Tauhid # Hikam Ibn Atho'illah oleh Tok Pulau Manis

 


Tauhid
Hikam Ibn Atho'illah oleh Tok Pulau Manis
من علامة الإعتماد على العمل نقصان الرجاء عند وجود الزلل
Ertinya : "Setengah daripada alamat orang yang berjabat (bersandar) atas amal itu kurang harapannya tatkala diperoleh kesalahan."
Syarah Tok Pulau Manis :
yakni kurang harapnya tatkala maksiat dan sempurna harapnya tatkala taat. Dan demikian itu (orang yang kurang harap tatkala maksiat dan sempurna harap tatkala taat) hal segala orang yang jahil, yang menilik bagi dirinya[1] amal dan orang yang arif[2] itu tiada sekali – kali menilik bagi dirinya amal.
[1] Tauhid itu ialah menunggalkan Allah pada Dzat, Sifat dan Aaf’al Nya. Tauhid pada Dzat ialah meyakini bahawa hanya Dzat Allah yang wajibul wujud dan wujud selainNya adalah di dalam Qabdah (Genggaman) Ar Rahman. Sesuatu yang berada di antara ada dan tiada itu dikatakan tiada pada hakikatnya. Hal ini kerana kewujudannya itu semata-mata ihsan Sang Pencipta.
Firman Allah SWT :
كل من عليها فان ويبقى وجه ريك ذو الجلال والإكرام
“Semua yang berada di atasnya (alam) akan binasa dan yang kekal hanya wajah (zat) tuhan mu yang memilki ketinggian dan kemuliaan.” (Ar-Rahman : 25-26)
Shaykhuna lebih cenderung memilih istilah wahdat al syuhud dari wahdat al wujud bagi menggambarkan perasaan mereka yang mencapai martabat Tauhid Al-Dzat. Hal ini kerana bagi beliau mumkinat atau makhluk itu adalah berada antara realiti dan illusi. Tiada semua mumkinat itu illusi, ada yang di kalangannya adalah realiti ; seperti kewujudan Nabi SAW, Al-Quran, alam barzakh, syurga dan neraka adalah realiti. Sesuatu itu dikatakan illusi jika ia hanya bermatlamatkan dunia yang bersifat illusi namun jika perkara tersebut bermatlamatkan Allah maka ia adalah realiti.
Istilah wahdat al syuhud itu adalah lebih tepat bagi menggambarkan maqam baqa’ biLLah yakni kesedaran di Alam Ketuhanan dan Kehambaan yang menjadi kesempurnaan Ahli Sunnah wal Jamaah. Dikatakan kesudahan orang yang muntahi (tertinggi) itu adalah permulaan orang yang mubtadi (permulaan). Penggunaan istilah wahdatul wujud itu lebih tepat bagi menggambarkan keadaan seorang yang fana’ fiLLah yang hanya mempunyai kesedaran di Alam Ketuhanan yang mungkin menyebabkan berlaku pelanggaran dan peringanan terhadap Syariat Muhammadiyyah.
Firman Allah :
وشاهد ومشهود
“Dan demi yang menyaksikan dan yang disaksikan.” (Al-Buruj : 3)
Penggunaan istilah wahdat al syuhud itu sejalan dengan apa yang dipegangi oleh al Imam al Mujaddid al Sahrawardi dalam tulisan-tulisannya tentang tasawwuf. (sila lihat al-Maktubat)
Sementara tauhid pada sifat Nya itu bermaksud kita meyakini dengan sebenar-benarnya bahawa tiada di sana sesuatu sifatpun melainkan ia adalah limpahan daripada sifat Allah. Hanya Allah yang Berkuasa, yang Berkehendak, yang Maha Mengetahui dan selainnya. Adapun sifat-sifat yang ada pada manusia maka ia adalah bersifat pinjaman.
Sesuatu yang dipinjam itu pada hakikatnya bukan milik peminjam. Ia hanyalah amanah yang bersifat sementara. Hal ini kerana jika manusia sebenarnya memiliki sifat ilmu, mengapa manusia tidak dapat menghalang sifat lupa daripadanya atau hilang ingatan. Jika ia adalah miliknya tentu ia berkuasa penuh terhadap milikannya, namun mengapa berlaku hilang ingatan, lupa jahil dan sebagainya? Nyatalah di sini kefakiran dan kedhaifan kita maka sedarlah kita bahawa hanya Allah Dzat yang sebenarnya bersifat Ilmu.
Firman Allah :
ليس كمثله شيء وهو السميع العليم
“Tiada sesuatu pun yang menyamai Nya dan Dia lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Asy-Syura: 11)
Manakala tauhid pada af’al Nya bermaksud segala perbuatan yang berlaku baik yang bersifat ikhtiyari atau idhtirariy adalah pada hakikatnya perbuatan Allah atau kita menafikan kam munfasil bagi Af’al Allah. Yakni kita menafikan adanya di sana kelakuan yang berbuat di alam ini melainkan ia adalah kelakuan Allah. Rentetan itu wajib kita yakini bahawa segala perbuatan kita baik yang ikhtiyari atau yang idhtirariy adalah perbuatan Allah yang Maha Esa.
Ini bermaksud ketaatan dan kemaksiatan itu pada hakikatnya diciptakan oleh Allah tetapi dipilih dan diusahakan oleh hamba. Namun adab kehambaan itu menuntut kita agar tiada menyandarkan kejahatan dan kemaksiatan melainkan kepada diri kita.
Firman Allah :
ما أصابتك من مصيبة فمن نقسك
“Apa sahaja musibah yang menimpamu maka ia adalah hasil usahamu sendiri..” (Asy-Syura: 30)
Hal ini adalah kerana jika di sana ada yang lain yang menciptakan perbuatannya sendiri selain Allah, contohnya taat dan maksiat itu hamba yang menjadikannya maka nescaya akan wujud disana berbilang-bilang perbuatan yang menafikan sifat Kekuasaan Yang Maha Esa.
Pegangan ini diambil berdasarkan firman Allah :
والله خلقكم وما تعملون
“Dan Allah yang menciptakan kamu dan perbuatan yang kamu usahakan.”
Maka dengan kerana inilah bersandar kepada amalan dan sebagainya dari kurniaan Tuhan adalah dicela, lantaran sikap ini akan menimbulkan kesombongan pada diri orang yang taat, kerana tiada sesuatu yang wajib ke atas Allah. Sifat Kaya Allah (Istighna’) menafikan kewajipan Allah memberikan pahala kepada orang yang taat dan dosa kepada pelaku maksiat sebaliknya pahala dan dosa tersebut adalah semata-mata menunjukkan anugerah dan keadilan Nya.
Dalam hal ini sabda Rasulullah saw :
لن يدخل أحدكم عمله الجنة قيل يا رسول الله ولا أنت ؟ ولا أنا إلا أن يتغمدني الله برحمته.
“Tiada sekali-kali seseorang itu memasuki syurga dengan sebab amalan ketaatan yang dilakukannya. Baginda SAW ditanya : Ya Rasulullah adakah dirimu juga begitu? Baginda bersabda: Aku juga begitu melainkan dengan limpahan kurnia rahmat Nya.” (riwayat Muslim)
Oleh kerana itulah para arifien biLLah tiada bertambah harap mereka kepada Allah tatkala melakukan ketaatan dan tiada berkurangan harapan mereka kepada keampunan Allah di kala terjerumus dalam maksiat kerana perasaan mereka telah lebur dalam ketauhidan kepada Allah. Mereka tiada lagi memandang kepada diri mereka, mereka hanya memandang kepada Allah SWT dan mereka merasakan diri mereka hanyalah mazhar kepada sifat Rahmaniyyah Nya.
Harus diingat kalam hikmah ini bukan bermaksud kita disuruh meninggalkan amal kerana beramal dengan syariat itu wajib. Ia menegaskan kepada kita betapa pentingnya kita hanya bersandar kepada rahmat dan kurniaan Allah bukan kepada kekuatan dan kepandaian diri yang akan membuahkan kesombongan apabila merasakan diri banyak beramal.
Cuba kita perhatikan ramai di kalangan umat Islam yang mempunyai masa lapang dan sihat tubuh badan serta mengetahui bahawa solat berjemaah sangat penting tetapi kenapa segelintir sahaja yang hadir menunaikannya? Adakah kerana mereka tidak berkelapangan atau tidak berupaya? Sekali-kali tidak ; kehadiran kita ke surau atau masjid adalah semata-mata taufiq dan hidayah dari Allah yang merupakan limpahan kurniaan Nya.
Muallif (Tok Pulau Manis) menyatakan hal ini sebagai peringatan kepada para salik yang menempuh perjalanan menuju Allah agar membetulkan bidayah atau permulaan mereka dengan benar-benar ikhlas dan jujur dalam pendakian mereka. Jangan bersandar dengan pemberian Allah kepada kita baik berupa kekuatan jasmani, rohani, waridat dan sebagainya bahkan hendaklah dihayati benar-benar kalimah la hawla wala quwwata illa biLLah.
[2] Berkata Syeikh al-Syarqawi : “Adapun para arifien biLLah, maka mereka tiada melihat kepada diri mereka sedikitpun buat mereka jadikan sandaran bahkan mereka memandang pelaku hakiki itu hanyalah Allah dan mereka hanyalah tempat penzahiran Nya (Qudrat, Iradat dan Ilmu Nya).
Dan adalah hal manusia itu atas tiga bahagi[3] :-
a. Yang berjabat atas amal dan alamatnya itu kurang harapnya kepada Allah tatkala tiada hasil yang dimaksudkannya.
b. Yang berjabat atas anugerah Allah Ta’ala dan alamatnya itu rujuk ia kepada Allah dalam kesukaan dan kesakitan. Dan tatkala suka dengan mengata alhamdulillah dan syukur dan tatkala duka dengan berlindung dan minta tolong.
c. Yang berjabat atas bahagian yang telah dahulu (bersandar kepada suratan takdir), dan alamatnya tiadalah gundah kerana ketiadaan sebab[4]. Maka tiadalah bertambah harapnya kerana sesuatu dan tiada kurang harapnya kerana suatu, jikalau ditimbang nescaya bersamaan dalam tiap-tiap hal daripada segala ahwalnya tetapi adalah ia sentiasa suka.
Berkata setengah daripada orang muhaqqiq ; sesiapa yang sampai kepada hakikat Islam maka ia tiada berkuasa berhenti daripada melakukan amal ibadat. Dan sesiapa yang sampai kepada hakikat iman maka tiada berkuasa berpaling daripada melakukan amal ibadat, dan sesiapa yang sampai kepada hakikat ihsan maka tiada ia berkuasa berpaling selain daripada Allah Ta’ala.
Dan adab bagi ahli tariq (mengamalkan tarekah sufiyyah) pada sesuatu waktu itu adab syariah dan dalam suatu waktu adab khidmah dan dalam suatu waktu adab al Haqq.
Adab syariah ialah mendirikan segala tandanya[6] iaitu permulaan bagi sekalian orang yang menjalani jalan kepada Al Haqq Ta’ala.
_________________
[3] Menurut Syeikhuna): Tauhid dipandang dari sudut penghayatan seseorang dibahagi kepada tiga :
1- Tauhid I’tiqadiy atau ilmiy iaitu ketauhidan seseorang itu hanya bersifat ilmu semata-mata namun dalam penghayatan masih belum benar-benar bertauhid. Contohnya dia akan merasakan kekuatan imannya dan bertambah rapatnya kepada Allah dengan meningkatnya ketaatan.
2- Tauhid Syuhudiy iaitu ia memandang segala perilakunya itu adalah anugerah Allah semata-mata dan mereka berperanan sebagai orang yang berusaha dan berikhtiyar sebaliknya yang menjadikannya ialah Allah. Inilah tauhid yang dapat melepaskan seseorang dari syirik kecil seperti ‘ujub, riya’, takabbur dan selainnya, umat Islam wajib mencapai martabat tauhid ini bagi membebaskan diri dari syirik dan ananiyyah atau keakuan diri.
3- Tauhid Wujudiy iaitu seseorang itu memandang pada dzauqinya segala sesuatu itu qaim biLLah tiada yang lain melainkan menyatakan wujudNya. Golongan ini lebur perasaannya dalam kewujudan Allah sehingga tiada dia merasai kewujudan diri kerana kuatnya pandangan sarirahnya pada cahaya kewujudan Allah.
[4] Taat atau maksiat dan sebagainya.
[5] Di sinilah terzahirnya peri pentingnya seseorang itu menghayati ad Deen secara bersepadu tanpa meringankan satu bahagian dari satu bahagian yang lain. Maksud perkataan ini wallahu’alam ; Seseorang yang telah mencapai hakikat Islam maka dia akan menjunjung dengan penuh taat setia segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah tidak kira ia kecil atau besar perintah dan larangan itu. Hal ini kerana Islam itu bermaksud melaksanakan ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW.
Maksud iman pula ialah membenar dan patuh dengan ajaran yang dibawa oleh baginda SAW, jadi orang yang telah mencapai hakikat iman pasti tidak akan meninggalkan amal ibadat.
Sementara hakikat ihsan itu ialah hatinya sentiasa berhubungan dengan Allah dan dia hanya mencari keredhaan Allah dalam melaksanakan amal salehnya. Oleh kerana itu seseorang yang telah mencapai hakikat ihsan pasti tiada akan berpaling kepada selain Nya.
Bagi menggambarkan peri pentingnya prinsip kesepaduan ad Deen ini dikemukan satu contoh perintah solat lima waktu sehari semalam. Firman Allah :
أقم الصلاة لذكري
Dirikanlah solat untuk mengingati Ku
Pada ayat ini terdapat perintah menunaikan solat dengan maksud bagi mengingati Allah. Seorang yang melaksanakan solat ialah seorang yang beriman yakni membenar dan mematuhi ajaran yang dibawa oleh Rasulullah. Maka untuk membuktikan keimanannya maka dia melaksanakan solat dengan mengikut kaifiyat yang telah ditetapkan oleh Allah dan ditunjukkan oleh Rasulullah saw (Islam). Maka bagi merealisasikan maksud solat agar dapat mengingati Nya maka dia mesti menghubungkan hatinya dengan Allah yakni mesti ada ihsan. Tidak cukup seseorang itu hanya percaya dan melaksanakan solat tetapi hatinya tiada berhubungan dengan Allah,ibaratkan seperti seorang anak yang mempunyai ibu dan bapa tetapi tiada mempunyai hubungan hati dengan mereka berdua yakni menyintai, merindui dan sebagainya.
Ilmu tentang bagaimana menghubungkan hati dengan Allah agar sentiasa perhubungan itu intim dibahaskan dalam ilmu tarekah. Tarekah sufiyyah tiada lain melainkan mazhab pengamalan ilmu tasawwuf sebagaimana ilmu tauhid dan ilmu fekah yang ada mazhabnya yang tersendiri.
[6] Maksudnya melaksanakan segala suruhan dan menjauhi segala tegahan syarak atau fana’ fi al syariah. Istilah fana’ bukan bermakna insan bersatu menjadi tuhan tetapi ia bermaksud kepatuhan mutlak seseorang itu pada perintah dan larangan Allah. Firman Allah mengenainya :
بلى من أسلم وجهه لله..
Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya (fana’) kepada Allah..
Fana itu mempunyai beberapa tingkatan :-
1- Fana pada syariat-menjunjung perintah dan menjauhi larangan Allah
2- Fana pada tarekah – melaksanakan syariat dengan penuh rasa cinta.
3- Fana pada hakikat – sentiasa merasa fakir kepada Allah dengan menyedari bahawa segala sesuatu itu datang dari dengan dan kepada Allah.
4- Fana pada makrifat-sentiasa merasa syukur dengan segala takdir yang berlaku ke atasnya dalam setiap hal.
Sementara jalan menuju fana’ pula ialah :-
1- Zikir yang berterusan tanpa mengenal erti penat dan lelah.
2- Natijahnya dia akan merasai dirinya sentiasa dalam pengawasan Allah (muraqabah).
3- Perasaan riqabatuLLah yang bersangatan itu menyebabkan dia merasakan seolah – olah menyaksikan Allah dalam gerak dan diamnya dan dalam setiap zarah alam ini(musyahadah). Sebagai contoh seorang yang bersangatan merindui kekasihnya dia akan merasakan seolah-olah sentiasa bersama kekasihnya sehinggakan dia melihat pada batu di hadapannya bayangan kekasihnya.
4- Justeru menyebabkan dia lebur (fana) dalam kecintaan dan kerinduannya kepada kekasih dan dia akan mengutamakan kekasihnya lebih dari dirinya sendiri hatta sanggup bergadai nyawa demi kekasihnya.
5- Keleburan diri atau mazmumah menjadikan dirinya orang yang patuh pada segala perintah dan larangan (fana fil fana’ atau baqa’) di sinilah menyatunya hakikat muhammad dan syariat Muhammad dan seorang itu telah mencapai martabat insan kamil.
Tiada nilai fana’ jika tiada lebur mazmumah di dalam diri kerana kesempurnaan maqam kehambaan itu ialah pada leburnya sifat-sifat mazmumah, hanya Allah yang dicari tiada yang lain . Ilahi anta maqsudi wa ridha ka matlubi mudah-mudahan Allah menjadikan saya dan tuan-tuan sebagai hamba Nya yang sebenar, amin.
Syarah Tok Pulau Manis :
Adab khidmah[1] ialah fana dari melihat segala tandanya dan tiada memandang kepada yang demikian itu melainkan kepada anugerah Allah ta’ala jua. Kerana sebagai ahli khidmat wajib ke atasnya tiada berjabat kepada segala amal baktinya.
Adab al haq ialah seperti engkau mengetahui apa yang bagimu dan apa yang bagi al Haqq ta’ala. Inilah sekalian ahli tahqiq (mereka yang benar-benar menjadi hamba Allah)[2]
Kerana hamba itu apabila ia mengenali apa yang bagi dirinya daripada sifat – sifat faqir , dhaif, lemah, hina dan kurang manakala bagi tuhannya daripada sifat-sifat kaya, kuat, kuasa , mulia dan sempurna, maka fanalah dia daripada setiap yang lain daripadaNya[3].
Ini adalah bagi orang yang melihat kesempurnaan (kamalat) kudrat tuhannya, kerana sesiapa yang tiada melihat kesempurnaan kudrat tuhannya dalam makrifat maka gugurlah ia daripada keadaan yang sempurna. Maka apabila engkau melihat kesempurnaan kudrat tuhanmu , maka fanalah engkau daripada setiap yang lain daripada Nya.
Dan engkau hendaklah mengetahui kehendak Nya daripadamu dalam setiap hal, maqal dan maqam. Dan inilah kesudahan segala adab, kerana yang dikehendaki al Haqq ta’ala itu bahawa ada Dia tiada engkau. Maka dengan itu gugurlah ikhtiyar dan putuslah iradah engkau pada apa yang dikerjakan oleh engkau padanya daripada tajrid dan daripada segala sebab.[4]
[1] Yakni ketika melaksanakan suruhan dan perintah Allah itu dia hanya melihat bahawa
ia adalah anugerah Allah bukan kekuatan dan keupayaannya kerana tiada yang berbuat pada hakikat melainkan Allah jua.
[2] Yakni bagi tuhanmu itu menjadikan perbuatanmu yang ikhtiyari mahupun idtiroriy dan bagi dirimu pilihan dan usaha dan di atas keduanya dirimu ditaklifkan serta dihisab.
Firman Allah :
وما رميت إذ رميت ولكن الله رمى
"Bukan dirimu yang melontar ketika engkau melontar tetapi Allah yang melontar" (al-Anfal: )
Iaitu dirimu hanya memilih dan berusaha melontar dan yang menjadikan perbuatan melontar itu ialah Allah. Perkataan iz ramaita itu mengisbatkan usaha dan ikhtiyar bagi hamba dan walakinn Allah rama menunjukkan bahawa pada hakikatnya perbuatan itu diciptakan oleh Allah. Inilah pegangan ahli sunnah dalam masalah perbuatan ikhtiyari hamba iaitu pertengahan di antara jabariyyah dan qadariyyah.
[3] Keadaan ini menggambarkan perihal seseorang yang kesedaran ketuhanannya(makrifat) telah mencapai wilayah qabdah, iaitu suatu kesedaran di mana seorang itu merasakan dirinya terlalu fakir kepada Allah kerana dirinya dan apa yang ada di sekelilingnya berada dalam genggaman al Rahman. Ia sentiasa terdedah kepada kemusnahan pada setiap detik. Maka lahirlah perasaan fakir, dhaif, hina kepada Allah dan sebagainya.
kesedaran ketuhanan itu kepada lima wilayah;-
1- Wilayah tiada kesedaran
2- Wilayah mumkinat
3- Wilayah qabdah
4- Wilayah al hubb
5- Wilayah al dzat
Setiap insan telahpun mempunyai kesedaran ketuhanan di alam roh lagi namun kegelapan kehidupan dunia itu menyebabkan kesedaran ketuhanan itu terpadam. Maka dakwah mesti difokuskan kepada membuka titik kesedaran ketuhanan yang telah sedia ada dalam diri setiap insan.
[4] Yakni seseorang yang telah mengenali bahawa Allah sebenarnya Maha Berkuasa, Berkehendak dan Berilmu dan lebur perasaannya dalam sifat – sifat tersebut maka tiada dia memilih dan berkehendak melainkan berdasarkan kepada kehendak dan pilihan Allah dalam segala hal dan maqal (perkataan). Iaitu rehat dirinya daripada tadbir dengan menyerahkannya kepada Allah kerana Dia lah tuhan sebelum dia dilahirkan ke dunia ini dan selepasnya. Jika dia dapat menyerahkan nasib dirinya kepada Allah ketika di alam rohani mengapa tidak di alam zahir...!! ia dibicarakan secara lanjut dalam kalam – kalam seterusnya.
Maka tajrid dan sebab itu semuanya dari Allah maka jika Dia meletakkanmu pada salah satu dari keduanya maka janganlah engkau cuba melarikan diri daripadanya berdasarkan perkiraan akal dan nafsumu yang singkat. Perbuatan mu itu adalah tanda kurang yakin mu pada pemeliharaan Nya.
Allahu Mustaan fi kulli hal

( Sumber dari Suhaimi Ahmad )


Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan