Tuan Guru Tan Sri Dato' Haji Hassan Azahari ( 1928 - 2018 )

Tuan Guru Tan Sri Dato' Haji Hassan Azahari.

Riwayat hidup beliau :
Tuan Guru Tan Sri Dato' Haji Hassan Azahari ( 1928 - 2018 )
Beliau dilahirkan pada 18 Ogos 1928 di Kampung Syu’ib Amir di Mekah. Ayahnya bernama Tuan Guru Haji Azhari Abdul Khaliq, adalah tokoh agama terkenal di Selangor manakala ibunya ialah Fatmah Abdul Hakim, berketurunan Arab Mesir al-Shanani.
Beliau dibesarkan dalam persekitaran keluarga dan masyarakat yang berilmu dan beragama. Beliau mempelajari al-Quran sejak kecil di Mekah. Di peringkat rendah, mempelajari secara formal di Madrasah Dar al-Ulum, Mekah.
Ketika berusia lapan tahun, berhijrah ke Tanah Melayu bersama abangnya, Abdul Hakim dengan menaiki kapal laut selama beberapa bulan. Di Tanah Melayu, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Marta al-‘Ulum al-Diniyah di Kuala Langat, Selangor seterusnya ke Sekolah Arab al-Hayat al-Mardiyyah di Kampung Jawa, Selangor. Beliau menyambung pelajaran ke Sekolah al-Junaid, Singapura selama dua tahun untuk meningkatkan penguasaan bahasa Arab.
Kemudian, beliau menyambung pengajian ke Maahad al-Ulum (kini Sekolah Agama Menengah Hishamuddin, Kelang) dan memperoleh sijil Rabi’ Thanawi. Bagi mendalami pengajian al-Quran, beliau kembali ke Mekah dan menyambung pengajian dengan Sheikh Ismail Tamim.
Beliau kemudiannya mempelajari bidang tarannum dengan beberapa ulama. Diantara guru beliau ialah :
1. Syeikh Muhammad Yasin Isa al-Fadani
2. Syeikh Ismail Tamim (salah seorang imam masjid di Mekah)
3. Sayyid Abu Bakar al-Saqqaf
4. Syeikh Abdullah al-Faqih
5. Syed Mahmud Lutfi Amir (guru taranum)
6. Syeikh Mahmud al-Bukhari (riwayat Hafs)
7. Syeikh Muhammad Abdul Samad
8. Syeikh Dr. Ahmad Nuaina
9. Syed Mahmud Amin Tantawi (riwayat Warsy Imam Nafi’)
Tuan Guru Haji Hassan merupakan hakim Pertandingan Tilawah al-Quran yang paling lama berkhidmat dalam negara. Hampir 46 tahun berkhidmat sebagai hakim, beliau juga menjadi hakim di Arab Saudi, Mesir, Iran, Dubai, Singapura, Brunei dan Thailand.
Disamping itu, beliau juga adalah pemenang tempat pertama Pertandingan Tilawah al-Quran yang diadakan di Malaya pada 1947.
Sepanjang hayatnya, beliau telah mengajar al-Quran dalam Radio Malaya dari 1960 hinggalah 2000. Beliau turut mengacarakan rancangan agama selama lapan tahun di TV1 yang bertajuk Muqaddam pada 1970-an. Rancangan ini memberi pendedahan yang mudah untuk membaca al-Quran daripada permulaan.
Pada 1997, beliau mendapat Anugerah Khas Seri Angkasa kerana penglibatannya selama 40 tahun bersama RTM.
Beliau juga merupakan penerima Tokoh Ma’al Hijrah 2002, yang merupakan penghormatan tertinggi bagi individu yang memberikan banyak sumbangan terhadap kemajuan Islam di dalam negara.
Tidak ramai yang tahu siapakah lelaki yang melaungkan azan sewaktu Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan pada 31/8/1957. Beliau ialah Tuan Guru Haji Hasan Azahari.
Tuan Guru Haji Hassan Azahari telah memberi sumbangan besar kepada negara dengan melaungkan azan semasa menyambut kemerdekaan negara di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957. Beliau turut melaungkan azan pada perasmian Masjid Negara pada tahun 1967, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.
Beliau mempunyai 22 orang anak dari tiga orang isteri. 13 orang anak yang pertama hasil perkahwinan beliau dengan isteri pertama, Sahara Abdul Samad, yang meninggal pada April 2004. Tiga orang anak lelakinya yang amat dikenali ramai ialah :
1. Bekas Ketua Polis Negara - Tan Sri Musa Hassan
2. Bekas ADUN Hulu Klang - Dato' Fuad Hassan
3. Pelakon terkenal - Dato' Jalaluddin Hassan.
Tuan Guru Tan Sri Haji Hassan Azahari meninggal dunia pada 6 Oktober 2018 jam 5 petang di Hospital Kuala Lumpur. Jenazahnya disemadikan di Makam DiRaja Shah Alam.
Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin
*Sumber - Maklumat Awam
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan