HAKIKAT BERPUASA*

 


HAKIKAT BERPUASA*
As-Shaum didalam bahasa Arab bermaksud PUASA, yang bererti MENAHAN. Biasanya, orang Arab akan menggunakan perkataan ini kepada kuda supaya ia tidak lari atau tidak mahu diberi makan.
Didalam Islam kata As-Shaum bererti MENAHAN DIRI dengan sengaja dari apa yang membatalkan PUASA.
Bagi seorang Muslim, BERPUASA bukan sekadar MENAHAN DIRI dari makan dan minum tetapi mengandungi makna tambahan ibadah, kesenangan batin, moral dan hukum-hakam.
PUASA juga mengandungi makna pembangunan atau pembentukan karakter, penguasaan atas hawa nafsu dan suatu inspirasi ke arah kreativiti individu dan sosial.
PUASA juga adalah sebahagian dari Rukun Islam yang merupakan KEWAJIPAN Agama bagi semua orang yang BERIMANKAN TAUHID, dan kerana itu barangsiapa yang menolaknya maka ia telah menjadi KAFIR !.
PUASA juga merupakan tanda lahir dari Ketaatan, Penyerahan dan Pengibadatan kepada Allah swt.
Sebuah Hadis Agung yang diriwayatkan langsung oleh Nabi Muhammad Shallallahu ’Alaihi Wasallam dari Rabb-Nya, bahwa Dia berfirman;
« كل عمل ابن آدم له إلا الصوم فإنه لي وأنا أجزي به » [رواه الإمام البخاري في صحيحه ج2 ص226 من حديث أبي هريرة رضي الله عنه].
Ertinya: “Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali PUASA, sebab ia hanyalah untukKu dan Akulah yang akan memberikan ganjaran padanya secara langsung ”.
(HR Bukhari dalam Shahihnya : 7/226 dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu’anhu)
Dengan PUASA seorang Muslim mengungkapkan Penyerahannya (Taslim) kepada Perintah Allah swt dan merupakan penolakan yang tegas atas penguasaan hawa nafsu dan hasrat peribadinya. PUASA menjadi sebuah kenyataan dari Ketaatan makhluk-Nya kepada Kehendak Yang Maha Kuasa.
Ungkapan yang diungkapkan melalui PUASA ini mewakili bentuk Penguasaan Diri dan usaha didalam mengatasi kesenangan dan kepelbagaian Kenikmatan Jasmani demi Kecintaan Allah swt yang penuh BERKAT, bertujuan menghampirkan diri kepada-Nya dan ghairah untuk memperoleh keredhaan-Nya.
Hal ini merupakan suatu Kemenangan Cinta Suci atas hawa nafsu dan keinginan diri. Watak seperti ini mewakili penguasaan atas Kenikmatan Fana untuk memperoleh Kenikmatan Abadi (Yang telah dijanjikan Yang Maha Kuasa).
Seseorang yang BERPUASA dengan senang hati berusaha menjauhkan dirinya dari kesenangan kehidupan tanpa faktor pencegah atau penghalang selain Mentaati Allah swt, dan menunjukkan Pengabdian yang menyeluruh keatas segala perintah-Nya.
Kenyataan ini telah disebutkan didalam khutbah Nabi saw;
“Setiap nafas kamu itu adalah tasbih (Penyucian kepada Allah swt) dan tidur kamu itu adalah dalam ibadah.”
Dengan demikian, seluruh waktu didalam BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK ini akan menjadi amalan ibadah. Setiap kegiatan dan aktiviti manusia BERIMAN yang BERPUASA akan memperolehi ganjaran pahala di sisi Allah swt selagi ia tidak melakukan perbuatan tercela.
Tidurnya orang yang BERPUASA, bahkan setiap hembusan Nafasnya merupakan amal ibadah, kerana dari jasad orang yang BERPUASA secara bersungguh-sungguh terpancar keberadaan ibadah yang terus menerus yang dikerjakan semata-mata kerana Ketaatan dan menghampirkan diri kepada Allah swt.
Rasulullah saw bersabda;
“Orang yang BERPUASA itu dalam beribadah kepada Allah swt walaupun ia tidur di katilnya selama ia tidak mengganggu orang muslim lain.”
Saidina Ali bin Abi Thalib berkata;
“Tidurnya orang yang BERPUASA itu adalah ibadah, diamnya adalah tasbih, doanya adalah mustajab dan amalannya diterima. Sesungguhnya bagi seorang yang BERPUASA ketika berbuka doanya tidak akan ditolak.”
Rasulullah saw bersabda;
“Sesungguhnya ada sebuah syurga yang pada pintunya ada penjaga yang melarang siapapun masuk kecuali hanya kepada orang yang BERPUASA.”
Imam Ja’far as-Shadiq berkata;
“Bagi orang yang BERPUASA itu ada dua kebahagiaan. Kebahagiaan ketika berbuka PUASA dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Tuhannya.”
Fathimah az-Zahra, puteri Rasulullah saw pula berkata;
“Dia (Allah swt) menjadikan PUASA sebagai penguat keikhlasan.”
* PUASA SEBAGAI ZAKATNYA BADAN.
Rasulullah saw bersabda;
“Segala sesuatu itu ada zakatnya, dan zakat badan itu adalah PUASA.”
Antara kata-kata Syeh Sufi;
“Jika semua harta adalah racun, maka zakatlah penawarnya. Jika seluruh umur adalah dosa, maka taubatlah ubatnya dan jika seluruh bulan adalah noda, maka Ramadhanlah pemutihnya.”
* PUASA SEBAGAI PERISAI DARI SEKSA API NERAKA.
Rasulullah saw bersabda;
“Hendaklah engkau BERPUASA, kerana sesungguhnya PUASA itu melindungimu dari seksa api Neraka dan jika engkau mampu, ketika maut datang memanggilmu, sedangkan perutmu dalam keadaan lapar, maka lakukanlah.”
* JAGALAH PUASA DAN SOLAT.
Rasulullah saw bersabda;
“Boleh sahaja orang yang BERPUASA hanya memperoleh lapar dan dahaga sahaja dari PUASANYA dan boleh sahaja orang yang solat malam hanya mendapatkan ketidaktidurannya itu dari solat malamnya.”
Saidina Ali bin Abi Thalib berkata;
“Hakikat PUASA itu adalah menjauhkan segala yang diharamkan sebagaimana seseorang mencegah dirinya dari makan dan minum.”
* HIKMAH PUASA.
Ketika Rasulullah saw dimi’rajkan, Baginda telah bertanya kepada Allah swt;
“Wahai Tuhan, apakah yang diwariskan dari PUASA ?”
Allah swt menjawab;
“PUASA itu mewariskan hikmah. Hikmah itu mewariskan Ma'krifat dan Ma'krifat itu pula mewariskan keyakinan. Maka, apabila seorang hamba telah memiliki keyakinan nescaya ia tidak lagi peduli apakah ia bangun di pagi hari dalam keadaan susah mahupun dalam keadaan senang.”
* PUASA SEBAGAI SARANAN PENDIDIKAN ROHANI.
Semua bentuk Pengibadatan yang diperintahkan oleh Allah swt bukanlah semata-mata amalan agama seperti yang disalah tafsirkan sesetengah orang. Seluruh Pengibadatan tersebut merupakan suatu bentuk terperinci dari pendidikan Rohani, Psikologi, Fizik dan Sosial.
Di samping itu, suatu saranan untuk menunjukkan Penyerahannya yang menyeluruh kepada Allah swt. Seluruh Pengibadatan itu berfungsi dan berperanan penting didalam memperbaiki, mengembangkan Jiwa dan Keperibadian seseorang yang pada gilirannya akan mempengaruhi masyarakat secara positif sebagai suatu kesatuan yang kukuh.
PUASA sahaja bukanlah sekadar menahan makan, minum dan hubungan seks sahaja, tetapi juga menahan diri dari semua perbuatan yang merugikan diri sendiri dan orang lain.
Konsep ini akan membentuk secara langsung sebuah masyarakat yang penuh kebajikan.
Rasulullah saw bersabda;
“Barangsiapa yang BERPUASA dalam Bulan Ramadhan kerana iman dan mencari keredhaan Allah swt serta menjaga telinga, mata dan lidah dari perkara yang merugikan orang lain, nescaya Allah swt akan menerima PUASANYA dan mengampuni kesalahan-kesalahannya di masa lalu.”
Imam Muhammad al-Baqir (Bapa Kepada Imam Ja’far as-Shadiq) berkata, bahawa Rasulullah saw pernah bersabda kepada Sahabat Baginda iaitu Jabir bin Abdillah;
“Wahai Jabir, barangsiapa BERPUASA pada Bulan Ramadhan, mendirikan solat di sebelah malamnya, menjaga hawa nafsu syahwatnya, mengawal lidahnya, merendahkan pandangannya dan tidak menyakiti perasaan orang lain, nescaya akan terbebas dari dosa seperti pada saat ia baru dilahirkan.”
Imam Ja’far as-Shadiq pula meriwayatkan dari datuknya, bahawa Rasulullah saw pernah bersabda;
“Apabila seseorang BERPUASA menjawab ketika dicerca, sejahtera ke atas kamu, saya tidak akan mencerca seperti yang anda lakukan, nescaya Allah swt akan berfirman,
“Demi PUASA, hambaKu telah menyelamatkan dirinya dari kejahatan hambaKu yang lain, maka Aku akan menganugerahkan perlindungan dari seksa api Neraka.”
* NASIHAT IMAM JA’FAR AS-SHADIQ KEPADA SEORANG MUSLIM YANG BERPUASA.
“Bilamana anda BERPUASA, jagalah pendengaran dan penglihatan anda dari yang haram. Jagalah seluruh anggota tubuh anda dari perbuatan yang buruk. Jangan mencerca atau menyakiti seorang hamba. Bersikap hormatlah sebagaimana mestinya seorang yang sedang BERPUASA. Diam dan tenanglah serta selalu berzikir kepada Allah swt. Jangan menganggap hari PUASA anda seperti hari biasa. Oleh itu, kawallah nafsu anda dari melakukan seks, mencium dan ketawa terbahak-bahak, kerana Allah swt tidak menyukainya.”
* PERINGATAN RASULULLAH SAW.
“Barangsiapa yang menyakiti saudara muslimnya, maka PUASANYA tidak SAH dan wuduknya terbatal. Apabila ia meninggal dunia dalam keadaan seperti itu, maka ia meninggal dunia dalam keadaan seperti orang yang menghalalkan apa yang diharamkan Allah swt.”
* KEDERMAWANAN DALAM BULAN RAMADHAN.
Imam Ja’far ash-Shadiq meriwayatkan bahawa datuknya, Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Hussain biasanya membebaskan 20 orang hamba sahaya atau lebih pada hari terakhir Bulan Ramadhan.
* PUASA MEMPERSAMAKAN TARAF KEHIDUPAN.
Imam Ja’far ash-Shadiq berkata;
“Allah swt mewajibkan PUASA untuk mempersamakan orang kaya dengan orang miskin. Dengan PUASA, orang kaya akan merasakan deritanya lapar untuk menimbulkan rasa belas kasihannya terhadap orang miskin, kerana selama ini orang kaya tidak pernah merasakannya. Allah swt menghendaki untuk menempatkan makhluk-Nya pada suatu taraf kehidupan yang sama dengan jalan membuat orang kaya turut merasakan deritanya lapar, sehingga ia merasa simpati dan belas kasihan terhadap orang yang lemah dan lapar.”
* HARI PENTING DI BULAN RAMADHAN.
Imam Ja’far as-Shadiq as berkata;
1) “Taurat diturunkan pada 6 Ramadhan, Injil pada 12 Ramadhan, Kitab Zabur pada 18 Ramadhan dan Furqan (Al-Qur’an) pada malam Lailatul Qadar.”
2) Ketika Imam Ash-Shadiq ditanya tentang Lailatul Qadar, beliau mengatakan;
“Carilah ia pada malam ke-19, ke-21 atau ke-23.”
3) Pada Bulan Ramadhan, Rasulullah saw kehilangan 2 orang yang dicintainya iaitu Siti Khadijah ra, isteri tercinta dan Abu Thalib Bapa saudaranya (Yang telah banyak berjasa kepadanya).
4) Pada 2 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah, terjadinya Perang Badar yang dimenangkan oleh kaum muslimin ke atas orang Kafir Quraisy, dimana tentara muslimin pada saat itu hanya berjumlah 313 orang sementara kaum kafirin berjumlah 1,000 orang.
5) Pada 15 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah, Saidina Hasan, cucu Rasulullah saw telah dilahirkan.
6) Pada Bulan Ramadhan Tahun ke-8 Hijrah, Makkah Al-Mukarramah telah ditawan oleh kaum muslimin.
7) Pada 19 Ramadhan tahun ke-40 Hijrah, Saidina Ali bin Abi Thalib telah ditetak kepalanya oleh pedang seorang durjana, Abdul Rahman ibnu Muljam, ketika beliau sedang mengimamkan Solat Subuh, lalu pada 21 Ramadhan beliau Syahid.
* RAMADHAN : HAKIKAT PUASA Martabat Syariat, Tarekat, Hakikat dan Ma'krifat.
Rasulullah SallaLlahu ‘Alaihi Wassalam bersabda;
"Ramadhan telah datang kepada kamu yang merupakan bulan berkat dan Allah telah mewajibkan PUASA dalam bulan ini. Semua pintu syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup serta dibelenggu syaitan. Ia mempunyai satu malam yang lebih baik dari seribu bulan dan sesiapa yang tiada bertemunya, ia sangat rugi.”
(HR. Imam Ahmad dan An-Nasai)
Ramadhan kini datang kembali. Ada sahabat kita yang telah kembali kepada Allah swt tanpa sempat bersama dengan Ramadhan kali ini. Kita yang dapat bersama Ramadhan lagi ini pun belum tentu dapat menemuinya lagi di tahun akan datang. Mungkin Ramadhan ini adalah yang terakhir didalam kehidupan kita di alam yang Fana ini.
Ramadhan begitu istimewa di sisi Allah swt dalam kurniaan kepada hamba-hamba-Nya. Kita bukan Kekasih Allah swt yang dapat melihat dengan Kasyaf terhadap perubahan alam dan langit pada Bulan Ramadhan, namun kita mengetahui ia amat istimewa melalui Sabda-sabda Nabi SallaLlahu ‘Alaihi Wassalam dan Para Ulama Waliyullah'.
Persiapan diri dalam mengharungi Ramadhan amatlah penting agar kemuliaannya tidak berlalu begitu sahaja. Kita tidak mahu menjadi golongan yang sekadar mendapat lapar dan dahaga, tetapi kita perlu mencapai Hakikat yang dikehendaki oleh Allah swt.
Mari kita mengharungi PUASA dengan mencapai Maqam Syariat, Tarekat, Hakikat dan Ma'krifat.
Pada Maqam Syariat, kita menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkannya.
Pada Maqam Tarekat, kita BERPUASA pada Qalbi dengan menghilangkan ingatan yang lain, hanya kepada Allah semata-mata serta memelihara gerak nafsu, pandangan, pendengaran, perkataan, perbuatan dari perkara-perkara yang diharamkan.
PUASA pada Martabat Hakikat, menenggelamkan diri dalam Kecintaan dengan BERPUASA Cinta yang lain melainkan hanya kepada Allah swt dan Rasul-Nya.
Manakala PUASA pada Maqam Ma'krifat ialah dengan membuka Cahaya Syuhudiah pada Mata Hati sehingga BERPUASA dari memandang yang lain melainkan Allah swt.
PUASA pada perut adalah amalan Syariat, diamalkan pada bulan Ramadhan. PUASA pada Qalbi, Roh dan Sirr' adalah amalan Para Salik, Ahli Khawwas, Ahli Khawwas al-Khawwas yang tiada baginya bulan tertentu, diamalkan sepanjang kehidupan mereka demi menyempurnakan Maqam Insan Kamil'Mukamil.
Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan mendalamkan perasaan Kehambaan, Syukur dan Cinta !
Cukuplah wahai sahabat-sahabatku yang menghitung-hitung amal dan bergembira dengannya. Allah swt tiada memandang pada bilangan amal yang zahir semata-mata, melainkan memandang kepada Hakikat yang dicapai pada Qalbinya.
Apa maknanya amal tanpa mencapai Hakikat, kerana ia tiada akan membawa apa-apa perubahan Jiwa dalam mencapai kehambaan.
Jangan jadikan PUASA sebagai ritual ibadah semata-mata, namun hendaklah masuk ke pintu Ramadhan bagaikan masuk ke pintu Madrasah pembinaan Rohani untuk menghasilkan IMAN yang bergetar Hatinya apabila menyebut nama Allah swt.
Firman Allah swt;
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu BERPUASA sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
(QS. Al-Baqarah : 183)
Madrasah Ramadhan, masuknya melalui pintu Kerahmatan dan keluar melalui pintu Keampunan sehingga menemui mutiara Ketaqwaan. Mutiara Taqwa disematkan ke dalam Qalbu dalam setiap detik Nafas kehidupan sehingga memancar kilauannya yang membawa kepada Lautan Dzauk, Asrar, Hal, Fana dan Maqam.
Titiskan air mata bersama dengan taubat penyesalan kerana tiada menghargai Ramadhan yang menjelma dalam kehidupan yang lalu. Sematkan azam, kuatkan IMAN agar kali ini kita dapat mencapai mutiara-mutiara yang indah didalam Rahasia Lautan Ramadhan kurnia Dzat Yang Maha Agung.
Semoga Bulan Ramadhan ini dapat kita MEMBAKAR dan PUASAKAN segala-gala dosa kita yang lalu, untuk kita mencapai Hakikat TAUHID yang sebenar-benarnya. Agar selepas dari kita melewati Bulan Ramadhan ini, Rohani kita telah bebas dari hawa nafsu Berkat kita BERPUASA, kerana didalam BERPUASALAH kita dapat mensucikan Rohani kita untuk menuju kejalan RAHMAT ALLAH swt.
Kalam Syeh Haqtullah;
"Tak sehari pun aku lapar kerana Allah swt, melainkan aku melihat satu pintu HIKMAH di hatiku yang belum pernah kulihat sebelumnya."
....... Allahumma Salli Ala Sayyidina Muhammad Wa Barik Wa Sallim,
Allah Hu Allah.......

( Sumber dari Syeh Haqtullah )


Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan