REKOD HUBUNGAN UTHMANIYYAH - SIAM


 REKOD HUBUNGAN UTHMANIYYAH - SIAM

Empayar Uthmaniyyah adalah sebuah kerajaan yang menjadi kebanggaan umat Islam sehingga kini. Usia kerajaannya yang hampir 900 tahun dan pernah menguasai lebih 5.2 juta km persegi keluasan jajahan maka tidak hairanlah nilai sejarahnya sering menjadi bualan semua pihak. Pada tahun 1923, kerajaan Uthmaniyyah telah menjadi republik Turki secara rasmi, namun tidak ada mana-mana negara Islam yang mampu mencapai kehebatannya.



Siam adalah sebuah negara yang paling licik berpolitik di Asia Tenggara. Raja mereka mahir berdiplomatik sehingga kekal menjadi negara yang tidak pernah dijajah didalam Asia Tenggara. Siam mempunyai kelasnya yang tersendiri dan cekap membaiki kelemahan biarpun pernah terlibat didalam perang Burma dan bertukar dinasti. Pada tahun 1939, Siam telah menukar namanya menjadi Thailand dan menjadi sebuah negara yang mengamalkan Raja Berpelembagaan.
Uthmaniyyah dan Siam mempunyai sejarah dan agama yang berbeza. Namun disebalik perbezaan itu, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa dua buah kerajaan ini pernah mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan. Pihak Uthmaniyyah mula menunjukkan minat untuk meneroka kawasan Asia Tenggara pada zaman Sultan Selim I pada tahun 1516. Sebuah kitab bernama Khitaynama (Buku China) telah diterbitkan untuk menjelaskan mengenai Asia. Begitu juga dengan penulisan Piri Reis diterbitkan pada tahun 1525 mencatatkan mengenai aktiviti Portugis di lautan Hindi dan serangan mereka keatas Melaka.



Selain daripada itu, seorang pelayar Arab bernama Ahmad Majid turut mencatatkan lokasi semenanjung Tanah Melayu dan juga Shahr-I Naw (Ayuthaya) didalam Hawiyat al-ikhtisar fi ‘ilm al-Bihar. Kajian beliau didalam sudut geografi agak mengelirukan namun seorang lagi pelayar bernama Sulayman al-Mahri turut menceritakan mengenai Tanah Melayu, Isthmus of Kra (Segenting Kra) dan Shahr-I Naw (Ayuthaya). Laporan tersebut menguatkan lagi kedudukan sebenar geografi Asia Tenggara.
Pada tahun 1648, Katib Celebi telah mengeluarkan laporan paling lengkap mengenai Asia Tenggara didalam peta beliau. Beliau meletakkan keseluruhan semenanjung Tanah Melayu, Tennaserim, Pattani dan Singapura berada dibawah jajahan(Siyam). Pengetahuan Katib Celebi mengenai sempadan politik tidak begitu baik mungkin kerana hanya merujuk kepada Siam tanpa pergi ke wilayah lain. Bahkan agak melucukan apabila Siam diletakkan sebagai penganut agama Majusi hanya kerana menyembah patung. Laporan beliau lebih banyak terarah kepada Tennaserim kerana kawasan tersebut adalah kawasan perdagangan. Walaupun peta Katib Celebi lemah pada sudut sempadan politik dan budaya, namun peta ini tetap menjadi rujukan utama eropah kerana ketepatan geografinya.
Didalam Penulisan Mendes Pinto, beliau telah mencatatkan bahawa seorang lelaki berbangsa Turki bernama Heredim Mohammad telah diambil bekerja pada tahun 1544 oleh Raja Siam. Heredim Mohammad datang bersama Suleiman Pasha, seorang ketua armada dari Mesir. Mereka telah dihantar oleh Sultan Suleiman ke India pada tahun 1538. Heredim dikatakan telah sesat dan tiba ke Tennaserim. Heredim kemudian diupah Raja Siam untuk menjaga sempadan Laos dan gangguan Portugis dengan bayaran 12 ribu (cruzados) setahun. Beliau juga mempunyai 300 orang Jannisaries yang setia dengan beliau. Menurut Pinto lagi, Heredim adalah seorang yang berkeyakinan, berbangga dengan keturunan Turki dan berjanji dengan Raja Siam bahawa beliau akan membawa 4 kepala kapten Portugis yang sering mengganggu laut Siam. Namun didalam peperangan tersebut, pihak Portugis telah menang dan Heredim telah terbunuh.
Didalam rekod lain pula Pinto menjelaskan bahawa didalam kempen Raja Siam Chairacha (1534-1546) menentang Chiang Mai dan Laos. Tentera Siam berada dibawah dua orang panglima berbangsa Turki dan seorang Portugis. Rekod Pinto jelas menunjukkan bahawa terdapat hubungan perdagangan dan bantuan yang telah diberikan orang Turki kepada Siam. Perkara ini tidak pelik terutama pada zaman Raja Narai kerana baginda menerima ramai pedagang Parsi yang akhirnya menjadi penduduk Siam.
Pada tahun 1767, Burma telah mengalahkan Siam didalam perebutan wilayah. Kekalahan Siam telah menyebabkan perdagangan diantara Siam dan Uthmaniyyah terhenti. Berkemungkinan banyak rekod perdagangan diantara dua pihak telah dimusnahkan didalam peperangan tersebut. Namun begitu hubungan diplomatik dengan Acheh masih diteruskan.
Pada abad ke-19, hubungan antara Siam dan Uthmaniyyah dicatatkan sewaktu Raja Chulalongkorn melawat India. Didalam perjalanan tersebut Raja Siam telah melawat Bombay dan menerima surat rasmi konsul Uthmaniyyah di Bombay. Selain itu pada tahun 19 November 1891, Putera Damrong Rajanubhab telah mengadakan lawatan di Eropah dan ingin melawat Istanbul. Putera Damrong meminta konsul Siam di Berlin menghantar surat permohonan kepada Sultan Abdul Hamid II. Lawatan tersebut turut disertai Putera Chirapravati Voradej, Putera Prompong Atiraj, Phraya Thewet Wongwiwat dan beberapa orang kenamaan yang lain termasuk eropah. Pada hari Jumaat 20 haribulan, Putera Damrong, Putera Obolensky dan Duta Russia dibawa melawat aktiviti solat Jumaat di Majsjid Yildiz.
Aktiviti lawatan Putera Damrong turut dimuatkan didalam akhbar rasmi Turki iaitu Sabah. Aktiviti yang paling menarik dan dimuatkan didalam akhbar Sabah ialah lawatan putera Damrong berjumpa menteri pendidikan untuk mengenali polisi pendidikan. Selain itu informasi mengenai negara Siam turut dimuatkan didalam akhbar tersebut sebagai pengetahuan baru kepada rakyat. Sepanjang berada di Uthmaniyah, Putera Damrong turut melawat Dolmabache, Tophane, Galata, Istana Topaki, Muzium, sekolah seni, Hagia Sophia dan Masjid Biru.
Pada tahun 8 Mac 1909, Putera Boworadet telah melawat Istanbul. Beliau telah berjumpa dengan Menteri Antarabangsa dan Pertahanan Uthmaniyyah untuk mempelajari infrastruktur ketenteraan. Beliau ditemani Suleyman Feyzullah selaku penterjemah. Lawatan beliau berakhir pada 12 Mac dan telah bergerak ke Romania. Kedatangan beliau tidak begitu mendapat liputan media membuatkan tidak banyak aktiviti sebenar direkodkan.
Hubungan Uthmaniyyah dan Siam masih lagi menyimpan banyak rahsia terutama dizaman Ayuthayya. Ini kerana terdapat banyak rekod bantuan orang Uthmaniyyah kepada Raja Siam yang masih misteri. Selain itu, sejauh mana hubungan diplomatik diantara dua buah kuasa besar ini masih tidak ada penjelasan lengkap. Begitu juga dengan peranan Portugis ke Asia Tenggara seperti di Tennaserim dan Siam. Perkara ini masih lagi didalam perbincangan para pengkaji. Sama-sama kita nantikan.



Rujukan
The Ottoman Empire and The Kingdom Of Siam Through The Ages
#Sejarah #uthmaniyyah #siam #thailand #Kedah #malaysia #Histourism #Damrong #Chulalongkorn #Politik #diplomatik
 Sumber dari Histourism - History & Tourism






Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan