SEJARAH RINGKAS TAREKAT GHAZALIYAH


 SEJARAH RINGKAS TAREKAT GHAZALIYAH

Tarekat Ghazaliyah ini di asaskan oleh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali (Muhammad bin Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali), mujaddid bagi kurun ke-5 Hijriyah. Untuk memahami asal-usul Tarekat Ghazaliyah ini, kita akan mengimbas kembali perjalanannya sejak zaman Rasululah saw SECARA RINGKAS.

Ada 3 TUNGKU AGAMA ISLAM sebagaimana yang dihuraikan dalam hadis sahih di mana malaikat Jibril datang mengajarkan Rasulullah di hadapan beberapa orang sahabat baginda iaitu FEKAH/FIQH (berkait dengan Rukun Islam), ‘AQIDAH (berkait dengan Rukun Iman) dan TASAWUF (berkait dengan Rukun Ihsan). Setiap tungku agama ini ada mazhab-mazhabnya.

Semua tungku agama ini bermula sejak zaman Rasululah saw, tetapi diasaskan kemudiannya sebagai mazhab-mazhab tersendiri oleh ulama-ulama yang datang kemudian, mengikut keperluan dan tajdid sesuatu zaman dan keadaan itu.

Contoh mazhab2 dalam tungku pertama (FIQH/FEKAH) ialah Mazhab Hanafi yang diasaskan oleh Imam Abu Hanifah, Mazhab Maliki yang diasaskan oleh Imam Malik, Mazhab Syafi’i yang diasaskan oleh Imam Asy-Syafi’i, Mazhab Ath-Thawri yang diasaskan oleh Imam Sufyan ath-Thauri dan Mazhab Hanbali yang diasaskan oleh Imam Ahmad bin Hanbal. Nama-nama ini merupakan para MUJTAHID MUTLAK dalam tungku fiqh. Sebagai mujtahid mutlak, mereka layak mengasaskan aliran mereka sendiri.

Contoh mazhab2 dalam tungku kedua (‘AQIDAH) ialah Mazhab Asya’irah yang diasaskan oleh Imam Abu Hasan al-Asy’ari dan Mazhab Al-Maturudiyyah yang diasaskan oleh Imam Abu Mansur al-Maturudi. Nama-nama ini merupakan para MUJTAHID MUTLAK dalam tungku ‘aqidah. Sebagai mujtahid mutlak, mereka layak mengasaskan aliran mereka sendiri.

Contoh Mazhab2 dalam tungku ketiga (tasawuf) pula ialah Mazhab Al-Junaidiyyah yang diasaskan oleh Imam Junaid al-Baghdadi, Mazhab Al-Qusyairiyyah yang diasaskan oleh Imam Al-Qusyairi, dan Mazhab Al-Ghazaliyyah yang diasas oleh Imam Al-Ghazali. Nama2 ini merupakan para MUJTAHID MUTLAK dalam tasawuf. Sebagai mujtahid mutlak, mereka layak mengasaskan aliran mereka sendiri.

RINGKASNYA, kesemua tiga tungku agama ini dimulakan oleh Rasulullah saw tetapi DIASASKAN KEMUDIANNYA sebagai mazhab/jalan/aliran/tariq yang tersendiri oleh mujtahid2 mutlak yang datang kemudian, mengikut keperluan zaman dan tajdid.

Berbalik kepada Imam Al-Ghazali, sebagaimana para ulama zaman itu, mereka punya BANYAK TARIQ kerana mempunyai ramai guru. Ada tariq yang mereka ceritakan kepada murid2 dan ada yang tidak, kerana guru2 mereka sangat ramai dan tariq mereka sangat banyak. Biasanya tariq yang diingat oleh generasi kemudian hanyalah tariq yang utama atau yang popular sahaja.

Imam Al-Ghazali sendiri mempunyai banyak guru dan tariq. Dalam banyak2 tariq itu, ada satu tariq utama. Tariq-tariq inilah yang menjadi sanad Tarekat Ghazaliyah daripada Rasulullah saw dan turun melalui beberapa generasi sehinggalah sampai kepada Imam Al-Ghazali. Kesemua tariq atau sanad inilah yang menyumbang kepada pengasasan Tarekat Ghazaliyah oleh Imam Al-Ghazali kemudiannya.

Dalam bidang khusus keRUHanian iaitu tasawuf sufi, pada suatu ketika Imam Al-Ghazali berasa sangat tidak puas hati dengan pencapaiannya walaupun itu dia sudah menjadi ulama no.1 kerajaan Islam. Hal ini kerana dia sudah nampak BAYANGAN suatu MAQAM yang lebih tinggi dalam keRUHanian ini tetapi dia tidak berjaya mencapainya. Dia mula sedar bahawa guru2, kitab2 dan tariq2 yang ada pada zamannya itu tidak akan berjaya membawanya untuk melangkah ke maqam tersebut.

Imam Al-Ghazali pernah berguru dengan Syeikh Yusuf an-Nassaj. Sehingga gurunya itu meninggal dunia, dia masih belum dapat melangkah ke maqam tersebut.
Dia berguru dengan Imam Al-Haramain. Sehingga gurunya itu meninggal dunia, dia masih belum dapat melangkah ke maqam tersebut.
Dia berguru dengan Syeikh Al-Farmadhi. Sehingga gurunya itu meninggal dunia, dia masih belum dapat melangkah ke maqam tersebut.
Ramai lagi guru-gurunya dalam bidang tasawuf, tetapi maqam yang sudah kelihatan bayang-bayangnya itu masih gagal dicapai juga.
Imam Al-Ghazali juga tidak pula menyambung tarbiahnya di bawah penggganti guru-guru tersebut, kerana dia mungkin sudah boleh mengagak keputusannya.

RINGKAS KATA, dengan segala guru, segala kitab dan segala tariq yang ada pada zaman itu, Imam Al-Ghazali tidak nampak jalan untuk dia mencapai maqam yang sudah dinampak bayang-bayangnya itu. Hal ini membuatkan dia jatuh sakit ganjil. Tidak ada tabib atau ubat yang berjaya mengubatinya. Akhirnya dia sedar bahawa penyakitnya hanya boleh diubati jika dia berjaya mencapai maqam yang dimaksudkan itu.

Oleh itu, Imam Al-Ghazali mengambil keputusan untuk meninggalkan kehidupan biasanya sebagai ulama no. 1 daulah Islam lalu keluar beruzlah (mengasingkan diri menurut lunas2 agama). Dia beruzlah selama lebih kurang sebelas tahun.

Dalam uzlahnya inilah Imam Al-Ghazali mengarang kitab Ihya’ ‘Ulumuddin, baru berjaya melangkah ke maqam yang diidam-idamkannya itu, dan baru mengasaskan Tarekat Ghazaliyah. Dalam uzlahnya ini jugalah baru dia mengisyaratkan dirinya sebagai mujaddid kurun tersebut, sebagaimana yang diisyaratkan dalam kitabnya Al-Munqiz min adh-Dhalal. Jadi, ada kaitan antara Tarekat Ghazaliyah dengan TAJDID pada zaman tersebut.

Sebenarnya, Imam Al-Ghazali seperti berusaha terlalu gigih untuk mendapatkan sesuatu yang tidak ada pada zamannya, walaupun perkara itu sebenarnya memang ada pada zaman-zaman sebelumnya tetapi kemudiannya mungkin telah “mati”. Mungkin sebab itulah kitabnya dinamakan sebagai “Ihya’” (menghidupkan). Inilah antara kualiti yang membuatkan dia dipandang sebagai mujaddid kurun tersebut.

Antara sahabat merangkap murid terawal Imam Al-Ghazali dalam Tarekat Ghazaliyah ini ialah imam Masjid Umawi di Syria, iaitu antara tempat uzlah Imam Al-Ghazali yang termasyhur. Imam itu ialah Syeikh Ali as-Sulami, seorang tokoh utama umat Islam dalam Perang Salib dan ada mengarang kitab tentang jihad melawan tentara salib iaitu Kitab Al-Jihad. Banyak kata-kata Imam Asy-Syafi’i dan Imam Al-Ghazali yang dipetik dalam kitab tersebut. Sebagai imam masjid, As-Sulami ialah orang atau murid yang ada akses untuk berurusan secara langsung dengan Imam Al-Ghazali yang banyak beruzlah di menara Masjid Umawi yang berkunci itu. Sebahagian orang menisbahkan Syaiekh Ali as-Sulami sebagai “Al-Ghazali Damsyik”.

Pulang daripada uzlah, Imam Al-Ghazali pun menurunkan segala ilmunya kepada adiknya iaitu Imam Ahmad al-Ghazali. Imam Ahmad al-Ghazali iniah yang menjadi pewaris utama Tarekat Ghazaliyyah selepas kematian abangnya.

Sejak itu Tarekat Ghazaliyah pun teruslah diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi, sehinggalah ke zaman kita ini.

Begitulah SEJARAH RINGKAS Tarekat Ghazaliyah. Wallahua’lam.
.

Abu Zulfiqar Al-Amsyari
23 Oktober 2020

Bagaimana artikel ini boleh tertulis?
Dari semasa ke semasa, ada pelajar2 pusat pengajian tinggi yang berurusan dengan saya untuk menyiapkan tugasan mereka yang berkait dengan tarekat. Antara soalan yang popular (sama ada dalam bentuk bertulis, berhadapan, atau melalui media) tentunya tentang sejarah ringkas Tarekat Ghazaliyah. Maka saya terfikir untuk menulis sedikit tentang hal itu agar tidak perlulah saya mengulang-ulang penerangannya pada kemudian hari.

Asal artikel : Blog Debunga Teratai Syurgawi

#tarekatghazaliyah
#abuzulfiqaralamsyari

Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan