Al-Allamah Arif Billah Sohibus Samahah Al-Marhum Syeikh Haji Uthman Bin Senik - Mufti Pahang Pertama ( 1838 - 1911)


Al-Allamah Arif Billah Sohibus Samahah Al-Marhum Syeikh Haji Uthman Bin Senik - Mufti Pahang Pertama ( 1838 - 1911)

MUFTI PAHANG PERTAMA - GURU ILMU KEBATINAN MAT KILAU
Syeikh Uthman merupakan cucu kepada Raja Legeh Patani yang berundur dari Patani ketika perang Siam - Patani pada 1832 . Beliau lahir di Kampung Gaung , Kota Bahru Kelantan.
Dipercayai bahawa Utsman belajar langsung kepada Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani, pengasas Pondok Bendang Daya, dan beliau pula adalah seorang hulubalang Patani yang sangat handal. Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani adalah sahabat Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Kedua-duanya bersama Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani ikut dalam satu peperangan besar ketika Kedah dan Patani melawan Siam.
Ilmu hikmat tersebut sangat berguna untuk menghadapi cabaran zamannya, kerana pada zaman itu orang ramai masih menghandalkan kekuatan fizikal berupa pencak silat untuk menghadapi pergaduhan. Permusuhan seringkali terjadi bukan sahaja terhadap sesama manusia tetapi juga dengan haiwan seumpama harimau, ular besar, buaya dan sebagainya.
Ilmu hikmat itulah yang telah dipergunakan oleh Tuan Guru Haji Utsman Pahang sewaktu beliau membuka hutan membuat perkampungan. Kampung yang dibuka itulah yang dikenali dengan nama Kampung Ketapang yang terletak di Pekan, Pahang. Menurut ceritanya, ketika membuka hutan tersebut binatang buas memang tunduk kepada beliau seperti harimau , gajah dan buaya.
Seiring dengan mempelajari ilmu hikmat, Utsman juga mendalami ilmu perubatan tradisional. Beliau pandai membuat berbagai-bagai jenis makjun. Semua ilmu tersebut diperoleh daripada Tok Bendang Daya II al-Fathani tersebut. Setelah itu beliau melanjutkan pelajarannya ke Mekah dan belajar kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, guru thala'ah kitabnya di bawah bimbingan Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani. Sungguhpun Syeikh Ahmad al-Fathani jauh lebih muda daripadanya, Utsman mendalami nahwu dengan menggunakan kitab Tashil Nailil Amani kepada pengarangnya, iaitu ulama Patani tersebut. Kitab Tashil Nailil Amani itulah yang beliau ajar hinggalah beliau menjadi Mufti di Pahang.
Dari Mekah Utsman langsung menuju ke Pulau Tawar, Pahang. Sewaktu di Pulau Tawar beliau tidak memperlihatkan dirinya sebagai seorang ulama kerana beliau bergaul dengan orang-orang kebanyakan. Pada peringkat awal dakwahnya, beliau hanya memperlihatkan kebolehan dalam bidang ilmu hikmat. Pada suatu ketika Utsman pernah mengeluarkan sebuah kapal yang telah karam. Pada kesempatan lain beliau pernah didatangi buaya ganas yang telah memakan manusia sehingga buaya tersebut dapat dibunuhnya. Pada kali yang lain pula beliau pernah menangkap harimau buas yang selalu mengancam ketenteraman manusia dan binatang ternakan.
Melihat kehebatan beliau maka itulah Mat Kilau diserahkan oleh kedua-dua orang tuanya kepada Tuan Guru Haji Utsman untuk diajar berbagai-bagai ilmu.
Setelah masyarakat mengetahui bahawa Utsman adalah seorang ulama, maka ramai yang berminat untuk menuntut ilmu kepada beliau. Sehingga Sultan Pahang ketika itu, Sultan Ahmad berkenan melantik beliau sebagai Mufti Kerajaan Pahang Darul Makmur. Sekali gus beliau menjadi orang terkemuka di Kerajaan Pahang, mengajar kaum keluarga Diraja Pahang di istana, selain mengajar orang awam. Beliau menjadi Mufti Pahang selama 20 tahun hingga meninggal dunia dalam tahun 1918 Masihi.
Diriwayatkan bahawa Utsman menjadi mufti selama itu dalam tiga pemerintahan Sultan Pahang iaitu Sultan Ahmad, Sultan Mahmud dan Sultan Abdullah. Selain sebagai mufti, Utsman juga mengasaskan pengajian pondok. Lokasi pondok pengajian, surau dan rumah Utsman terletak di Kampung Ketapang Tengah. Setelah Utsman meninggal dunia pada tahun 1918 Masihi dalam usia hampir 100 tahun, pondok tersebut diteruskan oleh dua orang anaknya.
Perlu juga dicatat bahawa pondok yang diasaskan oleh Utsman di Kampung Ketapang Tengah, Pekan Pahang tersebut adalah pondok pengajian menurut sistem pondok cara Patani yang pertama sekali dalam Kerajaan Pahang Darul Makmur. Pada tahun 1922 Masihi, pondok tersebut berubah sistem menjadi pengajian madrasah. Setelah berbentuk madrasah, bantuan pembiayaan diterima daripada seorang saudagar Arab bernama Habib Hasan al-Attas dan madrasah tersebut dinamakan Madrasatul `Arabiyah Islamiyah Al-Attas. Pada tahun 1966 Masihi, pondok pengajian bekas peninggalan Mufti Haji Utsman itu dijadikan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri Pahang. Guru Besarnya yang pertama ialah Ustaz Abdul Qadir Kamaluddin, cucu beliau.
Sewaktu Utsman menjadi Mufti Pahang, beliau bergerak cergas membawa ulama-ulama terkenal dari luar dengan tujuan menambah semangat anak tempatan mempelajari agama Islam. Antara ulama besar terkenal yang pernah dijemput datang ke Pahang ialah gurunya Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani. Menurut riwayatnya, ulama tersebut datang ke Terengganu pada tahun 1912 Masihi atas permintaan muridnya, Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu. Kedatangan beliau ke Terengganu itu dimanfaatkan oleh semua kerajaan di Semenanjung termasuk Pahang atas kehendak Mufti dan Sultan Pahang sendiri.
Utsman sangat mengasihi gurunya dan bersikap tawaduk kepadanya sehingga beliau mengerahkan murid-muridnya menandu dan mengayuh sampan ketika menjemput dan menghantar pulang Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani itu. Ketika itu perjalanan masih banyak menggunakan perjalanan darat dengan berjalan kaki dan mengharung sungai. Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani berada di Pekan Pahang kira-kira sebulan sahaja, namun dalam waktu singkat itu telah dipergunakan oleh Utsman untuk mempelajari ilmu tafsir al-Quran bagi dirinya sendiri. Sedangkan ilmu-ilmu fardu ain lainnya beliau bukakan kepada masyarakat untuk bertanya langsung kepada ulama besar dunia Melayu yang datang dari Mekah itu.
Antara jawatan yang pernah disandang oleh beliau ialah :
1. Pawang Diraja Kelantan
2. Mufti Kerajaan Pahang - Selama 20 tahun
3. Pengasas Pondok Kampung Ketapang Pekan.
Diantara guru beliau ialah :
1. Tuan Guru Haji Osman Bin Ali @ Raja Legeh - Ayah beliau
2. Al Allamah Arif Billah Wali Allah Syeikh Wan Mustafa | Tok Bendang Daya 1 - Datuk Syeikh Wan Ahmad al Fathani
3. Al Allamah Arif Billah Wali Allah Syeikh Wan Abdul Qadir Bin Wan Mustafa | Tok Bendang Daya 2 - Bapa Pak Da Eil & Pak Cu Him Gajah Mati
4. Al Allamah Arif Billah Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Rahman al Fathani | Syeikh Nik Dir Patani
5. Al Allamah Arif Billah Syeikh Muhammad Bin Ismail al Fathani | Syeikh Nik Mat Kecik
6. Al Allamah Arif Billah Syeikh Wan Ali Kutan al Kalantani
7. Al Allamah Arif Billah Sibaweh Soghir Syeikh Wan Ahmad al Fathani - Pengarang Kitab Faridatul Faraid
Diantara anak murid beliau ialah :
1. Pahlawan Pahang Mat Kilau
2. Tuan Guru Haji Daud ( Datuk Kepada Tun Razak / PM ke 2 )
3. Tuan Guru Haji Mat Daud Bin Zainal Abidin - Qodhi Besar Pahang
4. Lebai Yusof Bin Haji Muhammad Amin - Qodhi Kuantan
5. Tuan Guru Haji Abu Bakar - Dato Peggawa
6. Sultan Ahmad
7. Tengku Ali
8. Tuan Guru Haji Omar Bin Haji Abdullah - Menantu beliau
Dengan mengetahui bahawa Haji Utsman bin Haji Senik, Mufti Pahang ini adalah guru kepada sebahagian besar para tokoh di Pahang termasuk Mat Kilau, ia dapat menambah pengetahuan kita betapa hebatnya peranan ulama silam dalam membina umat di negara ini. ia juga menambah maklumat sejarah, terutama mengenai Mat Kilau yang selama ini kebanyakan para penulis tidak menyebut peranan guru dan ayah angkatnya, iaitu Utsman bin Haji Senik, Mufti Pahang yang sangat berpengaruh dalam lingkungan masyarakat Pahang.
Beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 73 tahun dan dikebumikan di Bandar Diraja Pekan , Pahang .
Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya .
Bissirril Al-Fatihah
( Tengku Daeng Mawelle )
Share on Google Plus

About Tv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Komen