TOKKU PALOH: ULAMA MAKRIFAT DI TERENGGANU

 


TOKKU PALOH: ULAMA MAKRIFAT DI TERENGGANU
Al-Habib Abd al-Rahman al-‘Aydarus (w.1335H/1917M) adalah Ulama Ba’lawi kelahiran Terengganu dan beliau lebih dikenali dengan gelaran Tokku Paloh. Peranan Tokku Paloh adalah penting di Alam Melayu kerana beliau dipercayai telah berjaya memadu, menyelaras sekaligus mendamaikan pandangan Ulama Usuluddin dengan tariqat.
Beliau telah mengambil ijazah Tareqat Ba’alawi dari ayahnya Tok Ku Tuan Besar. Kemudian beliau mengambil Tareqat Naqshabandi dan menjadi khalifah kepada tareqat tersebut. Walaubagaimanapun, , beliau tidak terus meninggalkan pengamalan Tareqat Ba’lawi. Buktinya ialah kesungguhan beliau kepada amalan Ratib al-Haddad yang dilaksanakan beliau pada setiap malam Jumaat disamping pembacaan Shahadat Tokku.
Antara hasil karya terpenting beliau yang berjudul Ma’arij al-Lahfan dapat dikira mewakili aliran Shaykh Ahmad Sirhindi di Alam Melayu. Corak penghuraiannya selari dengan karya-karya khas Naqshabandi sebelumnya seperti Imam al-Kumushkhanawi. Perbincangan metafizik menurut kaedah Imam al-Sirhindi yang dibincangkan dalam kitabnya itu jelas kelihatan ia tidak dapat dipisahkan dari kerangka kosmologi Imam al-Sirhindi disamping adunan ajaran-ajaran Wujudiyah Muwahhid dan Aqidah Ahli Sunnah wa al-Jama’ah. Beliau menegaskan bahawa dari sudut usuluddin, Wahdat al-Wujud ialah Tauhid al-Zat, iaitu seseorang meyakini kewujudan yang sebenar hanyalah satu, iaitu Allah, manakala adanya makhluk pula tidak hakiki kerana bertaraf majaz.
Wahdat al-Wujud ialah kemuncak Tauhid al-Zat dan ia menjadi pengalaman kerohanian yang dialami oleh ahlillah yang keyakinan menguasai hati sehingga mereka melihat kenyataan sebenar, iaitu kewujudan hakiki semata-mata wujud Allah dan lupa kepada kewujudan makhluk. Oleh itu, kedua-duanya sama dari sudut ia memfokuskan perkara yang satu, iaitu keesaan kewujudan Allah, manakala perbezaan ialah Wahdat al-Wujud membabitkan pandangan mata hati dan perasaan sedangkan Tauhid al-Zat tentang pandangan akal dan keyakinan.
Tokku Paloh berkata:
"Adapun yang dikehendaki dengan kata ahli tasawuf, Wahdat al-Wujud itu maka iaitu bermula segala sesuatu yang baharu itu jikalau berbilang sekalipun maka tiada lepas ia daripada bahawa dinamakan dengan satu nama jua, iaitu makhluk yang keluar ia daripada 'adam (tiada) kepada wujud dengan penciptaan Allah dan sekaliannya itu bekas dengan penzahiran jua. Maka tiadalah dipandang dengan hati mereka itu melainkan akan Allah jua. Dan inilah mafhum "shuhud al-wahdah fi al-kathrah" ertinya memandang dengan hati akan ketunggalan Tuhan yang menjadikan alam. Maka mata yang zahir mereka itu memandang akan akwan (alam) dan mata hati mereka itu memandang akan Mukawwin-nya (Pencipta) dan tiada kehendak mereka itu.”.
Tokku Paloh juga berkata, “Bermula makna wujud di sisi Ulama Mutakallimin terbahagi kepada dua; yang pertama ialah Wajib al-Wujud dan kedua Ja’iz al-wujud. Ulama Sufi juga menerima pembahagian yang sedemikian rupa, hanyasanya Ulama Sufi juga meyakini bahawa hakikat wujud itu satu jua iaitu Wujud Allah yang Mutlaq secara Zatiy, dan yang selain-Nya itu tiada wujud baginya sekali-kali dan tiada dinamakan mawjud kerana ia ‘adam semata-mata (‘adam mahadh) dan Haq Ta‘ala itu wujud semata-mata. Sekalian alam adalah merupakan bayangan dan tempat kenyataan Allah. Maka makna wujud di sisi Ulama Sufi adalah tiada khilaf dengan Ulama Mutakallimin atau Usuluddin, melainkan perbezaannya hanya pada sisi pandang Ulama Sufi yang tertumpu kepada wujud yang hakiki jua tiada lain, sedangkan Ulama Mutakallimin memandang akan Wajib al-Wujud dengan hati dan akan Ja’iz al-Wujud dengan mata supaya mengambil dalil atas Wajib al-Wujud.
Rujukan: Ma'arij al-Lahfan ila Haqa'iq al-Irfan karangan Tokku Paloh al-Aydarus.
Kitab-kitab karangan Tokku Paloh yang lain ialah berjudul Diya’ Uqud al-Daratayn fī Tarjamat Kalimatayn al-Syahadatain dan Targhīb al-Sibyān fī Hifz ‘Aqaid al-Iman.

Al-Fatihah....

[ Sumber dari Ustaz Iqbal Zain ]




Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan