7 RAHSIA ZIKIR MENUJU ZIKIR HAQ

 

7 RAHSIA ZIKIR

1. Masalah yang utama sekali ialah dalam zikir itu kau tidak mengenal-Nya sebagaimana mengenal-Nya dengan sebenar-benar kenal. Kau hanya sekadar mengenal-Nya dalam ilmu-ilmu kalam yang kau pelajari tetapi tidak dengan rahsia misykat qalbumu yang terdalam.
 
Apabila kau tidak mengenal-Nya dengan qalbumu, maka asas niatmu untuk berzikir itu tidak kau bangunkan dari sudut yang benar dan sempurna.
 
Justru itu kau harus memperbetulkan niatmu dahulu. Kemudian kau bina niatmu itu semata-mata demi kerana Allah. Setiap ibadah itu seharusnya dibangunkan atas dasar tauhid dan taqwa dan bukan kerana mendambakan ganjarannya.
 
Orang yang berzikir itu sewajarnya berada di maqam ikhlas. Bersabda Nabi SAW mafhumnya :
"Sesungguhnya (nilai) niat itu lebih utama daripada perbuatan."

2. Apabila kau tidak mengenal-Nya melalui misykat qalbumu, maka zikirmu itu bertindak atas kemahuan nafsumu sendiri. Kesilapanmu adalah kerana kau terlalu bergantung dengan amalmu dan tidak dengan rahmat dan kasih-sayang Allah. Lantaran itu kau menganggap zikirmu adalah daripada usaha dirimu sendiri dan bukan daripada kurniaan Allah.

3. Kau beranggapan ketika kau berzikir bahawa kaulah yang mengingati Allah dan Allah itulah yang diingati. Lantaran demikian, sebenarnya kau tidak berserahkan dirimu sepenuh-penuhnya kepada Allah, tiada sifat tawakal dan redhamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya redha dan tawakal.
 
Bagaimana mungkin kau dapat dekat dengan Allah selagi kau belum berserah diri kepada-Nya?

4. Sesungguhnya tiada yang mengingati Allah melainkan Allah jua, tiada yang memuji Allah melainkan Allah. Dirimu itu hanyalah bekas penzahiran Allah. Kau sebenarnya tiada, kosong semata-mata.
Kau bukanlah kau sebenarnya. Ketika kau berzikir, sebenarnya bukan kau yang berzikir, tetapi Allah yang berzikir memuji Dzat-Nya sendiri. Kau sekadar menjadi alat pilihan-Nya. Suara zikir yang melantun keluar daripada lisanmu itu adalah sebenarnya suara Allah. Kau sekadar berzikir di lidah dan Qalbumu , sedangkan pezikir yang hakiki adalah takluq sifat Kalam Allah.
 
Gema zikir yang menerawang dalam batinmu itu adalah sebenarnya kalam Allah. Sayangnya kau tidak menyedarinya...kerana kau tidak mengenaliNya...bahawa Dialah hakikat di sebalik sesuatu.

5. Janganlah kau berzikir dengan tujuan zikir kerana zikir. Kerana ini akan membuatmu terperangkap dan terpesona di maqam yang akan memperlihatkan pelbagai keajaiban karamah, tetapi ini jugalah yang menghambatmu dalam perhubungan makrifat dengan Allah.
 
Pedulikan tentang keajaiban-keajaiban zikir yang terutamanya boleh mendatangkan pujian dan gelaran orang kepadamu sebagai 'Wali'. Berzikirlah " daripada Allah " " dengan Allah " " kepada Allah " " bersama Allah " " untuk Allah " dan. " demi Allah ".

Tutuplah rapat-rapat pintu bibirmu agar zikir itu tidak kedengaran oleh sesiapa pun, hatta malaikat yang bertugas mencatatkan amalmu di bahu kanan pun tidak tahu di manakah munculnya zikir itu.
Biarkan Allah sahaja yang tahu zikir itu berada di dalam 'Sirrmu' – ( lubuk rahsia dalam batinmu ) yakni di kamar yang Jibrail sendiri pun dilarang memasukinya, agar kau terlepas drp rasa 'ujub dan riak serta tidak dipuji orang.

6. Jika kau telah dapat menjalankan zikir atas rasa ikhlas semata-mata kepada Allah , sedang Allah redha kepadamu, ketahuilah bahawa ikhlas itulah tauhid sebenarnya.
 
Allah sendiri yang akan membimbingmu dan mengajarkanmu zikir yang khusus yang hanya kau sahaja yang mengetahui tentang rahsia zikir itu, di mana zikir itu tidak diajarkan atau diketahui oleh orang awam, sebagai sarana untuk kau bertemu, mengenal dan bersama dengan-Nya.

7. Dan terakhir sekali apa yang ingin kukatakan; tinggalkanlah semua dunia dan akhirat dan bersamalah hanya dengan Allah semata-mata dalam setiap tujuan.
 
Kau harus mematikan seluruh wujud dirimu. Selagi ada wujud dirimu, maka Zikir Haq ini mustahil dapat kau lakukan dengan sebaiknya. Zikir Haq itu ialah ingat kepada Allah dengan Allah bersama Allah dalam sudut qalbumu yang terdalam serta dalam suasana yang paling diam dan hening tanpa perlu mengeluarkan sebarang ucapan hanya merasakan kehadiran Allah itu ada bersama-samamu di mana pun kau berada.

Sehinggalah kau dapat merasakan bersatu dengan-Nya seperti terbakarnya besi ke dalam api, besi itu menjadi api, api itulah besi yang membakar. - tidak kau lihat sesuatu sebelumnya melainkan Allah, tidak kau lihat sesudahnya melainkan Allah, tidak kau lihat sesuatu di dalamnya melainkan Allah.

Akhirnya tiada lagi yang wujud melainkan Allah di dalam maqam Insan Al-Kamil – sampai cukup masanya besi telah keluar dari api sebagai besi yang indah dan sempurna, tidak lagi sebagai besi yang hodoh dan berkarat serta berkebaikan buat kehidupan dunia dan akhirat.

[ Sumber dari Ashabul Kahfi ]
#zikir #rahsia #hakikat #makrifat #tasawwuf #tauhid
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan