Rawatan Rohani (Tariqah).
Jika jasad kita sakit, maka tempat rawatan bagi sakit jasad kita ialah klinik atau hospital. Di dalam klinik dan hospital ada 2 perkara penting untuk suatu rawatan iaitu Doktor & Ubat. Doktor mendiagnosis penyakit dan ubat akan diberikan mengikut sakit yang dihidapi pesakit. Doktor pula mestilah seorang yang berkeahlian dalam bidang perubatan dan ubat pula tidak boleh makan ikut sesuka hati. Walaupun penciptaan ubat tujuan dia untuk merawat penyakit baik ubat tersebut dibuat secara organik atau klinikal, ia tetap dimakan mengikut saranan doktor atau ahlinya.
Begitu juga untuk rawatan penyakit rohani, ada 2 perkara penting dalam penyembuhan penyakit-penyakit rohani iaitu Guru Mursyid (syeikh) & Amalan Zikir Darjat. Jadi tujuan utama tariqah atau tazkiyah an nafs bukan semata-mata untuk beramal dan dapat ganjaran dari amalan tersebut tetapi untuk merawat penyakit rohani kita yang mana daripada kalangan kita ini ada penyakit mazmumah tidak kira dia dari kalangan ulama atau orang awam.
Kerana itulah tujuan sebenar mereka yang bertariqah iaitu merawat penyakit rohani. Cuma akhir zaman ini, ujian-ujian mula menyusup di dalam rawatan ini. Ada manusia yang berkehendak dengan kemegahan maka mereka berkeinginan untuk menjadi “syeikh” dalam bidang kerohanian dengan secara terburu-buru dan berusaha untuk mendapatkan kedudukan ini walau dengan cara apa sekalipun. Juga ada yang berpandangan, dengan amalan tariqah mereka akan mendapat perkara yang mencarik adat. Sedangkan tujuan utama bukanlah mendapat kedudukan “syeikh” atau dapat kelebihan yang lain dari manusia, tetapi untuk merawat penyakit rohani & mengekalkan ingatan dari lalai mengingati Allah.
Jadi haruslah bagi mereka yang ingin menempuh jalan kerohanian untuk solat hajat serta istikharah agar ditunjukkan oleh Allah Taala mana mursyid yang benar serta yang sesuai untuk kita. Janganlah terburu-buru mengambil talqin atau baiat daripada mana-mana syeikh hanya semata-mata kerana kemasyhuran atau karamah yang berlaku pada dirinya.
Telah berkata Syaikh Abdul Qadir al Jailani rhm “Jika engkau melihat seseorang boleh berjalan di atas air, boleh bergerak di atas udara, bergerak dari Timur ke Barat sekelip mata atau seumpamanya, janganlah engkau rasa kagum terlebih dahulu. Kerana serangga pun boleh berjalan di atas air, burung pun boleh bergerak di atas udara, syaitan pun boleh bergerak dari Timur ke Barat dengan sekelip mata. Tetapi perhatikanlah mereka (para masyaikh) ini adakah mereka meniti dengan teguh atas jalan syariat dan mengenggam kuat sunnah Nabi salallahu alaihi wasallam, barulah engkau boleh kagum dan mengikuti mereka.”
Adakah dengan jalan dakwah boleh menyucikan hati? Jawapan para masyaikh “Setiap 3 wazhifah ini iaitu dakwah, taalim & tazkiyah ada keutamaan fokus masing-masing. Dakwah adalah perkara amar makruf wa nahi munkar dan fokus utamanya ialah meningkatkan jazbah (keinginan/semangat) dalam agama, manakala taalim tujuannya untuk menghilangkan kejahilan dan tazkiyah untuk penyucian hati serta mengekalkan hati dari lalai mengingati Allah.” Wallahualam -uthmandaud.
- Sifat-sifat yang mesti dimiliki oleh seorang Syeikh (Guru Pembimbing Rohani)
Hazrat Thanvi rahimahullah telah menulis di dalam al Takasshuf “Camkanlah di dalam fikiran, bahawa untuk merawat seorang yang sakit fizikal diperlukan seorang doktor penyakit fizikal, yang mana dia sendiri sihat dan dapat mengubati orang lain. Jika dia sendiri tidak sihat maka pengubatannya tidak dapat dipercayai. Menurut undang-undang perubatan mengatakan : ‘pendapat dari penyakit adalah penyakit’. Jika dia sangat baik tetapi tidak tahu bagaimana cara mengdiagnos, maka dia tak akan dapat membantu pesakit.
Demikianlah juga untuk perawatan bagi seorang yang sakit rohani, maka seorang mursyid diperlukan. Seorang yang penuh tanggungjawab atas tugas-tugasnya dan dia juga seorang yang soleh. Mursyid juga bukanlah ahli bidaah (aqidah yg sesat) dan seorang pelaku maksiat. Kerana dia mesti dapat mengislahkan orang lain.
Pertama, jika dia seorang yg fasik, maka dia tiada harapan yang dia akan memerintahkan kepada yang benar. Bahkan dia akan berusaha memaksa org lain untuk menerima yakinnya yang rosak dan oleh kerana dia sendiri amalnya tidak benar maka dia tidak akan menasihati orang lain untuk melakukan amal-amal yang baik.
Hampir dapat dipastikan untuk memperoleh penghormatan, dia akan cuba untuk membenarkan perbuatan salahnya oleh penafsiran yang salah. Dalam hal ini akan ada risiko yang besar di mana seseorang boleh disesatkam. Kedua, tidak akan ada cahaya, berkat dan kesan bantuan Ilahi dalam pengajarannya. Dengan cara yang sama, jika dia seorang yang benar-benar memahami tanggungjawabnya dan lagi dia orang yang soleh tetapi kurang berpengalaman dalam membimbing rohani, tetap juga tidak sesuai dengan memenuhi keperluan penuntutnya.
Sifat lain yang mesti ada dalam diri seorang syeikh yang profesional adalah bertaqwa dan menguasai tugasnya, berpegang teguh dan taat kepada sunnah-sunnah, alim terhadap hukum hakam, memperoleh darjat kerohaniannya dengan tinggal (mengikuti suluk bawah bimbingan) seorang mursyid yang berpengalaman. Orang yang berakal dan berpendidikan merujuk kepadanya, bersuhbah dengannya dan dan dia ada karamah (kemampuan) untuk mengislahkan keadaan keadaan para salikin.”
0 comments:
Catat Ulasan