HIKAM MELAYU (JAWI) ZIKIR MAZKUR

 

HIKAM MELAYU (JAWI) ZIKIR MAZKUR
Syeikh Abdul Malik bin Abdullah (1650-an - 1736) atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Pulau Manis merupakan salah seorang tokoh Ulama di Nusantara yang terkemuka. Abdul Malik bin Abdullah atau nama penuhnya Syeikh Abdul Malik bin Abdullah merupakan salah seorang daripada Ulama Melayu yang bertanggung jawab mengembangkan syiar Islam di Nusantara. Hikam Melayu Jawi adalah karangannya.
| Zikir wa Mazkur
Maka bermula segala amal dan segala Hal itu hanyasanya yang menetapkan (meneguhkan) dia di dalam hati oleh wujud zikir pada hati dan lisan. Dan kesempurnaannya (zikir) itu ialah dengan hudur (hadir hati) dalamnya (zikir).
Dan jangan ditinggalkan kerana ketiadaan hudur tetapi sebut olehmu akan Tuhanmu atas tiap tiap hal seperti yang dikata oleh Muallif (Sheikh Ibnu Athaillah ) dalam kalam hikmahnya:
"Jangan engkau tinggalkan zikir kerana ketiadaan hudurmu serta Allah di dalamnya (zikir) kerana bahawasanya lalaimu daripada tidak berzikir akan Allah itu terlebih sangat jahatmu daripada kelalaianmu dalam berzikir."
Jangan engkau tinggalkan zikir kerana ketiadaan hudurmu serta Allah di dalamnya (zikir) kerana bahawasanya lalaimu daripada ketiadaan wujud zikir akan Allah itu telebih sangat jahatmu daripada lalaimu dalam wujud zikir akan Dia. (Ini adalah kerana) Kerana bahawasanya lalai daripada zikir itu menjauhkan daripada Allah Taala dan berpaling pada kulliahNya (semua halmu kepada Allah) dan lalai dalam zikir itu hudur pada juziyyahnya (sesetengah masa atau waktu) dan kerana bahawasanya dalam zikirnya itu menghiasi anggotanya dengan ibadat dan lalai itu menghilangkan akan dia (anggota daripada berbuat ibadat).
Zikir secara umumnya ialah apa sahaja amalan dan perbuatan zahir dan batin yang membawa seseorang itu kepada mengingati Allah. Amal ibadat dan perbuatan sama ada yang zahir atau batin yang berlandaskan hukum syarak yang dikerjakan dengan tujuan untuk mendekatkan diri dan mendapat keredhaan Allah dikatakan ianya sebagai zikir. Ini adalah kerana zikir itu terbahagi kepada kepada beberapa bahagian dan martabat seperti Zikir Anggota, Zikir Lisan, Zikir Qalbi dan Zikir Sir serta Zikir yang tenggelam dalam Mazkurnya (zikir yang tersembunyi, zikir ahfa).
Seseorang hamba itu dianjurkan supaya sentiasa berzikir dan terus berzikir walaupun hatinya lalai daripada mengingati Allah atau tidak hadir pada hati akan makna makna dan rahsia zikir (hudur) semasa melaksanakannya. Ini adalah kerana perbuatan/amalan berzikir ini walaupun dikerjakan dalam keadaan lalai, ianya sudah dianggap sebagai satu ibadat atau amal kebaikan jika dibandingkan dengan hal ahwal seorang yang langsung tidak berzikir di mana secara terang dan nyata menunjukkan penderhakaan dan kejahatannya, kelalaian terhadap Allah. Orang yang langsung tidak berzikir adalah mereka yang jauh dari Allah dan kejahatan, kelalaian mereka itu menjauhkan lagi dari Allah kerana dengan kesombongan mereka itu menyebabkan mereka berpaling dari hal ahwal atau tindak tanduk kewajipan yang perlu dilaksanakan sebagai seorang hamba kepada TuhanNya.
Berbeza dengan orang yang sentiasa mengerjakan ibadat seperti solat, puasa, di samping berzikir serta lain lainnya; walaupun mereka lalai sewaktu mengerjakannya, sekurang kurangnya ada juga pada waktu atau ketika, saat saat yang tertentu akan hudur hati mereka dengan Allah atau setidak tidaknya terhias zahir anggota dan perbuatannya dengan amal ibadat yang dituntut oleh syarak. Bukankah boleh dikatakan satu kebaikan pada orang bersolat atau berpuasa berbanding dengan mereka yang langsung tidak sembahyang dan berpuasa? Demikain juga lidah yang sentiasa basah dengan zikir walaupun hatinya lalai itu terlebih baik dan mulia daripada lidah yang kosong hampa dengan kalimah kalimah yang suci itu.
Dan kata Wasithi ra,
"Bermula lalai daripada menyebutnya (zikir) itu terlebih sangat (jahat) daripada lalai dalam zikirnya."
Dan dikata orang bagi Abi Osman An-Nahdi ra,
"Kami zikir akan Allah dan tiada kami dapat akan manis dan hudur."
Maka katanya (Abi Osman), "Puji jua oleh kamu akan Allah atas (kerana) menghiasi anggota daripada segala anggota kamu dengan taatnya."
Dan kata setengah mereka itu (Kaum Sufiah),
"Syukurlah engkau akan Allah atas barang yang dikurniakanNya daripada Zikir Lisan dan jikalau melakukan (lidah) kepada tempat mengumpat ngumpat nescaya tiada ada engkau berbuat dia (zikir). Dan Allah Taala terlebih memuliakan daripada bahawa dihudurkannya hambanya dengan lisannya (walaupun) tiada mengurniai atasnya dengan hudur hatinya. Dan sebut olehmu dengan lisanmu dan bersungguh sungguh dirimu dalam hudur hatimu."
| Zikir Lisan
Keterangan di atas seakan ingin menunjukkan kepada kita bahawa betapa perlunya seorang hamba itu membasahi lisannya dengan berzikir. Terlebih lebih lagi bagi orang orang Salik (Salikin) yang ingin berjalan kepada TuhanNya, tuntutan untuk melakukan zikir ini adalah sangat sangat ditekankan sebagai senjata dan alat pencuci jiwa semasa dan sepanjang perjalanannya menuju kehampiran. Walaupun lalai atau merasa pahit dan berat untuk berzikir, mereka digalakkan juga untuk mengistiqamahkan Zikir Lisan ini mengikut awarid dan bilangan bilangan tertentu.
Pandangan di atas juga menegaskan agar Para Salik sentiasa bersyukur dengan anugerah dan kurnia Allah yang sedikit di mana Allah menghiasi anggota zahir mereka dengan amal taat dan patuh kepada Allah. Lidah yang digunakan untuk berzikir sekurang kurangnya dapat mengelakkannya daripada mengumpat umpat dan mengeji orang lain atau ucapan yang sia sia atau lagho. Inilah wajah wajah kemuliaan yang dikurniakan Allah kepada mereka yang berzikir walaupun hatinya lalai. Kemampuan untuk berzikir secara lisan tanpa hudur hati ini hendaklah disyukuri agar nanti mendapat kurnia dan anugerah Allah yang lebih lagi sebagaimana firman Allah yang bermaksud; "Dan sekiranya kamu bersyukur, nescaya kami (Allah) akan tambah lagi."
Dengan kemuliaan kurnia Allah yang sedikit dan kelebihan yang ada pada orang yang bersyukur inilah, maka Muallif (Sheikh Ibnu Athaillah) mendatangkan kalam hikmahnya yang seterusnya sebagaimana berikut;
"Maka mudah mudahan bahawa diangkatkan oleh Allah akan dikau daripada Zikir (lisan) serta diperoleh lalai kepada Zikir serta diperoleh jaga."
Maka mudah mudahan bahawa diangkatkan oleh Allah akan dikau daripada Zikir serta diperoleh lalai kepada Zikir serta diperoleh jaga (yaqazhah) dengan LathifNya dan InayahNya kerana bahawasanya jaga itu ingat hati daripada mengantuk ghaflah dan tidur juhalah kepada Hadirat Al Wafah (sempurna sebagai seorang hamba) dan Adab Al Khidmat. Di sanalah berpindah ia daripada zikir lisan daripada zikir qalbi yang hudur daripada melazimkan dia (zikir lisan).
| Zikir Qalbi
Apabila seorang hamba/Salikin istiqamah dan sentiasa bersyukur dengan Zikir Lisan mereka, Insya Allah.... Allah Yang Maha Lemah Lembut dengan pertolongan dan limpah kurniaNya akan mengangkatkan martabat Zikir Lisan mereka kepada Zikir Yaqazhah.
Dengan Zikir Yaqazhah ini, hati hamba yang sebelum ini lalai atau ghaflah dengan gangguan gangguan keduniaan akan terjaga dan tersedar untuk mula melihat kepada hakikat Zikir Lisan serta segala suatu yang lain. Mata hati yang sebelum ini tertutup sewaktu berzikir akan terbuka untuk memandang KeEsaan dan Keagungan Allah. Zikir zikir lisan yang diucapkan akan terlancar dan bergerak selari dengan gerakan hati di samping dapat merasai makna makna dan rahsia zikir mengikut kadar yang dikurniakan Allah.
Hati yang sebelum ini buta dan jahil dengan hakikat dan makrifat mula mengenali dan memahami makna makna di Alam Malakut yang terpancar pada zahir sesuatu. Mereka dapat melihat akan hikmah dan pengajaran di sebalik sesuatu yang zahir yang mendatangi mereka. Hiduplah hati atau jiwa mereka menuju ke Hadirat Al Wafah yang akan menyempurnakan kebersihan hati untuk layak dipanggil sebagai seorang hamba dengan tahu melaksanakan adab adab kehambaan dan adab adab Ketuhanan dengan pelbagai hal ahwal hati yang merujuk kepada kepatuhan dan ketundukkan yang penuh dengan kesedaran batin. Dengan sebab inilah zikir serta jaga ini dinamakan juga sebagai Zikir Qalbi kerana hidup hati itu dengan mengingati dan memandang Allah pada setiap kali memandang "ghair" atau sesuatu yang zahir; sedar dan terjaga hati itu untuk mengenal dan memahami akan hakikat bagi segala sesuatu. Dengan Zikir Qalbi inilah, bermulalah satu perjalanan hati untuk meneroka dan memasuki alam alam batin atau alam alam rahsia atau Alam Ketuhanan Yang Maha Tinggi.
Dan dengan kerana inilah diisyaratkan pula Muallif (Sheikh Ibnu Athaillah) sebagai menyambung dalam kalam hikmahnya yang seterusnya sebagaimana berikutnya;
"Dan daripada zikir serta diperolehi jaga (Zikir Yaqazah) kepada zikir serta wujud hudur serta Allah (Zikir Sir)."
Dan daripada zikir serta diperolehi jaga pada zikir serta oleh Hudur serta Allah. Dan adalah hudur kepada mereka itu iaitu hudur dengan Haq Taala tatkala ghaibnya daripada sekelian pancaindera dan daripada memandang agyar. Dan dalam Maqam ini berpindah ia daripada Zikir Qalbi kepada Zikir Sir. Zikir Sir itu ghaib ia daripada barang yang lain daripada Mazkur.
| Zikir Sir
Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dengan kasihsayangNya Yang Maha Tinggi, Allah mengangkatkan Maqam Zikir Qalbi seorang hamba pilihanNya kepada tingkat yang seterusnya iaitu Zikir Sir. Zikir Sir ini sebagaimana keterangan di atas merupakan zikir yang telah datang kehadiran hati serta Allah. Dan Zikir ini juga merujuk kepada kehadiran rahsia diri yang terpendam sebelum ini. Hidup Sirnya dengan TuhanNya di mana seluruh ingatan, seluruh pandangan (syuhud) dan seluruh "rasa" segala galanya tertumpu kepada Yang Haq. Ingat dengan Yang Haq; Syuhud kepada Yang Haq dan "merasa" dengan Yang Haq. Dengan kata lain, seluruh anggota badan yang zahir dan batin sentiasa dalam keadaan Zikir.
Inilah adalah kerana, jiwa atau hati hamba telah hapus atau hilang atau qhaib daripada pengaruh pancaindera dan memandang kepada agyar pada pihak tidak diiktibarkan apa yang dilihat, apa yang didengar, apa yang dirasa, apa yang diucapkan; malah setiap hal ahwal zahir mereka adalah merupakan zikir kerana mereka tidak melihat sesuatu itu melainkan dilihatnya Allah dan tidaklah mereka dilakukan sesuatu perbuatan atau amalan melainkan dengan "perintah" yang datang dari Allah.
Sungguhpun demikiannya hal keadaan hati yang sentiasa ingat akan kehadiran Allah dalam tiap tiap sesuatu itu berzikir dan berzikir dengan Sirnya, namun ianya belum sampai kepada puncak kesempurnaannya yang Hakiki. Hati ini masih melihat dan memandang kepada dirinya sendiri, hati ini masih terpesona dengan keajaiban rahsia dirinya di mana hal ini menunjukkan bahawa masih ada lagi wujud yang lain iaitu dirinya. Ini merupakan satu kecacatan pada Tauhid yang menjadi intipati dan rahsia Zikir itu.
Dan dengan kerana inilah diisyaratkan pula Muallif (Sheikh Ibnu Athaillah) sebagai menyambung dalam kalam hikmahnya yang seterusnya sebagaimana berikutnya;
"Dan daripada zikir serta diperoleh hudur (Zikir Sir) kepada zikir serta diperoleh ghaib daripada barang yang lain daripada Mazkur."
Dan daripada zikir serta diperoleh hudur/hadir hati kepada zikir serta diperoleh ghaib daripada barang yang lain daripada Mazkur ia hingga masuklah orang yang zikir itu ke dalam MazkurNya dan ghaib Sirnya takala ZuhurNya (nyata Allah). Maka adalah ghaib zikirnya dengan zikirnya.

[ Sumber dari Layar Temir Bookstore ]


Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan