IBNU NAFIS, DOKTOR DAN ULAMA'


 IBNU NAFIS, DOKTOR DAN ULAMA'

IBNU Nafis atau nama sebenarnya Alauddin Abu Al-Ala Ali bin Abi Al-Hazam Al-Qurasyi Al-Syafie Al-Misri telah dilahirkan di Damsyik, Syria pada tahun 607 H/1210 M. Beliau dibesarkan di Damsyik dan mempelajari ilmu kedoktoran daripada Al-Dahkwar dan Imran Al-Israili.
Apabila usianya meningkat belia, beliau telah berhijrah ke Kaherah pada zaman Raja Al-Ayubi Al-Kamil dan mula bekerja sehingga dilantik menjadi ketua di Hospital Al-Mansuri. Beliau lebih dikenali dengan nama Ibnu Nafis.
Kehidupan Ibnu Nafis istimewa kerana sepenuh waktunya digunakan untuk mempelajari ilmu kedoktoran sehingga beliau tidak berkahwin.
Sebagaimana ulama yang lain, beliau tidak sahaja mempelajari bidang kedoktoran, bahkan mengkaji ilmu di dalam bidang mantik, falsafah, bahasa, ilmu bayan, hadis dan usul fiqh.
Beliau juga merupakan tokoh yang begitu kognitif kerana keaslian dan kebebasan pemikirannya. Kajiannya pula bersandarkan kepada pemerhatian, penelitian dan membuat uji kaji.
Di antara contoh eksperimennya adalah dengan menganalisis perjalanan darah di dalam tubuh badan.
Kajiannya begitu terperinci apabila beliau telah menemui peredaran darah ke paru-paru yang merupakan asas penemuan Harvey dalam peredaran darah yang lain, iaitu tiga kurun selepas kematiannya.
Dalam bidang kedoktoran pula, beliau amat mementingkan sudut penganalisisan anggota luar dan faktor-faktor yang memberi akibat pada tubuh badan (asbab) berbanding mementingkan sudut rawatan.
Ini menjadikan beliau merupakan orang pertama yang menghasilkan karya dalam bidang usul ilmu kedoktoran.
Selain itu, beliau juga merupakan seorang yang sangat tawaduk di dalam berilmu, malah selalu mengadakan perhimpunan bersama ulama-ulama dan ahli-ahli atau pakar kedoktoran di rumahnya.
Ibnu Nafis juga menghuraikan buku Tasrihu al Qanun karya Ibnu Sina yang mana di dalamnya terkandung penemuan beliau terhadap proses peredaran darah ke paru-paru.
Beliau meneruskan usahanya menghuraikan karya ulama-ulama yang lain sehingga huraian tersebut disusun menjadi beberapa buku.
Kecintaan beliau terhadap ilmu juga membuatkannya mentafsir buku Al-Adawiyah karya Hippocrate dan buku karya Galinous.
Beliau kemudiannya telah menyusun buku Syarah Mufradatu al Qanun, Tafsiru al-lal wa Asbabu al Amrad, Syarhu al Hidayah fi al Tib dan Al Syamil fi al Tib yang menyentuh tentang keseluruhan penyakit mata.
Ibnu Nafis mengakhiri penulisannya dalam bidang kedoktoran dengan menulis ensiklopedia Al Syamil fi al Tib. Beliau juga bercadang untuk membukukan karya tersebut di dalam 300 jilid, tetapi hanya sempat menyiapkan sebanyak 80 jilid sahaja kerana meninggal dunia.
Karya beliau yang lain adalah dalam bidang falsafah buku Fadil bi Natiq.
Di dalam laras agama pula, beliau menghasilkan buku Al Risalatu al Kamil fi al Sirah Al Nabawiyyah dan Mukhtasar Ilmi al Hadis. Di dalam bidang bahasa, beliau menghasilkan buku Toriqu al Fasaha dan bidang perundangan pula, beliau menghasilkan buku Syarah Kitabu al Tanbih ila Furui al Syafi'iyyah.
Ibnu Nafis meninggal dunia di Kaherah, Mesir pada 687 H / 1288 M.
[ Sumber dari Rahmat Rahman ]

Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan