PENCERAHAN RINGKAS MAQAMAT ZUHUD DALAM TASAWUF


PENCERAHAN RINGKAS MAQAMAT ZUHUD DALAM TASAWUF
Bismillahirrahmanirrahim
Zuhud yang secara umum ditakrifkan “berpaling seseorang daripada dunia” , merupakan salah satu maqamat ahli tasawuf yang penting, pada kedudukan ketiga daripada tujuh iaitu, taubat, wara’, zuhud, faqir, sabar, tawakkal dan reda. Walaupun begitu tidak pernah terfikir bahawa maqamat-maqamat wara’, faqir, sabar, tawakkal dan reda sebenarnya berkait dengan zuhud. Ini bermakna maqamat zuhud mendominasi dan meluas merangkumkan maqamat-maqamat lain kecuali taubat. Takrifan maqamat-maqamat tersebut yang dapat dijadikan hujah bahawa maqamat-maqamat tersebut selari dengan takrifan zuhud. Maqam taubat diperlukan sebagai pemula atau langkah pertama proses pembersihan diri untuk mendekati ALLAHﷻ. Dosa merupakan sesuatu yang kotor. Untuk mendekatkan diri kepada ALLAHﷻ kekotoran ini perlu dibersihkan, iaitu melalui taubat.
TAUBAT merujuk kepada ‘kembali daripada maksiat kepada taat atau daripada jalan jauh kepada jalan dekat’. Taubat para sufi bukan setakat kerana dosa seperti taubat orang awam tetapi juga taubat daripada kelalaian dan kealpaan daripada mengingati ALLAHﷻ .
WARA’ ialah meghindari apa sahaja yang tidak baik atau menjauhi apa sahaja yang membawa kepada mudarat. Setiap yang tidak baik itu sebenarnya mudarat. Imam al-Ghazali menegaskan setiap yang halal masih belum dinamakan zuhud, sebaliknya beliau meletakkan batas meninggalkan yang haram dan syubhah sebagai syarat minimum zuhud. Maka kerana itu wara’ termasuk dalam skop zuhud.
FAQIR mengikut imam al-Ghazali bermaksud tidak memiliki apa yang diperlukan. Sebenarnya manusia tidak memiliki apa-apa kerana yang kaya dan yang memiliki segala-galanya hanyalah ALLAHﷻ. Setiap yang maujud selain ALLAHﷻ adalah faqir. Bagi golongan sufi, bukan sahaja tidak memiliki apa-apa, bahkan mereka tidak pula memerlukan apa-apa di ketika mempunyai sesuatu. Mereka tidak menyukai harta, tidak meminta-minta, qana’ah dan zuhud harta. Harta dan dunia merupakan penghalang kepada maqam hub (cinta) kepada ALLAHﷻ
SABAR bererti tahan menempuh sesuatu yang sukar. Kesulitan hidup yang dilalui perlu diterima dengan penuh rela tanpa ungkitan dan keluhan. Imam al-Ghazali ada mencatatkan satu ungkapan berbunyi “…siapa yang sabar atas kesakitan, meninggalkan nafsu syahwat dan memakan roti daripada yang halal, maka ia telah mengambil pokok zuhud…” . Maka dengan ini sabar juga merupakan zuhud.
TAWAKKAL bagi Imam al-Ghazali, bermaksud menyerahkan atau mewakilkan urusannya dan berpegang dan tekal hatinya mempercayai kepadanya mengenai urusannya. Tawakkal akan meletakkan seseorang pada kedudukan mencintai ALLAHﷻ dan ALLAHﷻ akan mencukupi keperluannya orang yang mencintaiNya. Orang yang mencari keperluan selain daripada ALLAHﷻ maka orang itu tidak bertawakkal. Imam al-Ghazali menjadikan tawakkal sebagai syarat kepada zuhud.
REDHA merupakan sikap jiwa dan mental yang berterusan ‘tenang dan senang menerima segala situasai dan kondisi’. Setiap kesulitan yang dihadapi dianggap sebagai nikmat dan kurniaan. Bagi Imam al-Ghazali redha dengan ketentuan yang pahit dari ALLAHﷻ merupakan kebahagian hati. Imam al-Ghazali ada mengungkapkan bahawa redha berkait kuat dengan cinta kepada ALLAHﷻ. Maka sewajarnya berbahagialah dengan segala ketentuan, sebab ianya didatangkan dari yang dicintai, iaitu ALLAHﷻ
Daripada enam maqamat yang disenaraikan di atas, ternyata apabila dilakukan penelitian, mendapati semacam ada arah tuju yang sama bagi setiap maqamat tersebut, iaitu mengenai keduniaan-harta. Lantas boleh dikatakan maqamat wara’, faqir, sabar, tawakkal dan reda juga menjurus kepada aspek kezuhudan. Zuhud berkait dengan pandangan terhadap kehidupan berbentuk kebendaan. Maqamat wara’, iaitu berpaling daripada dunia yang haram dan syubhah, maqamat faqir, iaitu membuang yang lain dengan hanya memiliki Allah di dunia ini, maqamat sabar, iaitu sedia menempuh kesukaran hidup, maqamat tawakkal, iaitu menyerah bulat segala urusan kehidupan kepada ALLAHﷻ dan akhirnya maqamat reda, iaitu bergembira dengan segala ketentuan hidup oleh ALLAHﷻ, masing-masing mengambarkan peringkat-peringkat tertentu keadaan berpaling seseorang daripada kehidupan dunia. Yang demikian itu secara umumnya maqamat-maqamat tersebut boleh juga dikategorikan kedalam skop zuhud. Maksudnya maqamat-maqamat wara’, faqir, sabar, tawakkal dan reda membawa maksud yang sama, iaitu zuhud dunia.
والله أعلمُ ﺑﺎ ﻟﺼﻮﺍﺏ
Ruj: Kitab Raudhah ath'Thalibin Wa Umdah al' Salikin
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan