’Rumah Suluk Kg. Dulang’

 


’Rumah Suluk Kg. Dulang’ di Mukim Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan.

Kenali Tarekat Berdaftar di bawah Enakmen Tarekat (Negeri Sembilan) 2005, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus:
TARIQAT NAQSYABANDIAH BAHA’IYYAH MUJADDIDIYYAH KHALIDIYYAH DZIA’IYYAH
(No. Pendaftaran: JMKNNS.BTT.070-2/1(26) (lama) JMKNNS.BTT.070-2/1(31) (baharu)
Tarekat ini dipimpin oleh Yang Berusaha Tuan Syeikh Ustaz Dr. Muhammad Firdaus bin Tuan Syeikh Haji Abdul Manaf di pusat pengamalan tarekat yang lebih dikenali dengan nama ’Rumah Suluk Kg. Dulang’ di Mukim Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan.


KEPIMPINAN RUMAH SULUK KG. DULANG
Rumah Suluk Kg. Dulang diasaskan oleh nenda beliau iaitu Tuan Syeikh Samsudin bin Buyong al-Khalidi al-Naqsyabandi sebagai ’Tuan Guru Rumah Suluk Pertama’ pada tahun 1967. Kemudian diterajui oleh ayahanda beliau iaitu Tuan Syeikh Haji Abdul Manaf bin Jaya al-Khalidi al-Naqsyabandi sebagai ’Tuan Guru Rumah Suluk Kedua’, merangkap ’Tuan Syeikh Tarekat Berdaftar’ yang pertama di tempat ini. Kini, Rumah Suluk Kg. Dulang dipimpin oleh anakandanya iaitu Tuan Syeikh Ustaz Dr. Muhammad Firdaus.
Menelusuri sejarah kepimpinan tarekat ini, Tuan Syeikh Samsudin menerima amanah memimpin tarekat ini daripada Guru Mursyidnya yang bernama Tuan Syeikh Mahmud Indin Chuah, bahkan pembinaan Rumah Suluk Kg. Dulang ini menjadi simbolik kepatuhan Tuan Syeikh Samsudin kepada gurunya tersebut yang pernah berkunjung ke Kg. Dulang (ketika itu dikenali dengan nama Kg. Peninjau) dan memerintahkannya untuk membina serta membuka Rumah Suluk di tapak tanah yang ditunjukkan olehnya sendiri. Tuan Syeikh Mahmud Indin merupakan salah seorang Tuan Khalifah kepada Tuan Guru Besilam Langkat iaitu al-Faqih Syeikh Haji Harun Kamaluddin al-Khalidi al-Naqsyabandi. Manakala Tuan Syeikh Haji Harun pula merupakan anakanda, zuriat dan khalifah kepada ayahandanya sendiri iaitu Tuan Guru Besilam Langkat Pertama; Abu Qasim Faqih Muhammad Syeikh Haji Abdul Wahab Rokan al-Khalidi al-Naqsyabandi atau lebih dikenali dengan nama Syeikh Abdul Wahab Rokan.
HUBUNGAN RUMAH SULUK KG. DULANG DENGAN PUSAT PENGAMALAN TAREKAT LAIN
Berdasarkan kronologi sejarah, Rumah Suluk Kg. Dulang di bawah pimpinan Tuan Syeikh Samsudin sebelum ini, mempunyai hubungan yang sangat erat dengan lima Rumah Suluk yang lain iaitu Rumah Suluk Kg. Sawah, Bukit Pelanduk di Port Dickson, Negeri Sembilan di bawah pimpinan Tuan Syeikh Mahmud Indin, Surau Suluk Kg. Padang Biawas, Serting Ulu di Jempol, Negeri Sembilan di bawah pimpinan Tuan Syeikh Mohd. Din Yunus, Surau Suluk Kg. Baru di Lenggeng, Negeri Sembilan di bawah pimpinan Tuan Syeikh Haji Maarof Yaakub, Rumah Suluk Kg. Binjai, Kuala Klawang di Jelebu, Negeri Sembilan di bawah pimpinan Tuan Syeikh Ahmad Ariffin dan Rumah Suluk Ulu Klawang di Jelebu, Negeri Sembilan di bawah pimpinan Tuan Syeikh Khalid.
Kemudian, kepimpinan Rumah Suluk Kg. Dulang diteruskan oleh Tuan Syeikh Haji Abdul Manaf yang mengekalkan legasi terdahulu dan menambah hubungan erat dengan Rumah Suluk Kg. Lama di Jitra, Kedah di bawah pimpinan Tuan Syeikh Haji Muhammad Yusuf Syeikh Abbas Panai, Rumah Suluk Lubok Ipoh di Jitra, Kedah di bawah pimpinan Tuan Syeikh Haji Muhammad Yatim Ismail dan Rumah Suluk Kg. Buyau di Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan di bawah pimpinan Tuan Syeikh Yusuf.
Kini, Rumah Suluk Kg. Dulang dipimpin oleh Tuan Syeikh Ustaz Dr. Muhammad Firdaus yang dilantik sebagai Pengerusi Gabungan Tareqat Berdaftar Negeri Sembilan atau lebih dikenali sebagai ’G-Tariq’ yang merupakan Non Goverment Organisation (NGO) yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966, Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984 (No. Pendaftaran: PPM-009-05-27112020). Sehingga 2 Mei 2021, ’G-Tariq’ telah dianggotai oleh 17 tarekat berdaftar di bawah Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 yang dikelolakan oleh pihak Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus.
BANGUNAN ’RUMAH SULUK KG. DULANG’
Rumah Suluk Kg. Dulang mengalami beberapa renovasi termasuklah pada tahun 1995, 2000, 2002 dan 2015. Sehingga kini, bangunan Rumah Suluk terdiri daripada dua tingkat yang lengkap dengan Dewan Utama Solat, Ruangan Suluk, Dewan Seminar, Ruangan Khas Konsultasi, Perpustakaan, Pejabat, Ruangan Makan dan lain-lain lagi.
PUSAT DAN CAWANGAN ’RUMAH SULUK KG. DULANG’
Berdasarkan sudut pengurusan, Rumah Suluk Kg. Dulang ini dijadikan sebagai ’Pusat Pengamalan Tarekat’ dengan memiliki tiga cawangan berdaftar yang lain iaitu Rumah Suluk Kg. Lalang Ulu Klawang di Jelebu, Rumah Suluk Tuan Syeikh Mahmud Indin Chuah di Kg. Sawah, Port Dickson dan Rumah Suluk Felda Palong 6 di Gemas. Pusat dan cawangan dipimpin oleh seorang Tuan Khalifah bersama dengan jawatankuasanya masing-masing.
PENGURUSAN STRATEGIK ’RUMAH SULUK KG. DULANG’
Sebagai pusat pengamalan utama untuk ketiga-tiga cawangannya, Rumah Suluk Kg. Dulang bergerak di atas tiga platform iaitu Institusi Pembangunan & Penyelidikan Tarekat (IPPT), Institusi Pengkaderan & Kepimpinan Tarekat (IPKT) dan Darul Hasani Jelebu (DHJ). IPPT memberikan tumpuan kepada penyelidikan, pembinaan ’Modul Tarbiah Tarekat Tasawuf’, penerbitan, pembentangan kertas kerja, sistem organisasi pengurusan dan sebagainya. IPKT pula memberikan fokus latihan dan kepimpinan kepada wakil-wakil syeikh, khalifah-khalifah kanan syeikh, jemaah dan jawatankuasa pengurusan pusat serta ketiga-tiga cawangan di bawahnya. DHJ merupakan sebuah badan Non Goverment Organisation (NGO) berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966, Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984 (No. Pendaftaran: PPM-001-05-21062013). DHJ pernah menganjurkan Free Market, Jejak Sejarah, Festival Tasawuf Nusantara, Kembara Maulid, Majlis Zikir & Selawat, Majlis Ramah Mesra Dengan Ulama, Syarahan Perdana dan banyak lagi. DHJ mengurustadbir penyeliaan pelajar-pelajar Latihan Industri dari Institut Pengajian Tinggi (IPT), kerjasama program dengan mana-mana organisasi dan lain-lain lagi. Rumah Suluk meletakkan perancangan untuk premis ini sebagai hub kecemerlangan bagi sektor pendidikan, pengamalan, tarbiah, kebajikan, kesihatan dan ekonomi yang berasaskan Tarekat Tasawuf dalam tempoh lima tahun akan datang.
BIODATA TUAN SYEIKH USTAZ DR. MUHAMMAD FIRDAUS
Beliau merupakan merupakan Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Negeri Sembilan di Kampus Kuala Pilah. Beliau memperoleh Doktor Falsafah Pengajian Arab & Tamadun Islam (Ph.D) dan Sarjana Pengajian Arab & Tamadun Islam (Master) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Sebelum ini, beliau merupakan Pensyarah Fakulti Pengajian Peradaban Islam di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Di peringkat Kerajaan Negeri Sembilan dan kelayakan profesional, beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan dan Syeikh Tarekat Berdaftar di bawah Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) (2005).
Dalam akademik, beliau aktif menerbitkan banyak Jurnal, Buku, Modul, Bab Dalam Buku, penulisan dalam Majalah Kreatif, Manuskrip Geran, Prosiding, Pembentangan Seminar di peringkat Kebangsaan serta antarabangsa di Malaysia dan luar negara. Dalam bidang kepakaran, beliau ialah penyelia dan penilai Tesis sehingga ke peringkat Ph.D, Pewasit Jurnal, Penilai Luar Geran-geran Penyelidikan, Pakar Rujuk dalam beberapa bidang dan sebagainya. Beliau berpengalaman dalam pengurusan di KUIS sebelum ini, sebagai Ketua Jabatan, Ketua Program, Ketua Editor Jurnal, Penasihat Jabatan, Penasihat Persatuan Pelajar dan lain-lain lagi. Beliau pernah mewakili Malaysia dalam ‘The 2nd International Conference on Islamic Education’ sebagai ‘Speaker of The Conference’ di Istanbul Zaim University, Istanbul, Turkey, menyelia pelajar di Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah di Mesir, Singapura, Sabah, Sarawak dan lain-lain lagi. Beliau terlibat dengan beberapa program universiti ke Acheh, Jogja, Bandung di Indonesia, Vietnam dan Kemboja.
Dalam bidang kemasyarakatan, beliau ialah Guru Takmir Bertauliah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Pemegang Tauliah Mengajar Agama Seluruh Negeri Sembilan, Pengerusi Gabungan Tarekat Berdaftar Negeri Sembilan (NGO Berdaftar), Pengasas dan Penasihat Darul Hasani Jelebu (NGO Berdaftar), Pengerusi Masjid Lama Kuala Klawang dan sebagainya. Beliau pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Daerah Jelebu (2018), Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KUIS, Anugerah Pelajar Ph.D
Terbaik
, Anugerah Pelajar Cemerlang Maal Hijrah, Anugerah SLAK KUIS dan lain-lain lagi. Beliau juga pernah mendapat perkenan Kebawah Kaus Y.T.M. Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman, Dato’ Haji Maarof bin Haji Mat Rashad, Undang Luak Jelebu Ke-16 untuk dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penggubalan Penulisan Garis Panduan Pertabalan Kebawah Kaus Y.T.M. Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Undang Luak Jelebu & Garis Panduan Pelantikan Ketua-ketua Adat Luak Jelebu dan Pengerusi Jawatankuasa Merafak Sembah Ketua-ketua Adat Luak Jelebu 2021.
Sebarang pertanyaan, hubungi Tuan Syeikh:
https://api.whatsapp.com/send?phone=+60197741766 (019-7741766)
Lokasi Rumah Suluk Kg. Dulang (bersebelahan Masjid Warisan Kariah Kg. Dulang):
https://www.google.com/.../data=!3m1!4b1!4m5!3m4!1s0x0...

[ Sumber dari Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan ]


Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan