatan

3. Ikhlas 'Arifin - 1 tingkatan

Kita akan cuba memahami satu persatu 3 Tingkatan di atas, Insya Allah.

Tiga tingkatan Ikhlas Orang Awam :

Tingkatan Pertama :
Melakukan amal ibadah dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah, tetapi pada masa yang sama mempunyai cita-cita di dalam hatinya kepada kesenangan-kesenangan syurga berupa bidadari, mahligai indah-indah, segala macam makanan enak dan hiburan syurga.

Tingkatan Ke 2 :Melakukan solat (dan juga ibadah lain) dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah dan tidak mempunyai cita-cita di dalam hatinya (tiada menuntut hatinya) kepada syurga dan segala kesenangannya. Tetapi hamba ini melihat dirinya melakukan amal ibadah (melihat kemampuan dirinya melakukan amal ibadah).

Tingkatan ke 3 :Melakukan amal ibadah dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah, tidak mempunyai cita-cita kepada kesenangan syurga, tidak melihat dirinya melakukan amal ibadah, tetapi dia merasakan dirinya sudah ikhlas.

Inilah 3 tingkatan ikhlas orang awam, iaitu mereka yang tidak melalui jalan Ma'rifat Ketuhanan. Tingkatan yang ke 3 lebih baik daripada tingkatan ke 2 dan tingkatan pertama.

Pada sisi Fiqh, ketiga-tiga bentuk "ikhlas" ini adalah SAH, yakni sah amal ibadahnya dan terlepas daripada taklif syara' (kewajipan sebagai mukallaf). Namun apabila direnungi pada sisi Tasawwuf dan Ma'rifat, bentuk-bentuk ikhlas ini masih belum bebas sepenuhnya daripada 'mempersekutukan' Allah. Ini kerana menuntut selain wajah Allah di dalam ibadah adalah suatu bentuk 'penyekutuan' kepada Ketuhanan.

Seseorang yang melakukan sekalian syarat-syarat dan rukun menurut Fiqh dengan sempurna, maka sah ibadahnya pada sisi Fiqh kerana Fiqh hanya melihat pada zahir perbuatan hamba. Ia tidak melihat unsur-unsur dalam hati dan jiwa hamba. Ia tidak membicarakan HAL hati, bagaimana sifatnya, bagaimana hadapnya, bagaimana tuntutannya.

Tetapi Tasawwuf melihat pada sisi hati insan. Bagaimana HAL nya. Tasawwuf / Ma'rifat melihat jauh ke dalam hati sanubari insan dan melakukan pemeriksaan teliti akan niat yang sebenar dengan kehalusan. Ini kerana hati insan sendiri menjadi rahsia Ketuhanan yang akan menjadi perhitungan di akhirat.

يَوْمَ لاَ يَنفَعُ مَالٌ وَلاَ بَنُونَ - إِلاَّ مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

"Pada hari yang tiada berguna harta dan anak pinak kecuali mereka yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera (daripada syirik)." [Asy-syuara : 88-89]

Jika anda bertanya bukankah Allah Ta'ala menceritakan berbagai ni'mat syurga di dalam Al-Qur'an? Bukankah Hadith Nabi ﷺ juga menceritakannya?

Benar!

Semua kejadian selepas kematian dikisahkan di dalam Al-Qur'an dan Hadith Nabi ﷺ. Kesenangan yang akan diperolehi oleh orang-orang beriman berupa syurga juga diceritakan di dalamnya. Tetapi ianya tidak bermaksud seseorang perlu menuntut-nuntut atau mencari-cari segala kesenangan tersebut. Atau dia menjadikannya sebagai matlamat sampingan. Apabila ada suatu selain Allah di sisi niat, maka ketika itu cederalah ikhlasnya.

Jika anda bertanya lagi ;

Apa gunanya kisah-kisah tersebut jika bukan untuk dijadikan impian?

Kita menjawab : Memikirkan dan bercita-cita kepada kesenangan syurga ketika melakukan ibadah adalah sebagai dorongan bagi kanak-kanak yang baru belajar mengenal Islam dan Iman. Atau bagi orang-orang yang baru masuk Islam supaya jinak hatinya kepada Islam. Namun ianya tidak patut terus menerus di dalam keadaan tersebut.

Walau bagaimanapun kita tegaskan kesimpulannya : Tidak salah (pada sisi Fiqh) seseorang mempunyai cita-cita kepada syurga Allah Ta'ala. Tetapi perlulah dididik hati supaya meninggalkan sekalian cita-cita tersebut, berpaling darinya dan tumpukan niat semata-mata bi Wajhillah. (semata-mata kerana Wajah Allah).

Tiga Tingkatan Ikhlas Salikin:

  • Salikin adalah orang-rang yang menelurusi jalan Ma'rifat Ketuhanan menurut adab dan syarat-syaratnya di bawah bimbingan seorang Syeikh / Mursyid yang telah menerima ijazah dari Gurunya yang mempunyai Silsilah Nabi ﷺ (susur galur penerimaan Ilmu dari guru kepada guru tanpa putus).
  • Si salik (murid yang berjalan di jalan Ma'rifat Ketuhanan) dibimbing melalui beberapa peringkat zikir, muraqabah (merenung Hakikat Ketuhanan) dan mushahadah (melihat Hakikat Ketuhanan) berperingkat-peringkat sehingga datang pembukaan Allah Ta'ala ke dalam hati mereka kepada pintu-pintu Ma'rifat (dibaca pintu-pintu Tauhid).
  • Pada peringkat Tauhid ini, si salik tidak lagi bergantung kepada hujjah dan dalil kerana dia sudah melihat kepada Ketuhanan di dalam batinnya. Mereka semata-mata memandang kepada Hakikat Af'al Allah, Asma'Nya dan Sifat Nya yang Maha Tinggi tanpa kaifiyyat (cara) dan tanpa sandaran!
Apa yang kita maksudkan adalah : Allah Ta'ala memasukkan cahaya Rabbaniyyah (Ketuhanan) ke dalam hati-hati mereka sehingga mereka mentauhidkan Allah dengan jiwa raga mereka. Dengan Rahmat Allah, mata hati mereka melihat sekalian yang dijadikan oleh Allah, Asma (Nama-Nya) dan Sifat-Nya Yang Maha Agung. Bukan semata-mata percaya wujud-Nya, tetapi Yaqin akan Wujud-Nya melalui ainul basirah (pandangan matahati).

Si salik yang sampai kepada Tingkatan Af'al Allah melihat sekalian perbuatan Allah ke atas dirinya dan sekalian makhluk ciptaanNya. Dia melihat dengan ainul basirah (matahati) nya setiap ibadahnya sebagai kurnia Allah Ta'ala dan semata-mata Kurnia-Nya tanpa sekutu dengan suatu apa pun.

Ketika dia mengangkat takbiratul ihram untuk solat, dia melihat anugerah Allah kepadanya untuk melakukan solat! Ketika dia ruku', dia melihat anugerah Allah kepadanya untuk ruku' kepada Allah. Ketika sujud dia melihat anugerah Allah kepadanya untuk sujud di hadapan Rabbul Jalil, Tuhan Yang Maha Perkasa Yang Tiada Tuhan Melainkan Dia! Kehebatan dan Keperkasaan Allah mengusai si salik ini sehingga dirinya karam di dalam kehebatan tersebut.

Kata Guru-guru kita Ahli Ma'rifat, inilah tingkatan ikhlas permulaan bagi salikin, iaitu ikhlas pada peringkat mentauhidkan sekalian Af'al Allah. Pada peringkat ini sucilah hatinya daripada sekalian aghyar (selain Allah), bersih hatinya daripada sifat-sifat keji, dan bebas daripada syirik khafi.

Ketika hamba Allah melihat dirinya tiada daya upaya melakukan sesuatu melainkan Allah dengan Kemurahan-Nya, dan tiada lagi cita-cita lain selain Allah ketika melakukan ibadahnya, maka inilah permulaan ikhlas yang benar, tanpa sedikit pun mempersekutukan Allah di dalam niatnya!

Sebagai suatu perbandingan... Jika anda melihat sebelum ini, orang-orang pada tingkatan awam tidak terlepas daripada mempersekutukan Allah di dalam niatnya, samada mempersekutukan kerana menuntut syurga atau kerana melihat dirinya mempunyai daya upaya. Di sini, pada diri orang yang telah disucikan hatinya sehingga terbit Tauhid yang benar, tiada lagi cita-cita selain Allah, tiada lagi melihat dirinya mempunyai daya upaya melainkan hanya Allah Yang Berkuasa di atas setiap sesuatu. Dia melihat dirinya tidak mampu untuk berdiri melainkan dengan anugerah Allah. Ini maqam permulaan kesucian hati, kesucian Tauhid dan kemurnian niat yang ikhlas!

Pada saat anda dikurniakan oleh Allah cahaya Tauhid yang murni di dalam hati, anda tidak lagi memandang wujud upaya diri anda untuk melakukan ibadah. Anda lemah daripada mengakui wujud kemampuan diri untuk melakukan ibadah. Seluruh jiwa dan perasaan anda karam di dalam melihat anugerah Allah kepada anda untuk melakukan ibadah - untuk melakukan takbiratul irham, ruku' dan sujud!

Lalu anda berkata: Tiada ada daya upaya melainkan Allah!

Apabila suasana kesucian ini menyelubungi hati, anda akan merasai ketenangan di dalam ibadah. Suatu ketenangan yang tidak anda merasai sebelumnya.

Maka inilah permulaan ikhlas, tiada lagi penyekutuan di dalam niat mengerjakan amal ibadah..!

Tiga Tingkatan ikhlas para salikin yang kita maksudkan adalah :

1. Ikhlas ketika Cahaya Af'al Allah menguasai si salik

2. Ikhlas ketika Cahaya Asma' Allah menguasai si salik

3. Ikhlas ketika Cahaya Sifat Allah menguasai si salik

Keadaan ikhlas si salik berubah-ubah dari satu tingkatan ke tingkatan yang lebih tinggi. Ada kalanya dia akan turun, masa yang lain dia akan naik kepada peringkat ikhlas lebih tinggi, bergantung kepada keadaan amal dan kesungguhannya di dalam mujahadah!

Kita tidak membincangkan tingkatan-tingkatan ikhlas muridin ini satu persatu di forum terbuka. Memadailah kita katakan, semua tingkatan ikhlas ini adalah pemerasaan jiwa dan pandangan mata hati, bukan lagi pemikiran aqal.

Inilah sebenarnya yang di tuntut ke atas setiap mukallaf, iaitu membebaskan dirinya daripada belenggu mempersekutukan Allah di dalam niatnya, tidak menuntut selain Wajah Allah dan benar-benar mentauhidkan Allah Ta'ala. Maka menepati dia akan tuntutan Allah...

وَمَآ أُمِرُوۤاْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ

"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya."

Dari Tafsir Ibn Abbas رضى الله عنه ;

Kalam Allah "mukhlisin" (ikhlas) ditafsirkan oleh Ibn Abbas رضى الله عنه dengan makna "Tauhid" yang murni...!

Di sini Ibn Abbas رضى الله عنه telah menunjukkan bahawa yang dimaksudkan dengan "ikhlas" dan yang dituntut oleh Allah adalah pancaran Cahaya "Tauhid" yang hadir di dalam hati hamba-hamba Allah yang suci bersih hatinya!

Maka menepatilah huraian hakikat Ikhlas sepertimana yang diselami dan dikemukakan oleh para Ulama Arifin dengan Tafsiran Ibn Abbas رضى الله عنه !

Kesimpulan:

1. Ibadah yang qabul (diterima) oleh Allah hanyalah ibadah yang berserta "ikhlas" di dalamnya!

2. Ibadah yang dilakukan semata-mata kerana Allah, tetapi masih diselubungi perasaan hati yang mencitakan pahala, syurga dan keindahannya di akhirat SAH di sisi Fiqh / Syari'at zahir, namun pada sisi pandangan Tasawwuf, ianya cedera disebabkan wujudnya cita-cita selain Allah berserta ibadahnya.

3. Hakikat "ikhlas" sebagaimana yang di tuntut oleh Allah adalah "Tauhid" yang murni, ketika hati telah suci dari sekalian kekotoran "maknawiyyah", tiada cita-cita lain selain menuntut Wajah Allah dan semata-mata melihat anugerah Allah kepada diri hamba untuk melakukan Ibadah!

4. Orang yang benar-benar beriman wajib bersusaha sungguh-sungguh mendapat hakikat "ikhlas" sebagaimana dihuraikan di atas, sekurang-kurangnya pada tingkatan Tauhid yang paling rendah, iaitu pada Tauhid Af'al.

5. Ketika seseorang hamba Allah memperoleh hakikat "ikhlas", dia akan merasai kemanisan sekalian ibadahnya, tenang hatinya berserta Allah sepanjang Ibadahnya. Bahkan sepanjang hidupnya akan dipenuhi kebahagiaan!

6. Seseorang belum mencapai "Tauhid" yang sebenar dan belum memperoleh darjat hakikat "ikhlas" (orang awam), hendaklah sentiasa waspada sepanjang Ibadahnya iaitu di permulaan, di pertengahan dan dan di penghujung setiap Ibadahnya agar tidak tergelincir niatnya! Dan dia perlu berbanyak-banyak taubat dan muhabasah disebabkan niat hatinya yang setiasa berubah-ubah, semoga Allah mengampuninya dan menerimanya sebagai hamba Allah!

OLEH :- [ Al-Faqir Illallah ]
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan