SILAKAN ZIKIR "YA LATIF" ATAU APA-APA ZIKIR

 


SILAKAN ZIKIR "YA LATIF" ATAU APA-APA ZIKIR
1. Ramai boleh terkeliru, boleh atau tidak amal zikir "Ya Latif", lantaran satu video dalam sesi pengajarannya melarang zikir "Ya Latif."
2. Larangan individu itu atas sebab yang ia ulang-ulang; kerana Nabi & Sahabat tidak buat.
Ia juga menyebut nas al-Quran adalah memerintah untuk berdoa dengan nama Allah, bukan perintah berzikir dengan nama Allah. Ia menegaskan ibadat kena ikut ikhlas & ikut Nabi.
3. Sebenarnya 'kaedah' di atas ternyata menyalahi kaedah-kaedah syarak yang luas.
Tidaklah tuntas apa yang Nabi & Sahabat tak buat maka umat tidak boleh buat.
Demikian juga perkara ibadat, ada pembahagiannya di sisi ulama salaf & khalaf. Ada ibadat wajib ikut sepenuhnya nas & ada ibadat tertentu dibolehkan perubahan. Lantaran itulah wujud mazhab, qaul & qiil kalangan fuqaha Islam.
4. Dakwaan zikir kena ikut Nabi semata-mata & kena ikhlas adalah rukun yang diada-adakan, jika cuba mewakili semua hal ibadat.
Hal itu positif, menjadi antara keperluan tetapi bukan suatu rukun mutlak. Ada banyak lagi kaedah syarak dalam menentukan boleh atau tidak sesuatu ibadat.
5. Ringkasnya terdapat fiqh doa & zikir yang panjang perbahasannya. Memadailah disebut rumusan yang bakal dinyatakan.
Tiada larangan nas atau dalil melarang berzikir dengan nama Allah termasuk "Ya Latif." Walaupun berdoa & berzikir perkara berbeza namun aspek menyeru & mengingati (zikir) pasti berlaku.
Terdapat nas berdoa & terdapat juga nas petunjuk untuk berzikir dengan nama Allah. Antaranya ayat 8 Surah al-Muzammil, Allah memerintahkan sebutkanlah nama-Nya.
6. Banyak dalil khusus & umum yang membolehkan menyeru nama Allah. Apabila menyeru nama Allah, sesuatu yang bukan sia-sia. Imam Ibn Jarir al-Tabari menegaskan kesemua Nama-Nama Allah adalah amat baik.
7. Ulama sepakat bahawa doa & zikir ma'thur daripada Nabi SAW adalah zikir yang utama. Amat wajar dipelajari & diamalkan.
Dalam pada itu, hasil fahaman Sunnah, boleh juga diamalkan zikir selain itu yang jelas maknanya, tiada syirik. Pengamalnya tiada iktiqad (fahaman) bahawa zikirnya sahaja yang baik lagi diterima.
Sesungguhnya terdapat pelbagai wasilah untuk mengingati Allah telah disabdakan Rasulullah SAW kepada umat.
8. Rahmat Allah luas buat hamba-hambaNya, termasuk kepada mereka yang tidak tahu atau tak hafaz doa & zikir dalam Bahasa Arab apabila mereka masih berusaha menyeru, mengingati & memuji Allah.
Justeru, seluruh fuqaha' tidak mengharamkan doa & seruan kepada Allah dengan bahasa lidah & ingatan hatinya selain Bahasa Arab. Cuma berlaku khilaf fuqaha' berkenaan isu bahasa dalam solat. Tarjih fuqaha' menetapkan dalam Bahasa Arab kerana ibadah dasar.
9. Dalam tafsir ma'thur seperti Tafsir Ibn Kathir & Tafsir al-Tabari, banyak menyentuh kelebihan menyebut Nama-Nama Allah Yang Mulia.
Tiada terselit dalam tafsir tentang larangan berzikir dengan Nama-Nama Allah meskipun dalam ayat perintah berdoa/menyeru kepada Allah dalam ayat 180 Surah al-A'raf.
Jika haram atau munkar berzikir dengan Nama-Nama Allah, pasti mufassir agung tidak ketinggalan untuk turut memberi amaran keras.
10. Ayat 180 Surah al-A'raf, zahirnya tentang bab perintah berdoa dengan Nama-Nama Allah. Dalam memahami nas, disiplinnya ialah tidak wajar sekadar literal ayat bahkan meneliti dalaman kalimah & takwilan ayat demi mencapai maksud ayat.
Dalam tafsiran mendalam (al-lughah wa al-bayan), Prof. Dr. Wahbah al-Zubaili menerangkan kalimah "فادعوه بها" dari maksud bahasa ialah namakan Allah dengan Nama-Nama Yang Terbaik, serukanlah Dia untuk tujuan memuji atau memohon hajat daripadanya. Jelas di sini, zikir (mengingati & memuji) ialah sebahagian maksud ayat, bukan sekadar berdoa.
Syeikh Wahbah al-Zuhaili juga dalam huraian tafsir menyebut; harus memanggil Allah dengan (wahai) seperti "Ya Jawad" yakni selagi daripada kumpulan al-Asma' al-Husna.
Tokoh besar tafsir, Imam Ibn Kathir & Imam Ibn Jarir al-Tabari meletakkan riwayat hadith Sahihain tentang ganjaran sesiapa yang menghitung 99 Nama Allah, pasti masuk syurga.
Menghitung Nama-Nama Allah bukanlah kerja doa, tetapi dimasukkan dalam tafsir ayat berdoa atau menyeru Allah.
11. Demikian mahfum qiasnya, berzikir dengan Nama Allah termasuk "Ya Latif" adalah di bawah maqasid (tujuan utama) menyeru Allah. Pasti ada pahala di sisi Allah & balasan-Nya .
12. Untuk zikir "Ya Latif", kita juga dituntut fahamilah maknanya supaya sempurna. Iringilah jua perasaan yakin nakkan kelebihan daripada nama Allah Yang Maha Menyantuni. Tindakan ini pasti terpuji.
Nama mulia ini juga mengandungi makna mulia lain yang menyebabkan kita makin cinta & dekat dengan kebesaran Tuhan.
13. Dalam pada itu, janganlah kita mendakwa wajib diamalkan zikir "Ya Latif" untuk mendapat kelebihan tertentu. Ini kerana fadhilat khusus tidaklah dinyatakan dalam nas.
Boleh beramal atas dasar memilih nama tertentu & mengharap sesuatu daripada makna Nama Agung Allah. Sebagai suatu ikhtiar & munajat.
14. Ada ulama yang menyarankan zikir "Ya Latif" & juga ulama yang menyarankan zikir yang lain, bertitiktolak hasil daripada pengalaman rohani. Lalu mereka mencadangkan untuk diamalkan.
Dalam bab ini, ada pro & kontra di kalangan sarjana Islam. Ada yang mengharuskan & ada yang tidak menerima bentuk zikir yang menjanjikan fadhilat khusus yang tiada sabit dalam nas.
Begitu juga jumlah zikir yang wajib dibaca. Perkara ini dalam perbahasan yang lain. Meskipun ada pro & kontra, tidaklah boleh dijadikan alasan untuk menutup terus usaha berzikir dengan Nama-Nama Allah Yang Terbaik.
15. Hal ibadat dasar sememangnya perlu ikut Nabi SAW dan syariat. Dalam hal ibadat umum & perkara sunat seperti berdoa & berzikir, masih ada cara & keadaan yang diharuskan.
Begitu juga misalan dalam bab tariqat. Ada yang harus & ada yang tertegah.
16. Isu zikir "Ya Latif" sama dengan isu sampingan dalam agama seperti lafaz usuli, menambah Saiyidina dalam lafaz tasyahhud, selawat selain Selawat Ibrahimiyyah & sebagainya. Meskipun ada perbahasan bida'ah hasanah di situ, tetap memerlukan disiplin ilmu yang perlu dipelajari & difahami.
Apatah lagi sikap gopoh mengklasifikasikan semua perkara baru sebagai tidak boleh, munkar atau sesat. Amat tidak faqih jika kita sedemikian.
17. Jika seseorang itu hendak mengamal zikir yang lain pun boleh. Tiada ketetapan. Atau ia langsung tidak mahu berzikir.
Cuma ia ibarat rumah yang kosong, sunyi daripada sesuatu amalan yang membahagiakan.
Walaupun tidak mengamal zikir sampingan, seseorang itu tetap wajib laksanakan zikir yang fardhu seperti menunaikan solat & niat ibadat hanya kerana Allah, bukan untuk makhluk.
18. Kelihatan pelarang zikir "Ya Latif" bertegas untuk tidak membolehkan. Semurninya Kembalilah kita mengingati bahawa hal seumpama zikir ini termasuk dalam hal furu' (sampingan) dalam agama.
Janganlah heret kepada hal teras sedangkan ia hal furu'. Sesungguhnya masih bergantung pada zan ijtihad alim ulama.
19. Sukakanlah hati kita pada sesiapa jua yang berdoa atau berzikir dengan Nama-Nama Allah. Asalkan penzikir kenali Nama Agung Allah.
Kita juga mahu penzikir memahami terdapat pelbagai jenis zikir, selawat & doa sebagai wasilah mencari bahagia hidup di dunia & akhirat. Selepas munajat, Islam juga menyeru orang-orang yang beriman untuk melakukan juga amalan lain & mencari ikhtiar kehidupan.
20. Ubatilah fahaman sempit, umat terikat mutlak dengan Nabi SAW dan Sahabat. Ada perkara wajib, ada juga perkara yang Allah & Rasul sediakan ruang & kemudahan (lihat hukum mendatang dalam ilmu Usul Fiqh).
21. Yang perlu lebih kita bimbang ialah seumpama orang yang enggan berzikir kepada Allah, gejala jumudkan syariat Allah. Juga perihal gejala liar masyarakat seperti tidak pakai baju ketika jual durian & bergambar tak syar'ie di kedai makan.
22. Moga Allah jadikan kita sebagai orang Islam yang memahami syariat dengan segala disiplin ilmu. Al-Quran & Sunnah adalah sumber agama, manakala alat prosesnya adalah kaedah-kaedah syarak.
[ Sumber dari - Dr. Ustaz Yusry Affandy Yusuff ]
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan