PERUTUSAN TAHUN BARU 2023
"PERADABAN BANGSA DAN NEGARA BERTERAS SUFI BERSULAM ADAT DAN BUDAYA"
Kita sudah masuk ambang Tahun 2023, tahun yang penuh mencabar untuk masuk fasa 2024 iaitu cukup100 tahun kejatuhan Khilafah Uthmaniah.
Tasawwuf diserang segenap penjuru, bukan sahaja kalangan orientalis Barat tetapi disambung fitnah tersebut oleh mereka yang bergelar ulama.
Tasawwuf juga diserang secara dalam dari golongan yang menyarung pakaian Sufi @ Tasawwuf tetapi hakikatnya membawa ajaran batiniah, sufi falsafah @ akal, sufi wahdatul wujud yang batil, sufi pertapaan, sufi melampau dalam kezuhudan, sufi yang tertipu alam rohani.
Tauhid Sufi @ Tasawwuf adalah ajaran mempertajamkan Tauhid pada Qalbu , bergerak dalam setiap saraf dan sendi, beradab syariat dan beradab bermasyarakat.
Tauhid bukan berkalam pada akal yang pintar dan fasih berfalsafah, tetapi Tauhid yang menggentarkan hati, menghancurkan mazmumah dan keakuan diri.
Tauhid yang bukan hanya dibahas dengan pelbagai perbahasan tetapi tauhid yang menggentar musuh, Tauhid yang terbangun kekuatan dan tersebar wilayah Islam seluruh alam..
Bangsa Melayu seNusantara adalah bangsa yang hebat, jiwa penuh kasihs sayang, pemaaf dan toleransi namun miliki keberanian yg tinggi dan amukan bagaikan tsunami.
Bangsa terpasak Tasawwuf nan murni, bagaikan berada dalam sarung yang sejati, memancar budi dan sakti, pedang terhunus rapi, adat dan budaya terpelihara murni, lantaran Makrifat yang kembali bersaksi.
Apabila setiap jiwa bangsa diperkasa dengan Makrifat, maka menggeletar jiwa Sang Raja, Pemimpin, Pegawai dan Kakitangan Kerajaan, para Hakim, para tentera, Polis dan para Pendidik agar benar mengenggam amanah yang diamanahkan.
Para si kaya penuh cinta dan pemurah, si miskin tenang, penuh keredhaan dan kesabaran.
Para pemuda pemudi tiada mudah digoyah. Walaupun datang ombakan pelbagai budaya kedurjanaan, yang baik dijadikan tauladan, yang buruk tetap jadi sempadan.
Tasawwuf bukan menjadikan umat ini kaku dengan Tasbih dan Makrifat, tenggelam dalam dunia keasyikan sendiri, menjadikan dunia musuh yang dijauhi.
Tasawwuf sejati menjadikan Tasbih dan Makrifatnya menguasai dunia, menerajui perubahan yang batil kepada yang haq, menukar kebencian dan permusuhan menjadi cinta dan perdamaian.
Bangsa, masyarakat pelbagai kaum dan Negara pasti akan menikmati keharuman, kekuatan dan keindahan sebuah Peradaban yang berpasak Tasawwuf.
2023, kita genggam bersama, bergerak dalam langkah yang tersusun dalam posisi dan wajah pelbagai, membina Peradaban Bangsa dan Negara berpasak Tauhid Sufi @ Tasawwuf, berpayung Syariah, bersulam adat dan budaya.
Semoga segala perancangan musuh akan terhenti dan lunyai dalam gunung Makrifat yang dipasak.
Semoga segala bencana dan musibah yang mendatangi dunia dan negara, disambut dengan penuh ketenangan, kesabaran dan kebersamaan, saling menjaga bagaikan satu anggota, setiap kesakitan dan kebahagiaan akan dirasai bersama.
Firman الله :
"Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya". (Ali-Imran : 159)
Wallahualam.
31.12.2023
0 comments:
Catat Ulasan