PUISI BERMADAH TAJALLI. 99 ASMA ULHUSNA AF’AL. ILAHI




PUISI BERMADAH TAJALLI. 99 ASMA ULHUSNA AF’AL. ILAHI

Assalamuàlaikum Warahmatullah
BismillahirRahmanirRahim
Dimulai niat syair bermadah,
Menyebut asma dengan bismillah,
Membahas wacana yang maha indah,
Istighfar hamba kalaulah salah.
Awalnya iman itu syahadat,
Pembeda orang iman dan sesat,
Kunci utama dalam ibadat,
Pembeda pula benar dan jahat.
Syahadah tauhid pokok pertama,
Dibaca ikhlas itu utama,
Resapkan makna di dalam sukma,
Agar sempurna dalam agama.
Ilmu tauhid hukumnya wajib,
Supaya iman tidak terhajib,
Menambah faham tentang hal ghaib,
Membuat amalan menjadi tertib.
La itu bermakna tiada,
Hilangkan segala karsa dan tanda,
Buang segala wujud dan benda,
Fana segala apa yang ada.
Ilah maknanya adalah cinta,
Tujuan pertama segala cita,
Tempat tujuan setiap kata,
Tempat berserah semua kita.
1. ALLAH
Hanyalah Allah cinta dituju,
Tempat semua makhluk tertuju,
Tunduk terpaksa atau setuju,
Haiwan, tumbuhan air dan batu.
Segala cinta menjadi fana,
Selain Dia tiada bermakna,
Pada-Nya segala sifat sempurna,
Kerana Azzawajalla niat kerana.
Itulah makna syahadah pertama,
Tauhidullah ia bernama,
Kepunyaan-Nya semua asma,
Dipakai doa akan utama.
2. AR RAHMAN
Asma kedua adalah Ar-Rahman,
Pengasih Dia sepanjang zaman,
Kepada manusia, haiwan, tanaman,
Nyata dan ghaib dapat siraman.
Sifat yang Ar-Rahman untuk semua,
Tidak Islam pun tetap dikurnia,
Tunduk dan bangkang dijatah sama,
Tiada dipilih tiada utama.
Barangsiapa rajin tafakur,
Terfikir dia akan bersyukur,
Banyaknya nikmat tiada terukur,
Bersujud dia sampai tersungkur.
3. AR RAHIM
Asma ketiga adalah Ar-Rahim,
Penyayang hanya pada yang muslim,
Yang ingkar akan di neraka jahim,
Yang beriman ikut jalan Ibrahim.
Hamba disayang itu pilihan,
Terhadap cuba sabar bertahan,
Diberi miskin tetap bertuhan,
Dicuba harta rasa titipan.
Jagalah perbuatan disayang Allah,
Taat solat di atas sejadah,
Jauhi maksiat berbuat salah,
Perkara mungkar mendapat padah.
4. AL MALIK
Asma keempat itu Al-Malik,
Resapkan makna esa Al-Khalik,
Mudah baginya membolak balik,
Setiap perkara tidaklah pelik.
Al-Malik adalah sifat sang raja,
Bukan dunia atau akhirat saja,
Pada kedua-duanya ia dipuja,
Perintah-Nya meliputi apapun juga.
Tunduklah pada perintah Al-Malik,
Sebelum takdir jadi terbalik,
Sebelum iman kita di sebalik,
Sebelum dikubur sempitnya bilik.
5. AL QUDDUS
Asma kelima adalah suci,
Al-Quddus nama Dia dirinci,
Tak perlu jaga atau dicuci,
Walaupun semua makhluk membenci.
Sifat yang suci tiada campur,
Antara iman bersanding kufur,
Antara air ataupun lumpur,
Suci-Nya tiada dapat diukur.
Wahai saudara pemilik iman,
Buat Al-Quddus jadi amalan,
Siang dan malam jadi pegangan,
Agar menjadi hamba pilihan.
6 AS SALAM
Dia maha pemberi selamat,
Sifat As-Salam kepada umat,
Sejahtera kita akan dibuat,
Selama perbuatan selalu taat.
As-Salam menjadi kurnia,
Untuk hamba-Nya kelak di syurga,
Diberi minum air telaga,
Susu dan madu ubat dahaga.
Mukmin yang baik akan sejahtera,
Hidup di dunia bagaikan sandera,
Di padang mahsyar dapat bendera,
Kelompok manusia terhindar dera.
7. AL MUKMIN
Ketujuh Al-Mukmin nama-Nya berperanan,
Selamat hamba dari terbenam,
Godaan syaitan seru jahanam,
Tebarkan sihir tatkala malam.
Memberi aman itu sifatnya,
Hati yang nyaman pemberian-Nya,
Janganlah pernah jauh dari-Nya,
Agar selamat dunia akhiratnya.
Negeri yang aman itu kurnia-Nya,
Kerana penduduk tinggi taatnya,
Bencana alam kerana murka-Nya,
Kerana ingkar terhadap firman-Nya.
8.AL MUHAIMIN
Kelapan Al-Muhaimin sifat yang utuh,
Pemelihara yang sangat kuat dan kukuh,
Segala alam Dia yang rengkuh,
Segala peritiwa Dia yang sentuh.
Hanyalah Dia Tuhan pemelihara,
Baik di dalam tanah atau udara,
Juga yang ghaib atau yang nyata,
Walaupun kecil sehelai bulu domba.
Ingat selalu pada Al-Muhaimin,
Pertanda kita adalah mukmin,
Dipelihara-Nya selalu tentulah ingin,
Kukuhlah iman laksana beringin.
9 AL ‘AZIZ
Dia-lah Allah gagah perkasa,
Sifat Al-Aziz tak perlu masa,
Sangatlah mudah buat binasa,
Kepada mereka para pendosa.
Perkasa Dia tiadalah sama,
Kalaulah makhluk tersisip lemah,
Tiada yang ada boleh umpama,
Walau semua makhluk bersama.
Berlindung hamba pada Al-Aziz,
Jauhkan hamba sifat yang najis,
Pelihara hamba godaan iblis,
Agar iman tidak terkikis.
10.AL JABBAR
Asma ke sepuluh ialah Al-Jabbar,
Pemelihara makhluk itu muktabar,
Dipelihara-Nya dedaunan pohon selembar,
Juga sebutir debu yang tersebar.
Ingatlah selalu hai saudaraku,
Sifat Al-Jabbar perlu ditiru,
Jangan merosakkan atau mengganggu,
Agar kasih-Nya tidak berlalu.
Sifat merosakkan rakannya syaitan,
Yang ganggu hati serta ingatan,
Tebarkan dosa bagai lautan,
Saling bermusuhan tebar hasutan.
11. AL MUTAKABBIR
Al-Mutakabbir pula asma yang megah,
Pemilik Kebesaran hanya-Mu ya Allah,
Tiada makhluk yang mampu ubah,
Semuanya akur taat perintah.
Azzawajalla Yang Maha Tunggal,
Tiada satu pun amal tertinggal,
Pasti dihitung setiap tanggal,
Semenjak lahir hingga ke ajal.
Ampuni kami yang sangat lemah,
Tak sanggup tegar oleh malhamah,
Tak kuat sabar terhadap fitnah,
Tiada bersyukur terhadap nikmah.
12AL KHALIQ
Al-Khaliq asma yang kedua belas,
Pemberi rezeki tak minta dibalas,
Syukur pada-Nya dengan ikhlas,
Rajin beribadah janganlah malas.
Dia pencipta bukan perosak,
Hukum-hukum-Nya kukuh tiada bertabrak,
Indah tersusun segala yang nampak,
Rumit dan rapi awal semenjak.
Semua dicipta tidak sia-sia,
Nyamuk pun berguna dicipta ada,
Penyakit dicipta sebagai tanda,
Iman diuji di dalam dada.
13. AL BAARI’
Asma ke tiga belas ialah Al-Baari’,
Maha mengadakan makna ditarik,
Percaya yang lain bermakna syirik,
Kelak dibakar panasnya terik.
Di dalam sifat Dia setimbang,
Membuat, membentuk dan menyeimbang,
Hamba tak ragu hamba tak bimbang,
Kerana Engkau-lah semesta berkembang.
Al-Baari’ itu asma yang mulia,
Tirulah ia jangan tercela,
Supaya hidup terjauh bala,
Setiap amalan dapat pahala.
14. AL MUSHAWWIR
Al-Mushawwir pula ia bernama,
Membentuk rupa yang tidak sama,
Sempurna ciptaan bukan umpama,
Tetapi terbukti sejak pertama.
Betapa laknat mereka yang bilang,
Ciptaan di awal berubah ulang,
Terbukti sudah masa sekarang,
Teori evolusi semua temberang.
Ingat selalu hai saudaraku,
Ciptaan sempurna sejak dahulu,
Baik yang licin atau berbulu,
Baik di hilir atau di hulu.
15. AL GHAFFAAR
Asma ke lima belas itu Al-Ghaffaar,
Pengampun Dia pada yang ingkar,
Dikurangi-Nya dosa-dosa yang sukar,
Dilapangkan-Nya keampunan yang melebar.
Marilah kita memohon ampun,
Walaupun dosa banyak terhimpun,
Walaupun salah banyak beruntun,
Dia ampuni sepanjang tahun.
Bertaubat kita terhadap dosa,
Janganlah pernah berputus asa,
Supaya kelak tatkala binasa,
Dibalas dengan amal selaksa.
16. AL QAHHAAR
Asma Al-Qahhaar bermakna paksa,
Tiada terbatas apa pun jasa,
Dipindah gunung bagaikan busa,
Alam semesta boleh binasa.
Apa pun boleh Dia kalahkan,
Segala makhluk tak mampu menahan,
Terjadi apa pun Dia sukakan,
Tak berdaya langsung makhluk melawan.
Marilah saudara banyak istighfar,
Agar kasihnya terbuka lebar,
Biar tercipta jiwa yang sabar,
Di akhirat nanti baiklah khabar.
17. AL WAHHAAB
Sampailah asma ke tujuh belas,
Al-Wahhaab namanya sudahlah jelas,
Pemberi kurnia tak minta dibalas,
Meminta padanya hendaklah ikhlas.
Hidayah Allah adalah kurnia,
Berharga mahal lebih dari dunia,
Sebagai hamba jangan aniaya,
Agar selalu diberi inayah-Nya.
Ingatlah semua wahai saudaraku,
Kepada Allah kita menyeru,
Jangan bergantung pada yang baharu,
Supaya syaitan jadi seteru.
18. AR RAZZAAQ
Ke lapan belas itu asma Ar-Razzaaq,
Pemberi rezeki yang maha mutlak,
Bagi setiap jantung berdetak,
Ada bahagian sangat mustahak.
Carilah rezeki Allah di bumi,
Hasil dan cara halalnya pasti,
Biar pemberian akan dirahmati,
Jadi penolong selepas mati.
Atas rezeki yang diberikan,
Dibayar zakat jangan lupakan,
Sedekah wajib mari pastikan,
Ganjaran baik Allah balaskan.
19. AL FATTAAH
Al-Fattaah itu pembuka rahmat,
Nama ke sembilan belas jalan selamat,
Pembawa izzah penolong umat,
Seluruh manusia akan dapat rahmat.
Umat dahulu selalu menang,
Jayanya Islam patut dikenang,
Di seluruh jazirah umat pun senang,
Negeri pun damai hidup pun tenang.
Habislah masa ketika jaya,
Di mana-mana akan teraniaya,
Bagaikan bangkai di mulut buaya,
Dihina musuh tiada berdaya.
20. AL ‘ALIIM
Asma kedua puluh itu Al-‘Aliim,
Tahu segala apa yang zalim,
Merakam pula sifat yang alim,
Senang kepada para muallim.
Ilmu sempurna tiada terbatas,
Hamba yang pintar berlaku pantas,
Janganlah pula berjalan pintas,
Mencari ilmu yang tidak jelas.
Kalau berilmu rendahkan hati,
Akhlak tabi’in jadikan titi,
Tuntut selalu jangan berhenti,
Dari buaian hingga ke mati.
21. AL QAABIDH
Kedua puluh satu asma Al-Qaabidh,
Suatu nama bererti sempit,
Digenggam rezeki jadi sedikit,
Agar terjauh sifat yang pelit.
Kalaulah rezeki Allah sempitkan,
Kerja yang giat mari lakukan,
Tambah ibadah dilaksanakan,
Zakat dan fitrah mari tunaikan.
Orang bertakwa telah diseru,
Nafkahkan rezeki harus selalu,
Agar diganti dengan yang baru,
Nescaya jumlahnya beratus ribu.
22..AL BAASITH
Dua puluh dua asma Al-Baasith,
Terbalik dengan asma Al-Qoobidh,
Lapangkan rezeki dari yang sempit,
Berupa benda ataupun duit.
Wahai sahabat yang sedang lapang,
Orang yang lapar mari diundang,
Nafkahkan rezeki bertaraf sedang,
Jangan berlebih jangan terkurang.
Jadilah hamba Allah dermawan,
Memberi pada kawan dan lawan,
Terpancar pahala yang berkilauan,
Kerana ikhlas di hati tuan.
23. AL KHOOFFIDH
Yang menurunkan itu Al-Khoofidh,
Yang sudah tinggi rendah sedikit,
Yang lama sihat kadang-kadang pun sakit,
Seperti gunung menjadi bukit.
Kalaulah hamba selalu senang,
Akan terlupa sukar terkenang,
Kurnia Allah yang bikin menang,
Dikira diri tinggi melayang.
Ingatlah pula hai saudaraku,
Ramai saudara yang kurang mampu,
Beri sedikit bahagian tertentu,
Nescaya mereka akan terharu.
24. AR RAAFI’
Asma Al-Raafi’ ke dua puluh empat,
Allah yang qadim tidak bersifat,
Orang yang hina dinaikkan darjat,
Asalkan beriman sepenuh hakikat.
Allah berfirman dalam Al-Quran,
Dia yang mutlak atur putaran,
Dulu yang hina akan dimuliakan,
Mereka yang tinggal akan diturunkan.
Naik dan turun silih berganti,
Kuasa akan habis tanpa disedari,
Mereka yang muda naik posisi,
Orang yang tua menuju mati.
25. AL MU’IZZ
Asma Al-Muizz maknanya memuliakan,
Mereka yang susah akan disenangkan,
Mereka yang miskin akan dikayakan,
Mereka yang sempit akan dilapangkan.
Marilah bersama saling ingatkan,
Hidup di dunia dipergilirkan,
Harta dan pangkat akan ditinggalkan,
Amal yang soleh jadi bekalan.
Kelak si hamba akan ditanya,
Ke mana harta dibuat guna,
Ke mana ilmu sampai amalnya,
Ke mana waktu dimanfaatkannya.
26. AL MUDZIL
Asma ke dua puluh enam itu Al-Mudzil,
Hinakan mereka yang suka jahil,
Mereka yang mulia menjadi dekil,
Orang yang hebat menjadi kecil.
Kepada manusia yang sungguh fana,
Ingat selalu kepada asma,
Hidup di dunia tiada sempurna,
Bahagia kekal di alam sana.
Berhati-hati wahai saudara,
Jangan menunggu hina mendera,
Walaupun tangisan panjang berjela,
Takdir yang pasti sudah tertera.
27.AS SAMII’
Kedua puluh tujuh sifat As-Samii’,
Maha mendengar setiap detik,
Dia mengetahui segala yang pelik,
Tiada terlalai tiada tercelik.
Dia mendengar rintihan doa,
Malam yan g sunyi tangan tengadah,
Walau berbisik walau berdesah,
Dicatat semua apa dipinta.
Wahai sahabat sesama Muslim,
Marilah kita jadi mualim,
Belajar Islam jangan semusim,
Sampai berpisah roh dan jisim.
28. AL BASHIR
Al-Bashir asma kedua puluh lapan,
Allah melihat segala perbuatan,
Tiada perbuatan yang tersembunyikan,
Di akhirat kelak mendapat balasan.
Allah yang tunggal bukan berpuluh,
Bermakna esa Allah yang kukuh,
Tiada bergoyang dan tetap utuh,
Mengatur alam tanpa bertangguh.
Maha Melihat kejadian alam,
Baik siang mahupun malam,
Sama ada terang ataupun kelam,
Perbuatan jahat jiwa tak tenteram.
29. AL HAKKAAM
Dua puluh sembilan asma Al-Hakkaam,
Menetapkan Dia hukum di alam,
Jelas yang halal juga yang haram,
Yang subahat juga atau temaram.
Wahai Robbi yang Maha Menetapkan,
Tuntunlah hamba di jalan kebaikan,
Agar tak sesat sepanjang jalan,
Semoga selamat dalam kehidupan.
Sahabat semua pencinta Allah,
Janganlah kita menjadi kalah,
Terjauh kita jalan yang salah,
Digoda syaitan yang laknatullah.
30. AL ADL
Ke tiga puluh pula asma Al-Adl,
Seimbang kepada besar dan kecil,
Memberi hamba tak pernah bakhil,
Walaupun imannya hanya secuil.
Jadilah hamba yang syukur nikmat,
Sedikit diberi terasa rahmat,
Tabungan kelak hari kiamat,
Dibalas oleh-Nya berlipat-lipat.
Wahai Ilahi junjungan umat,
Ampuni kami dari yang sesat,
Berilah kami hati yang kuat,
Agar tiada ke jalan jahat.
31. AL LATHIIF
Asma Al-Latiif bererti lembut,
Sebagai hamba banyak menyebut,
Iman kukuh tak mudah tercabut,
Pahala menggunung perlu direbut.
Dia-lah Ilahi yang Maha Halus,
Ibadah pada-Nya hendaklah tulus,
Segala amal akan ditebus,
Kelak di akhir Syurga Firdaus.
Wahai sahabat para pencinta,
Mari berlembut dalam berkata,
Dalam berdoa kalimat ditata,
Agar dikabul apa dipinta.
32. AL KHABIIR
Al-Khabiir asma ketiga puluh dua,
Tahu rahsia apa pun jua,
Di dalam bumi atau samudera,
Di dalam batu atau udara.
Engkaulah yang tahu rahsia hati,
Yang hamba tutup sampai ke mati,
Yang hamba simpan di dalam peti,
Yang tiada seorang pun sudah mengerti.
Wahai pemilik segala rahsia,
Bimbinglah hamba sepanjang usia,
Tutupi malu hamba dari manusia,
Jauhkan hamba dari yang sia-sia.
33. AL HALIIM
Asma Al-Haliim asma yang jitu,
Penyantun Dia sepanjang waktu,
Walaupun kerakap tumbuh di batu,
Disantuni-Nya juga makhluk begitu.
Jadilah hamba Allah yang santun,
Orang yang lemah mari dituntun,
Agar mendapat pahala beruntun,
Disayang Allah sepanjang tahun.
Wahai Ilahi tujuan kami,
Santuni kami hidup di bumi,
Agar iman selalu bersemi,
Di musim panas di musim semi.
34. Al ‘AZIIM
Tiga puluh empat sifat yang agung,
Al-‘Aziim Dia melebihi gunung,
Agungnya sungguh tiada tanggung,
Membantu mereka yang ada untung.
Agungnya Allah tiada terkira,
Mari berbakti wahai saudara,
Balasannya besar tiada terkira,
Kelak semua akan gembira.
Hamba memohon pada yang agung,
Jauhkan hamba sifat yang bingung,
Jadikan hamba kelak beruntung,
Diberi ganjaran sebesar gunung.
35. AL GHAFUUR
Pengampun Engkau wahai Al-Ghafuur,
Ampuni kami yang sering kufur,
Infak sedikit sudah diukur,
Diberi nikmat kurang bersyukur.
Engkau pengampun setiap dosa,
Kepada Engkau hamba berdoa,
Jauhkan kami terhadap siksa,
Dekatkan kami amal selaksa.
Wahai Ilahi Maha Pengampun,
Ibadat hamba kurang berukun,
Tertibnya kadang tak sesuai rukun,
Berdoa hamba kuranglah santun.
36. AS SYAKUUR
Ketiga puluh enam asma As-Syakuur,
Hargai hamba banyak bersyukur,
Membalas pahala tiada mengukur,
Beri kebaikan hamba yang tafakur.
Walaupun hamba banyak berdosa,
Cinta-Mu membuat tak putus asa,
Balasan-Mu membuat senang terasa,
Ampuni mereka para pendusta.
Wahai Ilahi yang menghargai,
Bimbinglah hamba petang dan pagi,
Agar hamba-Mu tak sesat lagi,
Tak lagi kerjakan perbuatan yang rugi.
37. AL ‘ALIY
Ketiga puluh tujuh asma Al-‘Aliy,
Bermakna Allah yang Maha Tinggi,
Tiada yang lebih dari-Nya lagi,
Jauh dari-Nya kita akan rugi.
Tinggi-Nya sungguh tiada terbatas,
Lebih segalanya yang paling atas,
Tiada makhluk yang paling pantas,
Kehebatan Allah mustahil dipintas.
Wahai Al-Aliy Tuhan semesta,
Pada Engkaulah kami meminta,
Walaupun kami kurang mencinta,
Janganlah kami kelak dinista.
38. AL KABIIR
Asma Al-Kabiir bermakna besar,
Bukan bermakna panjang dan lebar,
Tidak di dalam tidak di luar,
Memikirkannya pastilah sukar.
Maha besar sifatnya pasti selalu,
Sampai sekarang darilah dulu,
Orang yang sombong harusnya malu,
Kerana dirinya tak senilai bulu.
Naungi hamba dalam kebesaran-Mu,
Agar tak malu kami bertemu,
Segalanya kecil di hadapan-Mu,
Semua yang ada tiada bagi-Mu.
39. AL HAFIIDZH
Asma Al-Hafiidzh ketiga puluh sembilan,
Menjaga alam sehingga mapan,
Memberi hukum pada kehidupan,
Sehingga teratur dari kekacauan.
Al-Hafiidzh sungguh sangat mulia,
Teratur alam dalam penjagaan-Nya,
Damai dan tenteram semua makhluk-Nya,
Bagi yang tahu itu kuasa-Nya.
Wahai Robbi Maha Penjaga,
Bimbinglah hamba selalu terjaga,
Dalam suasana apa pun juga,
Agar selamat sepanjang masa.
40. AL MUQIIT
Keempat puluh Al-Muqiiit yang mapan,
Bermakna sebagai Pemberi Kecukupan,
Kepada-Nya semua akan digantungkan,
Terhadap segala apa kekurangan.
Wahai Robb pemilik alam,
Terangi hamba agar tak kelam,
Catatkan kebaikan dengan qolam,
Masukkan ke dalam Syurga Darussalam.
Ampuni kami yang selalu kurang,
Masa lalu atau sekarang,
Berupa wang ataupun barang,
Ataupun rezeki bentuk sembarang.
41. AL HASIIB
Asma Al-Hasiib Pembuat Perhitungan,
Tiada terkecuali tiada ketinggalan,
Apa pun perbuatan pasti dihisabkan,
Baik dilarang mahupun dituntutkan.
Maafkan kami selalu tak cukup,
Walaupun harta sudah dilitup,
Tubuh yang sihat selama hidup,
Agar hidayah-Mu tidak terkatup.
Ampuni hamba di hari perhitungan,
Kerana hamba banyak kekurangan,
Waktu yang ada banyak disiakan,
Hidup di dunia banyak berangan.
42. AL JALIIL
Empat puluh dua asma Al-Jaliil,
Maha mulia Dia dipanggil,
Asma disebut hamba menggigil,
Terbayang hamba Neraka Sijjil.
Allah sungguh teramat mulia,
Peduli pada miskin dan kaya,
Membantu pada yang ingin jaya,
Menyayang sungguh para aulia.
Sifat mulia mari amalkan,
Pada yang lemah kita kasihan,
Yang tua juga kita hormatkan,
Yang telah tiada kita doakan.
43. AL KARIIM
Al-Kariim asma ke empat puluh tiga,
Maha Pemurah sepanjang masa,
Segala nikmat kepada manusia,
Seluruh makhluk di mana saja.
Tirulah Al-Kariim sifat mulia,
Selalu memberi tanpa diminta,
Memandang sesama berasa cinta,
Rendahkan hati pada pencipta.
Wahau saudara insan pilihan,
Kita semua hambanya Tuhan,
Kepadanya kita akan dikembalikan,
Unuk terima semua pertanggungjawaban.
44. AR RAQIIB
Empat puluh empat asma Ar-Raqiib,
Mengawas Dia sepenuh tertib,
Tiada perbuatan hamba yang tak dikutip,
Dicatat sempurna Atid dan Raqib.
Kepada mereka berhati bersih,
Mengawas Dia sepenuh kasih,
Supaya ikuti perilaku kekasih,
Tidak terlajak tersalah pilih.
Sahabat pencinta jalan yang benar,
Mari jauhkan inginnya tenar,
Agar iman tambah bersinar,
Terjauh kita dari siksaan Naar.
45. AL MUJIIB
Kempat puluh lima Al-Mujiib yang tepat,
Maha Pengabul di segala tempat,
Orang yang lupa atau yang ingat,
Orang yang baik yang jahat.
Wahai saudara mari berdoa,
Dikabulkan-Nya apa saja dipinta,
Agar dipelihara-Nya keimanan kita,
Sehingga menjadi hamba dicinta.
Doa hamba yang pasti makbul,
Adalah mereka yang tak mengibul,
Tak pula iman hilang dan timbul,
Apa dipinta selalu terkabul.
46. AL WASII’
Al-Wasi’ bermakna yang Maha Luas,
Di mana pun hamba pasti diawas,
Allah membantu mereka yang puas,
Asal rajin dan tidak culas.
Luasnya rahmat tidak terukur,
Asalkan kita pandai bersyukur,
Mencari rezeki dengan terukur,
Terhadap alam banyak tafakur.
Bumi adalah ciptaan Allah,
Luas terbentang di segala arah,
Carilah rezeki halal dan berkah,
Jangan menipu jangan serakah.
47. AL HAKIM
Ke empat puluh tujuh asma Al-Hakim,
Bijaksana sangat Robbul Alamien,
Menghukum bukan kerana ingin,
Tetapi kerana hamba yang zalim.
Teladani sifat yang bijaksana,
Adil menghukum sepanjang masa,
Berpijak pada Quran dan sunnah,
Agar tak kacau dunia yang fana.
Hamba beriman bijak bestari,
Sedikit meminta banyak memberi,
Dipanggil Allah seperti berlari,
Diajak yang benar hingga ke mati.
48. AL WADUUD
Empat puluh lapan asma Al-Waduud,
Mencinta semua makhluk yang wujud,
Kepada-Nya semua hamba bersujud,
Meminta hamba pastilah maujud.
Mencinta mukmin pada zat-Nya,
Mulia mukmin kerana sifat-Nya,
Bahagia hamba kerana cinta-Nya,
Binasa mereka yang menjauhi-Nya.
Wahai saudara pencinta Allah,
Jalan yang benar pasti tak salah,
Usah bertengkar usah berbalah,
Di sisi-Nya nanti tiada masalah.
49. AL MAJIID
Sifat mulia itu Al-Majiid,
Disebut hamba di semua masjid,
Orang beriman tidakkan sulit,
Mendapat keampunan sewaktu dibangkit.
Sungguh agung Tuhan yang mulia,
Sekarang ini kami dianiaya,
Di banyak tempat penjuru dunia,
Iman digoncang Islam dihina.
Hamba-Mu di bumi banyak meratap,
Bertebar di dunia yang tiada atap,
Musuh menzalimi secara tetap,
Kehidupan kami tak lagi mantap.
50. AL BAA’ITS
Kelima puluh asma Al-Baa’its,
Itu bermakna Maha Pembangkit,
Baik yang banyak atau sedikit,
Baik yang sihat atau yang sakit.
Wahai pembangkit yang maha perkasa,
Jauhkan kami pedihnya siksa,
Peliharalah kami dari putus asa,
Jauhkan kami dari gelumang dosa.
Wahai Allah pembangkit alam,
Bangkitkan kami bagai pualam,
Berilah kesempatan masuk ke dalam,
Nikmat indahnya Syurga Darussalam.
51. AS SYAHIID
Kelima puluh satu asma As-Syahiid,
Penyaksi maknanya sewaktu berbangkit,
Menyaksi amalan dan dosa abiid,
Baik yang banyak atau sedikit.
Wahai Allah Maha Penyaksi,
Kuatkan kami bagaikan besi,
Jadikan amalan kami berisi,
Supaya syurga kami diisi.
Wahai Ilahi Maha Penyayang,
Sembahan hamba waktu sembahyang,
Tempat meminta malam dan siang,
Tempat mengadu kala tak riang.
52.AL HAQQ
Kelima puluh dua Al-Haqq yang jitu,
Maha benar Allah sudahlah tentu,
Tak ada yang keliru semuanya jitu,
Tak pernah berubah di makan waktu.
Wahai pencipta yang maha benar,
Bimbinglah kami di bawah sinar,
Agar hati selalu berbinar,
Tiada berubah walau sebentar.
Jalan yang benar sukar ditempah,
Bimbinglah hamba jangan berubah,
Terhadap dugaan selalu tabah,
Hanya padamu Tuhan disembah.
53. AL WAKIIL
Al-Wakiil ialah asma pemelihara,
Tiada berubah apa juga prahara,
Sepanjang masa hamba dipelihara,
Agung sifatnya tiada terkira.
Wahai sahabat sesama Muslim,
Mari berdoa sepanjang musim,
Berzikir mulia dengan isim,
Ibadah khusyuk roh dan jisim.
Teguh dipelihara-Nya segala makhluk,
Baik yang ingkar ataupun yang tunduk,
Sama ada berdiri mahupun yang duduk,
Tiada berbeza apa pun bentuk.
54. AL QOWWI
Asma Al-Qowwi bermakna kuat,
Seluruh alam Dia yang ikat,
Ditugaskan-Nya pula para malaikat,
Sebagai hamba yang akur dan taat.
Betapa malang orang yang sombong,
Merasa berisi padahal kosong,
Bagaikan ulat dalam kepompong,
Nyaring bunyinya bagaikan tong.
Sungguh kita makhluk yang lemah,
Selalu lupa terhadap hikmah,
Sikap selalu saja tak berhemah,
Sakit pun sering disumpah seranah.
55. AL MATIIN
Kelima puluh lima Al-Matiin yang tepat,
Yang Maha Kukuh Dia Maha Kuat,
Tak perlu masa tak perlu tempat,
Alam semesta boleh dilipat.
Wahai Robb yang Maha Teguh,
Kukuhkan iman hamba yang bodoh,
Agar tak hancur agar tak roboh,
Tegak dalam agama-Mu yang utuh.
Wahai Ilahi yang Maha Sempuna,
Menangis hamba derita merana,
Terhadap dosa sering terlena,
Padahal hidup pasti kan fana.
56. AL. WALIY
Lima puluh enam asma Al-Waliy,
Pelindung Dia hebat sekali,
Walaupun makhluk tiada peduli,
Dia uruskan seorang diri.
Orang beriman selalu terlindung,
Dunia akhirat tak tanggung-tanggung,
Diberi-Nya rahmat sebesar gunung,
Sedih kehidupan takkan dirundung.
Lindungi kami wahai pemilik,
Luruskan kami jangan berbalik,
Mudahkan perkara yang pelik-pelik,
Tunjukkan kami jalan yang salik.
57. AL HAMIID
Lima puluh tujuh asma Al-Hamiid,
Terpuji Dia sewaktu berbangkit,
Selalu memberi tiada mengungkit,
Sembuhkan pula mereka yang sakit.
Wahai Ilahi Maha Terpuji,
Teguhkan hamba memegang janji,
Walau keampunan-Mu selalu tersaji,
Tak kuat hamba kalau diuji.
Engkau-lah pujian semesta alam,
Disebut nama-Mu siang dan malam,
Penerang hati yang sedang kelam,
Selamatkan iman agar tak tenggelam.
58 AL MUHSII
Kelima puluh lapan Al-Muhsii yang utuh,
Menghitung Engkau dekat dan jauh,
Pahala dan dosa di dalam tubuh,
Di waktu maghrib di waktu subuh.
Wahai Tuhan Maha Penyayang,
Gementar hamba di hari perhitungan,
Amal dan dosa telah terbayangkan,
Pada-Mu keampunan hamba dambakan.
Kalau dihitung secara adil,
Pastilah kami akan terkucil,
Amal yang baik sangatlah kerdil,
Tak cukup ukuran batu kerikil.
59. AL MUBDI’
Kelima puluh sembilan asma Al-Mubdi’
Pemula asal yang selalu abadi,
Orang beriman pastilah sudi,
Serahkan seluruh darah dan nadi.
Engkau-lah asal semua bermula,
Ciptaan-Mu indah tak akan salah,
Hamba ucapkan Alhamdulillah,
Diberi keampunan sewaktu bersalah.
Kami percaya Engkau pencipta,
Langit dan bumi Engkau yang tata,
Malaikat-Mu selalu membawa berita,
Yang nampak tersilap di depan mata.
60. AL MU’IID
Asma Al-Mu’iid bermakna mengembalikan,
Semua makhluk akan dibangkitkan,
Semua yang mati akan dihidupkan,
Akan menghadapi hari pertangungjawaban.
Tulang berserak akan disatukan-Nya,
Bangsa berbeza akan dijodohkan-Nya,
Miskin dan kaya akan didampingkan-Nya,
Tiada apa pun yang sukar bagi-Nya.
Wahai Ilahi Tuhanku Robbi,
Hanya pada-Mu hamba kembali,
Berharap hamba Engkau kan sudi,
Walaupun dosa berkati-kati.
61. AL MUHYII
Keenam puluh satu asma Al-Muhyii,
Yang maha hidup makna berbunyi,
Dicipta hamba dari azali,
Bakal musnah kelak sesuai janji.
Wahai sahabat sesama insan,
Jadikan dunia untuk perhiasan,
Tanamkan iman dalam perasaan,
Semua pasti akan ditinggalkan.
Ampuni hamba yang sering alpa,
Kalaulah hidup tidak seberapa,
Menghadap kelak tak pandang rupa,
Semua di dunia bermakna hampa.
62. AL MUMMIIT
Enam puluh dua asma Al-Mumiit,
Akan matilah segala sesuatu,
Membawa amal sudahlah tentu,
Demikian Al-Quran ujar begitu.
Setiap yang bermula akan berakhir,
Itulah sunnatullah jalannya takdir,
Ada yang mati ada yang lahir,
Hamba yang ghaib atau yang zahir.
Wahai Ilahi yang mematikan,
Pada-Mu jua hamba mohonkan,
Ketika mati hamba dibolehkan,
Mendapat anugerah kamar kebaikan.
63. AL HAYYU
Al-Hayyu asma ke enam puluh tiga,
Yang Maha Hidup ia bermakna,
Tak akan bertambah tak akan tua,
Tak ada pula masa akhirnya.
Hidupkan hamba di dalam iman,
Matikan hamba di dalam aman,
Jadi kenangan sepanjang zaman,
Harum bagaikan bunga di taman.
Engkau-lah dzat yang Maha Hidup,
Tak pernah padam tak pernah redup,
Izinkan hamba dapat menghirup,
Hidayah dari-Mu sepenuh litup.
64. AL QOYYUM
Enam puluh empat asma Al-Qoyyum,
Berdiri sendiri dalam berhukum,
Teliti sungguh semuanya termaklum,
Tiada tertinggal atau yang belum.
Dalam berhukum Dia mandiri,
Dalam mencipta Dia sendiri,
Dalam memutus tak dipengaruhi,
Tak ada satu pun sekutu diri.
Wahai Allah pencipta disembah,
Daku memohon dengan tabah,
Berharap iman terus bertambah,
Cinta pada-Mu tidak berubah.
65. AL WAAJID
Al-Waajid bermakna Maha Penemu,
Sembunyi di mana pun Dia kan tahu,
Walaupun berada di dalam batu,
Dilingkung gelap menghitam tentu.
Wahai Allah pujaan hati,
Kuatkan hamba terus meniti,
Al-Quran dan sunnah tiada berhenti,
Sampai kelak datangnya mati.
Ingin kugapai kasih sayang-Mu,
Melalui ibadah yang tiada jemu,
Berharap kelak akan bertemu,
Diberi rahmat tatap wajah-Mu.
66. AL MAAJID
Keenam puluh enam yang Maha Mulia,
Al-Maajid Dia miliki asma-Nya,
Tempat segala hamba memuja,
Tempat semua makhluk beraja.
Kemuliaan itu hanya milik-Mu,
Tak jemu hamba mohon pada-Mu,
Berikan selalu keampunan-Mu,
Masukkan hamba dalam syurga-Mu.
Wahai sahabat mukmin sejati,
Muliakan saudara janganlah henti,
Senyum yang tulus sarat bererti,
Daripada pemberian sakitkan hati.
67. AL WAAHID
Enam puluh tujuh asma Al-Wahiid,
Tiada sekutu walau sedikit,
Meskipun dosa sebesar bukit,
Pasti sejahtera masa dibangkit.
Dia-lah Allah yang Maha Tunggal,
Pencipta segala tiada yang tinggal,
Tiada ciptaan terbentuk gagal,
Dari tiada segalanya berasal.
Engkaulah tunggal di dalam dzat,
Tiada sekutu di dalam sifat,
Tiada dibantu dalam manfaat,
Selalu teguh selalu kuat.
68. AS SHOMAAD
Asma As-Shomaad keenam puluh lapan,
Tempat meminta gantung harapan,
Mahligai impian masa hadapan,
Syurga mulia yang bergemerlapan.
Kepada Engkau kami meminta,
Berharap kelak akan dicinta,
Berakhir baik itu cita-cita,
Di Padang Mahsyar tidaklah buta.
Wahai Allah tumpuan kami,
Ingat nama-Mu bahagia bersemi,
Bagai yang lama tak silaturahmi,
Laksana isteri cintakan suami.
69. AL QADIIR
Enam puluh sembilan asma Al-Qadiir,
Maha penentu segala takdir,
Di mana pun tempat selalu hadir,
Segala amal pasti dicatat Nakir.
Hamba bermohon pada-Mu Allah,
Ampuni hamba segala bersalah,
Janganlah kami menjadi kalah,
Digoda syaitan yang di-laknatullah.
Berilah kami takdir yang baik,
Harapan kami tidak terbalik,
Berdoa hamba sampai bergidik,
Takut tergolong orang terherdik.
70.AL MUQTADIR
Ketujuh puluh asma Al-Muqtadir,
Maha menguasai segala takdir,
Baik di awal atau di akhir,
Baik yang ghaib atau yang zahir.
Engkau-lah penguasa seluruh alam,
Pagi petang siang dan malam,
Baik yang dangkal atau yang dalam,
Meski sekarang atau yang silam.
Dengan kuasa-Mu hamba munajat,
Berikan hamba kemuliaan darjat,
Kurniakan hamba rezeki yang berkat,
Dunia akhirat akan selamat.
71. AL MUQADDIM
Al-Muqaddim asma ketujuh puluh satu,
Dahulu Dia dari segala sesuatu,
Tiada yang awal dari-Nya tentu,
Kerana Dia-lah pencipta waktu.
Engkau dzat yang Maha Qadim,
Jaminan Engkau orang mustaqiem,
Balasan Engkau mereka yang zalim,
Engkaulah maharaja segala hakim.
Engkau-lah pencipta segala yang awal,
Tiada sekutu tiada dikawal,
Setiap makhluk akan terima ajal,
Semua yang dipinjam akan ditinggal.
72 AL MU’AKHIR
Ke tujuh puluh dua asma Al-Mu’akhir,
Adili manusia sewaktu terakhir,
Tiada satu pun yang boleh mungkir,
Semua catatan telah diukir.
Wahai yang akhir Maha Perkasa,
Ampuni kami segala dosa,
Janganlah neraka kami dirasa,
Tak kuat kami menanggung siksa.
Khusnul khotimah harapan hamba,
Meminta kami sambil menghiba,
Bimbinglah kami jangan ditunda,
Selalu mengabdi terus didamba.
73. AL AWWAL
Al-Awwal asma ke tujuh puluh tiga,
Yang Maha Awal tiada terhingga,
Awalnya bila tak boleh duga,
Tak pernah tidur selalu terjaga.
Engkau-lah pencipta yang Maha Awal,
Maha membalas segala amal,
Segala kebaikan Engkau yang imbal,
Penderhaka pada-Mu pasti kan gagal.
Segala yang awal pasti kan fana,
Seperti tertulis di hujung pena,
Kecuali Engkau kekal selama,
Baik dunia ini atau di sana.
74. AL AKHIR
Asma Al-Akhir ke tujuh puluh empat,
Yang maha akhir makna terdapat,
Tiada terbatas di segala tempat,
Tunduk padanya jin dan malaikat.
Tiada yang lebih akhir dari-Nya,
Semua makhluk diciptakan-Nya,
Apa pun di alam ikut aturan-Nya,
Kelak semua kembali pada-Nya.
Wahai Tuhaknku yang Maha Akhir,
Bersyukur hamba muslim terlahir,
Disambut hamba dengan berzikir,
Kembali kelak sebagai musafir.
75. AZ ZHOOHIR
Asma Az-Zhoohir ke tujuh puluh lima,
Nyata sifatnya sangat utama,
Orang beriman tiada percuma,
Pahala bertambah selama-lama.
Engkaulah dzat yang maha dzaahir,
Kelihatan dari apa lahir,
Faham ciptaan-Mu dengan berfikir,
Membuat bertambah yakin berzikir.
Memandang Engkau dari ciptaan,
Menguatkan iman yang terpaterikan,
Bertambah pula dalam keyakinan,
Itulah hidayah yang dianugerahkan.
76. AL BATHIIN
Asma Al-Bathiin ke tujuh puluh enam,
Tersembunyi Dia di pandang alam,
Tak tampak mata walaupun tajam,
Tak terbayang dengan mata terpejam.
Wahai Al-Bathiin yang tersembunyi,
Kusebut nama-Mu di malam sunyi,
Kulantun asma-Mu sewaktu mengaji,
Kurindukan Engkau akhir nanti.
Di dalam kitab-Mu telah tertera,
Engkau kan nampak kelak di syurga,
Terpana semua tidak terhingga,
Menatap wajah-Mu yang Maha Sempurna.
77. AL WALII
Ketujuh puluh tujuh Al-Walii yang tentu,
Maha Memerintah bermakna dituju,
Tunduklah segala wajib setuju,
Kepada Engkau semua menuju.
Memerintah Engkau dengan berpusat,
Seluruh hamba wajiblah taat,
Baik yang beriman ataupun sesat,
Baik yang sakit atau yang sihat.
Perintah-Mu selalu diganjar pahala,
Engkau menyuruh jauhi cela,
Supaya terhindar dari bala,
Supaya kelak mendapat piala.
78 AL MUTA’ALI
Ketujuh puluh lapan Al-Muta’alii,
Asma bermakna yang Maha Tinggi,
Tiada yang lebih dari-Nya lagi,
Di alam sekarang atau azali.
Tingginya Engkau tiada terukur,
Bila si hamba pandai bersyukur,
Terhadap nikmat tidaklah kufur,
Larangan perintah sudah diatur.
Tinggi lebih dari segala,
Sejak azali zaman bermula,
Menghindarkan hambanya dari bala,
Membalas kebaikan dengan pahala.
79. AL BARR
Tujuh puluh sembilan asma Al-Barr,
Sungguhlah Dia Maha Pemberi,
Zaman sekarang ataupun bari,
Kepada makhluk setiap hari.
Wahai Allah yang Maha Pengasih,
Berilah hamba rezeki yang bersih,
Jadikan hamba merasa sedih,
Segala yang jahat dan tersisih.
Engkau pemberi tak pernah minta,
Kepada makhluk di alam semesta,
Yang beriman dan ingkar tetaplah serta,
Sekehendak-Mu juga tanpa dipaksa.
80. AT TAWWAB
Kelapan puluh asma At-Tawwab,
Penerima taubat penghapus hisab,
Siapa yang menyeru akan dijawab,
Asalkan sesuai petunjuk adab.
Wahai Ilahi tujuan hidupku,
Kumohon pada-Mu terima taubatku,
Agar tak sedih dalam jiwaku,
Agar tak rapuh dalam dadaku.
Keampunan-Mu banyak sangatlah besar,
Dosa yang mudah ataupun sukar,
Perbuatan serius atau kelakar,
Dosa yang zalim atau yang mungkar.
81. AL MUSTAQIEM
Lapan puluh satu asma Al-Muntaqim,
Siksaan Allah di neraka jahim,
Mereka yang sesat dan juga zalim,
Mereka yang jatuh di Sirothol Mustaqim.
Wahai Allah Maha Perkasa,
Jauhkan hamba beratnya siksa,
Dipukul malaikat sakit terasa,
Diremuk sepitan kala berbisa.
Hamba memohon dengan harapan,
Kiranya dosa Engkau ampunkan,
Kiranya pinta Engkau kabulkan,
Berakhir hamba dalam kebaikan.
82. AL ‘AFUWW
Asma Al-‘Afuww kelapan puluh dua,
Maha pemaaf ia bermakna,
Terhadap ingat dan juga alpa,
Terhadap dosa dan juga pahala.
Hamba bermohon maaf pada-Mu,
Menangis hamba pada haribaan-Mu,
Tak sanggup hamba terima siksa-Mu,
Berharap hamba nikmat syurga-Mu.
Wahai Allah Maha Pemaaf,
Maafkan atas salah dan khilaf,
Merayu hamba segenap saraf,
Dalam redha-Mu sepanjang alaf.
83. AR RA’UUF
Asma Ar-Ra’uuf kelapan puluh tiga,
Maha Pengasih maknanya juga,
Pada yang sesat atau terjaga,
Atas salahnya jiwa dan raga.
Wahai Ilahi Maha Pengasih,
Maksiat hamba pastilah masih,
Amal dan dosa jauh selisih,
Tak sanggup hamba bila tersisih.
Kasihi kami yang banyak dosa,
Agar tiada berputus asa,
Semoga terjauh resah gelisah,
Bahagia batin kami tak susah.
84. MALIKUL MULK
Malikul Mulk kelapan puluh empat,
Penguasa semesta di segala tempat,
Tunduk pada-Nya penjuru yang empat,
Patuh dengan-Nya di mana pun sempat.
Wahai Robbi Maha Penguasa,
Menangis hamba pilu terasa,
Bagaikan orang yang putus asa,
Teringat hidup bergelumang dosa.
Ampuni hamba wahai Al-Malik,
Itulah doa hamba di bilik,
Janganlah nasib hamba terbalik,
Segala dosa hamba diselidik.
85. DZUL JALAALI WAL IKRAAM
Dzul Jalaali Wal Ikraam besar mulia,
Itulah asma kelapan puluh lima,
Tiada satu pun lebih dari-Nya,
Tak satu pun makhluk mendahului-Nya.
Wahai Ilahi Yang Maha Besar,
Mulia Engkau bersifat dasar,
Adili kami di Padang Mahsyar,
Bermohon hamba tidak tersasar.
Bakar segala kotoran kami,
Bagaikan api jilat jerami,
Agar di hati selalu bersemi,
Cinta pada-Mu penguasa bumi.
86. AL MUQSITH
Al-Muqsith asma lapan puluh enam,
Adil kepada seluruh alam,
Adil juga sewaktu pertanggungjawaban,
Tak satu makhluk akan dizalimkan.
Wahai Robbi Maha Penyeimbang,
Simetri ciptaan bila ditimbang,
Tak pernah ragu tak pernah bimbang,
Sempurna segala tiada sumbang.
Wahai Allah hamba bermohon,
Hamba meminta sepanjang tahun,
Berharap Engkau sudi menuntun,
Agar akhirat hamba tersusun.
87. AL JAMII’
Lapan puluh tujuh asma Al-Jamii’,
Maha mengumpul tiada tercabik,
Sebiji zarah pun tiada pelik,
Semua tercantik tanpa terbalik.
Engkaulah pengumpul roh dan jasad,
Mengimbangkan juga baik dan jahat,
Menyanding antara sakit dan sihat,
Memberi cuba ringan dan berat.
Wahai Ilahi Maha Pengumpul,
Ampuni hamba yang masih masghul,
Imanku kadang-kadang tenggelam timbul,
Kadang-kadang berpisah kadang-kadang berkumpul.
88. AL GHANII
Al-Ghanii asma kelapan puluh lapan,
Pemilik segala boleh diucapkan,
Baik yang lemah atau yang mapan,
Sama ada yang tersembunyi atau kelihatan.
Wahai Allah yang berkecukupan,
Sedikit amalku kecil harapan,
Kalau mengharap dari balasan,
Tentulah neraka akan ditempatkan.
Engkaulah Robb yang Maha Cukup,
Pemilik segala alam dilingkup,
Menangis hamba ingin takarrub,
Selama Engkau kurniakan hidup.
89. AL MUGHNI
Kelapan puluh sembilan asma Al-Mughnii,
Maha kaya Engkau Ilahi,
Kekayaan-Mu sungguh meliputi,
Segala di langit dan juga di bumi.
Wahai Allah yang Maha Kaya,
Berilah kami hidup yang jaya,
Janganlah miskin dan teraniaya,
Atapun hidup dalam derita.
Engkau pemilik perbendaharaan,
Bagi-Mu segala tiada perhitungan,
Apa yang ada dapat kau berikan,
Untuk hamba yang engkau inginkan,
90. Al MAANI’
Asma Al-Maani kesembilan puluh,
Makna mencegah supaya utuh,
Pada-Nya segala alam kan patuh,
Kerana-Nya tiada hukum yang runtuh.
Wahai Allah yang Maha Kuat,
Jauhkan hamba dari maksiat,
Jadikan batin hamba terikat,
Kepada firman juga nasihat.
Kalaulah Engkau tidak mencegah,
Pastilah hamba akan terdedah,
Akan tersesat dalam tengadah,
Pada-Mu jua hamba berserah.
91. AD DHAAR
Ad-Dhaar asma kesembilan puluh satu,
Memberi derita sudahlah tentu,
Sebagai cubaan dari yang satu,
Agar iman keras membatu.
Wahai Azzawajalla pemilik derita,
Pada-Mu pasti hamba meminta,
Sepenuh hati sepenuh cinta,
Sambil berurai si air mata.
Air mata pun mengalir deras,
Takut kepada siksa yang keras,
Ampuni hamba-Mu pemilik arasy,
Dengan cinta-Mu yang penuh belas.
92. AN NAFII’
Sembilan puluh dua itu An-Nafii’,
Memberi manfaat segala pasti,
Mukmin dan kafir akan diberi,
Hanya berbeza setelah mati.
Wahai Allah pemilik manfaat,
Kuatkan hamba dalam berniat,
Supaya takut buat maksiat,
Tak ingin pula berbuat jahat.
Jauhkan hamba dari mubadzir,
Dalam berkata atau berfikir,
Dalam berdoa atau berzikir,
Agar manfaat cantik terukir.
93. AN NUUR
An-Nuur asma kesembilan puluh tiga,
Cahaya-Nya terang tidak terhingga,
Meliputi neraka hingga ke syurga,
Dapat dirasa di mana pun juga.
Wahai Khalik pemilik cahaya,
Hamba-Mu ini tiada berdaya,
Kadang-kadang lemah dalam percaya,
Sering juga mudah diperdaya.
Segala cahaya itu milik-Mu,
Semua makhluk pulang pada-Mu,
Hamba berharap kasih sayang-Mu,
Agar tertuntun dalam cahaya-Mu.
94. AL HAADI
Al-Haadi asma kesembilan puluh empat,
Petunjuk-Mu juga hamba merapat,
Agar bahagia di segala tempat,
Di mana saja hamba merempat.
Kalaulah Engkau tak tunjuki,
Sesatlah hamba sudahlah pasti,
Gunung mana pun akan didaki,
Asalkan redha-Mu hamba dapati.
Wahai Engkau pemberi petunjuk,
Hamba bagaikan kasih merajuk,
Panjatkan doa berasyik mahsyuk,
Kerana cinta telah merasuk.
95 AL BAADII’
Al-Baadii asma sembilan puluh lima,
Sifat pencipta ia bermakna,
Segala dari-Nya pasti terbina,
Semua yang wujud pasti kan sirna.
Engkaulah pencipta segala alam,
Termasuk siang dan juga malam,
Baik yang terang atau yang kelam,
Juga yang timbul atau tenggelam.
Dengan sifat-Mu Maha Pencipta,
Ampuni hamba sepenuh cinta,
Seperti semua bercita-cita,
Akhirat kelak tiada derita.
96. AL BAQII
Al-Baqii bermakna yang Maha Kekal,
Ke sembilan puluh enam ia berpangkal,
Dicipta oleh-Nya nafsu dan akal,
Makhluk yang dalam atau yang dangkal.
Wahai Allah Maha Penyayang,
Hidup yang fana selalu terbayang,
Terbujur kelak kena sembahyang,
Tinggal segala apa disayang.
Berilah kami jiwa yang sedar,
Supaya ikhlas terima qadar,
Selalu pada-Mu dalam bersandar,
Selama mentari masih beredar.
97. AL WARIITS
Al-Wariits asma kesembilan puluh tujuh,
Mewaris pada hamba yang patuh,
Syurga yang indah diberi utuh,
Api neraka takkan tersentuh.
Wahai Khalik semesta alam,
Warisi kami tulisan kalam,
Agar di jiwa tiada kelam,
Selalu bangun di waktu malam.
Ampuni kami yang sering lupa,
Santuni iman kami yang papa,
Agar kelak tiada nestapa,
Ketika dikubur tanah menimpa.
98. AR RASYIID
Ar-Rasyiid asma kesembilan puluh lapan,
Bermakna pintar dalam ucapan,
Bijaksana juga dalam perbuatan,
Tiada satu pun makhluk sepadan.
Engkau-lah pencipta yang Maha Pintar,
Mengatur segala tak pernah gentar,
Serumit apa pun tiada yang sukar,
Tiada siapa pun mampu mencabar.
Wahai Esa Engkau-lah Tuhan,
Cerdaskan hamba dalam beriman,
Ampuni dari segala kelalaian,
Terimalah seutuhnya segala kebaikan.
99. AS SHOBUUR
Sembilan puluh sembilan asma As-Shabuur,
Bersifat sabar asma yang luhur,
Menjaga hamba ketika tidur,
Bangunkan manusia sewaktu dikubur.
Wahai Ilahi Robb yang sabar,
Jadikan hamba ambil iktibar,
Atas segala berita dan khabar,
Agar hikmah-Mu terbuka lebar.
Jadikan hamba banyak berdoa,
Tiada mengeluh bila tiada,
Tiada takabbur bila berada,
Ikhlas pada-Mu sepanjang masa.
Syairku ini sangatlah lemah,
Ditulis untuk memohon rahmah,
Berharap kelak diberi hikmah,
Walaupun hanya sebesar remah.
Pada sahabat yang banyak tahu,
Padamu hamba ingin berguru,
Hamba yang bodoh tak akan malu,
Selagi yang diberi berupa ilmu.
*Sumber:
#SyairAsmaUlHusnaSMahadzir
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan