Kepentingan Suhbah Dalam Proses Tarbiyah Kerohanian

 

Kepentingan Suhbah Dalam Proses Tarbiyah Kerohanian
Para Ulama' dan Masyaikh Al-Sufiyyah telah menyatakan bahawa terdapat kesukaran dalam pendidikan jiwa dan rohani manusia untuk melawan hawa nafsu ammarah bi al-su' jika seseorang murid atau salik itu tidak berdampingan dan bimbingan langsung dari seorang guru yang benar lagi sahih.
Pernyataan ini disokong oleh pernyataan tokoh kesufian yakni Syeikh Ibnu Athaillah As-Sakandari. Beliau telah berkata;
"Selayaknya bagi seseorang yang bercita-cita mendapat petunjuk dan ingin menjalani jalan petunjuk agar mencari syeikh dari kalangan ahli tahqiq yang suluk, yang meninggalkan hawa nafsu serta mantap dalam berkhidmat kepada Allah SWT. Apabila telah menemuinya maka ikutilah apa yang disuruh serta jauhilah apa yang ditegah dan dilarang".
"Syeikhmu yang hakiki bukanlah sekadar kaku mendengar (ilmu daripadanya), akan tetapi orang yang engkau ambil tingkah laku mereka sebagai teladan. Bukan orang yang ungkapannya menembusi telingamu tetapi orang yang dengan isyaratnya sahaja sudah mampu meresap ke lubuk hatimu. Bukan orang yang hanya menjemputmu di muka pintu tetapi orang yang mengangkat hijab antara Allah dengan kamu. Juga bukan orang yang berhadapan denganmu dengan hanya kata-kata tetapi orang yang tindak tanduknya mampu membangkitkan kamu daripada lena. Syeikh kamu yang hakiki ialah orang yang mengeluarkan kamu daripada penjara hawa nafsu dan membawa kamu ke hadrat Allah. Syeikh kamu yang sebenar ialah yang sentiasa menggilap cermin hatimu sehingga terpancar cahaya kebesaran Tuhan di dalam hatimu".
Penghayatan amalan dan elemen-elemen yang wujud dalam tarekat seperti yang diterangkan di atas telah terkandung isyaratnya dalam amalan suhbah atau persahabatan yang terjadi antara Rasulullah SAW dan para sahabatnya RA. Oleh itu, suhbah adalah antara paksi penting dalam pentarbiyahan yang terlaksana dalam institusi tarekat tasawuf sebagaimana yang dipercontohkan dalam amalan para sahabat RA. Mereka digelarkan sebagai sahabat tidak sebagai pengikut atau pembantu yang menunjukkan hakikat makna yang mendalam dalam perhubungan antara Nabi SAW dengan mereka.
Hubungan interpersonal yang erat tersebut merangkumi pengajaran pendidikan dan peningkatan rohani para sahabat yang bersahabat dengan Baginda SAW, dan pencapaian kerohanian yang tinggi oleh mereka tidak tercapai melainkan setelah bersuhbah dan bermulazamah bersama dengannya. Begitu juga dengan generasi para Tabi'in RA tidak juga memperolehi kedudukan dan darjat yang mulia lagi tinggi melainkan setelah mereka berhimpun dengan para Sahabat Nabi.
Ini menunjukkan jalan amali yang ditempuh oleh para salafus soleh dalam penyucian jiwa dan ketinggian kemuliaan rohani tidak lain adalah melalui proses suhbah. Perhubungan dalam suhbah tidak hanya menambah ketinggian keimanan, ketakwaan dan akhlak salafus soleh, bahkan juga memberi kesan dari segi penyembuhan penyakit hati dan keaiban diri.
Sebagai contoh, pengalaman yang pernah dilalui oleh sahabat Nabi yakni Ubay bin Ka'ab RA bolehlah dijadikan sandaran;
"Suatu ketika aku (Ubay bin Ka'ab RA) berada di masjid, tiba-tiba seorang lelaki masuk lalu solat. Dia membaca bacaan yang aku mengingkari bacaan itu. Kemudian lelaki lain pula memasuki masjid lalu membaca bacaan yang tidak serupa dengan sahabatnya. Apabila kedua-duanya usai solat, kami semua masuk bertemu Rasulullah SAW, lalu aku berkata kepada Baginda SAW: "Sesungguhnya lelaki ini membaca bacaan yang aku mengingkari bacaannya, lalu datang yang lain dan membaca bacaan yang tidak serupa dengan sahabatnya". Maka Rasulullah SAW menyuruh kedua-duanya membaca, lalu kedua-duanya membaca. Maka Nabi SAW mengelokkan bacaan kedua-duanya. Setelah itu hilanglah pendustaan yang ada pada diriku dan (perkara tersebut) tidak (pernah berlaku) ketika aku berada dalam jahiliyyah. Apabila Rasulullah SAW melihat apa yang menyelubungiku, Baginda menepuk dadaku kemudian aku berpeluh dan keadaanku seolah-olah melihat Allah dalam keadaan yang terlalu takut".
Syeikh Abdul Qadir Isa turut menjelaskan pernyataan ini dan menambah penjelasan hadis di atas berdalilkan ayat Al-Quran Surah Al-Jumu'ah ayat 2, yang menunjukkan bahawa penyucian hati dibezakan dengan pengajaran Al-Quran kerana yang dikehendaki oleh Allah Taala dalam firman-Nya (و يزكيهم) ialah Rasulullah SAW memberikan mereka (para sahabat RA) hal keadaan penyucian. Justeru terdapat perbezaan yang besar antara ilmu penyucian dengan hal kesucian sebagaimana perbezaan antara ilmu kesihatan dengan keadaan sihat. Dalam hal ini, menghimpunkan kedua-duanya adalah perkara yang paling sempurna.
Berdasarkan amalan salaf tersebut, para Sufi membuat kesimpulan bahawa adalah kesilapan bagi sesiapa yang menyangka bahawa dirinya sendiri mampu mengubati penyakit hatinya melalui bacaan Al-Quran semata-mata dan mengulangkaji hadis Baginda SAW. Ini kerana Al-Quran dan hadis bolehlah diumpamakan sebagai himpunan pelbagai jenis ubat bagi pelbagai jenis penyakit hati dan jiwa. Oleh itu seseorang yang berusaha membersihkan rohaninya daripada pelbagai penyakit jiwa dan hati memerlukan seorang doktor bagi memberikan ubat yang sesuai dan serasi dengan penyakitnya di samping pembacaan Al-Quran dan hadis. Dalam erti kata lain, pembacaan Al-Quran dan hadis yang diikuti dengan kefahaman dan pengamalan kehendak kedua-duanya adalah penting di samping bimbingan seorang yang mahir dengan kaedah pengubatan rohani manusia. Dan hal ini hanya didapatkan melalui proses bersahabat (suhbah) secara menyeluruh meliputi aspek pentarbiyahan rohani dan penyucian jiwa.
Sumber dari Prof. Madya Dr. Faudzinaim bin Hj. Badaruddin; UKM.
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan