PESANAN MURSYID SYAIKH ABDUL WAHAB ROKAN AN-NAQSYABANDIY AL-KHALIDIY

 


44 PESANAN MURSYID SYAIKH ABDUL WAHAB ROKAN AN-NAQSYABANDIY AL-KHALIDIY
Tanggal 13 Muharram 1300H , beliau menuliskan wasiat kepada anak2 cucunya dan anak2 muridnya serta kepada muslimin dan muslimat sekaliannya . Beliau berpesan supaya tidak mengambil mudah atau meringankannya , kerana ianya datang dari Allah dan RasulNya serta para gurunya ( Rabitahnya ) ...
1. wasiat yang pertama :
" Hendaklah sekalian kamu masyghul dengan menuntuti ilmu Qur'an dan kitab dari guru2 mursyid , dan rendahkanlah dirimu kepada mereka , dan buatkanlah apa2 yang disuruh , jangan ditangguh2 , dan banyakkanlah bersedeqah kepadanya , dan iktiqadkanlah dirimu menjadi hamba kepadanya , dan jikalau sudah mendapat ilmu itu , ajarkanlah kepada anak2 cukuku dan seterusnya kepada orang lain , dan berkasih sayanglah kamu kepada muridmu sebagaimana kasih kepada anak cucumu , dan jangan kamu meminta upah dengan mengajar itu , pada hal mintalah upah itu kepada Allah yang Maha Kaya lagi Maha Pemurah ".
2. wasiat kedua :
" Apabila kamu sudah baligh , hendaklah kamu menerima tariqah Naqsyabandiyyah atau Syadziliyyah supaya kamu sejalan dengan aku" .
3. wasiat ketiga :
" Janganlah kamu berniaga sendiri , tetapi hendaklah kamu bersyarikat , Dan jika hendak mencari nafqah , hendaklah dengan usaha tenaga sendiri seperti berhuma , berladang dan menjadi amil , Dan di dalam mencari nafqah itu , hendaklah bersedeqah tiap2 hari supaya segera mendapat nafqah . Dan jika mendapat 10 ringgit , maka hendaklah sedeqahkan 1 ringgit dan taruh sembilan lagi . Dan jika dapat 20 , sedeqahkan 2 . Dan jika dapat 100 , sedeqahkan 10 dan taruhkan 90 . Dan jika cukup nafqah itu sekira2 setahun , maka hendaklah berhenti mencari itu , dan hendaklah kamu beramal ibadat hingga tinggal nafqahmu kira2 40 hari mendatang , maka barulah mencari semula " .
4. wasiat keempat :
" Maka hendaklah kamu banyakkan bersedeqah sebilang hari , istimewa malam Jumaat dan siangnya . Dan sekurang2 sedeqah itu 40 duit ( sen ) setiap hari . Dan lagi hendaklah bersedeqah ke Makkah setiap tahun ".
5. wasiat kelima :
" Jangan kamu bersahabat dengan orang jahil dan fasiq . Dan jangan bersahabat dengan orang kaya yang bakhil , tetapi bersahabatlah dengan orang2 alim , ulama' dan soleh2 ".
6. wasiat keenam :
" Jangan lah kamu berkehendak kemegahan dunia dan kebesarannya seperti hendak menjadi qadhi , imam2 dan lainnya , istimewa lagi menjadi penghulu2 .Dan jangan menuntut harta dunia yang banyak2 . Dan jangan memakai pakaian yang bagus2 " .
7. wasiat ketujuh :
" Jangan kamu menuntut ilmu sihir supaya jadi kuat dan kebal dan pemanis ( penarik ) kerana semua itu ada di dalam al-qur'an dan kitab".
8. wasiat kelapan :
" Hendaklah kamu kuat merendahkan diri kepada orang islam . Dan jangan kamu dengki khianat kepada mereka . Dan jangan mengambil harta mereka itu melainkan dengan izin syara' " .
9. wasiat kesembilan :
" Jangan kamu menghinakan diri kepad kafir la'natullah serta makan gaji dengan mereka itu . Dan jangan bersahabat dengan mereka itu melainkan dengan uzur syara' ".
10.wasiat kesepuluh:
"Hendaklah kamu kuat menolong orang yang kesempitan dengan sehabis2 ikhtiar , sama ada pertolongan itu dengan harta , usaha atau doa . Dan apa2 hajat orang yang dikhabarkan kepada mu serta dia meminta tolong , maka hendaklah sampaikannya seboleh2nya ".
11.wasiat kesebelas :
" Kekalkan air sembahyang dan puasa 3 hari pada tiap2 bulan " .
12. wasiat kedua belas :
" Jika ada orang berbuat kebajikan kepada kamu apa2 kebajikan , maka hendaklah kamu balas kebajikan itu " .
13. wasiat ketiga belas :
" Jika orang dengki khianat kepada kamu , telah dipeliharalah akan kamu oleh Allah daripadanya , maka hendaklah kamu sabar dan jangan dibalas serta nasihatkanlah kepadanya dengan perkataan yang lemah lembut , kerana mereka itu orang yang bebal ".
14. wasiat keempat belas :
" Jika kamu hendak beristeri , maka jangan kamu pinang orang yang tinggi bangsa seperti anak datuk2 . Dan jangan dipinang anak orang kaya2 , tetapi pinanglah anak orang2 yang fakir2 dan miskin2 ".
15. wasiat kelima belas :
" Jika kamu memakai pakaian yang lengkap , maka hendaklah ada di dalamnya pakaian yang buruk .Dan yang utamanya , yang buruk itu diatas ( lapisan luar ) ".
16. wasiat keenam belas :
" Jangan disebut kecelaan orang , tetapi hendaklah disembunyikan sehabis2nya " .
17. wasiat ketujuh belas :
" Hendaklah disebut2 kebajikan dan kebaikan orang dan kemuliaannya " .
18. wasiat ke lapan belas :
" Jika datang orang2 alim dan guru ke negeri kamu , lebih2 lagi khalifah Naqsyabandiyyah , maka hendaklah kamu dahulu datang ziarah kepadanya daripada orang lain , dan berilah sedeqah kepadanya " .
19. wasiat kesembilan belas :
"Jika kamu pergi ke suatu negeri atau dusun( kampung ) dan ada didalam nya orang2 alim dan guru2 , istimewa ianya Khalifah Naqsyabandiyyah, maka kamu pergilah bertemu dengannya dan berilah sedeqah kepadanya ".
20. wasiat ke dua puluh :
" Jika orang alim itu hendak pergi dari tempat kamu , atau kemu hendak pergi dari tempatnya , maka hendaklah kamu ziarah pula dan memberi sedeqah supaya kamu mendapat rahmat besar ".
21. wasiat kedua puluh satu :
" Sekali2 jangan kamu kahwin dengan janda guru kamu , khususnya guru tariqah . Dan tiada mengapa berkahwin dengan anak guru , tetapi hendaklah bersungguh2 membawa adab kepadanya serta engkau jangan wathi ( jima' ) melainkan setelah meminta izin darinya , dan lebihkanlah olehmu akan dia berbanding isteri yang lain kerana dia anak guru , hal yang boleh dilebihkan ".
22. wasiat kedua puluh dua :
" Hendaklah kamu laki2 yang beristeri berbilang2 , dan sekurang2nya 2 , yang baiknya 4 , dan jika isterimu tidak mengikut hukum syara' , ceraikannya , carilah yang lain ".
23. wasiat kedua puluh tiga :
" Hendaklah kamu perempuan yang bnyak sabar jika suami kamu beristeri berbilang2 , janganlah mengikut seperti perempuan yang jahil , jika suaminya beristeri berbilang2 , ia amat marah , tiada marah jika suaminya berzina ".
24. wasiat kedua puluh empat :
" Jika ada sanak saudara kamu berhutang atau miskin serta sempit nafqahnya , pada hal kamu lapang nafqahnya , maka hendaklah kamu berikan sedikit2 kepada tiap2 seorang supaya sama kamu ( setaraf ) . Inilah makna kata orang tua2 , jika kamu kaya , maka hendaklah kamu bawa sanak saudara kamu kaya pula , dan jika kamu senang , maka bawalah senang kamu itu kepada sanak saudaramu ".
25. wasiat kedua puluh lima :
" Mana2 sanak saudara kamu yang beroleh martabat dan kesenangan , maka hendaklah kamu kuat2 berdoa supaya kamu dapat bernaung di bawah martabatnya ".
26. wasiat kedua puluh enam :
" Hendaklah kasih kepada anak2 , dan sayang kepada faqir dan miskin dan hormat akan orang tua2 ".
27. wasiat kedua puluh tujuh :
" Jika kamu hendak tidur , padamlah pelita , jangan dibiarkan terpasang kerana sangat makruh , sebab demikian itu amalan kafir yahudi ".
28. wasiat kedua puluh lapan :
"Jika kamu hendak bepergian ( musafir ) , hendaklah kamu ziarah ibu bapa dan guru2 dan orang soleh2 , minta izin mereka serta minta doakan , dan lagi bersedeqah kepada mereka supaya dapat lapang ".
29. wasiat kedua puluh sembilan:
" Jangan berasah gigi kamu , laki2 dan perempuan , dan jangan bertindik telinga jika perempuan , kerana demikian itu kelakuan jahiliyyah ".
30. wasiat ketiga puluh :
" Jangan kuat kasihkan dunia , hanyalah seqadar hajat , siapa yang kuat kasih akan dunia , banyak susah badannya dan sempit hatinya , siapa yang benci dunia , senang badanya dan lapang dadanya ".
31. wasiat kedua puluh satu :
" Hendaklah kasih sayang akan ibu bapa seperti mengikuti kata2nya dan membuat kebajikan kepada kedua2nya sehabis2 ikhtiar , dan jangan derhaka kepada keduanya ".
32. wasiat kedua puluh dua :
" Jika mati kedua ibu bapa kamu atau salah seorang daripadanya , maka hendaklah kamu kuat mendoakan kepada mereka tiap2 kali selepas sembahyang dan ziarah kubur mereka tiap2 hari Jumaat ".
33. wasiat ketiga puluh tiga :
" Hendaklah kuat berbuat kebajikan serta yakin kepada guru2 dan jangan derhaka kepada mereka ".
34. wasiat ketiga puluh empat :
"Hendaklah berkasih2 kepada orang sekampung , jika ia kafir sekalipun , dan jangan berbantah2 dan berkelahi dengan mereka itu ".
35. wasiat ketiga puluh lima :
" Jangan beri hati kamu cintakan maksiat yakni membuat kejahatan ".
36. wasiat ketiga puluh enam :
" Jangan kamu jabatkan ( sentuh ) akan sesuatu yang haram , kerana yang demikian itu mendatangkan bala ".
37. wasiat ketiga puluh tujuh :
" Jika datang bala dan cobaan , maka hendaklah mandi taubat dan mengambil air sembahyang dan meminta doa kepada Allah Taala . Dan banyakkan bersedeqah kepada fakir miskin dan guru2 serta orang2 soleh dan mintakan doa daripada mereka , kerana mereka ialah kekasih Allah ".
38. wasiat ketiga puluh lapan :
" Apabila hampir bulan Ramadhan, maka hendaklah selesaikan urusan dunia supaya senang beramal ibadat dalam bulan Ramadhan, dan jangan berusaha ( bekerja ) dan berniaga di dalam bulan Ramadhan , tetapi hendaklah bersungguh2 beramal ibadat siang dan malam , khususnya tadarus alquran dan bersuluk ".
39. wasiat ketiga puluh sembilan :
" Hendaklah kuat bangun di waktu sahur , beramal ibadat dan berdoa , kerana waktu itu tempat maqbul doa , khususnya hari Jumaat ".
40. wasiat keempat puluh :
" Hendaklah kuat mendoakan orang islam , sama ada yang hidup atau mati ".
41. wasiat keempat puluh satu :
" Apabila bertambah2 harta kamu dan bertambah pangkat kamu , sedangkan amal ibadat kamu berkurang , maka jangan sekali2 kamu suka akan demikian itu , kerana demikian itu kehendak syaitan iblis ".
42. wasiat keempat puluh dua :
" Maka hendaklah kamu iktiqadkan bahawa Allah Taala ada hampir dengan kamu dengan tiada bercerai2 siang dan malam , maka ia melihat kelakuan kamu dzohir dan batin ".
43. wasiat keempat puluh tiga :
" Maka hendaklah kamu ingat bahawa malaikat maut sentiasa datang kepada setiap seorang sebanyak 5 kali dalam sehari semalam , menghobarkan bahawa akan mengambil nyawa kamu , maka hendaklah kamu ingat selepas sembahyang tiada sampai nyawa kamu kepada sembahyang kedua , demikianlah selama2nya ".
44. wasiat keempat puluh empat :
" Hendaklah kamu kuat mendoakan kepada hamba yang doif ini , dan sekurang2nya bacakanlah dan sedeqahkan al-fatihah dan surah al-ikhlas 11x pada tiap2 malam jumaat dan ayatul qursi 7x dan mendoakan ku , dan aku akan mendoakanmu".
#wasiatMursyid
والله أعلم بالصواب

[ Sumber dari Khuwaidimullah Anwar Mua'ai }


Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan