HAKIKAT KA'ABAH AKHIR ZAMAN "MENUJU KA'ABAH YANG SEBENAR-BENARNYA..."
Wahai Saudaraku-Saudaraku yang Berjiwa-Jiwa Tenang... Fahamilah sebaik-baiknya apa yang aku sebagai Syeh Haqtullah ini ingin sampaikan disaat-saat genting ini. Semoga kita semua Selamat didunia dan akhirat... Insyaallah...
Sebelum engkau akan merasai 'MATI'. Maka bukalah terlebih dahulu AL-QUR'AN...
Al-Qur'an yang engkau dapatkan itu mestilah Al-Qur'an yang Sejati lagi Hakiki, bukanlah sepertimana yang terdapat dikedai-kedai yang menjualnya berbentuk perhiasan.
Haruslah engkau membaca Al-Qur'an itu sehinggalah engkau dapat mengkhatamkan seluruh bacaannya, janganlah hanya membaca separuh-separuh lalu engkau meninggalkannya begitu saja.
Setelah engkau mengkhatamkan (Menamatkan) bacaan Al-Qur'an, hendaklah engkau pergi pula menunaikan Haji atau Umrah didalam perjalanan yang tidak sampai sehari semalam itu, meskipun jarak tempatmu amatlah jauh diantara Mekah dan Madinah.
Setelah engkau Berhaji atau Berumrah, hendaklah engkau menemui junjungan besar Baginda Rasulullah saw lalu memohonlah Syafa'atnya dan kepada sekalian Para Nabi dan Rasul agar engkau juga diberikan Syafa'at oleh mereka, dan juga kepada Para Sahabat Nabi saw berserta Ahli Keluarganya, dan juga hendaklah engkau mendekati Kaum Muslimin agar engkau memperolehi pembelaan dari mereka dihari perhitungan Masyhar nanti...
"TIDUR ITU ADALAH MATI..."
Surah Al-Fatihah adalah induk Al-Qur'an atau Ummul Kitab, makna Fatihah adalah "PEMBUKAAN", Pembuka bagi segala Hijab...
Membaca tiga kali Surah Al-Ikhlas adalah sama mengkhatamkan bacaan seluruh Al-Qur'an...
Membaca Dzikir "Subhanallahu Walhamdulillahi Walaailaha illallahu Wallahu Akbar" (Tidak termasuk bacaan Haqalah) adalah sama seperti menunaikan Haji atau Umrah yang Sunnat.
Berselawat kepada Nabi saw, akan menemui Rasulullah saw dan mendapat Syafa'at Baginda didunia dan akhirat...
Begitu juga jika ditambahkan Selawat kepada sekalian Para Nabi dan Rasul dan Para Mukmin dan Mukminat "Wal Anbiya'i Walmursalin Wali Jami'il Muqmini Wal Muqminat " akan mendapat Syafa'at daripada Para Nabi dan Rasul, dan juga mendapat pembelaan daripada orang-orang Mukmin yang Soleh dihari perhimpunan yang akan menghisab amalan manusia...
Begitu juga jika ditambahkan dengan Selawat kepada Ahli Kerluarga Nabi saw dan Sahabat-Sahabat Baginda saw;
"Wa'alaa Alihi Wasohbihi Ajma'in."
Semoga akan berada dekat disisi mereka yang tinggi derajatnya disisi Allah swt...
Suatu ketika Nabi saw pernah ditanya oleh Para Sahabat;
"Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang
terbaik
?" Nabi saw pun menjawab;
"Setiap Mukmin yang Qalbunya senantiasa terpelihara Suci dengan dihiasi sikap taqwa, tidak berkhianat, tidak durhaka, tidak ada perasaan iri dan dendam, tidak berniat menipu dan tidak pula menyimpan perasaan dengki"
Kemudian Nabi saw menegaskan lagi;
"Qalbu itu lebih utama daripada Ka'abah"
HIKMAHNYA... Ka'abah dibina oleh Nabi Ibrahim as sebagai 'Baitullah', sedangkan Qalbu adalah "Perbendaharaan Allah Yang Tersembunyi..."
Pada Ka'abah terdapat Batu Hitam bernama Hajar Al-Aswad, sedangkan pada Qalbu terdapat Hajar Al-Abad yaitu "Misykat Abadi" yang terdalamnya lagi terdapat 'Sirullah' sebagai "Cermin" yang memantulkan Wajah Allah, kearah mana pun manusia itu memandang...
Nabi saw bersabda lagi;
"Ada kalangan penduduk di syurga yang tidak terhalang dari Allah Ta'ala dan tidak pula terhijab untuk memandang Wajah Allah"
Disetiap Penjuru Masjidil Haram mempunyai empat pintu utama. Satu pintu lagi didalam Masjidil Haram iaitu di Ka'abah.
Pernah ditanya oleh pengunjung, mengapakah Ka'abah mempunyai pintu dan mengapa pula pintunya sentiasa tertutup ???
Sedangkan pintu-pintu utama Masjidil Haram tidak pernah ditutup sepanjang masa atas sebab didalam Masjidil Haram adanya Kiblat iaitu Ka'abah.
Bagi sesetengah orang yang masih awam pemikirannya, menyangkakan bahawa Ka'abah itulah tempat kediaman Allah swt contohnya Allah swt itu tinggal didalam Ka'abah.
Tanggapan mereka ini ditertawakan oleh golongan orang yang Berilmu. Kata mereka yang Berilmu, mana mungkin Allah swt itu bertempat ?
"Allah swt tidak tertakluk oleh ruang dan waktu..."
Ka'abah itu hanya simbol arah Kiblat sahaja, namun bagi sesetengah AHLI SUFI yang "Mabuk Cinta Ilahiyah" mengatakan;
"Jika kamu tidak menemukan Allah didalam Ka'abah, bererti Allah ada diluar Ka'abah, dan jika kamu tidak menemukan Allah diluar Ka'abah, bererti Allah swt ada didalam Ka'abah..."
Dan bagi sesetengah AHLI HAKIKAT yang Sedar didalam Ahwalnya mengatakan pula;
"Allah swt tidak didalam Ka'abah dan tidak juga diluar Ka'abah, namun Ka'abah itu tidak pula berpisah dengan Allah swt. Itulah satu-satunya "Rumah" yang mempunyai hubungan dengan Allah swt, tidak seperti rumah-rumah kebiasaan didunia ini."
Jika tanpa Ka'abah, bagaimanakah Solat kepada-Nya itu hendak dihadapkan atau ditujukan ?
Jelasnya, bukan Allah swt tinggal didalam Ka'abah. Bukan juga Ka'abah itu sebagai tempat atau benda untuk disembah menggantikan Allah swt.
Bukan !...
Ka'abah itu hanyalah buatan dan binaan manusia dibumi ini, Ka'abah itu sekadar menjadi Kiblat untuk kita menghadapkan diri kepada Allah swt.
Ketika Rasulullah saw memasuki didalam Ka'abah setelah menawan Kota Mekkah, didalam Ka'abah terdapat banyak sekali berhala-berhala sembahan yang ditinggalkan oleh kaum musyrikin jahiliyah sebelumnya serta lukisan-lukisan kepercayaan kaum nasrani yang masih terlekat didalam dinding Ka'abah itu, diantaranya menggambarkan Nabi Isa as sedang didukung oleh ibunya Siti Mariam sebagai anak kelahiran tuhan.
Berhala-berhala dan lukisan-lukisan itu segera dicampak keluar dari Ka'abah serta dihapuskan sama sekali, setelah itu Baginda saw pun mengarahkan kepada Sahabat-Sahabat yang turut berada didalam Ka'abah itu supaya menutup pintu Ka'abah.
Pintu Ka'abah ditutup, didalam sebuah hadis, Al-Hakim Ya’ala bin Syidad meriwayatkan;
“Ketika aku berada di sisi Rasulullah saw, tiba-tiba Beliau bersabda : “Apakah ada sesiapa lagi diantara kamu yang hadir disini ? ”. Kami menjawab : “Tidak ada, ya Rasulullah !”. Lalu Rasulullah saw pun bersabda : “Tutuplah pintunya !”
Didalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah saw telah bersabda;
“Hati orang Mukmin itu lebih utama dari Ka'abah...”
Walaupun jika seseorang itu pernah melihat Ka'abah dengan mata kepalanya sendiri dibumi Mekkah, namun belum tentu dikatakan ia telah menerima secukupnya Hidayat Allah swt dan terlepas dari segala belenggu kejahilan sebagaimana Abu Lahab dan Abu Jahal yang telah sering melihatnya.
Ka'abah di Mekkah itu ialah yang Majazi dan dibangunkan oleh manusia atas Perintah Allah swt sebagai tempat untuk Mengingati Allah di Alam Nasut ini, sedangkan Ka'abah Allah swt yang Hakiki adalah didalam relung "Mata Hati Mukmin" yang terdalam dan Allah swt sendirilah sebagai Pencipta-Nya tanpa ada campur tangan makhluk.
Ka'abah inilah dikatakan sebagai Alam Malakut, Alam Jabarut dan Alam Lahut yang tidak boleh ditelusi dengan diri jasad yang kasar kecuali dengan diri bernama RUH...
Menurut pandangan AHLI SUFI yang mencapai Mukasyafah, bahawa di Mata Hati terdalam manusia itu terdapat "Sirr" laksana Cermin dimana melalui dalam diri manusia itu sahajalah Allah swt telah mengungkapkan Tabir Diri-Nya dengan Sempurna dan bukan didalam Diri-Nya sendiri.
Jika Dia hanya berada didalam Tanzihnya, maka tiada makhluk yang dapat Mengenal-Nya. Justeru itulah Dia hanya boleh dikenali melalui Tasybih dan pada manusia itulah Tasybih yang Sempurna untuk mengenal-Nya dengan sebenar-benarnya Kenal.
Dengan ertikata lain, Syuhud Musyahadah (Penyaksian) itu hanyalah Sempurna setelah Allah swt Mentajalikan Diri-Nya kepada manusia yang Kamil, kerana manusia itu ibarat cermin yang memiliki dua permukaan, satu disisi yang gelap dan satu lagi disisi yang cerah.
Ke manakah lagi Cahaya itu wajar disuluhkan jika tidak kepada sudut yang gelap ?
Ada suatu golongan yang menegaskan Allah swt tidak bertempat dan amat salah sekali jika mengatakan Allah swt itu bertempat kerana Allah swt sememangnya tidak memerlukan tempat, Allah swt lebih dahulu ada sebelum adanya tempat.
Sesungguhnya apa yang dikatakan tempat adalah juga apa yang telah diciptakan Allah swt dan Allah swt jualah yang membuat dan menentukan Pilihan-Nya tanpa ada yang boleh mempersoalkan dan menghalangi Keinginan-Nya untuk Perbuatan-Nya itu.
Sesungguhnya Allah swt Maha Berkuasa atas segala sesuatu...
Misalnya Dia telah memperlihatkan unggun api didalam hutan kepada Nabi Musa as sebagai menghadirkan Diri-Nya berkata-kata secara langsung kepada Nabi Musa as, disini bukanlah bermakna Ketuhanan itu telah bertukar atau menjelma sebagai api atau api menjadi Ketuhanan, tetapi melalui api itulah Tabir-Nya telah tersingkap kerana api itu sendiri tidak memiliki wujud dan sebab penampakan adanya api itu ialah bersandarkan semata-mata kepada Wujud Ketuhanan.
Dia yang menamakan Diri-Nya Al-Latif (Yang Maha Halus serta Yang Maha Lembut), justeru itu bukankah Dia yang sebenarnya telah melembutkan dan mendinginkan api tatkala Nabi Ibrahim as dihumbankan kedalam api yang pada fikiran orang awam bahawa api itulah yang berkuasa untuk menghangat dan membakar ?
Padahal api itu hanyalah sekadar asbab yang tertakluk kepada hukum akal, hanyalah sekadar misal atau gambaran yang tidak ada wujud dan sesungguhnya Dialah yang menampakkan rupa api itu serta memberikan sifat yang panas atau dingin menurut Kehendak-Nya.
Diceritakan didalam Suluk Wujil, ketika Sunan Kalijaga berada dinegeri Melaka, tiba-tiba beliau berhasrat pergi ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan Ibadat Haji.
Namun hasratnya itu ditahan dahulu oleh Sunan Maulana Maghribi dan memohon agar beliau pulang ke tanah jawa. Alasan yang diberikan oleh Maulana Maghribi ialah jika Sunan Kalijaga meninggalkan tanah jawa pada masa itu, maka orang-orang jawa yang sebelumnya beragama hindu dan baru saja memeluk Islam akan menjadi murtad dan terus meninggalkan Agama Islam.
Diceritakan juga didalam riwayat Suluk Linglung, sebaik saja Sunan Kalijaga sudah pun bersiap-siap dan tetap hendak menuju ke Mekkah, tiba-tiba ditengah perjalanan itu beliau terserempak dengan Nabi Khidir as. Nasihat Nabi Khidir as kepada beliau, supaya tidak meneruskan perjalanannya itu, jika beliau sendiri pun belum memahami maksud apa yang mahu dituju itu.
Kemudian, melalui pengajaran yang didapati daripada Maulana Maghribi, barulah Sunan Kalijaga mengerti bahawa Mekkah yang ada di Jazirah Arab itu hanyalah apa yang ada diatas muka bumi ini yang tidak kekal dan akan fana, sedangkan Mekkah yang Hakiki atau Sejati itu sebenarnya ada didalam dirinya sendiri.
Ka'abah yang dibina oleh Nabi Ibrahim as hanya merupakan khazanah batu-batu asas peninggalan oleh Nabi Ibrahim as dan puteranya Nabi Ismail as, Ka'abah yang ada di Mekkah itu;
"Jika dilihat dari bawah, nampak langit diatas, jika dilihat dari atas, nampak langit dibawah, jika dilihat dari arah timur, nampak barat, jika dilihat dari arah barat, nampak timur, penglihatan itu boleh berbalik-balik ke arah mana pun kita memandang..."
Dipenjuru Tenggara Ka'abah itu ada “Ceruk”, Didalam “Ceruk” itu adanya Hajar Aswad, Batu Hitam yang diturunkan dari Syurga dan di Sunnatkan untuk dikuncup oleh Jemaah Haji dan Umrah.
“Ceruk” itu ada juga disebutkan didalam Al-Qur’an Surah An-Nur : 35 yang dinamakan “Misykat”, yakni sebuah 'Ceruk' yang didalamnya ada Pelita Besar. Seperti dinyatakan didalam hadis "Hati Mukmin itu adalah Baitullah".
Lantaran itu Hati Mukmin adalah Ka'abah yang Hakiki, tidak di timur dan tidak pula di barat, tidak berada diatas dan tidak pula di bawah, ianya bertempat didalam atau ditengah-tengah Jasad manusia. Didalam Hati Mukmin yang bernama “Ceruk” itu ada pula "Mata Hati" yang lebih terdalam iaitu "Cahaya diatas Cahaya".
Sebagaimana didalam Ka'abah itu kosong, begitulah seharusnya hati seseorang Mukmin itu kosong dari segala Akwan (Gambaran-gambaran duniawi) dalam Kesedarannya bahawa Allah swt itu Maha ESA dan tiada sekutu Bagi-Nya.
Hati seorang Mukmin yang layak bergelar 'Baitullah', maka didalamnya harus selalu adanya Allah, hidup bersama Allah, dimana sahaja pun mereka berada, mereka kekal dengan Allah swt tanpa mengira waktu dan tempat... ALLAH... ALLAH... ALLAH...
Telah kujejaki,
Dari hujung ke hujung,
Tiang-tiang salib,
DIA tiada diatas lambang salib.
Aku pergi ke biara pagoda tua,
Tempat sunyi memuja,
Pun tiada jejak-Nya disana.
Aku mencari-Nya,
Dipergunungan Herat dan Kandahar,
Telah kusaksikan,
DIA tiada dipuncak gunung,
Malah tiada juga dilembah.
Aku pun membuat semua persiapan,
Berangkat ke Gunung Qaf,
Namun disitu hanya kutemui,
Tempat hunian burung-burung Anqa.
Aku pun bergegas menuju Ka'abah,
Namun DIA juga tiada,
Dikota tempat orang Berhaji Umrah itu.
Kucuba tanya kepada Ibnu Sina,
Bagaimanakah perihal DIA,
Oh ! DIA berada diseberang lautan,
Jangkauan Ibnu Sina,
Kuredahi kearah Kiblat,
Antara dua busur anak panah itu,
Namun DIA juga tiada,
Di persada Karomah dan Mukjizat itu.
Akhirnya kupandang,
Kedalam relung Qalbuku sendiri,
Disana DIA kulihat,
Cahaya di atas Cahaya,
DIA tiada ditempat lain...
ALLAH... ALLAH... ALLAH... ALLAH... ALLAH... ALLAH... ALLAH...
Syeh Haqtullah
0 comments:
Catat Ulasan