GERAKAN KETIKA BERZIKIR DAN TARIAN PADA MAJLIS AL-SIMA’


GERAKAN KETIKA BERZIKIR DAN TARIAN PADA MAJLIS AL-SIMA’

 Adakah para Sahabat Nabi bergerak-gerak sepertimana tanaman bergoyang ketika berzikir?
J: Secara tabienya, seseorang itu terkesan dengan pelbagai perkara. Ada individu atau sekumpulan orang apabila mendengar puisi, kata-kata, nyanyian, ataupun muzik akan bergerak dengan pelbagai gerakan. Ada yang menggerakkan kepala, ada yang mengoyang-goyangkan badan atau ada yang menari-nari dan sebagainya. Maka tidak mustahil berlaku kepada para sahabat nabi menggerakkan badan mereka ketika mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran disebabkan kekuatan kesan pada wajdan (rasaan) dan saraf mereka sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah,
تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَى ذِكْرِ اللهِ[1]
Yang bermaksud, yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram, kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.
Pada ketika seram sejuk kulit mereka (oleh kerana mendengar al-Quran atau membacanya), terkesan kepada saraf dan ianya telah menghasilkan reaksi seterusnya mereka melakukan apa-apa pergerakan[2].
Asas Pertimbangan
Perkataan al-Sima‘ ( السِّمَاعُ )[3] merupakan istilah tasauwuf yang bermaksud mendengar syair-syair (termasuk qasidah) indah lagi terpilih dengan dendangan yang bagus dan suara yang merdu.
Antara jenis al-Sima‘ yang terunggul ialah mendengar al-Quran. Ia memerlukan satu tahap tertinggi sehingga pendengar mampu mencapai mukjizat keterangan dan keindahan al-Quran serta memahami segala pengertian dan petunjuknya.
Majlis al-Sima‘ hari ini terus berkembang dan berubah bentuknya. Sesudah keadaan dahulu yang hanya penyanyi nasyid mendendangkan nasyid dan majlis mendengarnya sahaja, kini ahli majlis berdiri dalam bentuk bulatan atau beberapa barisan yang berhadapan sambil mengulang-ulang lafaz nama Allah yang tertentu dengan irama dan pergerakan yang terhad, manakala suara penyanyi pula mengatasi suara mereka sambil berdendang, merangsang dan membangkitkan semangat mereka.
Ketika seseorang hamba itu membaca al-Quran atau berzikir kepada Allah, diperkukuhkan lagi dengan roh ke atas perbuatan tersebut untuk memperolehi kekuatan dan penyucian, maka tubuh badan akan bergerak-gerak dan bergoyang-goyang keseronokan. Ianya adalah disebabkan keintiman mereka (roh) dengan hari dikhitabkan
أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ[4]
Yang bermaksud, Bukankah Aku tuhan kamu?
Demikianlah sebab manusia mengerak-gerakkan kepalanya ketika berzikir atau mambaca al-Quran. Ianya seolah-olah roh berasa seronok tatkala taqarrub kepada tuhannya apabila mendengar kalamNya atau namaNya.
Sebahagian Arifin berkata: Sebab manusia bergoyang apabila mendengar suara yang merdu adalah kerana roh teringat-ingat kesedapan khitab pada hari disebut ( أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ) sewaktu keluar daripada sulbi Adam dan ia terkenang-kenang peristiwa tersebut.[5]




Dalil Daripada al-Quran
Asas berzikir dalam semua keadaan ialah berdasarkan firman Allah[6],
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ[7]
Yang bermaksud, (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring...
Imam al-Alusiy dalam tafsirnya “Ruh al-Ma‘aniy” menjelaskan: (selepas penerangan yang panjang) Sebagaimana yang diceritakan daripada Ibn Umar ra dan Urwah bin al-Zubair ra serta jamaah daripada sahabat ra, mereka telah keluar untuk menyambut hari raya di Musolla dan berzikir kepada Allah. Tatkala dibacakan ayat di atas, mereka bangun berzikir dalam keadaan berdiri sebagai tabarruk muwaffiq ayat tersebut.[8]
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya “al-Jami‘ al-Ahkam” menyebut: Dalam ayat di atas, Allah menyatakan anak Adam melakukan urusan mereka dalam tiga keadaan. Ianya seolah-olah membataskannya mengikut masa. Hal ini kemudian diperjelaskan oleh hadith daripada Saidatina Aishah ra:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْكُر الله عَلَى كُلِّ أَحَيَانِهِ[9]
Yang bermaksud, Sesungguhnya Rasulullah SAW menyebut dan mengingati Allah dalam setiap keadaan.
... sehingga kata-katanya (Imam al-Qurtubi): Orang yang berzikir dalam semua keadaan akan beroleh pahala dan ganjaran Insya Allah.[10]
Firman Allah lagi,
فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلاَةَ فَاذْكُرُوا اللهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِكُمْ[11]
Yang bermaksud, Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa mereka berbaring...
Dalil Daripada Hadith
وروى أبو نعيم عن الفضيل بن عياض رحمه الله تعالى أنه قال: كان أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا ذكروا الله تمايلوا يمينا وشمالا كما تتمايل الشجرة بالريح العاصف إلى أمام ثم إلى وراء.[12]
Yang bermaksud, Diriwayat oleh Abu Naim, daripada al-Fudail bin Iyad rh berkata: Bahawa sahabat Rasulullah SAW ketika zikrullah bergoyang-goyang ke kanan dan ke kiri seperti mana pokok bergoyang ditiup angin kencang ke hadapan dan kemudian ke belakang.
وعن أبي أُراكة يقول: صليت مع علي رضي الله عنه صلاة الفجر فلما انفتل عن يمينه مكث كأن عليه كآبة، حتى إذا كانت الشمس على حائط المسجد قدر رمح صلى ركعتين ثم قلب يده فقال: والله لقد رأيت أصحاب محمد صلى الله عليه وسلم فما أرى اليوم شيئا يشببهم، لقد كانوا يصبحون صفرا شعثا غبرا، بين أعينهم كأمثال ركب المعزى، قد باتوا لله سجدا وقياما، يتلون كتاب الله، يتراوحون بين جباههم وأقدامهم، فإذا أصبحوا فذكروا الله مادوا كما يميد الشجر فى يوم الريح وهملت عيونهم تبل ثيابهم...[13]
Yang bermaksud, Dan daripada Abi Urakah berkata: Aku solat subuh bersama Ali ra. Kemudian beliau berpaling ke sebelah kanan dan kelihatan beliau dalam keadaan kesedihan. Beliau duduk sehinggalah cahaya matahari mengenai dinding masjid dalam kadar sebatang lembing lalu beliau solat dua rakaat. Apabila selesai bersolat, beliau membalikkan tangannya lalu berkata: Demi Allah, sesungguhnya aku pernah melihat para sahabat Nabi SAW dan aku tidak dapat lagi melihat keadaan hari ini yang serupa dengan suasana mereka. Kehidupan mereka kusut masai dan berdebu, dahi mereka bertanda seperti tanda pada lutut kambing, kesan daripada sujud. Mereka bermalam dengan melakukan sujud dan qiam kerana Allah, mereka membaca al-Quran, (berterusan) berganti-ganti dahi mereka sujud dan kaki mereka qiam. Apabila subuh mereka berzikir bergoyang-goyang sepertimana pokok bergoyang ditiup angin dan bercucuran airmata mereka sehingga basah baju mereka....
عن سيدتنا عائشة رضى الله عنها قالت: جاء حبش يَزْفِنون (معناه يرقصون) فى يوم عيد فى المسجد، فدعاني النبي صلى الله عليه وسلم فوضعت رأسي على منكبيه، أنظر إلى لعبهم حتى كنت أنا التى أنصرف عن النظر إليهم.[14]
Yang bermaksud, Daripada Saidatina Aishah ra berkata: Telah datang orang Habsyah menari pada hari raya di masjid. Lalu Nabi SAW memanggilku dan aku meletakkan kepalaku di atas bahu Baginda. Aku menonton tarian mereka sehingga aku mengalihkan pandanganku daripada mereka.
عن سيدنا أنس رضي الله عنه قال: كان الحبشة يرقصون بين يدي رسول الله صلى الله عليه وسلم ويقولون بكلام لهم: محمد عبد صالح. فقال صلى الله عليه وسلم: ماذا يقولون؟ فقيل: يقولون: محمد عبد صالح.
Yang bermaksud, Daripada Saidina Anas ra berkata, Sesunguhnya orang Habsyah menari di hadapan Rasulullah SAW sambil menyebut di dalam bahasa mereka: Muhammad hamba soleh. Baginda bertanya: Apakah yang mereka sebutkan itu? Sahabat menjawab: Mereka menyebut: Muhammad hamba soleh.[15]
عن سيدنا علي بن أبي طالب رضي الله عنه: (اختصم علي وجعفر وزيد ابن حارثة فى ابنة حمزة: فقال لعلي: أنت مني وأنا منك، فحجل علي، وقال لجعفر بن أبي طالب: أشبهت خلقى وخلقى، فحجل، وقال لزيد بن حارثة: أنت أخونا ومولانا، فحجل زيد ... الحديث)[16]
Yang bermaksud, Daripada Saidina Ali ra, berbalah Ali, Ja‘far dan Zaid Ibn Harithah tentang anak perempuan Hamzah lalu (Nabi) bersabda kepada Ali: Kamu sebahagian daripadaku dan aku sebahagian daripadamu. Lalu Ali menari-nari (apabila mendengar pujian daripada baginda). Baginda bersabda kepada Ja‘far bin Abi Talib: Rupa dan akhlakmu seperti diriku. Lalu beliau menari-nari (apabila mendengar pujian daripada baginda). Baginda bersabda pula kepada Zaid Ibn Harithah: Engkau saudara dan ketua kami. Lalu Zaid menari-nari (apabila mendengar pujian daripada baginda)...
Al-Alamah al-Katani berkata: (الحجل ) bermaksud menari-nari dalam keadaan tertentu[17].
Begitu juga kata Ibnu Hajar al-Asqolaniy pada syarah hadith: (الحجل ) ialah berdiri di atas satu kaki sambil menari-nari dalam keadaan tertentu.[18]
وقال فقيه السادة الشافعية بمكة المكرمة العلامة أحمد زيني دحلان رحمه الله تعالى فى كتابه المشهور فى السير النبوية عند ذكره الحديث ما نصه: فرقص يعني جعفر رضي الله عنه من لذة هذا الخطاب، فلم ينكر عليه صلى الله عليه وسلم، وجعل ذلك أصلا لرقص الصوفية عندما يجد لذة المواجيد فى مجالس الذكر والسماع.[19]

Yang bermaksud, Berkata al-Faqih yang bermazhab Syafie di Makah al-Mukarramah, al-Alamah Ahmad Zaini Dahlan rh dalam kitabnya yang masyhur ‘al-Sir al-Nabawiyah’ tatkala disebut hadith sepertimana yang dinaskannya: Maka tarian iaitu yang dilakukan oleh Ja‘far ra ketika merasai kelazatan dengan ucapan ini (pujian tersebut), Rasulullah SAW tidak mengengkari perbuatannya dan atas dasar inilah dijadikan sumber hujah bagi golongan sufi melakukan tarian (pergerakan) apabila merasai keseronokan dalam majlis zikir dan sima‘.
Pendapat Ulama’
Imam al-Nawawi
والرقص ليس بحرام، قال الحليمي: لكن الرقص الذي فيه تثن وتكسر يشبه أفعال المخنثين حرام على الرجال والنساء.[20]
Yang bermaksud, Dan menari tidaklah haram. Berkata al-Halimiy: Melainkan tarian itu seperti perempuan melenggok-lenggok, umpama perbuatan pondan maka ia haram bagi lelaki dan perempuan.
Imam Jalaluddin al-Suyuti.
مسألة - في جماعة صوفية اجتمعوا في مجلس ذكر ثم إن شخصا من الجماعة قام من المجلس ذاكرا واستمر على ذلك لوارد حصل له فهل له فعل ذلك سواء كان باختياره أم لا وهل لأحد منعه وزجره عن ذلك.
الجواب - لا إنكار عليه في ذلك. وقد سئل عن هذا السؤال بعينه شيخ الإسلام سراج الدين البلقيني فأجاب بأنه لا إنكار عليه في ذلك وليس لمانع التعدي بمنعه ويلزم المتعدى بذلك التعزير. وسئل عنه العلامة برهان الدين الأبناسي فأجاب بمثل ذلك وزاد أن صاحب الحال مغلوب والمنكر محروم ما ذاق لذة التواجد ولا صفا له المشروب إلى أن قال في آخر جوابه وبالجملة فالسلامة في تسليم حال القوم. وأجاب أيضا بمثل ذلك بعض أئمة الحنفية والمالكية كلهم كتبوا على هذا السؤال بالموافقة من غير مخالفة. أقول وكيف ينكر الذكر قائما والقيام ذاكرا وقد قال الله تعالى (الذين يذكرون الله قياما وقعودا وعلى جنوبهم) وقالت عائشة رضي الله عنها كان النبي صلى الله عليه وسلم يذكر الله على كل أحيانه، وإن انضم إلى هذا القيام رقص أو نحوه فلا إنكار عليهم فذلك من لذات الشهود أو المواجيد وقد ورد في الحديث رقص جعفر بن أبي طالب بين يدي النبي صلى الله عليه وسلم لما قال له أشبهت خلقي وخلقي وذلك من لذة هذا الخطاب ولم ينكر ذلك عليه النبي صلى الله عليه وسلم فكان هذا أصلا في رقص الصوفية لما يدركونه من لذات المواجيد وقد صح القيام والرقص في مجالس الذكر والسماع عن جماعة من كبار الأئمة منهم شيخ الإسلام عز الدين بن عبد السلام.[21]
Tarian yang dinyatakan di sini bukanlah seperti mana yang kita fahami hari ini. al-Syeikh al-Sayyid Ibnu Idris bin al-Sayyid al-Hasan al-Idrisiy menyatakan,
Mendengar nyanyian ( السِّمَاعُ ) dan tarian yang dimaksudkan di sini bukanlah sebagaimana tarian dan nyanyian yang difahami pada masa sekarang. Sebaliknya terdapat kaifiyat yang khusus bagi para pengamal tasauwuf Islam. Al-Sima‘ di kalangan tasauwuf Islam merupakan satu riadhah kerohanian yang diamalkan golongan murid bagi tujuan penyucian dan pembersihan jiwa.[22]
Kesimpulan
Sehubungan dengan itu, bergoyang-goyang (تمايل) ketika berzikir kepada Allah dan tarian (رقص) pada majlis al-Sima‘ ada sandarannya. Ianya harus dilakukan, bukanlah ianya satu syarat tetapi merupakan wasilah untuk memperolehi kecergasan ketika melakukan zikir. Ianya dilaksanakan dengan menjaga adab ketika berzikir dan dijauhkan daripada perkara maksiat. Ianya juga bukanlah dilakukan sepanjang keadaan, adakalanya mereka duduk tetap dan adakalanya mereka bergerak-gerak.
والله أعلم
[1] Zumar, 23
[2] Ahsanul Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam, al-Syiekh Atiah Saqar, Jilid 4, hlmn 250
[3] Tarian, Nyanyian dan al-Sima‘ Dalam Tariqat Tasauwuf, al-Syeikh al-Sayyid Ibnu Idris bin al-Sayyid al-Hasan al-Idrisiy, terbitan Jabatan Mufti Negeri Sembilan
[4] Al-A‘raf 172
[5] Tanbih al-Fikr ila Haqiqah al-Zikr m/s 51
[6] Al-Mausu’ah al-Yusofiyah fi Bayan Adillah al-Sufiyah, al-Syeikh Yusof Khattar Muhammad, Dar al-Taqwa, 2003, m/s 178.
[7] Ali Imran 191
[8] Ruh al-Ma‘aniy, Abi al-Fadl Syihabuddin al-Sayyid Mahmud al-Alusiy, Dar al-Fikr, 1997, jld 3, m/s 246.
[9] Muslim 824, Abu Daud 18, al-Tirmizi 3384, Ibnu Majah 302, Ahmad 6/70, Ibnu Khuzaimah 207, Abu Ya’la 4699, al-Baihaqi 1/90, Abu Awanah 1/217, al-Baghawi 274, al-Bukhari 1/407 pada ta’liq dan Ibnu Hibban 802.
[10] al-Jami‘ al-Ahkam al-Quran, AbiAbdillah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, Dar al-Fikr 1999, jld 2, m/s 238
[11] Al-Nisa’ 103
[12] Al-Tartib al-Idariyah, al-Alamah Abdul Hay al-Kataniy, Dar al-Arqam, Raqsu al-Habsyah fi al-Masjid al-Nabawi Amamahu a.s, (2/93).
[13] Al-Bidayah wa al-Nihayah Ibnu Kathir 8/6, dikeluarkan oleh Abu Nu‘aim dalam al-Hilyah 1/76, Ibnu Asakir dalam al-Kanz 8/219 dan Hayah al-Sahabah 1/49
[14] Muslim dalam Sahihnya 2063
[15] Imam Ahmad (3/152) dan Ibn Hibban (5870) dengan sanad yang sahih.
[16] Dikeluarkan oleh Imam Ahmad 1/108, 1/98.
[17] Al-Tartib al-Idariyah, al-Alamah Abdul Hay al-Kataniy, Dar al-Arqam, Hajala Ba‘du Kibar Sahabah Baina Yadaihi SAW, (2/97).
[18] Fath al-Bari, Lil Hafiz Ahmad bin Ali bin Hajar al-Asqolaniy, Bab Umrah al-Qada’, Dar al-Fikr, 1996, jld 8, hlmn, 295.
[19] Al-Sirah al-Nabawiyyah wa al-Athar al-Muhammadiyyah, Zaini Dahlan pada Hamisy al-Sirah al-Halabiyyah (2/252).
[20] Raudhah al-Tolibin wa Umdah al-Muftin, Imam al-Nawawi, al-Maktab al-Islamiy, Kitab al-Syahadat, Bab Hukm al-Gina’, 1991, jld 11, m/s 229.
[21] Al-Hawi li al-Fatawa, Jaluluddin Abdul Rahman bin Abi Bakr bin Muhammad al-Suyuti, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1983, jld 2 m/s 324.
[22] Tarian, Nyanyian dan al-Sima‘ Dalam Tariqat Tasauwuf, al-Syeikh al-Sayyid Ibnu Idris bin al-Sayyid al-Hasan al-Idrisiy, terbitan Jabatan Mufti Negeri Sembilan
Bahagian Tarekat Tasawuf Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan