KESESATAN HADIR KERANA CARA FIKIR YANG SALAH, BERBEKALKAN HAWA NAFSU

 


KESESATAN HADIR KERANA CARA FIKIR YANG SALAH, BERBEKALKAN HAWA NAFSU
Kesesatan yang digambarkan di dalam kitab Allah bukanlah dengan maksud tersesat dalam perjalanan, akan tetapi yang dimaksudkan adalah tersesat cara berfikir, seperti firmanNya
وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ ٱلْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِۦ مَا تَوَلَّىٰ وَنُصْلِهِۦ جَهَنَّمَ ۖ وَسَآءَتْ مَصِيرًا
“Dan dia mengikuti jalan selain orang-orang yang beriman. Kami biarkan ia leluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali”
{QS. 4:115}
Dari analisa Al-faqir, timbul sahaja sebarang ajaran yang menyimpang daripada ajaran agama yang sebenarnya, maka akan terdapatlah pengikutnya, walaupun kadang-kadang ajaran sesat itu amat dangkal dan amat mencabar minda serta pemikiran manusia.
Dalam konteks inilah nampaknya betapa kejahilan dan sentimen manusia sering memainkan peranan yang amat besar yang membawanya kepada mempercayai sesuatu yang aneh dan tidak masuk akal.
Memang cabaran semasa yang berlaku dengan pesatnya di dalam dunia moden dan global ini benar-benar merupakan ombak besar yang sedang melanda masyarakat manusia, termasuk masyarakat Islam di seluruh dunia.
Kita perlu sedar, bahawa dakwah yang kita ingin sampaikan ini, disasarkan kepada manusia yang berakal. Bukannya binatang, apatah lagi tunggul kayu. Justeru, untuk menyampaikan dakwah yang berkesan, mestilah dengan keterangan dan objektifnya yang jelas, agar merangsang akal supaya berfikir dengan betul.
Kegiatan serangan pemikiran melalui propaganda yang memperkecil-kecilkan ajaran agama Islam dan memomokkan segala nilai moral kerohaniannya, atau yang berusaha mengubah cara hidup Islam dan iktiqad yang bersih murni telah banyak meninggalkan kesan yang negatif di dalam masyarakat Islam golongan muda dan dewasa.
Kalau orang Islam mempunyai ilmu dan dapat berfikir dengan secara rasional pula, maka saya fikir orang-orang seperti ini tidak akan mudah disesatkan oleh sesiapa.
Ketiadaan ilmu dan ketidakmampuan berfikir inilah yang mendorong wujudnya ajaran-ajaran sesat dan timbulnya jaguh-jaguh yang sering mendakwa boleh memberikan ilmu kebal, membuka pintu syurga secara cepat dan mudah, menyembuhkan segala penyakit dengan hanya membaca jampi serapah dan sebagainya.
Kesesatan yang digambarkan di dalam kitab Allah juga telah menggambarkan kesesatan itu boleh berlaku disebabkan mengikuti hawa nafsu, seperti firmanNya
وَلَا تَتَّبِعِ ٱلْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌۢ بِمَا نَسُوا۟ يَوْمَ ٱلْحِسَابِ
“Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah, sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang pedih disebabkan apa yang mereka lupakan tentang hari perhintungan”
{QS. 38:26}
Dari analisa Al-faqir, bahawa ajaran sesat sering juga dihubungkan dengan sifat tamak haloba kebendaan dan nafsu seks manusia. Para pengajar dan pengembang ilmu kebatinan yang menyeleweng sering mengaut keuntungan wang dan benda yang banyak. Para pengikut setianya yang merasa selamat dan dilindungi oleh wira-wira pujaannya akan bersedia berkorban wang dan harta untuk para gurunya itu.
Mereka akan menjadi amat pemurah dengan janji-janji yang menyelinap masuk ke dalam hati nurani mereka, iaitu mereka berada di dalam satu kumpulan yang suci dan kudus.
Di samping itu terdapat para guru yang mendapatkan balasan seks daripada para pelajarnya, atau mereka ramai-ramai berkongsi menyahut kegemaran jantina ini setelah lupa diri dan lalai dalam zikir dan ratib sesat mereka secara bercampur lelaki dan perempuan.
Dorongan kebendaan dan nafsu jantina ini tentulah merupakan ajakan-ajakan yang amat besar pengaruhnya kepada manusia biasa yang sememangnya mengintai peluang untuk bersukaria dan menikmati kehidupan kebendaan yang mewah.
Dari sudut yang lain di samping ajaran-ajaran sesat yang konvensional dan terang-terang merosakkan akidah umat Islam yang sebenarnya, maka umat Islam kini juga banyak menghadapi cabaran kekalutan pentafsiran agama yang dibuat oleh sesetengah kalangan secara emosi dan sentimen sempit kerana sebab-sebab yang tertentu.
Pengaruh itu amat mudah memecahbelahkan masyarakat dan mengalih pandangan serta usaha umat Islam kepada soal-soal kebatinan dan isu-isu sampingan yang tidak termasuk ke dalam arus perdana ajaran Islam yang sebenarnya.
( Sumber dari FB )

Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan