Benarkah Quburiyyun Penyembah Kubur?

 


Benarkah Quburiyyun Penyembah Kubur?

Kalimah Quburiyyun secara bahasa bererti “mereka yang dinisbahkan kepada kubur”. Maka dari sudut bahasa, golongan yang gemar menziarahi kubur boleh dinamakan sebagai Quburiyyun. Namun kalimah Quburiyyun secara meluasnya pada hari ini diertikan kepada mereka yang didakwa menyembah kubur para wali dan orang-orang soleh. Lalu akhirnya pihak yang gemar menziarahi kubur, berzikir di kubur dan berdoa di kubur dianggap sebagai Quburiyyun dengan maksud penyembah kubur. Namun benarkah mereka penyembah kubur?

Menziarahi Kubur Adalah Satu Ibadah

Menurut Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir; menziarahi kubur bererti “Pergi ke kubur dengan tujuan untuk memuliakan si mati kerana orang mati yang diziarahi kuburnya akan senang dengan orang yang menziarahi atau dengan tujuan untuk berdoa di kubur si mati yang merupakan salah seorang nabi atau salah seorang wali Allah yang soleh supaya hajat orang yang menziarahi dikabulkan oleh Allah atau dengan tujuan untuk mengambil peringatan bahawa setiap yang hidup akan mati”.

Pada awal zaman Islam, menziarahi kubur adalah satu perbuatan yang dilarang. Namun hukum ini telah dimansuhkan kerana Rasulullah SAW sendiri yang meminta kita untuk menziarahi kubur seperti yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim: Daripada anak lelaki [Sayyidina] Buroydah, daripada ayahnya, beliau telah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Saya telah melarang kalian daripada menziarahi kubur. Maka kalian ziarahilah kubur”. 

Al-Imam al-Nawawiyy telah menyatakan dengan jelas di dalam kitab al-Majmu’ bahawa teks ucapan al-Imam al-Syafi’iyy serta para ulama utama di dalam mazhab al-Imam al-Syafi’iyy menjelaskan bahawa orang lelaki disunatkan untuk menziarahi kubur bahkan al-Imam al-Nawawiyy menukilkan bahawa al-‘Abdariyy telah menyatakan bahawa seluruh para ulama Islam telah bersependapat bahawa menziarahi kubur adalah satu perbuatan yang disunatkan.

Adapun orang perempuan, kebanyakan para ulama berpandangan bahawa golongan wanita dimakruhkan menziarahi kubur kerana wanita kebiasaannya tidak mampu menahan emosi ketika menziarahi kubur lalu ditakuti mereka akan menangis sambil menjerit kesedihan. Walaupun begitu wanita tidaklah diharamkan menziarahi kubur kerana Rasulullah SAW pernah melihat seorang wanita yang menangis di sisi kubur anak lelakinya yang meninggal kecil lalu Rasulullah SAW bersabda kepada wanita tersebut: “Bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah”. Maka sekiranya wanita diharamkan menziarahi kubur, nescaya Rasulullah SAW akan melarang wanita tersebut daripada menziarahi kubur. 

Sekalipun kebanyakan para ulama memakruhkan wanita menziarahi kubur, namun menziarahi pusara Rasulullah SAW adalah dikecualikan kerana menziarahi Rasulullah SAW sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Imam al-Nawawiyy di dalam kitab al-Majmu’ adalah antara sepenting-penting ibadah yang mendekatkan kita kepada Allah. Bahkan menurut Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir; wanita yang didatangi oleh haid dibolehkan masuk ke dalam masjid Rasulullah SAW untuk tujuan menziarahi Baginda yang mulia lagi dirindui oleh para pencinta kerana menziarahi Baginda adalah termasuk di dalam kategori laluan di dalam masjid disebabkan ada tujuan. Bahkan menziarahi Rasulullah SAW adalah merupakan antara tujuan yang sangat mulia dan sangat dituntut. Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir turut menyatakan bahawa selain maqam Rasulullah SAW, wanita juga turut disunatkan untuk menziarahi maqam para nabi yang lain serta kubur ulama, orang-orang soleh serta para syuhada.

Bolehkan Para Penziarah Berdoa Untuk Kebaikan Dirinya Di Sisi Kubur Orang Soleh

Menurut Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir lagi; tindakan seseorang yang pergi ke tempat-tempat tertentu yang memiliki keberkatan yang diharapkan doa akan dikabulkan di situ adalah satu perbuatan yang disunatkan. Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir turut menyatakan bahawa antara tempat yang doa biasanya mustajab di situ adalah masjid dan kubur.

Para ulama silam telah menyebut bahawa kubur orang-orang soleh adalah antara tempat mustajab doa. Al-Imam al-Zahabiyy contohnya di dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala ketika menceritakan tentang kisah Sayyidatina Nafisah binti al-Hasan bin Zayd bin Sayyidina al-Hasan bin Sayyidina Aliyy bin Abu Tolib telah berkata: “Dikatakan: beliau adalah termasuk daripada wanita-wanita soleh yang kuat. Doa adalah mustajab di sisi kubur beliau bahkan [doa juga adalah mustajab] di sisi kubur pada nabi dan [kubur] orang-orang soleh”. Al-Imam Ibnu al-Jazariyy pula di dalam kitab al-Hisn al-Hasin telah berkata: “Pemakbulan doa di sisi kubur orang-orang soleh telah diuji keberkesanannya”.

Guru kami Fadhilah al-Syeikh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy telah menjelaskan kepada kami rahsia mengapa berdoa di kubur orang-orang soleh biasanya akan mustajab. Beliau menyatakan bahawa kubur para wali Allah adalah merupakan taman-taman syurga dan dalam masa yang sama Allah di dalam Surah al-Syuro ayat ke-22 telah berfirman: “Orang-orang yang telah beriman dan telah melakukan amalan-amalan soleh [berada] di dalam taman-taman syurga. Bagi mereka apa sahaja yang mereka mahu di sisi tuhan mereka. Itu adalah kurniaan yang besar”. Maka Fadhilah al-Syeikh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy menyatakan bahawa apabila orang yang masih hidup berdoa di kubur orang soleh yang telah meninggal dunia dalam keadaan kubur mereka adalah taman-taman syurga, sekiranya orang soleh yang telah meninggal dunia tersebut memohon kepada Allah agar Allah memakbulkan permintaan orang yang berdoa, nescaya Allah akan memakbulkan doa tersebut kerana segala permintaan orang-orang soleh di taman-taman syurga akan dikabulkan oleh Allah.

Jangan Mudah Mengkafirkan Seseorang Muslim

Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir menerusi kitab al-Ahkam al-Muta’alliqoh Bi al-‘Aqoid telah menyatakan bahawa antara prinsip utama aqidah orang-orang Islam adalah mereka tidak akan mengkafirkan sesiapapun daripada golongan orang Islam disebabkan dosa yang dilakukannya sekalipun dosa tersebut adalah dosa besar kecuali sekiranya dosa besar tersebut adalah menyekutukan sesuatu dengan Allah. Al-Imam Abu Dawud telah meriwayatkan di dalam Sunan Abi Daud: Daripada [Sayyidina] Anas bin Malik, beliau telah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: “Tiga [perkara yang termasuk] daripada prinsip keimanan: Menahan [diri] daripada sesiapa sahaja yang telah berkata: Tiada tuhan melainkan Allah, kamu janganlah mengkafirkannya dengan sebab dosa [yang dilakukannya], kamu janganlah mengeluarkannya daripada Islam dengan sebab perbuatan [yang dikerjakannya], jihad adalah berterusan semenjak Allah telah mengutuskanku sehinggalah orang yang terakhir daripada umatku memerangi dajjal dalam keadaan kezaliman orang yang zalim dan keadilan orang yang adil tidak akan membatalkan jihad dan [prinsip seterusnya adalah] keimanan dengan ketentuan-ketentuan [Allah]”. 

Selain itu Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir turut menjelaskan bahawa tindakan mengkafirkan seseorang adalah bidang kuasa para fuqaha yang mendalami selok belok agama Islam dan bukannya urusan orang awam yang tidak sampai ke tahap seorang faqih. 

Para fuqaha juga diwajibkan berhati-hati untuk mengkafirkan seseorang. Oleh itu tidak boleh seseorang mengkafirkan seseorang muslim hanya disebabkan ucapannya sedangkan ucapan tersebut masih boleh lagi difahami berdasarkan makna yang tidak bersalahan dengan Syarak. Ini kerana keimanan seseorang muslim adalah satu perkara yang pasti. Maka tidak boleh seseorang mengkafirkannya dengan alasan yang tidak pasti. Al-Imam al-Ghazaliyy pernah berkata: “Kesilapan kerana tidak mengkafirkan seribu orang kafir adalah lebih baik daripada kesilapan menumpahkan darah sebanyak darah bekam milik seorang muslim”.

[Sumber dari Hairul Nizam ]


Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan