PERLUKAH BIMBINGAN TAUHID SUFI DI AKHIR ZAMAN INI?
1. Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, sudah mula wujud pengajian-pengajian agama berkaitan ilmu Tauhid Sufi, atau tauhid aras tinggi. Antara yang diajar adalah ilmu berkaitan konsep Nur Muhammad, Martabat Tujuh, Wahdatul Syuhud, Wahdatul Wujud, Insan Kamil dan sebagainya .
2. Hal ini telah menimbulkan kegusaran sebahagian pihak yang bimbang dan merasakan bahawa dalam realiti ketirisan dan kerapuhan akidah umat Islam masa kini, tidak ada keperluan untuk mengajar kitab-kitab tauhid tinggi serta konsep-konsep agama yang tinggi termasuk pengajian Tauhid Sufi, kerana dikhuatiri boleh menatijahkan salah faham serta kekeliruan kepada umat Islam.
3. Dalam menyikapi isu ini, antara yang perlu disoroti adalah perkembangan Tauhid Sufi dari perspektif sejarah alam Melayu:
3.1 Hakikat sejarah perkembangan Islam di alam Melayu, yang mana telah diakui secara jumhur oleh pakar-pakar sejarah bahawa Islam yang dibawa ke rantau ini adalah dari tangan-tangan mulia alim-ulama sufi. Manakala kitab-kitab tauhid yang diajar juga merupakan tauhid tinggi, seperti Bahr Lahut, Dur’il Manzum, Insan Kamil, Jawharul Haqaiq, Hikam Melayu, Siyarus Salikin dan banyak lagi
3.2 Dari kalangan alim-ulama sufi ini kemudian telah mencipta tulisan Jawi yang mirip tulisan al Quran dengan penambahan beberapa huruf. Manakala banyak istilah-istilah agama diambil terus dari sungai perbendaharaan bahasa Arab. Matlamatnya supaya dapat mengajar, membahas serta memahamkan ilmu agama Islam termasuk falsafah, konsep dan prinsipnya dari peringkat rendah sehingga ke peringkat tertinggi di kalangan umat Islam yang pelbagai martabat.
3.3 Alim-ulama sufi juga telah menyumbang dalam membangunkan beribu-ribu institusi pengajian Islam seperti zawiyah, pesantren dan pondok yang mengajar kitab-kitab turath secara bersanad. Ilmu Tauhid Sufi menjadi bahagian daripada silibus yang diajar, selain ilmu berkaitan Fiqh dan Tasawuf, sehingga lengkaplah pengajian trilogi 3 Rukun Agama; iaitu Iman, Islam, Ihsan yang disebut sebagai Pohon Agama. Ramai dari kalangan alumni zawiyah, pesantren dan pondok kemudian melanjutkan pengajian di hab-hab pendidikan Islam bertaraf antarabangsa seperti Hadhramaut, Mekah dan Madinah.
3.4 Begitulah halnya zaman berzaman, sehingga budaya , tradisi serta martabat ilmu masyarakat alam Melayu diiktiraf seantero dunia, sebahagian pusat-pusat ilmu di rantau ini dikenali sebagai serambi-serambi Mekah, malahan wujud beratus-ratus ulama alam Melayu yang bertaraf dunia, layak untuk menjadi tok-tok guru agama di Mekah dan Madinah, sebagai hab pendidikan umat Islam sedunia waktu itu. Antaranya adalah Syeikh Shamsuddin al Sumatrai, Syeikh Abdul Raof Singkel, Syeikh Yusuf al Makasari, Syeikh Abdul Malik @ Tok Pulau Manis, Syeikh Abdul Samad al Falembani, Syeikh Wan Daud al Fatoni, Syeikh Mohd Arshad al Banjari, Syeikh Ahmad Zain al Fatoni, dan ramai lagi.
3.5 Malahan pengajian ilmu agama ini telah membangunkan kegemilangan tamadun dan peradaban alam Melayu yang unggul, dizahirkan dalam pelbagai sisi kehidupan dari ketatanegaraan, perundangan, adat budaya, seni sastera dsbnya. Umat Islam menjadi bangsa yang Rabbani dan mahabbah Rasulullah s.aw. Hatta Raja-raja Melayu juga mengaji dan mengambil penasihat daripada alim-ulama sufi, sehingga ada yang menjadi ulama, memerintah dengan adil dan bertaqwa.
3.6 Bagaimanapun, perkembangan ini terbantut bermula era campurtangan British di Tanah Melayu. Sehingga berlaku tragedi pemencilan dan peminggiran sekolah-sekolah pondok yang dianak tirikan oleh golongan pemerintah dan pentadbir, kerana mengutamakan sistem pendidikan kebangsaan bercorak sekular dan tawaran pengajian akademik di negara-negara Eropah.
3.7 Di sisi lain, bermula abad ke 20 Masihi, wujud golongan Kaum Muda yang cenderung kepada pemahaman ‘Islam Moden’ dan ‘Fiqh al Harakah’, bersumber dari tokoh-tokoh reformis dan modenis seperti Jamaluddin al Afghani, Rashid Ridha, Muhammad Abduh dan yang seangkatan dengan mereka. Keadaan ini terus memencilkan peranan dan pengaruh golongan ulama tua, termasuk silibus pengajian pondok yang mengamalkan SISTEM BERSANAD melalui pengajian kitab turath. Antara yang menjadi mangsa adalah pengajian ilmu Tauhid Sufi.
4. Natijah daripada dasar pendidikan kebangsaan yang memencilkan peranan sekolah pondok serta dasar kerajaan di era 80 an yang cenderung mengambil penjawat awam untuk memenuhi posisi tinggi di jabatan-jabatan agama daripada alumni universiti-universiti barat yang mempunyai Center of Islamic Studies seperti Temple, Princeton, St Andrews, Cambridge dan sebagainya, dasar ini telah memutuskan sanad ilmu agama, mengakibatkan wujud generasi umat Islam yang tidak lagi mampu menguasai ilmu dan amalan agama Islam yang sebenar sebagaimana leluhur mereka, sehingga hari ini telah menatijahkan zaman krisis identiti dan jatidiri, era ‘kebiadapan’ menggantikan era keunggulan peradaban Melayu yang murni luhur
5. Malah yang paling menggusarkan adalah berlakunya tragedi ketirisan akidah umat Islam sehingga kini sudah ramai anak bangsa menjadi murtad walaupun tidak mengisytiharkan, disebabkan terpengaruh dengan dakyah daripada agama lain yang mengambil kesempatan atas kerapuhan akidah anak bangsa.
6. Dengan latarbelakang demikian, maka apakah hujjah perlunya diketengahkan kembali pengajian Tauhid Sufi, atau Tauhid Ihsan ini. Antaranya:
6.1 Memberi peluang kepada umat Islam mendapatkan ilmu Tauhid Sufi yang sebenar. Ketiadaan rujukan ilmu Tauhid Sufi yang sebenar, akan menyebabkan umat Islam yang berminat untuk mempelajari ilmu ini, akan mengambil pedoman dan kefahaman daripada sumber-sumber yang diragui, malahan yang menyeleweng, khususnya di zaman fenomena panduan ‘Dr Google’ dan ramainya ‘ulama suk’ dan agamawan yang ‘separuh masak’.
6.2 Memurnikan banyak kesalah fahaman yang wujud berkaitan konsep-konsep Tauhid Sufi seperti konsep Nur Muhammad, Wahdatul Wujud, Insan Kamil dan sebagainya
6.3 Menyediakan bekalan ilmuan yang mempunyai kefahaman yang sebenar berkaitan ilmu Tauhid Sufi pada aras tinggi, yang merupakan ilmu warisan alam Melayu zaman berzaman, supaya bukan sahaja mereka dapat diposisikan pada kedudukan otoriti agama yang tinggi seperti menjadi anggota Majlis Fatwa, Mufti dan sebagainya, malahan mampu mencapai pengiktirafan dunia sebagai tokoh alim ulama yang benar-benar pakar dan unggul
6.4 Jikalau nenek moyang kita dahulu telah mampu mencapai ilmu Tauhid pada tahap tinggi atas tarbiyah alim-ulama sufi zaman itu, walhal sebelumnya mereka termasuk golongan jahiliah, apakah kita tidak mampu untuk mendapatkan kembali pengetahuan tersebut? Dikatakan zaman nenek moyang kita dahulu, hatta anak-anak muda berumur 13-15 tahun pun sudah mahir dengan kitab Tauhid Tinggi seperti ad Durrun Nafis. Apakah kegemilangan tersebut tidak mampu diulangi kembali dengan strategi pendidikan dan tarbiyah ruhiyyah yang kreatif, namun tetap dalam kerangka ilmu yang bersanad?
6.5 Berlebih lagi, semenjak tempuh 10-20 tahun kebelakangan ini, alim-ulama Nusantara yang berkebolehan mengajar ilmu Tauhid Sufi telahpun dibangunkan kembali, kerana ilmu ini tidak pernah terputus dari dada-dada masyaikh dan mursyid di seluruh dunia. Manakala dari kalangan ilmuan dan alim ulama sufi di tanahair kita sendiri ada yang telahpun menyusun dan menulis kitab-kitab berkaitan Tauhid Sufi dan mampu memberikan pengajian serta bimbingan yang baik kepada masyarakat Islam, yang ramai beroleh manfaat daripada ilmu mereka. Antaranya adalah Dr Jahid Sidek, Dr Manam Mohamad, Dr Muhammad Uthman al Muhammady, Syeikh Sidi Rohimuddin Nawawi al Bantani, Syeikh Ibni Atoillah, Walid Ibrahim al Malik dan ramai lagi.
6.6 Manakala umat Islam perlu menguasai Ilmu Tauhid yang asas dahulu (eg Sifat Dua Puluh), kerana ianya merupakan keperluan Fardhu ‘Ain. Manakala pengajian tauhid aras tinggi bukanlah suatu kewajiban yang dituntut. Selain itu Ilmu Tauhid Sufi perlu dibuat secara bertalaqi dengan alim-ulama muktabar yang ahli dalam bidang ini, dan bukannya mengambil daripada sumber ‘Dr Google’ atau daripada sumber-sumber yang diragui kesahihannya.
7. Akhir sekali, perlu ditekankan bahawa tujuan akhir alim-ulama sufi dalam hal ‘tarbiyah ruhiyah’ bukanlah untuk berbahas-bahas tentang falsafah serta konsep tauhid aras tinggi, tetapi yang lebih utama adalah membimbing umat Islam untuk menafikan syirik khofi (syirik yang tersembunyi), menghilangkan ananiyah, atau sifat ‘keakuan diri’, menghilangkan kesombongan kerana membangsakan sesuatu pada dirinya, membersihkan jiwa nurani, mengikhlaskan amal perbuatan, sentiasa bertaubat dan kembali kepada Allah, merasai kedekatan denganNya kerana sentiasa bermuraqabah dan bermusyahadah dalam perbuatan, sifat dan wujud diri.
8. Hal ini memerlukan perdampingan@ suhbah serta bimbingan dan limpahan 'dada ke dada', daripada masyaikh dan murobbi, guru-guru robbani untuk membersihkan hati daripada zulumat kegelapan, membangunkan adab dan akhlak mulia seperti sifat syukur, sabar, redho, tawakal, khusyu’, rendah hati, dan sebagainya, menjaga lisan dan amal perbuatan, serta mendapatkan keberkatan amalan seperti istighfar, selawat serta zikir-zikir yang lain, daripada pintu atau sunnah Rasulullah s.a.w, sehingga berupaya pula menggalas amanah kekhalifahan yang mampu menebarkan rahmat, adab, akhlak, kasih sayang, kesejahteraan dalam interaksi dengan alam dan makhluk. Sehingga sesiapa sahaja dari golongan atasan sehingga bawahan, pada pelbagai peringkat umur dan tahap intelektualisme tetap mempunyai peluang yang sama untuk meraih keampunan, rahmat, redha, cinta Allah serta cinta Rasulullah s.aw.
9. Di sisi lain, pihak berwajib perlu mewujudkan ilmuan dalam Tauhid Sufi dan diposisikan di jabatan-jabatan serta institusi-institusi agama yang penting, selain mengambil bimbingan dari alim-ulama sufi, sehingga tanggungjawab umara dalam memperkasakan ilmu, kefahaman dan amalan serta penghayatan agama zahir-batin bagi seluruh umat Islam di negara ini dapat direalisasikan, khususnya dalam menghadapi pelbagai cabaran Akhir Zaman dewasa ini. Kerana hakikat sejarah, alim ulama sufilah yang zaman berzaman di alam Melayu telah berhasil mewujudkan bangsa yang bermakrifat, berjiwa Rabbani dan mahabbah Rasul, sehingga mencetuskan ketamadunan dan peradaban Melayu yang unggul dan cemerlang, malah tidak gerun dan gagah menghadapi pelbagai ujian, antara paling
hebat
adalah jihad melawan agresor penjajah Portugis, Belanda, Sepanyol, Siam dan British.Wallahu ’alam bissawab
TunSuzana@ Suzana Hj Othman
Pengerusi Pertubuhan KEMUDI
0 comments:
Catat Ulasan