TOK KU TUAN BESAR: WALI ALLAH DI TERENGGANU


 TOK KU TUAN BESAR: WALI ALLAH DI TERENGGANU

Nama sebenar beliau ialah Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal ‘Abidin al-‘Aidrus. Beliau adalah Ulama keturunan RasuluLlah SAW dari jalur Sayyidina Hussein (r.a). Beliau adalah ayah kepada seorang Ulama tersohor bernama Tokku Paloh.
Ketika masih kecil Sayyid Muhammad al-‘Aidrus mendapat pendidikan keluarga sendiri, kemudian beliau bersama sahabatnya, Syeikh Wan Abdullah (Tok Sheikh Duyung) telah belajar dengan seorang guru agama terkenal bernama, Syeikh Wan Abdul Qadir (Tok Sheikh Abdul Qadir) di Bukit Bayas, Terengganu. Tok Ku Tuan Besar merupakan seorang pelajar yang tekun dan sanggup berulang alik dari Cabang Tiga ke Bukit Bayas dengan berjalan kaki melalui bendang padi dan hutan belukar. Beliau selalu menggunakan daun keladi betawi untuk melindungi dirinya ketika hujan dan panas.
Di samping mempunyai ingatan yang baik, beliau juga mampu membaca al-Quran dengan beberapa qiraat dengan lagu yang merdu. Ketika berumur 20 tahun, Tok Ku Tuan Besar telah melanjutkan pelajaran agama di Mekah dan berguru dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani, Sheikh Abdul Hamid Syurwani dan Sheikh Nawawi al-Banteni.
Tok Ku Tuan Besar telah mengambil perjalanan Tareqat Ba’lawi dari gurunya di Mekah iaitu Al-Habib ‘Abdullah bin ‘Umar bin Yahya. Sayyid Muhammad al-‘Aidrus menyebut ulama ini sebagai, “… persandaranku dan guruku….” Beliau telah menjelaskan sanad ilmu secara lengkap bahawa guru beliau, al-Habib ‘Abdullah bin ‘Umar bin Yahya, belajar kepada al-Habib Tahir bin Husein. Beliau belajar daripada al-Habib ‘Umar bin Saqaf. Beliau belajar daripada al-Habib Hasan bin ‘Abdullah al-Haddad. Beliau belajar daripada ayahnya al-Habib ‘Abdullah al-Haddad. Beliau belajar daripada al-Habib‘Umar bin ‘Abdur Rahman al-Attas. Beliau belajar daripada Sayyid Husein. Beliau belajar daripada Sayyid Abi Bakar. Beliau belajar daripada Sayyid ‘Umar bin Muhammad Ba Syaiban. Beliau belajar daripada Sayyid ‘Abdur Rahman bin ‘Ali. Kemudian belajar daripada al-Quthub al-‘Aidrus Sayyid ‘Abdullah. Beliau berguru dengan ayahnya Sayyid Abi Bakar as-Sakran. Beliau belajar daripada ayahnya Sayyid ‘Abdur Rahman as-Saqaf. Beliau belajar daripada ayahnya Sayyid Muhammad Maula ad-Dawilah. Beliau belajar daripada ayahnya Sayyid Syeikh ‘Ali. Beliau berguru dengan ayahnya Sayyid ‘Alawi. Beliau belajar daripada ayahnya Sayyid al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali.
Karya-karya Sayyid Muhammad al-‘Aidrus yang telah dikenal pasti ialah:
1. Kanzul Ula, saya memiliki manuskrip kitab ini, iaitu salinan nenek saya Hajah Wan Siti Saudah bin Syeikh ‘Abdullah al-Fathani. Kitab ini juga terdapat beberapa edisi cetakan oleh al-Mathba’ah al-Ahliyah, Terengganu, 25 Zulhijjah 1347 H, cetakan Mathba’ah al-Aminiah, Singapura, 1353 H, cetakan Mathba’ah Jawi Press, 1938, dan lain-lain;
2. Jauharus Saniyah;
3. ‘Uqudu Durrataini fi Tarjamati Kalimataisy Syahadataini;
4. Tuhfatul Wildan;
5. Mukhtashar;
6. Siratun Nabawiyah;
7. Sullamut Taufiq;
8. Targhibus Shibyan;
9. Ahaditsun Nabawiyah mimma Yata’allaqu bil ‘Imamatil ‘Arabiyah. Saya mempunyai manuskrip kitab ini, yang dinyatakan ia selesai penulisan, “pada hari Selasa yang kedua puluh (tak dapat dibaca) pada tahun 1267, sanah 1267 H (1851 M);
10. Salasilah Ratib al-Haddad diselesaikan pada 25 Ramadan 1267 H/24 Julai 1851 M;
11. Kaifiyat ‘Amal Ratib al-Haddad diselesaikan pada 26 Ramadan 1267 H/25 Julai 1851 M.
Tok Ku Tuan Besar meninggal dunia pada 17 Muharam 1295H bersamaan 21 Januari 1878 ketika berusia 84 tahun akibat daripada demam yang berlarutan hingga mukanya pucat, matanya cengkung dan lemah badan. Beliau dikebumikan di Cabang Tiga, Terengganu.
Al-Fatihah....

[ Sumber dari Ustaz Iqbal Zain ]

Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan