Tuan Guru Haji Yaccob, Gong Pauh.

 

Tuan Guru Haji Yaccob, Gong Pauh.
Manaqib beliau :
Tuan Guru Haji Yaccob, Gong Pauh, Kemaman ( 1914 - 1998 )
Tuan Guru Haji Yaccob atau nama penuhnya ialah Che Yaccob Bin Jusoh Bin Rashid Bin Nakhoda Udin Bin Malim Permata Bin Lebai Saras', dilahirkan pada tanggal 7 Mei 1914 bersamaan 11 Jamadil Akhir 1332 iaitu pada hari Khamis di Kampung Nyior, Kemaman, Terengganu. Bapanya bernama Jusoh, manakala ibunya bernama Aminah. Beliau ialah anak bongsu daripada lima orang adik beradik dan merupakan anak lelaki tunggal.
Tuan Guru Haji Yaccob menjadi anak yatim ketika masih kecil dan yatim piatu selepas dua hingga tiga tahun beliau belajar di sekolah pondok. Beliau ialah anak lelaki kesayangan ibu bapa dan keluarga. Selepas kematian kedua-dua orang tuanya, beliau dijaga oleh kakak sulungnya yang menjaga beliau seperti anak sendiri.
Pendidikan awalnya bermula sejak kecil, iaitu dengan mempelajari ilmu agama di sekitar kampungnya di Kemaman. Setelah tamat mempelajari ilmu di kampung, ibunya (Aminah) telah menyuruh beliau untuk berguru dengan Tuan Guru Wan Muda Alim dan abang iparnya, Tuan Guru Abu Bakar. Namun, Tuan Guru Haji Yaccob menolak saranan ibunya itu kerana beliau beranggapan bahawa ilmu beliau tidak akan bertambah sekiranya terus belajar di Kemaman, apatah lagi beliau telah menguasai semua ilmu daripada para alim di Kemaman. Lantaran daripada itu, ahli keluarga beliau telah berbincang dan bersepakat untuk menghantar beliau belajar luar dari Daerah Kemaman. Kemudian, beliau dihantar belajar agama di Losong, Kuala Terengganu. Di sana, Tuan Haji Yaccob menuntut ilmu agama di Pondok Haji Mat Shafie dalam bidang al-Qur'an pada sekitar usia 13 tahun berguru dengan pengasasnya, Tuan Guru Haji Mat Shafie. Setelah beberapa tahun belajar di situ, beliau merasakan perlu untuk mencari ilmu di pondok lain. Lalu, beliau berguru pula dengan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir di Pondok Bunut Payong, Kota Bharu, Kelantan.
Selepas tamat belajar selama lebih kurang 14 tahun, beliau kembali ke Kemaman sewaktu pendudukan Jepun pada sekitar tahun 1940-an. Setibanya di Kemaman, beliau mengajar di surau-surau. Walaupun pada masa itu ialah zaman darurat, namun demi menyebarkan dakwah Islamiah beliau meneruskan kerjanya mengajar di surau-surau. Pada masa yang sama, beliau juga memegang jawatan imam di Masjid Sultan Ahmad, Kemaman, Terengganu. Namun, beliau hanya berkhidmat untuk beberapa bulan sahaja. Ini kerana apabila beliau ditawarkan untuk diberi gaji, beliau telah meletakkan jawatan sebagai imam. Selepas daripada itu, beliau menjawat jawatan sebagai guru agama di Kemaman di bawah pentadbiran Pejabat Agama. Kerjaya beliau sebagai guru agama menyebabkan beliau dikenali sebagai 'Cikgu' Che Yaccob sehingga kini. Selain daripada itu, beliau sentiasa menerima undangan untuk menjadi imam solat Jumaat dan kuliah di beberapa buah masjid di Kemaman.
Beliau juga turut mengajar perkara-perkara fardu 'ain kepada penduduk Islam tempatan. Beliau mengajar di masjid dan surau di sekitar Daerah Kemaman setiap hari dalam seminggu. Pada hari Ahad dan Isnin, beliau mengajar di Markas Pengajian Agama Islam Terengganu (MARPA), mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan. Manakala pada hari Jumaat, beliau mengajar di Masjid Kuala Kemaman bermula pada jam 9 pagi sehingga masuk waktu solat Jumaat dan di Masjid Binjai pada waktu petang. Pada hari Sabtu pula, beliau mengajar di Masjid Kijal. Sementara itu, pada pukul 7 hingga 9 pagi setiap hari, beliau mengajar di Surau Haji Che Yaccob.
Selain daripada itu, beliau bersama-sama Tuan Guru Haji Wan Muda Alim, Che Meng dan Cikgu Jusoh telah membentuk pasukan menentang penjajah. Mereka beempat ialah tokoh-tokoh bersaudara yang mempunyai kebolehan dan kepakaran dalam bidang masing-masing. Tuan Guru Haji Yaccob juga ditauliahkan sebagai jurunikah. Selain daripada itu, beliau juga adalah pengamal perubatan tradisional. Rumah beliau sering dikunjungi oleh penduduk tempatan untuk merawat penyakit dan meminta bantuan seperti air penerang hati, barang hilang dan masalah rumah tangga. Kehebatan beliau ini telah diakui oleh masyarakat setempat serta masyarakat luar Kemaman. Malah, ramai yang datang untuk berguru dengan beliau. Oleh yang demikian, beliau mempunyai ramai anak murid di Kemaman, khasnya dan di tempat lain, amnya sehingga kini. Sebagai seorang yang berpengalaman dan berpengetahuan tinggi, beliau juga pernah menjadi penceramah jemputan di Pupuk Semangat, Kemaman, Terengganu.
Semasa hayatnya, Tuan Guru Haji Yaccob telah berkahwin dengan Hajah Rajiah Binti Udin sekitar tahun 1947. Ketika itu, Tuan Guru Haji Yaccob berusia 33 tahun manakala isterinya berusia 18 tahim. Hasil perkongsian hidup ini, mereka dikurniakan 12 orang cahaya mata.
Akhirnya Tuan Guru Haji Yaccob menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 4 Ogos 1998 bersamaan 11 Rabiul Akhir 1419 iaitu pada hari Selasa akibat serangan angin ahmar yang dialaminya buat kali ketiga. Jasad beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kemaman.
Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin
*Sumber - Tesis "TUAN HAJI YACCOB BIN JUSOH (1332-1419H/1914-1998M): PERANAN DAN SUMBANGAN DALAM PERKEMBANGAN PENDIDIKAN ISLAM DI KEMAMAN, TERENGGANU DARUL IMAN" tulisan Nur Asiah Binti Abdullah @ Razali, UKM, Bangi (Ehsan dari Ustaz Ahmad - Anakanda Allahyarham)

* Sumber dari Tengku Yusuff )


Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan