GERAK TUBUH KETIKA ZIKIR

 

GERAK TUBUH KETIKA ZIKIR

"Perintah dan galakan memperbanyakkan zikir mengingati Allah SWT bersifat umum hingga boleh dilakukan dalam semua keadaan dan berdasarkan pelbagai kaedah dalam lingkungan syarak".

Bagaimanapun, ada keadaan atau kaedah tertentu yang menimbulkan tanda tanya sebahagian umat Islam yang tidak mendalami ilmu khususnya tasawuf dan biasa dengan tradisi tarekat.

Tidak hairanlah, polemik zikir ‘menari' cepat mencetuskan kontroversi apabila ditularkan di media sosial meskipun penamaan sebegitu bukan sahaja tidak tepat, malah menimbulkan kesamaran hingga menyamakannya dengan tarian berdasarkan tanggapan umum.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Abdullaah Jalil, berkata zikir mengingati Allah SWT (zikrullah) ialah amalan paling luas, dinamik dan fleksibel dalam Islam. Abdullaah berkata, ia dituntut dalam setiap keadaan dan masa sama ada sambil berdiri, duduk atau berbaring, susah serta senang, malah dalam setiap nafas.

Firman Allah SWT: “Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan solat, hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring.”(Al-nisa': 103)

"Sebahagian tarekat tasawuf memilih kaifiyat atau cara zikir dengan menggerak-gerakkan tubuh badan dengan syarat dan adab tertentu serta tidak melampau".

"Ada sebahagian memilih dan menyusun kaifiyat dengan berdiam diri dan duduk sahaja tanpa bergerak-gerak"

"Namun, tarekat ini saling hormat-menghormati antara satu sama lain kerana mengetahui setiap aliran mempunyai hujah dan dalil masing-masing, selain sedar jalan menuju Allah SWT sangat luas,” katanya.

Menurut Abdullaah, tanggapan mengaitkan amalan mengucapkan lafaz zikir bersama pergerakan badan dengan istilah menari yang difahami masyarakat biasa, adalah tidak tepat.

"Istilah menari biasanya difahami dengan maksud mempamerkan keindahan gerakan badan atau menonjolkan kemahiran pergerakan badan yang bukan menjadi makna dan tujuan dikehendaki ahli sufi yang berzikir dengan menggerakkan badan.

"Pergerakan badan dalam majlis zikir adalah bentuk penghayatan lumrah seiring lafaz zikir itu dan aplikasi bagi makna zikrullah dalam setiap masa dan keadaan.

“Inilah makna ar-raqsu atau tarian yang dikehendaki ulama sufi yang melakukannya, iaitu membabitkan pergerakan badan beradab, teratur dan tersusun," katanya.

Beliau berkata, pencerahan mengenai Zikir bersama pergerakan pernah dikeluarkan Bahagian Tarekat
Tasawuf, Jabatan Mufti Negeri Sembilan yang menyatakan bergoyang-goyang ketika berzikir kepada Allah dan tarian pada majlis al-Sima' ada sandarannya.

"Ia harus dilakukan dan bukan menjadi syarat tetapi wasilah memperoleh kecergasan ketika melakukan zikir. Pelaksanaannya perlu menitik berat soal adab ketika berzikir dan menjauhi perkara maksiat.

“Ia juga bukan dilakukan sepanjang keadaan, ada kalanya mereka duduk tetap atau bergerak-gerak," katanya.

Beliau berkata, antara tokoh sufi memperkenalkan zikir dengan pergerakan badan ialah Sheikh Abu al-
Hasan al-Shazili (656 Hijrah) dan Maulana Jalaluddin ar-Rumi (672 H) melalui tarekat diasaskannya, Shaziliyyah dan Maulawiyyah.

Istilah menari biasanya difahami dengan maksud mempamerkan keindahan gerakan badan atau menonjolkan kemahiran pergerakan badan yang bukan menjadi makna dan tujuan dikehendaki ahli sufi yang berzikir dengan menggerakkan badan.

Pergerakan badan dalam majlis zikir adalah bentuk penghayatan lumrah seiring lafaz zikir itu dan aplikasi bagi makna zikrullah dalam setiap masa dan keadaan.

"Jalaluddin ar-Rumi mempunyai hujah menjelaskan pergerakan dalam zikir diajar melalui tarekatnya. Antaranya beliau menyebut, pergerakan berpusing secara bulatan dalam kumpulan memberi perlambangan kepada keadaan alam semesta ciptaan Allah SWT yang berputar, bahkan simbolik diambil daripada ibadat tawaf," katanya.

Abdullaah berkata, mereka dalam kalangan ahli sufi paling berlapang dada dengan zikir membabitkan pergerakan kerana ia bukan amalan dilakukan secara semberono tetapi disusun dan hasil ijtihad ulama muktabar.

"Dalam amalan zikir sebegini, ia diwarisi melalui amalan tarekat secara bersanad dan tarbiah (pendidikan). Mereka yang mengamalkannya berada di bawah didikan Sheikh yang benar benar diakui keilmuannya, manakala manhaj (cara) ulama sufi ini sangat banyak dan luas.

"Ulama Melayu membawa pelbagai tarekat tasawuf seperti Shatariah, Ahmadiah, Shaziliah, Naqshabandiah, Qadiriah dan Ba'alawiah.

"Semuanya membawa maksud sama, iaitu usaha untuk menjadi hamba Allah yang sentiasa taat dan mengingatinya setiap masa serta keadaan," katanya.

Oleh itu, kata Abdullaah, bagi masyarakat yang asing dengan zikir bersama pergerakan tidak sepatutnya terus menjatuhkan hukum dan mengaitkan sebagai menyalahi ajaran agama," katanya.
Mengulas aksi 'zikir menari' yang tular di media sosial, Abdullaah berkata, pergerakan zikir yang dilakukan tidak mempunyai elemen mencurigakan.
"Saya lihat pergerakan wanita dan lelaki dalam video berkenaan tidak nampak seperti sedang menari, malah wanita dan lelaki ditempatkan secara berasingan serta tempat tertutup.
“Wanita melakukan pergerakan di bahagian belakang, bukannya di hadapan lelaki, manakala pergerakannya pula menyerupai perbuatan dalam solat seperti tunduk dan bangun, bukannya bergelek atau melakukan aksi melampaui batas," katanya.

Tambahnya, berzikir dengan disertai pergerakan badan bukan pelik kerana ia berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang dilakukan sendiri dalam kalangan sahabat Baginda SAW.

"Ada diriwayatkan dalam hadis daripada Anas ibnu Malik RA yang berkata, orang Habsyah menari di hadapan Rasulullah SAW sambil menyebut Muhammad ini hamba yang soleh.' (HR Ahmad).

"Rasulullah SAW bertanya apa dilafazkan mereka dan selepas mengetahui la pujian kepada Baginda, Nabi tidak melarang mereka memuji sambil menari," katanya.

Bahkan, pergerakan dalam zikir dibenarkan dalam Islam sekiranya bersifat semula jadi, tidak melampau-lampau dan menyebabkan timbul sifat khusyuk.

"Abdullah ibnu 'Uqbah RA meriwayatkan daripada Saidina Ali RA, bahawa beliau berkata: "Sahabat Rasulullah SAW itu bergoyang-goyang (tubuh badan mereka) ketika berzikir seperti angin menggoyangkan pohon. (HR Ahmad & Haythami)," katanya.

Beliau menyarankan setiap Jabatan Agama Islam negeri (JAIN) mempunyai panel pakar dalam bidang tarekat dan tasawuf bagi mengelakkan kekeliruan dalam perkara khilafiyah (perselisihan pandangan) termasuk membabitkan isu "zikir menari' ini.

"Bagi mengatasi perkara ini dan memberi kefahaman jangka masa panjang, pihak berkuasa agama sepatutnya mencontohi Negeri Sembilan, iaitu satu satunya negeri menubuh dan meluluskan Enakmen Tarekat Tasawuf 2005 serta melantik panel pakar tasawuf seperti Jilsah al-Turuq al-Sufiyyah".

"Isu sebegini memerlukan orang selayaknya bercakap, iaitu memiliki kepakaran bidang berkaitan kerana jika tidak, ia tidak akan selesai kerana pasti akan timbul isu tular lain dalam masyarakat,” katanya.

Dr Abdullaah Bin Jalil

- Panel Penyelidik Isu-Isu Kontemporari Islam Negeri Sembilan Darul Khusus
- Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

............................................................................................

BUKAN ZIKIR 'MENARI', TAPI HADRAH SUFI

Sementara itu, pendakwah, Raja Ahmad Mukhlis Raja Jamaludin, berkata pelbagai maksud dan definisi dapat diberikan kepada pengertian zikir.
"Daripada segi bahasa, zikir bermaksud men

gingati, manakala dalam istilah pula zikir ialah mengingati Allah SWT di mana- mana sahaja dengan cara yang dibolehkan oleh syarak seperti menerusi ucapan perbuatan atau gerakan dengan hati," katanya.

Raja Ahmad Mukhlis berkata, amalan berzikir sambil melakukan gerakan badan secara terhad seperti ke kiri dan kanan atau depan dan belakang disalah tanggap oleh sebahagian umat Islam.
Beliau berkata, amalan seperti itu bukan sahaja dianggap sebagai sesuatu yang asing atau
janggal, bahkan diberikan nama yang salah, iaitu 'zikir menari', sekali gus menimbulkan fitnah.
Katanya, masyarakat Islam perlu melihat dan membezakan antara ibadat mahdhah yang
mempunyai tatacara ditentukan dengan ibadat yang dilaksanakan menggunakan bentuk dan konsep lebih luas.

"Hakikatnya, tidak timbul isu 'menari' kerana tarian bermakna pergerakan terlalu bebas dan tidak terkawal sebaliknya hadrah sufiyyah sebenarnya berzikir dalam suatu gerakan tersusun, iaitu ke kiri dan kanan atau ke depan serta belakang berserta nya garis panduan.

"Istilah zikir tarian tidak tepat kerana menari memerlukan pergerakan banyak dan bebas, manakala hadrah sufiyyah membabitkan dua pergerakan sahaja, iaitu depan belakang atau kanan kiri dan tidak sampai tahap menari.

"Hukumnya adalah dibenarkan kerana secara asasnya suatu yang tidak dilarang, boleh untuk dilakukan," katanya.

Raja Ahmad Mukhlis berkata, zikir dalam keadaan bergerak kata adalah perkara yang dibolehkan kerana ia menyebabkan badan menjadi lebih bersemangat untuk melaksanakan ibadat zikir. 

Allah SWT berfirman: "Orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring. (Ali Imran: 191.


"Kalau kita lihat tujuan kumpulan zikir bergerak adalah antaranya untuk menghilangkan keletihan berzikir dalam keadaan duduk,

"Kemudiannya mereka ber diri dan ada kalanya bergerak secara spontan tetapi sebenarnya perkara ini ada dibahaskan dalam kitab tasawuf Islam,"

Beliau berkata, ulama menggabungkan dan menyusun gerakan zikir secara tertib supaya orang tidak letih berzikir dalam duduk sahaja.

"Bagaimanapun, pergerakan itu perlu mengikut aturan dengan adab seperti tidak membabitkan percampuran lelaki dengan perempuan dan mempunyai garis panduan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, unsur melalaikan seperti alat muzik tidak dibenarkan kerana pada asasnya, ia berbentuk terapi untuk menghilangkan keletihan berzikir sambil duduk.
"Konsep sama diguna pakai guru di sekolah yang meminta murid melakukan senaman selepas lama belajar," katanya.

Raja Ahmad Mukhlis berkata, konsepnya bukan zikir sambil bergerak' tetapi bergerak sambil berzikir' yang mempunyai perbezaan.

Beliau mengakui tiada enakmen tertentu yang memelihara tasawuf di negara ini, sekali gus boleh menimbulkan masalah apabila bukan ahli dalam bidang itu membincangkannya.

"Hadrah sufiyyah atau berzikir dalam suatu gerakan tersusun ini, diamalkan di Turki, Syria dan Mesir yang semua negara itu memiliki ramai ulama berilmu dalam bidang fiqh dan tasawuf.

"Disebabkan amalan hadrah sufiyyah ini asing di negara ini, wajar untuk ahli tasawuf mengelak daripada mendedahkan perkara yang boleh menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.

"Jika sesuatu amalan itu bukan kebiasaan di satu-satu tempat lebih baik disembunyikan daripada pandangan umum untuk elak polemik," katanya.

Beliau berkata, apatah lagi hadrah sufiyah bukan perkara dasar yang kalau tidak dibuat, menghilangkan makna tasawuf.

“Oleh itu, hadrah sufiyah dibuat mengikut tempat tertentu sahaja dan tidak semua tarikat mengamalkannya," katanya.

- Ustaz Raja Ahmad Mukhlis Bin Raja Jamaludin
- Pengerusi Maktabah al-Ihya'
- Pengerusi ISLAMI





Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan