RASULULLAH DITABALKAN

 RASULULLAH DITABALKAN

Akhirnya sampailah hari yang bersejarah, di mana dengan itulah berlaku perubahan besar kepada dunia ini dan juga kepada sejarah manusia dan sejarah dunia. Mengikut pandangan yang dipilih oleh para Ulamak, tarikh itu ialah pada malam 27 Ramadhan. Ketika Rasulullah Saw sedang beribadah di Gua Hirak, tiba-tiba muncul seorang lelaki berpakaian putih membawa satu bekas Dibaj, satu jenis kain sutera, di dalamnya ada Kitab. Begitulah Rasulullah Saw menceritakan tentang peristiwa itu. Kata Rasulullah Saw, aku menjadi takut bila lelaki itu muncul tiba-tiba dan dia berjalan ke arahku dan menyuruh aku membaca اقرأ dan ditunjukkan Kitab kepadaku. Aku menjawab dalam ketakutan. Aku tidak tahu membaca. Lelaki itu memeluk aku dengan satu pelukan yang sangat kuat. Hampir-hampir nyawaku keluar dari jasad namun ketika itu hilang rasa takut aku kepadanya. Lelaki itu menyuruh aku lagi. Ya Muhammad, iqra! Aku menjawab, aku tidak boleh membaca dipeluknya aku lagi seperti pelukan yang pertama tadi. Dia menyuruh aku baca lagi, Wahai Muhamad baca, sekali lagi aku menjawab, aku tidak boleh membaca. Lelaki itu memeluk aku lagi kali ketiga, hampir hampir aku mati. Wahai Muhammad baca, aku jawab lagi, aku tidak boleh membaca. Kata lelaki itu:

Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhan yang telah menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah bersama Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang telah mengajar dengan Al Qalam. Yang mengajar kepada manusia apa-apa yang tidak diketahuinya. (Al A'laq 1-5)

Inilah ayat pertama yang turun dari langit. Ayat ini turun pada malam Lailatul Qadar, dibulan Ramadhan. Firman Allah :

Sesungguhnya kami (Allah) telah menurunkannya pada malam Lailatul Qadar

Kata Rasulullah Saw : Selepas aku membaca ayat ini lelaki tadi pun hilang. Rasulullah Saw menjadi semakin takut apa sebenarnya yang sedang berlaku pada dirinya. Pada masa itu juga Siti Khadijah di rumah, isteri solehah yang sangat setia, sangat menyayangi dan memahami suaminya, hatinya dapat merasakan ada sesuatu yang sedang berlaku pada suaminya. Subhanallah begitulah isteri yang telah menjiwai suaminya, berlaku hubungan hati antara mereka kerana kedua duanya mempunyai hati yang bersih. Siti Khadijah menghantar khadamnya untuk melihat Rasulullah Saw di Gua Hirak. Ketika itu Rasulullah Saw sudah bergerak turun dari gua sambil berlari selepas mengalami peristiwa besar tadi. Bila khadam sampai di Gua, dia mendapati Rasulullah tidak ada disitu, lalu dia bergegas mencari di sekitar kawasan itu namun Rasulullah tidak pun ditemuinya.

Ketika itu Rasulullah Saw sedang berlari menuju ke Mekah. Tiba-tiba sedang Rasulullah Saw berlari itu, satu suara dari langit memanggil wahai Muhammad. Ketika itu Rasulullah Saw melihat ke langit. Baginda terpandang satu pemandangan yang paling pelik bagi seorang manusia. Baginda lihat Saidina Jibril sedang berada di atas Arasy, terawang-awang di udara dengan 600 sayapnya memenuhi langit dari Timur ke Barat. Langit kelihatan penuh. Sehingga ke mana saja Rasulullah Saw Baginda tetap nampak Saidina Jibril. Lalu Saidina Jibril menyeru :

Wahai Muhammad, engkaulah Rasulullah Saw

Wahai Muhammad, engkau pesuruh Allah, akulah Saidina Jibril.

Kerana hebatnya peristiwa itu, Rasulullah Saw berdiri terpaku ditempatnya. Allah telah menggambarkan peristiwa dalam Al Quran.

Demi bintang bila ia terbenam. Tidaklah sesat temanmu Muhammad dan tidak pula dia tersalah kepercayaannya. Dan tidaklah juga dia berbicara menurut hawa nafsunya. Ia (Al Quran) tidaklah selain wahyu yang diwahyukan kepadanya. Sementara yang telah mengajarnya ialah yang tersangat perkasa (Jibril) yang mempunyai akal yang benar lalu dia berdiri dengan rupa asalnya sedangkan dia berada di ufuk tertinggi. Lalu ia hampir dan semakin hampir kepada Rasulullah. Sehingga jaraknya dari Rasululah hanyalah sejarak dua buah panah atau lebih dekat lagi. Kemudian dia mewahyukan kepada hambanya Muhammad apa yang diwahyukannya. Tiadalah hati Rasulullah mendustakan apa yang dilihat oleh matanya. (An Najm 1-11)

Begitulah gagahnya Saidina Jibril. Bukankah dia ketua para Malaikat dan dialah yang berperanan menyampaikan wahyu kepada para Nabi dan para Rasul. Kalau nak dibayangkan bagaimana kekuatan Saidina Jibril, lihatlah bagaimana dengan hujung satu sayapnya sahaja, dia boleh mengangkat satu negeri dan dibenamkannya kembali ke bumi sehingga menjadi sebuah laut. Itulah dia Laut Mati yang ada di sempadan Jordan dan Pelastin sekarang. Penglihatan ini bukan khayal tapi penglihatan yang hakiki. Jadi Rasulullah Saw melihat Saidina Jibril seperti yang Allah ciptakan dengan mata kepalanya. Rasulullah Saw sepanjang hayatnya hanya melihat Saidina Jibril dalam bentuk ini dua kali. Ini kali pertama, dan kali kedua semasa Israk Mikraj.

Satu pemandangan yang terlalu hebat dan dahsyat bila Rasulullah melihat Malaikat yang paling gagah itu. Sebab itu diwaktu-waktu lain, Saidina Jibril datang kepada Rasululah dalam berbagai bentuk. Adakalnya dalam jelmaan seorang lelaki, ada kalanya seperti deringan bunyi loceng. Bahkan pernah juga Saidina Jibril datang dalam rupa Saidina Dehyah Al kalbi salah seorang Sahabat Rasulullah Saw yang kacak.

Rasulullah Saw terpaku di situ beberapa ketika bahkan Baginda tak boleh bergerak kerana ketakutan menghadapi pengalaman yang sangat luar biasa itu. Setelah Saidina Jibril hilang cepat-cepat Rasulullah Saw menuju ke rumahnya. Bila Rasulullah sampai saja di rumah dalam suasana begitu, Siti Khadijah sudah bersedia menyambut suaminya. Dari wajah suaminya dia sudah tahu suaminya sedang berada dalam keadaan yang sangat luar biasa bahkan ketakutan yang amat sangat. Bahkan Siti Khadijah dapat melihat Rasulullah Saw mengeletar dan minta diselimutkan. Siti Khadijah tanpa banyak tanya terus menyelimutkan Rasulullah Saw sehinggalah Rasulullah Saw kembali tenang. Ketika itu barulah dia bertanya. Begitulah beradabnya Siti Khadijah kepada suaminya. Dia bertanya dengan penuh hikmah, apa yang berlaku? Rasulullah Saw pun menceritakan apa yang berlaku. Kata Siti khadijah, mungkin kamu takut diganggu oleh jin. Benar, jawab Rasululah Saw.

Lihatlah bagaimana Siti Khadijah berhadapan dengan suaminya ketika itu. Lihat ulasan Siti Khadijah. wanita yang terkenal paling baik dizamannya. Sebab itu disebutkan :

Siti maryam wanita paling baik dizamannya dan Siti Khadijah juga wanita paling baik dizamannya

Lihat ulasan Siti khadijah kepada peristiwa yang dialami oleh Rasulullah Saw suaminya. Ulasan dari orang yang kenal siapa Rasulullah Saw. Kata khadijah dengan penuh yakin : Demi Allah, tidak sekali kali kamu akan ditimpakan dengan perkara yang tidak baik. Sedangkan kamu adalah orang yang menyambungkan silaturrahim, kamu adalah orang yang membantu orang dalam kesusahan dan orang orang yang lemah, kamu orang yang berkorban ketika berlaku bala bencana, kamu orang yang menunaikan hajat orang lain. Dengan segala amalan kamu yang baik ini, tak mungkin kamu ditimpakan dengan sesuatu yang tidak baik.

Setelah suasana tenang, Siti Khadijah yang bijaksana dan yang sangat terpimpin dalam tindakannya itu, telah membawa Rasulullah Saw suaminya bertemu dengan anak saudaranya Waraqah bin Naufal. Waraqah telah memeluk agama nasrani sebelum ini. Dia telah belajar Kitab-Kitab Nasrani dan dia tahu, ini zaman kenabian. Bila diceritakan kepadanya apa yang berlaku kepada Rasulullah Saw, Waraqah mendengar dengan penuh prihatin. Dia sangat terkejut, semua tanda-tanda yang diketahuinya ada pada Rasulullah Saw, hingga terluncur dari mulutnya, Maha Besar Tuhan, Maha Besar Tuhan. Demi Allah, telah datang kepadanya Namus Al Akbar. Saidina Jibril yang telah datang kepada Nabi Musa sebelum ini. Kemudian Waraqah meneruskan lagi :

Alangkah baiknya Kalau waktu itu aku masih muda agar aku dapat membantu Rasulullah Saw berhabis-habisan. Ketika mana kaumnya mengeluarkannya dari negerinya.

Rasulullah Saw menjadi terkejut. Apakah kaumku akan mengeluarkan aku dari Mekah. Apakah yang aku lakukan, bukankah Rasululah juga dari kalangan bangsawan mereka. Kata Waraqah :

Demi Allah Tidak ada seorang pun yang membawa perjuangan seperti yang kamu bawa melainkan pasti dia disakiti.

Dengan turun ayat Iqra' tadi, para ulamak menyebut bermulalah kenabian Nabi kita Muhammad Saw. Nabi tidak diperintah menyampaikan walaupun Nabi mendapat wahyu. Sedangkan Rasul itu orang yang dapat wahyu dan diperintahkan menyampaikan. Selepas itu Saidina Jibril tidak datang lagi kepada Rasulullah Saw dalam satu tempoh yang agak panjang iaitu selama 6 bulan. Dalam tempuh ini Waraqah meninggal dunia. Rasulullah Saw ada menyebut dalam Hadis :

Aku telah melihat Waraqah bin Naufal dalam Syurga

Sebab dia telah berazam dengan hatinya untuk masuk Islam dan berjuang bersama Rasulullah Saw.

Pengalaman bertemu Saidina Jibril pada kali pertama memang menakutkan bagi Rasulullah Saw. Tapi lama-kelamaan Rasulullah Saw menjadi rindu untuk bertemu dengan Saidina Jibril dan mendapat wahyu. Sehingga Rasulullah Saw keluar ke padang pasir menuggu-nunggu kalau-kalau Saidina Jibril datang. Begitulah hikmah terputusnya wahyu beberapa ketika hingga Rasulullah Saw dapat menyesuaikan diri dengan wahyu. Rasululah tidak takut lagi bahkan jadi bersedia untuk menerimanya. Memang itulah yang berlaku kepada Rasulullah Saw. Daripada ketakutan, Rasulullah akhirnya rindu untuk bertemu Saidina Jibril lalu baginda sering keluar berseorang ke padang pasir menunggu kedatangan Jibril. Wallahua'lam.

( Sumber dari FB Rahmat Rahman )




Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan