SYAHADAH JALAN BERTAUHID


SYAHADAH JALAN BERTAUHID

RAHSIA HURAIAN RUKUN SYAHADAH, BAGI MENTAUHIDKAN ALLAH SWT DAN MEMBENARKAN KEBENARAN RASULULLAH SAW...
"AWALLUDIN MA'RIFATULLAH..."
SUNGGUHKAH AKU TELAH ISLAM DAN BERIMAN ???

Saya menghuraikan perbincangan ini di dalam bentuk SOAL - JAWAB, bagi lebih memudahkan seluruh saudara-saudara Seislam saya di Akhir Zaman ini untuk mendekatkan fahaman dan mengukuhkan AQIDAH, seperti berikut;

1) Berapakah RUKUN SYAHADAH ?

RUKUN SYAHADAH itu ada empat perkara, seperti berikut;
a) MENGISBATKAN DZAT ALLAH TA'ALA.
b) MENGISBATKAN SIFAT ALLAH TA'ALA.
c) MENGISBATKAN AFA’AL ALLAH TA'ALA.
d) MENGISBATKAN KEBENARAN RASULULLAH.

2) Apakah ertinya Rukun ?

Rukun itu adalah dasar Kepercayaan. Bererti, RUKUN SYAHADAH adalah dasar Kepercayaan ataupun Pegangan AQIDAH didalam SYAHADAH.

3) Apakah Rukun pertama didalam SYAHADAH?

MENGISBATKAN DZAT ALLAH TA'ALA.

4) Apakah ertinya Isbat ?

Ertinya ialah MENETAPKAN. Misalannya, Mengisbatkan Si Alif berdiri dan Menafikan beliau duduk.

5) Bagaimana Isbat kepada DZAT Allah Ta'ala ?

Bermulanya dengan MENGISBATKAN DZAT ALLAH TA'ALA.
Yaitu Membenar dan Menetapkan DZAT itu dengan tidak adanya bandingan dan sekutunya.

Bersifat Kesempurnaan, tidak terhingga. Maha Kaya dan Maha Suci daripada sebarang sifat kekurangan.

Maha ESA dan Tunggalnya DZAT Allah itu sehinggakan wujud selain Dari-Nya adalah bersifat majazi sahaja!

Allah berfirman didalam Surah Al-Ikhlas yang bermaksud;
"Katakanlah (Muhammad),’Dialah Allah, Yang Maha ESA. Allah tempat meminta segala sesuatu. (Allah) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang seumpama/setara Dengan-Nya."

Di dalam Hadits Qudsi, DIA menyatakan yang bermaksud;
"Tuhan Ada dan tidak ada apa-apa disamping-Nya."
Telah tetap ADANYA Allah dan tidak ada sesuatu pun sertanya Allah SWT. DIA sekarang adalah pada apa-apa yang telah tetap ADANYA Atas-Nya.

6) Adakah Wajib MENGISBATKAN DZAT ALLAH TA'ALA itu ?

Ya WAJIB ! bagi setiap Muslim Mukallaf, lelaki dan perempuan MENGISBATKAN DZAT
ALLAH TA'ALA itu.

7) Bolehkah Mengisbatkan barang yang tiada di lihat itu ?

Ya, boleh di Isbatkan dengan sekira-kira 'Iqtikad Keimanan dan Keyakinan kita, bahkan dilihat dengan Mata Hati.
Sila bertanyakan kepada Ahlinya (Ahli Hakikat) ataupun Guru Mursyid (Guru Akhirat) untuk lebih mendalaminya.

8) Dengan sebab apakah didapati 'Iqtikad yang sedemikian itu ?

Adalah dengan jalan Mengenal segala Sifat-Sifat-Nya dan Menjalani Jalannya Orang-Orang Sodiqin.

Sila lihat (QS. 9 : 119) yang bermaksud;
"Wahai orang-orang beriman ! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama dengan Orang-Orang Yang Benar (Para Sodiqin)."

9) Apakah sebabnya dapat Mengisbatkan dengan Mengenal Sifat ?

Kerana dengan Mengenal Sifat Allah, dapatlah Mengisbatkan DZAT. oleh kerana Sifat itu berdiri kepada Mausuf.

10) Manakah yang dinamakan Jalan Orang-Orang yang Sodiqin ?

Yaitulah Jalan Orang-Orang yang bersungguh-sungguh Hati Rohaninya mereka.
Zahir dan Batin Menjalani dan Beramal dengan Amalan yang diberikan oleh Guru Mursyid (Guru Akhirat), sehinggalah mencapainya Hakikat dan Ma’rifat, yang dengannya dapatlah mereka MENGISBATKAN DZAT ALLAH TA'ALA dengan Tahkik dan setetap-tetapnya (Istiqomah).

Seandainya belum lagi, maka hendaklah kita terusan mencari sehinggalah mendapatkan WASILAH dan JALAN menuju kepada Allah SWT, walhal kita sering memohon 17 kali didalam Al-Fatihah, didalam Solat sehari semalam. Bahkan sepanjang hayat kita, agar Allah SWT menunjukkannya.

Sekarang ! sudahkah Allah SWT menunjukkannya agar kita memperolehinya dan Beramal dengannya ?

Sila lihat (QS. 5 : 35) yang bermaksud;
"Wahai Orang-Orang Beriman ! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah WASILAH (JALAN) untuk mendekatkan diri Kepada-Nya, dan Berjihadlah (BERJUANGLAH DIJALAN-NYA) agar kamu beruntung,"

Dan lagi Firman-Nya (QS. 72 : 16) yang bermaksud;
"Dan sekiranya mereka tetap Berjalan Lurus diatas TAREQAH (JALAN-NYA), nescaya Kami mencurahkan Air Hikmah melimpah ruah."

11) Bagaimanakah jika tiada kita MENGISBATKAN DZAT ALLAH TA'ALA itu ?

Maka adalah jatuh dalam keadaan Tiada Sempurna 'Iqtikadnya, kerana terdapatnya ragu-ragu, syak dzan dan waham.
Bahkan, 'Iqtikad yang Tidak Sempurna juga bermakna TAUHIDNYA kepada Allah SWT juga tidak IKHLAS, tidak murni dan tidak sempurna pula,
Dan pasti membawa kepada Syirik dan Kesesatan disepanjang hayatnya, terlebih-lebih lagi diakhirat kelak !

12) Manakah Dalil yang menyuruh kita MENGISBATKAN DZAT ALLAH TA'ALA itu ?

Sila lihat (QS. 112 : 1) yang bermaksud;
"Katakan olehmu ya Muhammad bahawa DZAT Allah Ta'ala itu ESA."
Adalah Allah SWT itu ESA pada DZAT, ESA pada Sifat, ESA pada Asma’ dan juga ESA pada Afa’al-Nya.

Malah, kita diperintahkan untuk Mengisbatkan dan Menetapkan setetap-tetapnya, seyakin-yakinnya didalam pandangan dan penglihatan Mata Hati kita.

Di dalam hubungan ini, Allah SWT berfirman (QS. 51 : 21) yang bermaksud;
"Dan di dalam dirimu sendiri apakah kamu tidak memperhatikannya ?."
Fahamkan benar-benar ayat ini !

13) Apakah RUKUN SYAHADAH yang kedua ?

MENGISBATKAN SIFAT ALLAH TA'ALA.

14) Apakah yang dikatakan Sifat itu ?

Yang dikatakan Sifat itu ialah suatu rupa, warna ataupun keadaan yang menggambarkan dan menentukan sesuatu perkara ataupun benda.
Misalnya, warna putih menunjukkan kepada zat kapur. Demikianlah jugalah dengan Sifat Allah Ta'ala.
Umpamanya Sifat Qudrat, yaitu suatu Sifat yang menunjukkan bahawa DZAT Allah Ta'ala itu Kuasa dan lagi Maha Berkuasa.

15) Manakah yang dinamakan sebagai Sifat-Sifat Allah SWT itu, silalah senaraikannya ?

Yang dinamakan Sifat-Sifat Allah Ta'ala itu dan yang WAJIB diketahui berjumlah 20 SIFAT, seperti berikut;
a) Wujud.
b) Qidam.
c) Baqa.
d) Mukhalafatuhu Taala Lil Hawadis.
e) Qiyamuhu Ta'ala Binafsih.
f) Wahdaniyah.
g) Qudrat.
h) Iradat.
i) Ilmu.
j) Hayyat.
k) Sama’.
l) Basar.
m) Kalam.
n) Qadiran.
o) Muridan.
p) ‘Aliman.
q) Hayyan.
r) Sami’an.
s) Basiran.
t) Mutakalliman.

Untuk perhatian, Sifat-Sifat Allah SWT yang Mustahil (20 SIFAT) dan yang Harus (1 SIFAT), tidaklah dibincangkan kali ini.

16) Bolehkah dikenali DZAT tanpa Mengisbatkan Sifat ?

Tidak boleh, kerana Sifat itu menunjukkan Diri Mausuf (DZAT Allah Ta'ala).

17) Bagaimanakah kaedah MENGISBATKAN SIFAT ALLAH TA'ALA itu ?

Bermulanya kaedah MENGISBATKAN SIFAT ALLAH TA'ALA itu ialah, ibaratnya salah satu daripada segala Sifat-Sifat yang ada didalam alam ini.

Umpamanya, tiada ada yang Kuasa hanya Allah, tiada yang Berkehendak, tiada yang Mengetahui, tiada yang Hidup, tiada yang Mendengar, tiada yang Melihat dan tiada yang Berkata-kata pada Hakikatnya hanya Allah SWT semata-mata.
Dan Sifat-Sifat yang ada pada kita hanyalah Menzahirkan Sifat-Sifat Allah Ta'ala jua adanya.

18) Bolehkah MENGISBATKAN DZAT ALLAH TA'ALA dengan tiada Mengisbatkan Sifat-Nya ?

Tidak boleh, kerana dapat MENGISBATKAN DZAT ALLAH TA'ALA itu hanya dengan perantaraan dapat Mengisbatkan Sifat-Nya, terkecuali diatas Jalan Majzub dan Wujdan.
Orang seperti ini adalah, ia Mengenal DZAT Allah Ta'ala terlebih dahulu, kemudiannya Sifat, Asma’ dan Afa’al.
Berbeza pula dengan Salik yang daripada Afa’al, kemudiannya Asma’, Sifat dan DZAT.

19) Manakah Dalil kita Diperintah ataupun Disuruh MENGISBATKAN SIFAT ALLAH TA'ALA ?

Dalilnya, seperti Firman Allah Ta'ala didalam Hadits Qudsi yang bermaksud;
"Tidak menghampirkan diri kepada Aku akan hamba-hamba-Ku jika mengerjakan yang Fardhu sahaja. Terkecuali, mengerjakan mereka itu akan yang Sunnat sehingga kasih Aku kepada mereka; jika Aku kasih Akulah Pendengarannya yang mendengar; Akulah Penglihatannya yang melihat; dan Akulah Lidahnya yang berkata-kata; hingga akhirnya."

20) Apakah RUKUN SYAHADAH yang ketiga ?

Bermulanya RUKUN SYAHADAH yang ketiga ialah, MENGISBATKAN AFA’AL ALLAH TA'ALA.

21) Apakah ertinya Afa’al ?

Ada pun pengertiannya Afa’al itu di ibaratkan segala Perbuatan dan Perlakuan yang berlaku didalam Alam ini, samaada terbitnya daripada diri kita ataupun lain daripada diri kita, didunia mahupun di akhirat.

22) Bagaimanakah MENGISBATKAN AFA’AL ALLAH TA'ALA itu ?

Bermulanya setiap Perbuatan dan Perlakuan, gerak dan diam didalam alam ini.
Pada Hakikatnya adalah daripada Allah, seperti wujud alam ini diwujudkan oleh Allah, bergeraknya alam ini adalah digerakkan oleh Allah, diam alam ini adalah didiamkan oleh Allah, dan seterusnya.

23) Sila berikan Dalilnya Hakikat ini ?

Sila lihat (QS. 39 : 62) yang bermaksud;
"Allah-lah Pencipta segala sesuatu dan Dialah Memelihara segala sesuatu."

Dan lagi Firman-Nya yang bermaksud;
"Allah Ta'ala menjadikan kamu dan segala perbuatan kamu."

Rasullullah SAW bersabda yang maksudnya;
"Tidak bergerak suatu zarrah (atom) melainkan dengan Izin-Nya."
Adalah WAJIB kita Ber’iqtikad, bahawa harus bagi Allah Ta'ala menjadikan sekelian alam, menjadikan kebaikan dan menjadikan kejahatan.

Persoalannya ?

Apabila dilihat pada satu sisi, tidakkah Wajib bagi Allah Ta'ala memasukkan Orang-Orang BERIMAN yang Taat kedalam Syurga Allah dan memasukkan pula Orang-Orang Kafir ke dalam Neraka-Nya ?

Jawabnya,
Tidak Wajib bagi Allah Ta'ala untuk memasukkan Orang-Orang BERIMAN yang Taat kedalam Syurga, hanyalah harus yaitu; Semata-mata Kurniaan-Nya sahaja.
Dan tidak pula Wajib Allah Ta'ala memasukkan Orang-Orang Kafir kedalam Neraka-Nya; hanyalah harus, yaitu; Semata-mata Keadilannya sahaja !
Fahamkan benar-benar...

24) Apakah RUKUN SYAHADAH yang keempat itu ?
Mengisbatkan atau MEMBENARKAN dengan sesungguhnya KEBENARAN RASULULLAH.

25) Bagaimanakah kaedahnya ?

Dengan Mengetahui, Memahami dan Membenarkan keempat-empat SIFAT RASUL tersebut. sepertinya;
a) Siddiq.
b) Amanah.
c) Tabligh.
d) Fatonah.

26) SOALAN : Sila huraikan satu persatu ?

JAWAB : Sifat Pertama yang WAJIB bagi RASUL ialah SIDDIQ...
SIDDIQ itu bererti BENAR, Yakni BENAR segala RASUL yang pernah diutuskan oleh Allah SWT kedunia ini.

Andai Rasul tidak Bersifat Benar, maka mereka pastilah bersifat dusta, dan jika mereka dusta, maka dusta pulalah Allah Ta'ala, kerana Allah Ta'ala telah Membenarkan Rasul-Rasul-Nya dengan Menzahirkan Mukjizat keatas segala Rasul-Rasul-Nya.

Yaitu, Mukjizat itu suatu perbuatan yang menyalahi kebiasaan, dianugerahkan kepada Rasul-Rasul sebagai Hujah dan Kebenaran ketika mereka didustakan sekelian umat manusia.

Seumpamanya, turun bulan terbelah dua dihadapan Nabi Muhammad SAW, kemudian naik bertaut semula kelangit dan terbitnya air daripada jejari Rasulullah SAW ketika ketiadaan air bagi Sahabat-Sahabat yang ingin Berwudhuk.

Sifat kedua yang WAJIB bagi RASUL ialah AMANAH...

Yakni KEPERCAYAAN bagi sekelian RASUL itu SUCI daripada melakukan yang Mungkar, Haram dan Makruh secara Zahirnya dan Batinnya.

Seandainya Rasul bersifat khianat dengan melakukan yang mungkar, haram dan makruh, maka bolehlah pula kita melakukan yang sedemikian rupa, kerana kita Diperintahkan oleh Allah Ta'ala untuk mencontohi sekelian Rasul-Nya.

Sifat ketiga yang WAJIB bagi RASUL ialah TABLIGH...
Yakni, MENYAMPAIKAN segala RASUL akan perkara-perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT untuk MENYAMPAIKAN kepada segenap makhluk didunia ini.

Andai boleh bagi Rasul menyembunyikan akan apa yang disuruh oleh Allah Ta'ala untuk menyampaikannya, maka sudah tentulah boleh pula kita menyembunyikan apa-apa yang disuruh kita menyampaikan kepada segenap umat manusia, kerana kita disuruh oleh Allah SWT untuk mengikuti Rasul-Nya.
Walhal, kita tidak boleh menyembunyikannya, apatah lagi Rasul yang tidak pula boleh berbuat sedemikian.

Sifat Keempat dan terakhir yang WAJIB bagi RASUL ialah FATONAH.

Yakni CERDIK, PINTAR dan BIJAKSANA bagi RASUL menetapkan setiap yang HAK dan menolak setiap yang Batil.
Disamping itu Rasul amat Bijaksana mengemukakan segala Hujjah, Jawapan dan Penyelesaian apabila berdepan dengan serangan, tentangan, bantahan dan sanggahan daripada kaum Kuffar dan Munafiq.

Maka sedemikianlah penggarapan tuntutan RUKUN SYAHADAH yang WAJIB dituntut oleh segenap Umat Islam yang mengaku memeluk AGAMA ISLAM dan mengaku sebagai UMAT BERTAUHID dan UMAT YANG BERIMAN !

Agar kita menjadi umat Islam yang tidak hanya sekadar ISLAMNYA diatas nama sahaja, atau ISLAM daripada keturunan dan ISLAM daripada adat dan budaya bangsa semata-mata.

Tetapi jadilah sebagai Umat ISLAM yang BERTAUHID daripada Allah SWT iaitu "ISLAM MINALLAH"...

Agar AQIDAH kita menjadi Mantap dan Kukuh bagi menghadapinya peristiwa Akhir Zaman ini, daripada duniawi sehinggalah ke Akhirat.

Semoga kita semua menjadi Golongan yang Beruntung diduniawi ini dan Terselamat kembali ke Kampung Akhirat yang Tenang dan Abadi...
[ Sumber dari Syeh Haqtullah ]

Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan