TOKOH KG. BUKIT MENTOK KEMAMAN TERENGGANU.



TOKOH KG. BUKIT MENTOK KEMAMAN TERENGGANU.

Tokoh agama yang terkenal di Kampung Bukit Mentok pada tahun 70-an ialah Haji Wan Muda Bin Wan Jusoh. Beliau berasal dari keturunan Patani. Beliau berhijrah ke Dungun dan berkahwin dengan anak seorang tokoh agama juga iaitu Haji Jusoh atau digelar Haji Jusoh Keramat Kampung Rajawali yang mengasas Masjid Rajawali di Kampung Pulau Serai. Beliau berkahwin dengan anak Haji Jusoh yang bernama Che Teh.

Selepas beliau mendapat seorang anak yang bernama Wan Zainab, Che Teh iaitu isterinya pula meninggal dunia. Haji Wan Muda membawa anaknya mengembara balik ke Kemaman di kampung datuknya, Lebai Saras di Kampung Nyiur. Selepas itu dia berulang alik dari Kampung Nyiur ke Kampung Bukit Mentok.

Beliau memajukan Kampung Bukit Mentok dengan cara pendekatan agama kerana beliau mempunyai pengetahuan agama yang tinggi . Aspek utama yang terkenal di kampung adalah di bidang keagamaan. Pada zaman dahulu penduduk di luar memang segan untuk datang ke Kampung Bukit Mentok untuk melakukan perbuatan buruk.

Ada sesetengah mengatakan jika mereka berniat melakukan perkara buruk sebelum datang ke Bukit Mentok, mereka tidak akan dapat masuk ke Kampung Bukit Mentok. Sebut kata Bukit Mentok, memang terkenal dengan orang-orang yang beragama.

Beliau juga mendirikan masjid dan mengajar di masjid. Beliau mengajar pelbagai kitab dan mempunyai amalan ‘’tarikat’’ yang tinggi. Beliau merupakan tempat merujuk ilmu agama. Antara orang yang selalu merujuk beliau ialah Aziz Wali, Pok Serebeh , Pok Loh Kelantan dan orang-orang bangsawan juga seperti Menteri Besar Terengganu pada masa itu iaitu Haji Wan Mokhtar. Haji Wan Mokhtar adalah anak angkat Haji Wan Muda.

Terdapat juga kalau ada kanak-kanak yang nakal yang dihantar berubat oleh ibu bapanya akan menjadi ‘’juruh’’ atau baik apabila berjumpa beliau . Beliau juga selalu pergi ke Bandar Cukaipada setiap hari dengan berjalan kaki, memakai kain pelekat, berbaju pagoda dan memakai kot untuk bertemu sahabatnya berbincang tentang agama.

Bukan beliau sahaja yang mengajar di masjid tetapi beliau juga memberi peluang kepada sesiapa yang alim untuk turut mengajar, die tidak mengira siapa asalkan pandai dalam agama islam, dia akan suruh mengajar agama dan tidak memiilih bulu.

Orang-orang kampung yang pandai dalam bidang agama terutama dalam berkhutbah, disuruh berkhutbah dan menjadi imam. Beliau mengajar di masjid dan menjadi tempat rujuk dan kalau di rumahnya kalau orang mengajaknya bercakap tentang agama dia akan berminat . Pada masa itu tiada elektrik di kampung dan hanya memakai pelita ayam tembaga di masjid.

Sumbangan beliau kepada kampung yang ketara dilihat ialah semasa zaman Jepun datang ke Kemaman. Jepun masuk menceroboh melalui Kelantan dan terus merebak ke sini melalui sungai sehingga beberapa buah kapal Jepun dibom oleh Orang Putih di Kuala Bekah, Alur Mak Lagam, Alur Lik dan di Nipah Panjang semasa Jepun kalah. Komunis memang tidak berpengaruh di Kampung Bukit Mentok tetapi ketika itu Jepun mempunyai pengaruh yang kuat. Jepun juga telah membina kubu mereka di sini. Kubu Jepun dibina di Tanjung Bukit.

Di Kampung sebelah, ramai orang terkorban kerana dibunuh oleh Jepun tetapi ia tidak berlaku di Kampung Bukit Mentok kerana beliau terlebih dahulu menyekat atau memagar kampung sehingga Jepun tidak masuk ke kampung untuk membuat sembarangan. Pada masa itu tiap-tiap bulan Safar hari rabu terakhir,mereka akan berkumpul di masjid untuk membuat air tawar. Beliau berzikir dan orang-orang kampung ikut serta. Perkara itu dilakukan supaya keselamatan kampung terjaga.

Beliau tidak menyukai orang berbalah sesama sendiri dan dia suka orang kampung berbaik sesama sendiri. Jika seseorang itu baik, beliau akan mengambil berat terhadap individu tersebut. Terdapat dua jenis barangan lama yang diwarisi beliau dan diantaranya ialah Al Quran tulisan tangan dan pedang. Al quran itu sebenarnya dimiliki oleh Lebai Saras tetapi beliau sebagai pemegang amanah.

Terdapat peninggalan barang lama di Kampung Bukit Mentok seperti Al quran tulisan tangan yang dipamerkan di Masjid Bukit Mentok. Al Quran itu berusia lebih daripada 300 tahun. Al Quran itu dibawa oleh Lebai Saras dari Patani, Thailand. Sebuah Al Quran tulisan tangan yang indah kepunyaan Lebai saris masih tersimpan dengan baik di rumah keturunanya yang ketujuh iaitu Haji Wan Muda bin Wan Yusuf lebih dikenali sebagai Wan Muda Alim merupakan seorang alim yang dianggap keramat oleh penduduk-penduduk kampung itu.

Al Quran yang bertulisan tangan ini tersimpan dengan baiknya di surau Kampung Bukit Mentok di bawah jagaan Wan Muda Bin Yusuf. Al Quran tersebut dibungkus baik-baik dan beliau tidak membenarkan sesiapa pun untuk memilikinya malah untuk melihat Al Quran itu sendiri. Jarang-jarang orang saja yang dibenarkan melihatnya. Dalam satu bahagian dalam pusaka suci itu terdapat kesan koyak ditembusi oleh senjata ta jam seperti tombak.

Kejadian yang menyebabkan koyaknya muka surat itu berlaku ketika Lebai Saris sedang membaca Al Quran tersebut dimana tiba-tiba orang raja telah datang dari belakang hendak menikam Lebai Saris. Dia sempat mengelak lantas melompat kesebelah dan tombak itu terpacak diatas kuran yang terletak di atas rehal. Beliau juga sebagai penyimpan amanah salah satu pedang Haji Abdul Rahman Limbong. Pedang Haji Abdul Rahman Limbong ada 3 bilah, salah satunya ada dengan keturunan Haji Wan Muda di Dungun.

Pesanan beliau yang pertama kepada keturunanya ialah jangan belajar sahaja tetapi kena menuntut. Mula-mula dia akan bertanya, apakah makna ilmu yang menyebabkan orang sangat memerlukan ilmu. Ilmu menurut beliau bermakna tahu, sekadar belajar sahaja tidak mencukupi dan apa bezanya belajar dengan menuntut.

Menuntut diibaratkan seperti seseorang yang dahaga di padang pasir, orang yang belajar menggali di kawasan yang luas untuk mendapatkan air, tetapi tiada hasil dan mendapat lelah sahaja, tetapi orang yang menuntut, mereka menggali dikawasan yang sempit tetapi dalam dan mendapat hasil untuk menghilangkan dahaga.

Orang yang menuntut menurutnya seseorang itu sampai matlamat yang dicita-citakan berbanding orang yang belajar sahaja dan hanya mengetahui sekadar maklumat. Pesanan terakhir beliau sebelum meninggal dunia pula, yang pertama anak cucunya mesti belajar silat, silat yang dikhaskan untuk anak cucunya ialah Silat Pongok, silat ini digunakan semasa masuk perang. Silat ini diajar oleh tok guru yang pergi menolong kaum melayu semasa peristiwa 13 mei iaitu perbalahan antara kaum Melayu dengan kaum Cina. Beliau digelar Poksu dan mempunyai ilmu boleh menghilangkan diri dengan hanya keris sahaja yang menyerang musuh.

Sebelum mati, semasa di klinik, Doktor Alias cuba untuk memasukkan air ubat ke tubuh beliau tetapi tubuhnya tidak dapat menerimanya. Beliau melakukan satu senaman dan selepas itu seorang cucunya bertanya kenapa perkara ini terjadi? Beliau menjawab bahawa dia tengah bersenam dan cucunya bertanya kembali kenapa tok bersenam? Beliau menjawab senaman ini untuk memudahkan keluar roh dari jasad.

Senaman itu dinamakan senaman sakaratul maut. Dua senaman yang disuruh belajar yang pertama ialah senaman bayi dalam kandungan dan yang kedua senaman sakaratul maut. Senaman sakaratul maut bertujuan untuk menyenangkan keluar roh dari jasad ketika mati.

Beliau tidak pernah menghadapi halangan semasa membuka kampung kerana beliau mempunyai kekuatan jiwa. Oleh itu, semua orang bersetuju dengan beliau walaupun yang tinggal di kampung itu ada di antara bomoh-bomoh yang mempelajari ilmu hitam. Bomoh-bomoh itu tidak melawan beliau kerana segan dan menghormatinya dengan ketinggian ilmu beliau. Beliau meninggal dunia pada tahun 1989 semasa berumur 125 tahun dan pusaranya terletak di perkuburan Kampung Bukit Mentok..al fatihah..

Kesimpulan..
Tuntasnya, kampung ini mempunyai asal usul dan nama yang unik dan mempunyai banyak versi. Nama kampung yang asalnya Kampung Bukit Bentuk bertukar kepada Kampung Bukit Mentok masih menjadi tanda tanya.


Wallahua'lam
( Sumber dari FB Wan Krimah dan Puteri 'Aisyah. )
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan