IKHLAS
IKHLAS yang sebenar itu adalah apabila seseorang itu mengenal diri. Apabila kita mengenal diri ianya akan menjadikan diri kita berserah dan terserah kepada Allah.
Samada baik atau buruk, samada sihat mahupun sakit dan samada nikmat ataupun bala, semuanya terserah kepada Allah !.
Tidak kisah, tidak peduli dan tidak merungut dengan apa yang ditetapkan, diturunkan dan ditentukan Allah Ta'ala keatas dirinya. Yang mereka tahu dan yang mereka ada, adalah sifat berterima kasih dan bersyukur dari diri yang kosong, itulah IKHLAS.
Selepas mengenal diri / roh, sifat ikhlas itu akan muncul dengan sendiri. Mereka yang ikhlas itu adalah mereka yang berada didalam negeri atau didalam wilayah ketiadaan diri.
Ikhlas itu, adalah negeri atau wilayah kefana'an, keghaiban, kehancuran, kehilangan, kebaqo'an, karam dan ghaib, itulah wilayah atau negeri mereka-mereka yang mengenal diri / roh.
Ikhlas itu wilayah kepatuhan serta berada dalam negeri kesempurnaan sejagat. Bagi mereka yang berada didalam negeri atau wilayah ikhlas, tidak akan lagi dimasuki, diganggu, digoda, dipesong atau disesatkan oleh mana-mana iblis.
Iblis itu adalah kita, kita yang bersifat keberadaan diri atau keberadaan sifat keakuan, manakala mereka yang bersifat ikhlas itu, adalah mereka yang bersifat ketiadaan diri ( tidak ada diri ). Bila mana sudah tidak ada sifat keberadaan diri, maka tidak ada lagi sifat keakuan.
Bilamana sifat keakuan atau sifat keberadaan diri itu sudah tidak ada, mana lagi adanya iblis, mana lagi adanya syaitan! Bilamana keberadaan diri telah tiada dari mana lagi datangnya godaan iblis atau syaitan pada diri.
Yang dikatakan iblis itu, adalah apabila adanya sifat aku atau yang masih adanya sifat keakuan ( masih ada diri ). Bagi mereka yang tiada sifat keakuan dan tidak ada sifat diri, mana lagi ada iblis dan mana lagi ada sifat goda menggoda!
Diri yang sudah hilang, sudah mati, dan diri yang sudah binasa, apa lagi yang boleh iblis nak goda!. Setelah semuanya telah dipulangkan kepada Allah, tidak ada apa-apa lagi yang tinggal, tersisa atau terbaki, apa lagi yang hendak syaitan atau iblis goda?.
Apakah bodoh sangat iblis itu, nak menggoda orang yang sudah mati. Iblis tidak sebodoh itu!. Sebenarnya iblis atau syaitan itu, adalah dirimu sendiri! Iblis itu, adalah diri kita yang masih ada sifat diri dan yang masih ada sifat keakuan.
Setelah tidak ada sifat keakuan, maka tidaklah adanya sifat iblis dan syaitan! Maka akan menyusullah sifat ingat kepada Allah. Bilamana sifat ingat kepada Allah telah mengambil tempat maka fana', baqo', lebur dan binasalah sifat diri, dengan syaitan-syaitan dan dengan iblis-iblis itu sekali akan binasa!
Bilamana sifat ingat kepada Allah telah meleburkan sifat iblis, maka itulah yang dikatakan tahap "IKHLAS" mana mungkin orang yang ikhlas dapat digoda iblis.
Orang ikhlas itu adalah orang yang dirinya sudah mati, binasa dan hilang. Bilama diri sudah mati, hilang ghaib didalam wajah Allah, apa lagi yang boleh iblis goda !. Apabila kita sudah berada didalam wilayah ikhlas ( alam mengenal diri ) tidak boleh lagi ada didalam diri kita sifat sombong, takabur, angkuh atau bongkak, segala-galanya Allah.
Hidup kita ini hanya menumpang harta Allah, dengan itu kembalikanlah harta itu kepada Allah. Kita ini tidak ubah seumpama lembaga / patung, jika tidak didukungi, ditunjangi, dipayungi dan tidak didirikan oleh nyawa / roh, siapalah kita?
Untuk melihat roh yang bersemanyam didalam badan kita, kita hendaklah membinasa, melebur, melenyap dan mengembalikan terlebih dahulu sifat diri yang zahir ini kepada Allah, barulah disitu akan kelihatan dan akan terpandang tuan yang empunya badan iaitu Roh.
Bagi yang tidak nampak diri rohani yang tersembunyi disebalik jasad, maka akan jadilah sebagaimana yang berlaku kepada iblis,
Iblis ketika disuruh sujud kepada Adam, Ia tidak nampak bahawa berdirinya Adam itu, adalah diatas dasar berdirinya roh. Yang menguatkan pembinaan jasad anggota Adam itu, adalah roh.
Diketika itu iblis tidak dapat membaca hikmah atau rahsia Allah disebalik kejadian Adam. Itu sebabnya iblis ingkar.
Yang menyebabkan iblis itu dimurkai dan disingkirkan Allah dari surganya, adalah diatas dasar sifat lupa iblis kepada roh Adam. Bahawasanya yang mendiri dan yang menguatkan diri zahir Adam itu, sebenarnya adalah roh, yang disebalik jasad Adam.
Buat renungan kita bersama
0 comments:
Catat Ulasan