MURID TABARRUK DAN MURID SULUK


PERBEZAAN ANTARA MURID TABARRUK DAN MURID SULUK & PERSOALAN BERPINDAH-PINDAH TAREKAT

Syeikh Ibnu Hajar Al-Haithami RA telah menjelaskan secara terperinci bagi menjawab persoalan mengenai perbezaan antara murid tabarruk dan murid suluk yang lazim menjadi pertanyaan dalam dunia pengamalan tarekat tasawuf.
"Mengambil ijazah tarekat daripada ramai Masyaikh (lebih daripada seorang) mestilah dibezakan antara seorang murid yang hanya sekadar menginginkan tabarruk dengan seorang murid yang menginginkan bimbingan suluk.
Bagi murid kumpulan pertama (hanya ingin tabarruk), diperbolehkan untuk mendapatkan ijazah daripada sesiapapun, kerana sama sekali tidak ada larangan baginya. Sedangkan untuk murid kumpulan kedua (benar-benar menginginkan bimbingan suluk) merupakan suatu kemestian baginya menurut istilah kaum Sufi - yang bersih daripada segala larangan dan cercaan - untuk memulai suluknya dengan bimbingan seorang guru yang Halnya yang dapat menawan hatinya. Sekiranya hatinya mengkagumi Hal sang guru yang jelas-jelas berada di jalan yang benar, selain itu dia sangat menyukai dan menginginkan untuk berguru kepadanya; ketika itu dia mestilah berpegang teguh pada petunjuknya, bersedia untuk melaksanakan segala perintah, segala larangan dan segala isyarat yang diberikan oleh guru tersebut. Sehingga dia diumpamakan seperti mayat dihadapan tukang mandi (yang bersedia dibolak-balikkan badannya sesuai keinginan tukang mandi mayat).
Dan jika belum ada seorangpun guru yang Halnya dapat menawan hatinya, maka dia perlu memilih guru yang paling mengerti hukum-hakam Syariat dan Hakikat. Kemudian setelah itu dia haruslah bersedia menerima isyarat dan perintahnya (dalam menjalani suluk tarekat).
Barangsiapa telah mendapatkan guru suluk baik dengan kriteria yang pertama (mempunyai tarikan Hal rohani yang kuat) mahupun kedua (memahami ilmu syariat dan hakikat), maka haram bagi si murid meninggalkan guru tersebut (pindah pada guru yang lain) meskipun hari kecilnya mengatakan ada guru lain yang lebih sempurna. Kerana boleh jadi murid tersebut merasa bosan untuk memenuhi hak-hak seorang guru sehingga nafsunya menginginkan pindah pada yang lainnya.
Sesungguhnya, tanggungjawab memilih seorang guru yang paling arif, alim, warak dan soleh hanya diperbolehkan ketika si murid pada awal-awal masuk kepada suluk tarekat. Adapun setelah masuk (berbaiah / mendapat talqin) di bawah pengawasan seorang guru yang arif, maka sama sekali tidak ada rukhsah untuk berpindah pada guru yang lain.
Bagitu juga kepada guru yang kedua (iaitu guru baharu apabila murid tersebut berpindah tarekat), tidak ada rukhsah bagi mereka untuk memberikan bimbingan suluk kepada murid tersebut apabila dia mengetahui bahawa si murid telahpun mengambil baiah kepada seorang Syeikh yang kamil. Akan tetapi hendaklah dia memerintahkannya untuk rujuk kembali kepada gurunya yang pertama." - [Kitab Al-Fatawa Al-Haditsiyyah (Hal. 56)]
Berkenaan persoalan lanjut mengenai berpindah tarekat, Syeikh Sulaiman Al-Zuhdi Al-Naqsyabandi RA di dalam Majmuah Al-Rasa'il ada menjelaskan permasalahan tersebut secara umum seperti berikut:
"Ketahuilah bahawa tarekat yang masyhur dan muttasil sanadnya semenjak dari zaman ulama' salaf sampailah ulama' khalaf itu sama seperti mazhab yang empat yang mana ianya diterima sebagai mazhab yang sah. Bagi orang awam, diperbolehkan berpindah dari satu mazhab ke mazhab yang lain dengan syarat tidak terjadinya talfiq. Begitu juga hukumnya diperbolehkan pindah dari satu tarekat kepada tarekat yang lain dengan syarat mestilah patuh kepada aturan-aturannya dan istiqamah pada adab-adabnya".
Di dalam Kitab Al-Futuhat Al-Rabbaniyyah, Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani QS menyatakan bahawa seorang murid hanya diizinkan untuk berpindah dari satu guru kepada guru yang lain atau berpindah dari satu tarekat kepada tarekat yang lain dengan dua syarat iaitu:
(1) Mendapat keizinan daripada gurunya untuk berpindah tarekat yang lain atau berpindah tarbiyah kepada guru yang lebih sempurna. Sekiranya murid berpindah tanpa izin ditakuti bahawa murid tersebut akan terhalang daripada limpahan Faidh Al-Rabbani pada giliran yang telah ditentukan.
(2) Syarat yang lain untuk berpindah tarekat adalah apabila telah terbukti bahawa syariat dan tarekat gurunya telah menyimpang daripada syariat Islam dan tergelincir daripada tarekat Rasulullah SAW.
Wallahu A'lam.
-
Rujukan:
(1) Kitab Al-Fuyudat Al-Rabbaniyyah fi Muqarrarat Al-Mu'tamarat wa Al-Musyawarat li Jam'iyyah Ahli Al-Tariqah Al-Mu'tabarah Al-Nahdliyyah (1957 - 2012 M)
(2) Buku Fiqh Klenik: Fatwa-Fatwa Ulama Menyorot Tarekat & Mistik
(3) Buku 17 Jalan Menggapai Mahkota Sufi Syaikh Abdul Qadir Al-Jailani
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan