Ketika Rasulullah ﷺ sedang gering, Abbas mengajak Ali untuk masuk menemui Baginda bagi bertanya siapakah yang paling layak memimpin umat Islam selepas kewafatan Baginda.
Abbas berkata, jika urusan itu ditetapkan kepada mereka, mereka akan mengetahuinya. Jika ia diberikan kepada selain mereka, mereka juga perlu mengetahuinya supaya Rasulullah ﷺ dapat berpesan kepada orang tersebut tentang kedudukan mereka.
Namun Ali menjawab, “Demi Allah, jika kita bertanya Rasulullah tentang perkara ini lalu Baginda tidak memberikannya kepada kita, nescaya manusia tidak akan memberikannya kepada kita selama-lamanya. Demi Allah, aku tidak akan tanyakan kepada Rasulullah tentang perkara ini.”
Apabila Rasulullah ﷺ wafat, Ali sendiri yang memandikan jasad Baginda dan beliau mengakui tidak melihat apa-apa yang tidak elok. Ali memuji, “Engkau tetap suci ketika hidup dan ketika wafat.”
Beliau turut menurunkan jasad Rasulullah ﷺ ke liang lahad bersama Fadhl dan Qutham, dua orang anak Abbas, serta pelayan Baginda. Ali berkata, “Kehilangan orang yang sangat dicintai adalah satu bentuk keterasingan.”
Ali kemudian membisikkan salam terakhir:
“Demi ayah dan ibuku, wahai Rasulullah, dengan kewafatanmu terhentilah perkara-perkara yang tidak pernah terhenti dengan kematian sesiapa pun selainmu, iaitu kenabian dan khabar wahyu dari langit. Tuan dikurniakan kedudukan yang tidak dapat digantikan oleh sesiapa, sehingga tiada penghibur selepasmu. Namun tuan juga merendahkan diri, sehingga semua manusia menjadi sama rata di hadapanmu.
Seandainya tuan tidak memerintahkan kami supaya bersabar dan tidak melarang kami daripada berputus asa, nescaya keringlah air mata kerana terlalu banyak menangisimu. Kesedihan ini enggan berakhir dan kepiluan ini tidak mahu pergi.
Namun semua itu masih terlalu sedikit jika dibandingkan dengan beratnya perpisahan denganmu. Akan tetapi, ketetapan Allah tidak dapat kami tolak dan tidak pula dapat kami kembalikan. Demi ayah dan ibuku, sebutlah kami di sisi Tuhanmu dan ingatlah kami selalu.”
Selepas kewafatan Rasulullah ﷺ, seorang Yahudi datang mengejek Ali dengan berkata, “Belum pun kalian selesai mengebumikan Nabi, kalian sudah berselisih.”
Ali menjawab dengan tenang, “Kami berselisih tentang siapa yang akan menggantikan Baginda, bukan berselisih tentang Baginda. Adapun kalian, belum kering kaki kamu dari laut, kalian sudah berkata kepada nabi kamu, ‘Wahai Musa, buatkanlah untuk kami sebuah tuhan sebagaimana mereka mempunyai tuhan-tuhan.’ Lalu Musa menjawab, ‘Sesungguhnya kamu ialah kaum yang bodoh’.” Mendengar jawapan itu, lelaki Yahudi tersebut terdiam.
Selepas Rasulullah ﷺ kembali ke rahmatullah, kaum Muslimin segera membaiah Abu Bakar sebagai khalifah. Pada ketika itu, Ali berada di rumahnya. Seorang lelaki datang menyampaikan khabar tentang pembaiatan tersebut.
Mendengarnya, Ali segera bergegas ke masjid hanya dengan memakai gamis tanpa jubah dan selendang kerana bimbang terlewat. Setibanya di masjid, beliau terus membaiah Abu Bakar, kemudian duduk dan meminta seseorang mengambilkan selendangnya untuk disarungkan di atas gamis yang dipakainya.
Pada suatu ketika, Khalifah Abu Bakar berhasrat menyerang jajahan Empayar Rom Byzantine lalu berbincang dengan para Sahabat. Sebahagian bersetuju, manakala sebahagian yang lain menolak.
Abu Bakar kemudian meminta pandangan Ali. Ali berkata, “Jika engkau melakukannya, engkau akan menang.” Abu Bakar berkata, “Engkau telah memberi khabar gembira,” lalu bertanya, “Bagaimana dan dari mana engkau mengetahui khabar gembira ini?” Ali menjawab, “Daripada Nabi, ketika aku mendengar Baginda memberikan khabar gembira kepadamu tentang perkara ini.”
Abu Bakar berkata, “Engkau telah menggembirakanku dengan mengingatkanku akan sabda Rasulullah, wahai Abul Hasan. Semoga Allah menggembirakanmu.” Kemenangan sememangnya berpihak kepada pasukan Islam dalam peperangan di Ajnadayn yang menjadi pembuka jalan kepada penaklukan wilayah Syam.
Dalam satu riwayat, Muhammad bin Ali al-Hanafiyyah menceritakan bahawa beliau bertanya kepada bapanya, “Siapakah manusia yang paling baik selepas Rasulullah?” Ali bin Abi Talib menjawab, “Abu Bakar.” Beliau bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Ali menjawab, “Umar.” Apabila beliau bertanya, “Kemudian engkau?” Ali menjawab, “Aku ini hanyalah seorang lelaki biasa daripada kalangan orang Islam.”
Pada suatu ketika, Khalifah Umar al-Khattab berkata kepada Husain bin Ali, “Seandainya engkau mahu mengunjungiku, tentu aku sangat gembira.” Beberapa waktu kemudian, Husain datang menemuinya, namun Umar sedang berbicara dengan Muawiyah.
Di hadapan pintu, Abdullah bin Umar juga tidak diizinkan masuk. Melihat keadaan itu, Husain memilih untuk pulang.
Tidak lama selepas itu, Umar datang menemui Husain dan bertanya, “Mengapa engkau belum mengunjungiku?” Husain menjawab, “Aku sudah datang, tetapi engkau sedang bercakap dengan Muawiyah. Aku juga melihat Abdullah bin Umar tidak diizinkan masuk lalu dia pulang, maka aku pun pulang.” Umar menjawab, “Engkau lebih berhak mendapatkan izin daripada Abdullah bin Umar. Tidakkah engkau lihat uban di kepalaku ini? Sesungguhnya yang aku fikirkan ialah Allah, kemudian kalian, Ahlul Bait,” sambil mengusap kepala Husain.
Dalam peristiwa lain, Ali Zainal Abidin menceritakan bahawa pakaian dari Yaman pernah dihantar kepada Umar untuk dibahagikan kepada kaum Muslimin. Ketika itu, Umar duduk di Masjid Nabawi antara mimbar dan makam Rasulullah ﷺ, sementara orang ramai datang memberi salam dan mendoakannya sehingga pembahagian selesai.
Tiba-tiba, Hasan dan Husain keluar dari bilik Fatimah lalu melintasi para hadirin dalam keadaan tidak berbaju. Wajah Umar berubah dan beliau berkata, “Demi Allah, memberi kalian pakaian membuat hatiku tidak tenang.”
Orang ramai bertanya, “Wahai Amirul Mukminin, engkau telah memberi pakaian kepada rakyatmu, bukankah itu perbuatan yang baik?” Umar menjawab, “Hatiku tidak tenang kerana dua anak ini melangkahi para hadirin tanpa pakaian.”
Lalu Umar menulis surat kepada gabenornya di Yaman agar mengirimkan dua helai pakaian khusus untuk Hasan dan Husain. Tidak lama kemudian, pakaian itu sampai dan Umar sendiri menyerahkannya kepada mereka.
Penghormatan Umar terhadap Hasan, Husain dan Bani Hasyim turut terserlah dalam pembahagian harta. Diriwayatkan daripada Jaafar bahawa ketika Umar hendak membahagikan harta rampasan perang, beliau mengumpulkan para Sahabat.
Abdurrahman bin Auf berkata, “Mulakanlah daripada dirimu sendiri.” Umar menjawab, “Demi Allah, tidak. Pembahagian ini mesti dimulakan daripada orang yang paling dekat dengan Rasulullah ﷺ dan daripada Bani Hasyim, kabilah Rasulullah ﷺ.”
Umar memulakan pembahagian dengan memberi kepada Abbas, kemudian Ali, seterusnya kepada kabilah-kabilah lain. Hasan dan Husain pula disamakan bahagiannya dengan ayahanda mereka serta ahli Badar kerana kedudukan mereka yang dekat dengan Rasulullah ﷺ, dan masing-masing menerima 5,000 dirham.
Ketika Madain ditaklukkan pada tahun 16 Hijrah dan harta ghanimah dibawa ke Madinah, Umar memberikan kepada Hasan dan Husain masing-masing 1,000 dirham, sedangkan anaknya sendiri hanya menerima 500 dirham.
Sumber dari Zaki Sapuan Al-Hafiz

0 comments:
Catat Ulasan