Kesenian dan keindahan ekspresi jiwa melalui puisi (shiʿr).

 

Kesenian dan keindahan ekspresi jiwa melalui puisi (shiʿr).

1. Al-Qur’ān diturunkan dalam masyarakat yang amat mengagungkan kesenian dan keindahan ekspresi jiwa melalui puisi (shiʿr). Pemuisi mendapat tempat dan status yang tinggi dalam kalangan masyarakat Arab Jahiliyyah, sebaris dengan ahli sihir atau pawang (kāhin) yang mampu mengujakan masyarakat dengan tutur kata mereka, melalui bantuan jin.
Seperti kisah Farazdaq yang didatangi seorang lelaki menyampaikan puisinya dan meminta pandangan Farazdaq. Kata Farazdaq, puisi ini ada dua jin yang bersamanya; al-hawbar (puisi akan menjadi indah dengannya) dan al-hawjal (puisi menjadi buruk dengannya). Lelaki itu komen Farazdaq, ada al-hawbar pada bahagian pertama puisinya dan ada al-hawjal pada bahagian akhirnya. Hancur! Dek kerana itulah, apabila Rasūlullāh SAW melantunkan wahyu-wahyu-Nya, masyarakat Jahiliyyah memanggil Baginda sebagai tukang sihir kerana keindahan ayat-ayat al-Qur’ān yang mengalahkan puisi-puisi terindah di zaman itu.
2. Antara yang masyhur pada zaman Arab Jahiliyyah adalah al-Muʿallaqāt / Diwān al-Muʿallaqāt / al-Muʿallaqāt al-Sabʿah; 7 buah puisi yang digantung pada Kaabah kerana keindahannya dengan anugerah raja pemuisi jatuh kepada Imruʿ al-Qays. Saya bukanlah berlatarbelakangkan pendidikan sastera Arab, tetapi biasa membaca beberapa puisi Arab ‘Asr Jāhilī dan Islāmī. Seingat saya pernah mendengar lantunannya daripada Ustazah Aina Sabariah, guru Bahasa Arab saya di KISAS dulu. Bagi yang memerlukan terjemahannya, ada beberapa terjemahan Bahasa Inggeris yang baik bagi al-Muʿallaqāt antaranya The Seven Odes oleh A.J. Arberry.
Pada masa Arab Jahiliah, selain alam, objek lain yang paling dominan dalam puisi Arab adalah wanita yang digambarkan dalam bentuk tashbīh (assimilation), majāz dan istiʿārah (figurative expressions). Mungkin tak perlu saya bawakan di sini kerana sebahagiannya agak lucah dan keterlaluan dalam menggambarkan kecantikan wanita seperti puisi ʿAmr bin Kulthūm, dan pujaan kepada arak serta kemabukan dalam puisi ʿAntarah ibn Shaddād.
3. Puisi Arab pada era Islam pula pelbagai temanya. Sebab itu saya suka kalau kita fahami lirik / skrip “patuh syariah”, sebagai lirik/skrip yang memberikan kita lebih ruang untuk berkreativiti, tidak klise. Sebagai contoh, puisi Bānat Suʿād yang dicipta oleh Kaʿab bin Zuhayr. Beliau pada asalnya tidak disukai oleh Nabi SAW kerana sikapnya, namun puisi tersebut menjadikan Baginda SAW kasih kepadanya. Apatah lagi beliau memeluk Islam selepas itu. Contoh lain adalah puisi-puisi dalam Diwān al-Imām al-Shāfiʿī. Kedua-duanya ada mengetengahkan elemen tashbīḥ (penyerupaan manusia dengan haiwan, hal yang abstrak atau sesuatu yang tidak bernyawa) atau boleh juga dikatakan personifikasi.
Kaʿab bin Zuhayr mengumpamakan Rasūlullāh SAW seperti singa, cahaya. Di awal puisi menceritakan tentang kesedihan seorang ditinggalkan kekasih. Digambarkan kekasih itu seperti cantiknya kijang, dengan perlambangan fizikal yang mendalam. Dalam Diwān al-Imām al-Shāfiʿī, Imām al-Shāfiʿī ada menyamakan manusia dengan masa, dunia, nafsu, hari. Baginda juga digambarkan bak bulan purnama dalam hadis. Jadi, perlambangan ini hal yang sangat lazim dalam dunia kesenian puisi Islam.
4. Saya mulakan dengan berkongsi tentang sedikit perkembangan puisi Arab sebelum dan selepas Islam kerana itulah yang paling hampir dengan kita dalam penentuan sesebuah lirik yang "patuh syariah". Apabila meneliti lirik Pelukan Angkasa (sebelum saya tahu ia OST KL Vampires), saya hanya melihat ia sebagai ekspresi penulis lirik terhadap cinta sepasang kekasih yang mungkin ada perbezaan, sedikit krisis, ada halangan, tapi kedua-duanya tetap mempertahankan cinta itu. Itu yang saya faham, tanpa saya mahu tonton filemnya kerana IMDb cuma bagi 2.5/10! 😀
5. Saya juga melihat istilah semesta, angin, angkasa sebagai pemilihan diksi oleh penulis lirik bagi menggambarkan plot-plot KL Vampires (mungkin, sebab saya tak menontonnya) dalam bentuk metafora tanpa ada sebarang masalah dari sudut akidah. Penulis lirik adalah Muslim, zahirnya seorang Muslimah yang ada akhlak yang baik, beragama, tidak dikenali sebagai terpengaruh dengan gerakan New Age.
Itu pada saya sudah mencukupi untuk kita tidak cuba menebak atau mentakwil sesuatu yang tidak sesuai pada liriknya. Ia berbeza dengan lagu My Sweet Lord oleh George Harrison yang terang-terang mempromosikan New Age. Maka sebaiknya adalah kita mendapatkan penjelasan penuh penulis lirik Pelukan Angkasa.
6. Imām Ibn Hajar al-Haythamī dalam al-Fatāwā al-Hadīthiyyah membawakan pandangan Imām al-Rāfi’i yang menegaskan, jika dinukilkan daripada seseorang suatu lafaz yang pada zahirnya kekufuran, maka ia hendaklah diteliti dan disiasat terlebih dahulu.
Jika ia mengandungi maksud yang berlainan dengan zahir lafaz, seperti ingin mengkhususkannya atau kata-kata kiasan, maka ia perlu ditanya kepada orang yang melafazkan untuk mengetahui apa maksud yang dikehendakinya.
Walaupun pada asalnya sesuatu lafaz itu diambil pada hakikat dan keumumannya, namun dalam hal ini kewaspadaan (ihtiyat) diperlukan. Jika dia menyebutkan sesuatu lafaz yang pada zahirnya terdapat andaian (ihtimal) kekufuran, namun dia menafikan kekufuran, maka ia bolehlah diabaikan.
Oleh itu, selagi boleh takwil, maka takwillah dengan sangkaan yang baik.
APA ASAS LIRIK PATUH SYARIAH?
Ada beberapa poin penting yang diutarakan Imām al-Ghazzālī berkenaan puisi/sya’ir yang baik. Saya ketengahkan dua poin yang membawakan dua elemen penting iaitu akidah dan akhlak. Inilah juga asas yang penting dalam penghasilan lirik. Tidak ada kompromi pada keduanya.
1. Imām al-Ghazzālī menekankan bahawa puisi yang mempunyai kata-kata kotor, keji, cercaan, pendustaan [rekaan] kepada Allah SWT dan Rasul SAW atau para Sahabat adalah haram. (Rujuk Iḥyā’ ʿUlūm al-Dīn, 2/282)
2. Menggambarkan fizikal wanita secara khusus di hadapan ramai lelaki, tak dibenarkan. Manakala al-nasīb [usually defined as an erotic or amatory prelude to the type of long poem called a qaṣīdah] dalam puisi Arab yang menyerupakan gambaran pipi, kening, perawakan yang menawan, bentuk tubuh, dan segala gambaran bagi wanita [dengan selain manusia], terdapat perbezaan pandangan.
Pandangan yang sahih di sisi Imām al-Ghazzālī adalah tidak haram samada dilagukan atau tidak dilagukan. Cuma, pendengar tidak boleh membayangkan wanita tertentu. Jika ingin membayangkannya, bayangkan pada yang dihalalkan seperti wanita, hamba. Membayangkan wanita ajnabi adalah maksiat dan perlu dialihkan pemikiran tersebut. Begitulah yang dijelaskan Imām al-Ghazzālī [dengan suntingan dan ringkasan saya]. (Rujuk Iḥyā’ ʿUlūm al-Dīn, 2/282)
Selain dua poin ini, saya melihat adanya keterbukaan dalam Islam terhadap penghasilan sesebuah karya seni seperti skrip filem/drama atau lirik lagu. Cuma isu2 akidah dan fiqh perlu juga diperhalusi dengan lebih terperinci misalnya lafaz talak, murtad, hina agama dll.
Pendekatan New Age melalui muzik memang wujud. Sudah terlalu banyak jurnal akademik yang menghuraikannya. Cuma mungkin boleh lebih berhati-hati agar penulis lirik berkenaan tidak terpalit dengan sebarang sangkaan. Saya yakin, beliau dan SOG tidak tahu menahu pun tentang isu akidah dalam gerakan New Age yang turut berperanan melalui muzik.
Warganet pula usahlah terlalu cepat menghukum. Banyak hal boleh selesai dengan baik melalui perbincangan. Kecaman demi kecaman di media sosial hanya mengeruhkan keadaan tanpa memberi penyelesaian.
Sekian, terima kasih.
Mohamad Razif bin Mohamad Fuad.
t.me/raziffuad
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan