*RAHSIA IHSAN*

 


*RAHSIA IHSAN*
Agama itu terdiri daripada tiga rukun iaitu Iman, Islam dan Ihsan. Sepertimana yang termaktub di dalam hadis Jibril riwayat Saiyidina Umar Al-Khattab, ketiga-tiga rukun ini telah dikemukakan pada masa yang sama ketika pertemuan Malaikat Jibril dengan Nabi Muhammad saw. Malaikat Jibril telah datang sebagai sosok manusia lelaki dengan berpakaian yang sangat putih dan rambutnya amat hitam, tetapi tidak disedari oleh para sahabat yang berada di sisi Nabi saw bahwa siapakah tetamu tersebut, sehinggalah Nabi saw menjelaskan setelah Malaikat Jibril pun beredar daripada tempat itu.
Kita telah pun maklum apa itu Iman dan Islam. Tetapi kebanyakan kita tidak begitu prihatin tentang Ihsan. Padahal itulah rukun yang wajib dan tidak harus kita ketepikan. Di antara alasannya kita hanya mementingkan perkara syariat sahaja kerana dengan bersyariat anggapan kita sudah mencukupi demi menjadi seorang umat Islam yang beriman, dengan harapan agar amalan kita menjamin kita masuk syurga. Dan Allah yang kita percayai hanyalah semata-mata sebagai Tuhan untuk kita mentaati perintah dan larangan-Nya, namun sayangnya Allah itu tidak sebagai Tuhan yang dicintai.
Hanya di kalangan orang-orang sufi dan tasawuf sangat mengambil prihatin tentang Ihsan ini. Apakah itu Ihsan?
Ihsan adalah intinya ibadah. Tanpa Ihsan bermakna seseorang itu belum lagi benar-benar ikhlas beribadah kepada Allah. Ihsan itu meluputkan semua yang bersifat syirik yang mengakar-umbi di dalam jiwa. Syirik itu tiada keampunannya melainkan akar-akar syirik itu dicabut dan dikeluarkan dari jiwa sampai sebersih-bersihnya. Syirik itu bagai kepekatan malam yang gelap-gulita tanpa serurat cahaya dan merayap pula semut-semut hitam di atas batu yang hitam. Jika syirik itu telah dibersihkan dari jiwa dengan Nur Muhammad, nescaya jiwa itu akan menjadi matahati yang amat terang-benderang dan dapat melihat Tuhannya tanpa bersekutu dengan sesuatu.
Ihsan itu seperti maksudnya yang disabdakan oleh Nabi saw, “Dirikanlah solat seolah-olah engkau melihat Rabbmu. Jika engkau tidak melihat-Nya, ingatlah sesungguhnya Rabbmu maha melihat.”
Indikasi seolah-olah itu bukanlah pula bermaksud pura-pura melihat tetapi tidak melihat. Namun yang ditegaskan ialah melihat dengan sesungguh-sungguhnya dan penuh haqqul yakin, tidak ada syak dan ragu atau fikiran yang berbolak-balik.
Maka hakikat Ihsan itu jelas sekali pengertiannya ialah syuhud kepada Allah. Syuhud ertinya menyaksikan Allah melalui matahati bahwa hanya Allah itu sahaja yang wujud dan yang selain-Nya itu bukanlah wujud walaupun tampak di mata kasar sesuatu gambaran benda itu seperti ada di hadapan kita tetapi hakikatnya memang tidak ada. Justru penyaksian itu mestilah di dalam penafian dan pengisbatan. Apabila sesuatu gambaran atau akhwan itu telah lenyap atau dikosongkan di dalam pandangan batin kita dengan penafian, maka ketika itulah kita sebenarnya sedang menyaksikan Allah baik kita sedari ataupun tidak, kita bertawajjuh memandang Wajah Allah yang tidak serupa dengan segala suatu. Mungkin sebagai pemula, kita tidak nampak apa-apa pun selain dari kekosongan atau keheningan sewaktu kita sedang melakukan penafian secara menutup tujuh panca-indera atau disebut matikan diri sebelum mati, namun janganlah pula kita menyangka bahwa kekosongan itu tidak bermakna apa-apa, tetapi kekosongan dan keheningan itulah yang dikatakan Sirrullah dan di dalam Sirr atau ertinya Rahsia itulah Allah yang tidak kita ketahui dengan akal dan fikiran melainkan dengan matahati yang syuhud kepada Allah.
Sebagaimana pengakuan kita di dalam dua kalimah syahadat, “Asyhadu alla ilaha illallahu wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah,” yang erti hakikinya ‘aku naik saksi tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah’, maka syahadat kita ini sudah cukup sempurna dan janganlah pula kita ‘cross line’ lagi dengan menokok-tambah perkataan dan makna ‘kusembah’ seperti kebanyakan orang melafazkan iaitu aku naik saksi tiada Tuhan yang ‘kusembah’ melainkan Allah.
Mengucapkan dua kalimah syahadat itu bukan sekadar di lidah, tetapi dengan benar-benar bertawajjuh kepada Allah, tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu. Tawajjuh itu mesti dilakukan di dalam keyakinan relung hati kita yang murni, barulah penyaksian itu dikatakan benar dan matahati itu tidak mendustakan apa yang dilihatnya.
Maka perkataan dan makna ‘kusembah’ yang ditambahkan di dalam pengertian syahadat Allah itu ternyata seorang itu masih nampak wujud dirinya baik di dalam beribadah ataupun di luar ibadah. Penyaksiannya itu pula mengandungi dua wujud atau dualisme. Ia tidak menyaksikan dengan penyingkapan ainul basirah yang berteraskan Tauhid Suhudiyah bahwa pelaku sebenar yang beribadah itu adalah Allah tetapi ia mengakui dirinya sendiri.
Diulangi lagi, melihat Rabb di dalam solat yang haqiqi bahwa matahati kita sudah tidak melihat kepada yang lain, atau yang lain itu sudah larut dan lebur dalam syuhud kita kepada Allah. Hatta solat itu pun sendiri sudah tidak kita lihat kecuali Allah sahaja yang kita lihat secara total. Selagi kita melihat pada yang lain, belumlah kita dikatakan mencapai tujuan hakikat solat.
Nafikan yang ‘kusembah’ itu yang menjadi cross line antara hubungan kita dengan Allah dan isbatkan hanya Allah yang maha berbuat sebagai kenyataan Af’al-Nya pada diri kita, sebagaimana kita pernah menyaksikan Allah di alam Ruh secara Ruh tanpa ada suatu pun yang bernama benda atau jisim. Ruh itu dari Dzat Allah dan Allah yang mengutuskan Ruh itu dari Dzat-Nya sendiri dan bukan pula Ruh itu jenis penciptaan, maka itulah dikatakan bahwa Ruh urusan Allah.
Begitu juga di dalam rukun pergerakan solat, bukanlah gerakan berdiri, rukuk, sujud dan duduk itu yang menjadi matlamatnya, tetapi syuhud kepada Allah di dalam keadaan berdiri, rukuk, sujud dan duduk itulah yang paling utama. Bahkan di luar solat sekali pun batin kita harus sentiasa syuhud kepada Allah sepertimana di dalam solat tanpa putus dan terus berkekalan, inilah dikatakan solat daimun.
Ibadah dalam erti yang hakiki, tidak ada di dalamnya kemakhlukan dan kesyirikan kepada Allah, tidak ada keinginan melainkan keinginan Allah. Misalnya di dalam solat, apa yang diperlukan oleh hamba-Nya sudah ditentukan Allah cara Af'al-Nya permohonan dan bacaan. Tak perlu kita mengajar Allah apa nak buat.
Yang dikatakan dalam ibadah itu sesungguhnya tidak ada sembah menyembah. Si penyembah pun tidak ada di hadapan Allah. Barangsiapa yang berharap untuk bertemu Rabbnya maka janganlah ia melakukan syirik. Di dalam ibadah itu hanya ada Ihsan iaitu syuhud kepada Allah.


[ Sumber dariH.B. Johar @zawiyah_misykatul_anwar / Singapura ]
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan