KESAHIHAN HADITH TIDAK MENJAMIN KESAHIHAN SUNNAH
Kesahihan sesebuah hadith tidak menjamin kefahaman seseorang itu tentang makna hadith tersebut adalah turut sahih atau serta merta ia menjadi sunnah. Kerana tidak semua hadith yang sahih sanadnya boleh terus diamalkan begitu sahaja tanpa perlu melihat kepada aspek-aspek yang lain. Sekadar memiliki kitab-kitab hadith dan menela’ah hadith-hadith sahih BELUM melayakkan seseorang untuk mengeluarkan hukum-hakam daripadanya. Demikian adalah kerana interaksi terhadap hadith tidak hanya terhenti dengan sahih dan da’if semata-mata, dan tidak hanya tertumpu kepada maqbul dan mardud di sisi Muhaddithin sahaja.
Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata, “Walaupun seseorang memiliki kitab-kitab yang mengandungi hadith-hadith Nabi SAW serta pendapat para Sahabat dan Tabi’in, dia tidak boleh mengamalkan apa yang dia kehendaki atau memilih-milih (salah satu pendapat), lalu memutuskan dan beramal dengannya sebelum dia bertanya kepada ahli ilmu apa yang mesti diambil agar ia beramal dengan perkara yang benar”.
(Ruj: I’lam al-Muwaqqi'in ‘an Rabb al-‘Alamin li Ibni Qayyim)
Sebagai contoh, salah sebuah kes yang terjadi pada 2007 di mana seorang pengkaji hadith semasa di Mesir yang ingin memahami agama dengan terus merujuk kepada hadith sahih lalu mengeluarkan hukum yang kemudian ianya dipersetujui pula oleh pengkaji hadith lain dari Arab Sa’udi iaitu diperbolehkan pekerja wanita untuk menyusukan rakan sekerjanya yang lelaki untuk menjadikannya mahram agar tidak berlaku khalwat di tempat kerja berdasarkan sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Sayyidatina Aishah yang menyebutkan “Penyusuan menyebabkan anak susuan haram dikahwini, sebagaimana anak yang dilahirkan” (al-Bukhari dan Muslim).
Imam Abu Muhammad Al-Ramahurmuzi (w.360H/971M) dalam al-Muhadith al-Fasil telah memberi peringatan mengenai sebahagian Ahli Hadith yang hanya mampu meriwayatkan tetapi tidak mampu untuk mensyarahkan isi hadith. Beliau memberi peringatan tegas kepada para ilmuan hadith agar tidak masuk campur dalam bidang keilmuan yang lain kerana ia akan membawa kepincangan ilmu dan kesesatan.
Imam AbduLlah bin Wahb (w.197H/813M) pernah berkata, “Aku telah terlalu banyak menghimpunkan hadith-hadith maka ia telah membingungkanku, aku sentiasa menyangka bahawa setiap apa yang telah datang dari Nabi Muhammad SAW maka boleh beramal dengannya, maka aku bentangkannya kepada Imam Malik bin Anas dan Imam al-Layth, maka mereka berdua berkata: Ambil (hadith) yang ini dan tinggalkan yang ini”.
Imam AbduLlah bin Wahb juga berkata, “Setiap pakar hadith yang tidak berguru kepada Ulama Fiqh, nescaya dia akan tersesat. Dan jika Allah tidak menyelamatkanku menerusi Imam Malik dan Imam Layth, nescaya aku pasti tersesat”.
(Ruj: Tartib al-Madārik li al-Qādi ‘Iyad, j.1,ms.247, Bāb Ashāb Malik dan al-Jāmi’ fi al-Sunan li Ibni Abi Zayd, ms.119)
Imam Ibnu Qutaybah (w.276H/889M) dalam Ta’wil Mushkil al-Hadith menyatakan bahawa sesuatu yang telah disepakati oleh para ulama mempunyai kedudukan yang kuat dan kukuh berbanding riwayat hadith.
Antara contohnya ialah sebuah hadith dari Sahih Muslim yang meriwayatkan bahawa Sayyidina Abdullah bin ‘Amr menceritakan wudu’ RasuluLlah SAW yang melakukan tiga kali basuhan lalu Baginda SAW bersabda, “Ini ialah cara wudu’ku. Sesiapa yang menambahkan ataupun mengurangi daripada ini. Maka ia telah melakukan kesalahan dan kezaliman”.
Menurut Imam Muslim dalam Sahihnya, keputusan para Ulama secara ijma’ beramal dengan sesuatu yang bercanggah dengan hadith sahih ini, iaitu wudu’ seseorang tetap sah walau hanya melakukan satu atau dua kali atau lebih dari tiga kali basuhan pada anggota wudu’.
Contoh lain pula ialah hadith Sahih al-Bukhari dan al-Tirmidhi yang menyebutkan bahawa RasuluLlah SAW pernah kencing berdiri dan duduk sambil mendedahkan pehanya di hadapan sahabat, sungguhpun ianya adalah hadith sahih namun jumhur Ulama menetapkan bahawa perbuatan tersebut adalah bukan termasuk dalam pengertian sunnah. Demikian itu menunjukkan betapa pentingnya untuk memahami Sunnah adalah bukan sekadar melihat kepada wujudnya hadith sahih, akan tetapi faktor penting untuk itu ialah melihat bagaimana pengamalan ahli ilmu terhadapnya.
Kelihatan secara zahir bahawa para Ulama kesemuanya beramal dengan apa yang tidak selari dengan hadith sahih. Hakikatnya mereka sedang beramal dengan sunnah kerana penetapan hukum hakam tidak tertakluk kepada adanya hadith sahih semata-mata tapi dilihat dari berbagai aspek, dan disisi Ulama, hadith bukanlah sunnah.
Seorang Ulama Salaf bernama Imam Abd al-Rahman bin Mahdi telah membezakan Hadith dan Sunnah, beliau berkata, “Sufyan al-Thawri adalah imam dalam hadith tapi bukan imam dalam sunnah, manakala al-Awza’i adalah imam dalam sunnah namun bukan imam dalam hadith. Sedangkan Malik bin Anas adalah imam untuk kedua-duanya (hadith dan sunnah). (Ruj: al-Qabas fi Sharh Muwatta’ Ibni Anas, Imam Ibnu Arabi al-Maliki)
Sebagai penutup, ingin saya tegaskan bahawa dalam memahami selok- belok pengamalan agama atau dipanggil “SUNNAH” tidak terhad kepada kewujudan hadith sahih semata-mata, bukan maksud saya untuk menafikan peranan hadith sahih dalam keilmuan Islam kerana saya sendiri adalah berlatarbelakangkan pengajian Kutub Sihah Sittah yang saya pelajari kesemuanya dari kulit ke kulit dengan mengambil ilmu teks dan kefahaman konteks untuk setiap hadith dari para guru hadith.
Maka apa yang ingin saya tekankan disini ialah hadith sahih adalah salah satu sumber dalam penggalian hukum-hakam, namun bukan seluruh ketentuan hukum-hakam terletak sepenuhnya pada hadith sahih. Kerana hadith sahih bukan titik noktah buat segalanya, kerana hadith yang berstatus sahih bukan proses terakhir dalam ijtihad dan istinbat hukum-hakam.
Disediakan oleh: iqbal Zain al-Jauhari
0 comments:
Catat Ulasan