MENGENAL ALLAH ( MA'RIFATULLAH )
MA'RIFAT itu bermaksudnya Melihat, Memandang, Menyaksikan atau Mengenal Allah SWT.
Mengenal Allah didalam erti kata sebenar-benarnya bukanlah hanya sekadar perkhabaran, gambaran ataupun khayalan.
MA'RIFAT itu, bukanlah bermaksudnya Mengenal Dzat Allah, tetapi Hakikatnya adalah bermaksudnya Mengenal Wajah Allah.
Wajah Allah itu akan dapat Dikenal, Dilihat dan Dipandang hanya melalui Mata Hati dan melalui Naluri Rohani diri kita sendiri dan bukanlah dengan melalui pandangan akal ataupun penglihatan mata kasar.
Untuk Melihat, Memandang, Menyaksikan dan Mengenal Allah itu, kita dikehendaki Mengenal Diri Kita Sendiri terlebih dahulu !
Untuk Mengenali Diri Sendiri, maka kita hendaklah Melihat, Memandang, Menyaksikan dan Mengenal ROH.
Barangsiapa yang Mengenal ROHNYA, maka Kenallah ia kepada Dirinya Sendiri.
Manakala, barangsiapa yang Mengenal kepada Dirinya Sendiri, maka Kenallah ia kepada Allah.
"Dan barangsiapa yang Mengenal Dirinya, nescaya Mengenal pula ia akan Allah, siapa yang Mengenal Allah nescaya Binasalah Dirinya...."
Inilah cara ILMU MA'RIFAT Melihat, Memandang, Menyaksikan dan Mengenal Allah.
Iaitu dengan cara memulangkan ROH Diri Sendiri...
Diperingkat ILMU SYARIAT, maka kita akan belajar Mengenal dan Memulangkan Sifat.
Diperingkat ILMU TAREKAT, maka kita akan belajar Mengenal dan Memulangkan Kelakuan.
Diperingkat ILMU HAKIKAT, maka kita akan belajar Mengenal dan Memulangkan Nama-Nama Panggilan.
Manakala diperingkat ILMU MA'RIFAT pula, maka kita akan belajar Mengenal dan Memulangkan ROH.
Sesudah kita Mengenal ROH, maka itu berertinya kita telahpun Mengenal Diri Kita yang sebenar-benarnya.
Sesudah sahaja Mengenal Diri Kita dengan rata-rata, maka itu berertinya kita telahpun Mengenal Allah dengan Maha Nyata.
Kerana Ilmu Mengenal Allah itu, hanyalah akan dapat dicapainya melalui Ilmu Mengenal Diri (Mengenal ROH), tanpanya Mengenal Diri. Maka akan mustahil Allah dapat Dikenal oleh kita.
MA'RIFAT bukanlah Ilmu yang hanya berada pada tahap "Tahu",
Tetapi MA'RIFAT itu adalah Ilmu yang berada pada tahap "Melihat, Memandang, Menyaksikan dan Mengenal Allah dengan secara Nyata".
Perkara "Tahu" dengan perkara "Kenal" itu adalah sesuatu yang sangat-sangatlah berbeza.
Sebagai contohnya :
Seandainya kita, telah ditinggalkan oleh ayah dan ibu sejak daripada kecil, apabila dewasa sahaja kita mengetahui bahawa yang kita juga ada mempunyai ayah dan ibu.
Seandainya kita berkesempatan untuk makan semeja dengan ayah dan ibu kita sekalipun, kita tidak akan dapat mengenalnya.
Kerana sebelum ini, kita belum pernah pun melihat akan wajahnya, hanyalah sekadar mengetahui melalui perkhabarannya sahaja, dan belum pernah pun bertentangan mata dengannya.
Maka Inilah peranan perkara "Tahu" dengan perkara "Kenal".
Walaupun disaat dan ketika ini, kita sedang berada bersama-sama, dihadapan, bertentangan mata, bersentuhan bahu dan duduk sebumbung bersama-sama mereka.
Kita tidak akan dapat mengenali mereka kerana kita belum pernah pun bertemu sebelumnya.
Apabila belum pernah pun berjumpa dan belum pernah pun bertemu, maka sudah tentulah kita tidak akan dapat mengenalinya.
Sebaliknya ayah dan ibu yang pernah kita kenali sedari sekecil tapak tangan, sehinggalah sebesar sekarang. Walaupun berada jauh daripada penglihatan mata, ianya tetap terbayang dan tergambar diruangan mata dan terpahat di lubuk sanubari kita.
Kita akan mengingati wajah ayah dan ibu kita, walaupun tanpa kehadirannya didepan mata kita.
Begitulah juga dengan peranan "Ilmu Tahu" berbanding dengan "Ilmu Kenal".
Pelajaran ILMU HAKIKAT, hanyalah setakat belajar "Ilmu Tahu" (Tahu ROH).
Manakala pelajaran diperingkat ILMU MA'RIFAT pula adalah pelajaran Ilmu yang Sampai ke peringkat "Penyerahan ROH".
HAKIKAT adalah "Ilmu Tahu",
manakala MA'RIFAT pula adalah "Ilmu Mengenal"...
Pandangan serta Penglihatan Ahli-Ahli MA'RIFAT (Khawasul Khawas) dengan orang-orang kebanyakkan (Awam) adalah tersangat-sangatlah berbeza.
Apabila memandangnya Ahli-Ahli MA'RIFAT kepada sebuah bahtera seumpamanya, maka mereka tidak akan melihatnya sebagai bahtera, yang mereka lihat hanyalah Wajah Allah.
Apabila memandangnya Ahli-Ahli MA'RIFAT kepada gunung, maka mereka tidak melihatnya sebagai gunung, yang mereka lihat hanyalah Wajah Allah.
Bagi orang-orang kebanyakkan (Awam) yang tidak pernahpun 'SAMPAI' kepada Hal Keadaan tahap MA'RIFAT, apabila melihat sahaja gajah. Maka gajah jugalah yang hanya akan terlihatnya.
Sedangkan yang dilihat dan yang dipandang itu adalah perkara yang sama sahaja, namun Kefahaman, Penghayatan dan Dzauq Ahli-Ahli MA'RIFAT teramat-amatlah berbeza berbanding dengan orang-orang kebanyakkan (Awam).
Firman Allah SWT :
"Barang kemana kamu menghadap disitulah Wajah Allah."
(QS. Al-Baqarah : 115)
Kita janganlah sesekali memandang remeh ataupun memandang rendah akan perkara ini !
Bagi Insan-Insan yang Mengenal Allah dan yang duduk didalam tahapan ILMU MA'RIFAT, maka inilah Hal Keadaannya yang akan di Alami oleh mereka.
Untuk 'SAMPAI' kepada tahap seperti mereka, maka hendaklah kita belajar terlebih terdahulu akan ILMU MA'RIFAT.
Iaitu dengan belajar Mengembalikan, Memulangkan dan Menyerahkan ROH kepada Allah.
Segala pencarian Ilmu hanyalah akan terhenti apabila kita telahpun 'SAMPAI' diperingkat MA'RIFAT.
Peringkat ILMU MA'RIFAT yang tertinggi adalah peringkat Dzauq, peringkat Kasyaf dan peringkat Rasa juga Alami.
Apabila telahpun 'SAMPAI' sahaja kepada peringkat Rasa, hanyalah Insan-Insan yang telah Merasakannya sahaja yang mengetahui apakah itu Hakikat Rasa.
Tidak adanya Ungkapan, Ucapan dan tidak adanya Bahasa untuk diterjemahkan akan perkara Rasa, melainkan hanyalah bagi Insan-Insan yang telahpun Menikmatinya sahaja. Maka hanya dialah yang dapat mengetahuinya.
Begitulah juga dengan Dzauq yang melihat Wajah Allah, hanya bagi Insan-Insan yang telah Mengenal Allah sahajalah yang akan dapat menterjemahkannya.
Dzauq Wajah Allah hanyalah dapat Dirasakan melalui ILMU MA'RIFAT.
"Yang Menikmatinya sahaja yang dapat mengetahui akan Rasanya..." - Syeh Haqtullah.
Jadi, janganlah sesekali menafikan bagaimanakah 'SAMPAINYA' Ahli-Ahli MA'RIFAT itu kepada Allah SWT, sekiranya Ilmu kita belum lagi sampai ketahap itu.
Tiada sesiapapun yang mengetahui untuk mengukur akan Ilmu Rasa. Sememangnya Ilmu kita tidak akan Sampai untuk menyelami sebagaimana mereka itu.
Oleh itu, untuk mendapatkan Nikmat sebagaimana Nikmatinya yang mereka Alami, maka dampingilah dan dekatilah kepada Insan-Insan yang Arif didalam ILMU MA'RIFAT ataupun Guru Mursyid.
Pada dada-dada merekalah terkandungnya ILMU MA'RIFAT itu, namun haruslah di ingatkan bahawa Insan-Insan seperti itu sering sahaja Tersembunyi daripada kalangan ahli duniawi. Demi menjaga Iman dan melindungi Ilmu mereka.
ILMU MA'RIFAT itu, bukanlah pada kitab, buku, tulisan ataupun bukanlah kerana pengajian pondok, universiti ataupun sebagainya.
Namun, ILMU MA'RIFAT itu bertempat pada dada-dada Para Mukmin Sejati yang Berilmu. Hanya Insan-Insan yang Mengenal Allah sahajalah yang akan ditakrifkan sebagai yang Berilmu.
Ada orang bertanya kepada Baginda Nabi SAW :
"Bagaimanakah untuk membezakan diantara orang Berilmu dengan orang yang tidak Berilmu.
Nabi SAW menjawab :
"Bezanya antara orang Berilmu dengan orang yang tidak Berilmu adalah seumpamanya orang Mati dengan orang yang Hidup."
Nilai Insan-Insan yang Berilmu disisi Allah itu, teramat-amatlah tinggi, besar, mulia dan teramat-amatlah berharga !
Oleh kerana itu, marilah sama-sama kita mencari dan berikhtiarlah untuk mendapatkan ILMU MA'RIFAT yang Haqiqi.
ILMU MA'RIFAT itu hanya ada kepada dada-dada Ahli MA'RIFAT sahaja...
Untuk menterjemahkan dan mentafsirkan makna dan ertinya MA'RIFAT (Mengenal Allah), maka cara dan kaedahnya mestilah melalui jalan "Rasa" dan "Alami".
Bilamana 'SAMPAINYA' kita kesana, maka barulah kita akan mengetahui apakah itu ertinya MA'RIFAT dan apakah itu takrif Mengenal Rasa dan takrif Mengenal Allah.
Untuk 'SAMPAI' kesana, maka Wajiblah mencari Guru yang Jasadnya telahpun Binasa, Pancainderanya telahpun Berkubur, Keinginannya telahpun Mati dan Guru yang Citarasanya telahpun kembali Kerahmatullah.
Maka di dada-dada merekalah nantinya maksud MA'RIFAT yang sebenar-benarnya akan dapat kita selaminya.
Biarpun Guru berkenaan tidak tahu menulis ataupun membaca, kerana Guru MA'RIFAT itu pada Hakikatnya tidaklah memerlukan kepada pengajian pondok ataupun kelulusan akademik.
Bagi sesiapa sahaja yang dapat menemuinya dan berjumpa dengan Guru tersebut,
InsyAllah... akan 'SAMPAILAH' ia kepada ILMU MA'RIFAT yang sebenar-benarnya.
Maka Bersungguh-sungguhlah dan Berkorbanlah apa-apa sahaja untuk 'SAMPAI' kepada Allah SWT...
Tanpa Guru MA'RIFAT, maka akan agak sukarlah untuk kita 'SAMPAI' kepada tahap Mengenal Allah dan akan agak sukarlah pula untuk menterjemahkan erti dan maknanya MA'RIFAT.
MA'RIFAT itu adalah Cabang Ilmu bagi membicarakan soal Mengenal Allah.
Suatu Cabang Ilmu yang menjurus kepada soal Kebatinan, soal Kerohanian dan soal Mengenal perkara-perkara yang Ghaib.
Lingkungan ILMU MA'RIFAT pula merangkumi ILMU USULLUDDIN, ILMU TAUHID dan ILMU TASAWWUF.
Untuk mencapai tahap MA'RIFAT yang tertinggi, maka ketiga-tiga Ilmu diatas itu tidaklah boleh kita tinggalkannya sama sekali.
Bagi sesiapa yang meninggalkan salah satu daripadanya, maka itu berertinya mereka-mereka itu telahpun tersesat daripada Landasan-Nya.
Janganlah pula demi mengejarkan MA'RIFAT semata-mata akan menyebabkan kita meninggalkan ILMU USULLUDDIN.
Barangsiapa yang meninggalkan ILMU USULLUDDIN, maka berertinya mereka itu adalah Buta Ilmu.
Bagi sesiapa yang meninggalkan ILMU TAUHID, maka bermaknanya mereka itu akan gagal didalam MA'RIFAT.
Dan sesiapa yang meninggalkan ILMU TASAWWUF, maka itu bermaksudnya mereka tidak sama sekali akan dapat 'SAMPAI' kepada Allah.
Ketiga-tiga Ilmu tersebut haruslah seiring dan haruslah terlebih dahulu diharungi dan terlebih dahulu ditempuhinya, supaya tahap MA'RIFAT kepada Allah SWT menjadi 'Satu'.
ILMU MA'RIFAT itu merangkumi ILMU USULLUDDIN, ILMU TAUHID dan ILMU TASAWWUF...
0 comments:
Catat Ulasan