MAT KILAU PEJUANG JIHAD FI SABILILLAH BERALIRAN SUFI/TASAUWUF

 

MAT KILAU PEJUANG JIHAD FI SABILILLAH BERALIRAN SUFI/TASAUWUF
(Disunting Daripada Buku "Tasawuf Dan Tarekat: Sejarah Perkembangan Dan Alirannya Di Malaysia - Mohd Faizal Haron)
Tasawuf dan tarekat sudah menjadi begitu sebati dalam Islam dan dianggap segandingan dengan ilmu Islam yang lain seperti fikah, tauhid, tafsir, hadis, kalam, qiraat, balaghah dan nahu. Sumbangan tasawuf terhadap dunia Islam sangat besar dalam mendidik, berdakwah, meningkatkan ekonomi, memperbetul kehidupan sosial masyarakat, bahkan dalam menubuhkan sesebuah kerajaan. Sehingga kurun ke-20 M, tarekat mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat Islam. Disebabkan pengaruh besar itu, orang yang ingin mendapat dukungan daripada masyarakat menjadi anggota tarekat. Misalnya, Tarekat Bektashiyah mempunyai pengaruh yang kuat ke atas tentera Turki sehingga banyak kali mereka berperanan penting dalam membantu kerajaan Uthmaniyah (Nasr, 2010: 253).
Banyak faktor yang mempengaruhi perkembangan tasawuf dan tarekat di dunia Islam, salah satunya disebabkan keperibadian seseorang syeikh. Tingkat maqam seseorang tokoh itu juga dikatakan sebagai pendorong kepada kemasukan masyarakat ke dalam sesuatu tarekat. Ini ditambah dengan sanad atau salasilah yang diperoleh daripada seorang guru kepada seorang guru yang lain sehingga sampai kepada Rasulullah SAW kemudian baginda mendapatnya daripada Jibril dan seterusnya daripada Allah SWT. Hal ini menyebabkan ramai yang melihat bahawa salasilah ini ialah suatu perkara yang besar dan penting kerana mendapat keberkatan berdasarkan jalur kerohanian itu datang daripada Nabi Muhammad SAW sampai kepada Allah SWT. Dengan unsur tersebut, maka dengan sendirinya masyarakat menerima sesuatu tarekat sehingga dianggap muktabar oleh ulama tarekat dan tasawuf walaupun wujud perasaan curiga oleh sebilangan ulama zahir yang lebih menekan soal rasional dalam sesuatu tindakan yang berdasarkan syariah (Aboebakar, 1993: 82; Abdul Manam, 2013: 50).
Gerakan tarekat juga amat digeruni oleh banyak musuh Islam sama ada kaum Salib, penakluk Mongol, atau pihak penjajah barat yang menjajah wilayah Islam. Hal ini kerana yang menggerakkan dan memperjuangkan fahaman jihad bagi mengusir kolonial dan lain-lainnya ialah mereka yang beraliran sufi. Boleh dikatakan nama pemuka sufi yang akan menonjol dalam penentangan itu baik di bumi Afrika, negara Arab, wilayah Caucasus-Chechen, Kashmir, Afghanistan, Bosnia, Albania, Filipina, Malaysia, Pakistan, India, Indonesia, Thailand, Palestin dan di mana-mana pun nama mereka akan terkedepan.
Di Afghanistan misalnya, pejuang Mujahidin yang kebanyakannya beraliran sufi berjaya mengalahkan tentera Russia walaupun diakui bahawa Russia mempunyai keupayaan ketenteraan yang terkuat di dunia, namun akhirnya tersungkur di tangan pejuang Mujahidin. Rahsianya kerana pejuang Mujahidin dilatih dengan kekuatan kerohanian yang sekali gus dibungkus dengan keimanan yang tinggi kepada Allah SWT (Muhammad, 1987). Banyak contoh yang boleh diberikan antaranya termasuklah para pemerintah yang berjiwa dan berwatak sufi sebagaimana Sultan Mahmud al-Ghaznawi (361-420 H), Sultan Nuruddin Mahmud Zanki (w.1174 M), Sultan Salahuddin al-Ayubi (532-590 H), Sultan Muhammad al-Fateh, dan Sultan Aurengzeb (1027-1119 H).
Pahlawan sufi seperti Amir Abdul Qadir al-Jazairi, Imam Shamil, Umar Mukhtar, Muhammad al-Mahdi, dan Uthman Dan Fadio. Ulama besar sufi lain yang berjuang di tengah-tengah masyarakat dan meneruskan perjuangan jihad antaranya Ahmad Bamba, Syeikh Muhammad Badruddin al-Hasani al-Qadiri (1851-1935 M), Imam Said Nursi al-Qadiri, Izzuddin al-Qassam, Muhammad al-Hashimi al-Syadzili, Syeikh Muhammad Abu al-Yasir Abidin, Syeikh Muhammad ibnu Yallis al-Syadzili (w. 1927 M), Syeikh Ahmad Harun, Syeikh Muhammad al-Syarif al-Yaqubi al-Khalwati (w. 1943 M), Syeikh Abu Khayr al-Madyani, Syeikh Muhammad Said al-Burhani al-Syadzili, Syeikh Muhammad Ali al-Daqar al-Tijani (w. 1943 M), Syeikh Muhammad al-Asymar al-Naqsyabandi (1892- 1960 M), Syeikh Muhammad al-Hamid al-Naqsyabandi (w. 1969 M), Syeikh Muhammad Salih Farfur (w. 1973 M), Syeikh Hassan Habbanakah (w. 1978 M), Syeikh Ahmad Yassin (w. 2004 M) dan ramai lagi ulama-ulama sufi yang turut berjihad (al-Khatib, 2005). Bekas Presiden Afghanistan juga turut mengikuti aliran tarekat seperti Sibghatullah Mujaddidi dan Prof. Burhanuddin Rabbani. Kedua- duanya daripada aliran Tarekat Naqsyabandiyah.
Di Malaysia tidak dilupakan tokoh pejuang yang beraliran sufi seperti Tok Ku Paloh al-Naqsyabandi, Tok Kenali, Tok Janggut, Tok Gajah, Mat Kilau, Dato' Bahaman, Haji Abdul Rahman Limbong, Mat Salleh Sabah, Kiyai Salleh Selendang Merah, Kiyai Shamsuddin Hj. Redzuan dan Dr. Burhanuddin al-Helmy. Secara umumnya dapat difahami bahawa tasawuf dan tarekat merupakan ajaran dan amalan yang berkaitan akhlak, pelurusan hati dan kedekatan dengan Allah SWT. Tasawuf dan tarekat bukanlah rekaan guru sufi tetapi pengambilan metodenya diambil melalui sanad yang sah sehingga sampai kepada Nabi Muhammad SAW berdasarkan disiplin ilmu tersebut.
Sejarahnya banyak ditulis orang sehingga orientalis barat turut mengakui akan peranan yang dicetuskan oleh gerakan tarekat dan tasawuf di dunia Islam sehingga digeruni oleh musuh Islam. Hal inilah yang menyebabkan musuh Islam sedaya upaya cuba untuk menghancurkan kekuatan Islam yang bertunjangkan nilai kerohanian yang tentunya berteraskan kekuatan tasawuf.
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan