HURAIAN TUJUH (7) PERINGKAT NAFSU*

 


HURAIAN TUJUH (7) PERINGKAT NAFSU*

( Mengenal Diri dan dan Wali Allah swt )


Didalam perbicaraan Ilmu Tasawwuf, peringkat-peringkat Nafsu seseorang dan alamat-alamatnya dapatlah dibahagi kepada tujuh Darjat atau Martabat, dan didalam peringkat-peringkat itu pula terdapatnya Ahli-Ahlinya. Seperti berikut;
1) AHLI NAFSU AMMARAH.
Tabiat hati Ahli peringkat ini adalah selalu terdedah kepada godaan hawa nafsu dan syaitan. Oleh itu Nafsu Ammarah ini sentiasa menyuruh seseorang itu untuk berbuat kejahatan sama ada dia faham perbuatan itu jahat ataupun tidak.
Baik ataupun jahat sama saja baginya di sisi perasaan hatinya. Dia tidak merasa duka ataupun menyesal di atas perbuatan jahatnya, malah kadang-kadang sebaliknya iaitu apabila dia berbuat kejahatan maka terdapat pula perasaan lega dan gembira di Qalbunya.
Sebagai contoh;
Jika dia tertinggal Solat misalnya, maka dia tidak terdapat perasaan runsing ataupun kesal di atas peninggalannya itu, tetapi kadang-kadang meninggalkan Solat itu lebih memberikan rasa riang dan gembira untuknya. Contoh lainnya seperti dia meminum arak ataupun berjudi, maka dia akan merasa seronok dengan perbuatannya itu tanpa ada rasa sedikit pun ketakutan akan Tuhannya.
Firman Allah swt;
"Sesungguhnya nafsu (ammarah) itu sangat menyuruh berbuat jahat."
وَمَآ أُبَرِّئُ نَفْسِىٓ ۚ إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌۢ بِالسُّوٓءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّىٓ ۚ إِنَّ رَبِّى غَفُورٌ رَّحِيمٌ
"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(QS. Yusuf : 53)
Sesetengah daripada sifat-sifat garisan kasar yang timbul dari Benih Nafsu Ammarah yang buruk ini ialah;
- Bakhil.
- Tamak.
- Banyak berangan-angan.
- Sombong dan takabbur.
- Ingin dan kasihkan kemegahan.
- Ingin namanya terkenal dan masyhur.
- Hasad dengki.
- Dendam kesumat.
- Khianat dan niat jahat.
- Bertabiat lalai kepada Allah swt.
Dan lain-lainnya...
Barangsiapa yang terasa meletup di hatinya atau merasa berdegup di Qalbunya dengan salah satu daripada sifat-sifat tersebut maka itulah tandanya dia termasuk didalam golongan Nafsu Ammarah yang buruk itu.
Kebanyakan orang awam kita tidak terkecuali dari jahil ataupun berilmu tidak akan terlepas daripada golongan Nafsu Ammarah ini. Bahkan akan termasuk didalam golongan ini juga sekalipun dia daripada orang alim jika dia terdapatnya sifat-sifat seumpama itu, kerana dengan semata-mata banyaknya ilmu seseorang itu tidaklah menukar seseorang itu menjadi AHLI SUFI yang bersih hatinya.
Syurga tetap tidak terjamin untuk orang yang memiliki Nafsu Ammarah ini kerana dia adalah ibarat besi yang telah berkarat yang perlu dibakar terlebih dahulu sehingga menjadi suci dan bersih semula. Syurga tidak akan menerima barang-barang yang telah kotor kecuali apabila ia telah dibersih terlebih dahulu, kerana Syurga adalah tempat yang bersih dan suci.
Nafsu Ammarah ini adalah serendah-rendahnya Darjat dan sejahat-jahatnya Nafsu yang ada didalam dunia perbicaraan Tasawwuf. Oleh itu tempat yang wajar untuk golongan Nafsu Ammarah ini ialah kawah neraka sebagai tempat penginapannya.
Jika mahu terkikisnya sifat-sifat berkarat dan kotor yang timbul daripada Benih Nafsu Ammarah ini, maka hendaklah dia masuk kedalam golongan SUFI serta mengikut cara peraturan AHLI SUFI sebagaimana dia dapat meleburkan sifat-sifat durjananya yang melekat di hati itu. Dan tidak ada jalan yang lain selain daripada jalan ini jua, kerana jalan ini sudah di alami dan di istiqra'i oleh AHLI-AHLI SUFI.



2) AHLI NAFSU LAWWAMAH.
Nafsu Lawwamah ini ialah Nafsu yang selalu mengkritik dirinya sendiri atau mencela dirinya sendiri apabila berlakunya sesuatu kejahatan dosa diatas dirinya sendiri.
Nafsu ini lebih baik dan tinggi sedikit darjatnya daripada Nafsu Ammarah tadi, kerana dia tidak puas hati diatas dirinya yang melakukan kejahatan itu, lalu dia mencela dan mencaci dirinya sendiri. Sungguhpun Darjat Nafsu ini tinggi sedikit dari yang dahulu, tetapi tabiatnya kadang kala tidak terlepas juga dari jatuh ke dalam jurang angkara dosa dan kejahatan, lalu dia akan cepat-cepat Beristighfar kepada Allah swt serta menyesal diatas kesalahan yang dilakukan itu.
Allah swt berfirman;
"Aku bersumpah dengan nafsu lawwamah (pencerca dan pengkritik diri)"
وَلَآ أُقْسِمُ بِالنَّفْسِ اللَّوَّامَةِ
"Dan Aku bersumpah dengan "Nafsul Lawwaamah" (Bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!."
(QS. Al-Qiyamah : 2)
Sebagai contoh;
Kalau dia tertinggal Solat misalnya, maka terdapatlah perasaan takut hati kerana menyesal diatas ketinggalan Solat itu lalu dia terus pergi Qodho' dengan tiada perasaan hendak bertangguh-tangguh lagi dan bermohon ampunan sebanyak-banyaknya kepada Allah swt dengan perasaan yang bersungguh-sungguh.
Diantara sifat-sifat kasar yang timbul daripada Benih Nafsu Lawwamah itu ialah;
- Mencela kepada kesalahan diri sendiri.
- Bertabiat berfikir (Bertafakur).
- Terdapat perasaan takut hatinya bila bersalah.
- Terdapat perasaan mengkritik terhadap apa jua yang dikatakan kejahatan.
- Hairan kepada diri sendiri kerana disangka dirinya lebih baik (Ujub).
- Membuat suatu kebajikan kerana hendak memperlihat kepada orang lain (Riya').
- Memperdengar kepada orang suatu kebajikan yang dibuatnya supaya mendapat pujian orang (Suma'ah).
Dan lain-lainnya daripada sifat-sifat keaiban hati...
Barangsiapa yang terasa meletup di hatinya atau berasa berdegup di hatinya dengan sifat-sifat umpama itu, maka itulah tandanya dia termasuk didalam golongan Nafsu Lawwamah.
Martabat Nafsu Lawwamah ini terletak pada kebanyakan orang awam yang kelas istimewa daripada Martabat Nafsu Ammarah tadi. Kecuali dengan mendapat keampunan Tuhan dan Rahmat-Nya kerana dia masih tertinggal melekat dihati sisa-sisa sifat kotor yang perlu dikikis habis iaitu seperti sifat-sifat Ujub, Riya', Suma'ah dan seumpamanya daripada sifat-sifat keaiban hati.
Ibarat perak bercampur tembaga, dan nilaiannya menjadi tinggi daripada besi yang berkarat tadi, dan tidak syak lagi bahawa sifat-sifat keaiban hati itu tidak akan terkikis habis-habisan daripada lubuk hatinya melainkan dengan memakai penawar cara leburan AHLI-AHLI SUFI jua. Lain-lain jalan belum dijumpai lagi kerana AHLI SUFI telah membuat cubaan demikian kepada diri mereka sendiri.
Firman Allah swt;
"Orang-orang yang bermujahadah pada jalan Kami akan Kami tunjukkan mereka jalan Kami."
وَالَّذِينَ جٰهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya."
(QS. Al-'Ankabut : 69)
3) AHLI NAFSU MULHAMAH.
Apabila sifat-sifat yang terkeji yang terdapat didalam Nafsu Ammarah dan Nafsu Lawwamah tadi berjaya dileburkan mengikut cara AHLI-AHLI SUFI, maka bertukarlah Darjat Nafsu yang tidak berbau Syurga tadi beralih corak menjadi Nafsu Mulhamah.
Nafsu Mulhamah ini ialah Nafsu yang sudah menerima latihan beberapa proses pensucian daripada sifat-sifat hati yang tercemar tadi melalui jalan SUFI. Dan dari kerana kesucian hati itu, terbuanglah lintasan-lintasan fikiran kotor atau khuatir-khuatir syaitani dan mengambil alih di tempat itu oleh khuatir-khuatir dari Malaikat atau dari Allah swt yang mana kita namakannya 'ILHAM'.
Firman Allah swt;
"Demi nafsu (manusia) dan yang menjadikannya (Allah) lalu di ilhamkan Allah kepadanya mana yang buruk dan mana yang baik, sesungguhnya dapat kemenanganlah orang yang menyucinya (nafsu) dan rugilah (celakalah) orang yang mengotorkannya (nafsu)"
وَنَفْسٍ وَمَا سَوّٰىهَا
"Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);"
(QS. Asy-Syams : 7)
فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوٰىهَا
"Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa;"
(QS. Asy-Syams : 😎
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكّٰىهَا
"Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),"
(QS. Asy-Syams : 9)
وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسّٰىهَا
"Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)."
(QS. Asy-Syams : 10)
Diantara sifat-sifat kasar yang timbul daripada Benih Nafsu Mulhamah yang baik itu ialah sifat-sifat terpuji, seperti;
- Tidak sayangkan harta duniawi.
- Berasa cukup dengan kurniaan harta yang ada (Qana'ah).
- Berilmu laduni atau ilham.
- Timbul perasaan merendah diri kepada Allah (Tawadhu').
- Taubat yang benar-benar (Hakiki).
- Sabar yang hakiki.
- Tahan menanggung kesusahan.
Dan lain-lainnya daripada sifat-sifat yang terpuji...
Barangsiapa benar-benar teguh merasa dihatinya dengan sifat-sifat tersebut maka itulah tandanya dia termasuk didalam golongan Nafsu Terpuji itu (Mulhamah).
Kebanyakan AHLI-AHLI SUFI daripada orang awam yang dahulunya adalah terdiri daripada golongan ini. Mereka boleh dinilai atau disifat dengan Ahli Syurga kerana mereka di ibaratkan sebagai suasa yang tetap bertahan dan tidak boleh berkarat lagi.
Mereka didalam Martabat ini boleh dikatakan baru mulai masuk ke sempadan Maqam Wali, yakni mereka sering kali baru mulai mencapai Fana' yang menghasilkan Rasa Ma'krifat dan Hakikat (Syuhud), tetapi belum begitu teguh dan hanya seketika, kerana mereka didalam Martabat ini masih ada berkemungkinan akan lenyapnya kembali segala sifat terpuji yang sebagaimana disebut tadi dan kemungkinan akan hilang lenyap pula Rasa Ma'krifat dan Hakikat dari hatinya.
4) AHLI NAFSU MUTMAINNAH.
Nafsu Mulhamah tadi sungguhpun bersih dan suci tetapi masih belum lagi dia sampai kepada kejernihan yang teguh dan apabila Nafsu itu teguh dan tetap didalam proses mencapai Ma'krifat dan Hakikat juga melekat di hatinya sifat-sifat yang terpuji jua dan tetap pula terkikis dari Qalbunya sifat-sifat yang tercela, maka di waktu itu berhak dia mendapatkan gelaran Maqam Nafsu Mutmainnah namanya. Nafsu Mutmainnah adalah permulaan mendapat Darjat Wali kecil.
Firman Allah swt;
"Wahai nafsu mutmainnah kembalilah kepada Tuhan engkau sambil berhati suka-ria serta diredhai Tuhan maka masuklah olehmu dalam golongan hamba-hambaKu yang soleh dan masuklah syurgaKu."
يٰٓأَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ
"(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!."
(QS. Al-Fajr : 27)
ارْجِعِىٓ إِلٰى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً
"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) !"
(QS. Al-Fajr : 28)
فَادْخُلِى فِى عِبٰدِى
"Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia."
(QS. Al-Fajr : 29)
وَادْخُلِى جَنَّتِى
"Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!."
(QS. Al-Fajr : 30)
Sifat-sifat Kerohanian yang timbul dari Benih yang cantik dan indah (Nafsu Mutmainnah) ini ialah, bahawa ia dapat dirasa didalam hati sendiri oleh orang-orang yang telah berjaya mencapai Maqam Nafsu yang bertuah itu, sifat-sifat diantaranya ialah;
- Murah hati dan tidak lekat harta ditangan kerana bersedekah.
- Tawakkal yang benar.
- Bersifat arif dan bijaksana.
- Kuat beribadat.
- Syukur yang benar.
- Redha pada segala hukuman Allah swt.
- Taqwa yang benar.
Dan lain-lainnya lagi daripada sifat-sifat hati yang indah lagi terpuji...
Biasanya orang yang telah mencapai Martabat ini akan zahir padanya keramat-keramat yang luarbiasa, seperti mendapat ilmu dengan tidak perlu belajar (ILHAM), kerana ia dapat mengetahui rahsia-rahsia Loh Mahfuz.
Syurga untuk orang golongan ini terjamin kerana mereka ibarat emas yang bermutu dan lebih mahal daripada nilaian Nafsu-Nafsu yang lepas. Inilah dia Nafsu Mutmainnah, Nafsu yang tetap bernilai dan terjamin dengan Syurga sebagaimana yang diterangkan oleh Allah swt didalam Al-Qur'an tadi iaitu dialah yang wajar menerima jemputan Syurga Allah swt.



5) AHLI NAFSU RADHIAH.
Tadi kita telah membicarakan Nafsu Mutmainnah yang memang sudah bergelar Wali. Ini pula Nafsu Radhiah iaitu Nafsu yang memang Wali Maqamnya, tetapi ia lebih tinggi daripada Maqam Wali Mutmainnah tadi.
Maqam Nafsu ini dinamakan Radhiah kerana selain daripada ia berjaya mencapai kecerahan dan kejernihan hati yang teguh itu, maka Nafsu ini hadir didalamnya dengan perasaan Keredhaan pada segala hukuman Allah swt. Bukannya mudah hendak mencapai Maqam Keredhaan Nafsu ini kerana ia bukanlah umpama sebarang benda yang boleh dimasukkan ke dalam sarang Qalbu jika tidak ada sifat-sifat kelelakian yang benar-benar berhemah tinggi didalam Perjuangan Mujahadah dan ibadat untuk mencapainya Maqam Nafsu mulia itu sebagaimana mengikuti kaedah AHLI SUFI.
Oleh itu tabiat orang Maqam ini adalah luarbiasa, ia tidak takut kepada bala Allah swt dan tidak tahu gembira kepada Nikmat Allah swt, kerana yang ia tahu hanyalah Keredaan Allah swt dan hukuman-Nya. Bahkan gembira ataupun bala Nikmat adalah sama jua pada pandangannya.
Malah segala masalah keduniaan sama saja pada pandangannya orang-orang Wali Martabat ini. Wang ringgit sama sahaja baginya dengan daun, emas sama saja baginya dengan tanah yang kering, segala kesusahan biasa bagi mereka untuk mengenal hal-hal kehidupan dunia, tetapi hal itu tidak tahan dirasai oleh manusia awam, jauh sama sekali melekat di sarang hati mereka, seperti yang telah di isyaratkan oleh firman Allah swt;
"Sesungguhnya orang-orang wali Allah itu tidak pernah rasa ketakutan dan tidak pernah rasa kerunsingan di atas mereka itu"
أَلَآ إِنَّ أَوْلِيَآءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
"Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita."
(QS. Yunus : 62)
Mengapakah hati mereka sampai begini sekali ?
Jawabnya : Adalah kerana Nafsu mereka sudah terkikis dari akar umbi kesemuanya sekali dengan karat-karat yang tercemar dan pula sinaran Nur Syuhud yang membawa mereka kepada Ma'krifat, perkara itu datang bertalu-talu masuk ke dalam Hati Nurani mereka yang tetap waja itu.
Alam disekeliling mereka laksana cermin yang boleh mereka melihat Allah swt didalamnya, ketika sebagaimana mawam musyahadah terdapat didalam 'Al-Ihsan' kepada umpama sabda Nabi saw.
Maqam ini digelarkan Wali Allah didalam Martabat orang Khawas, dan mawam ini baru boleh di ibarat emas bermutu tinggi. Syurga memang terjamin. Di antara sifat-sifat Kerohanian yang timbul daripada Benih Radhiah yang berwaja dan tetap mahal nilaian ini ialah sifat-sifat yang seperti beriku;
- Zahid.
- Ikhlas.
- Warak.
- Tinggal perkara-perkara yang bukan kerjanya.
- Menunaikan hukum-hukum Allah swt.
Dan lain-lainnya lagi daripada sifat-sifat Kerohanian yang tinggi...
Orang-orang Wali Maqam Radhiah ini dapatlah ia mengecap Nikmat sifat-sifat budi yang luhur atau sifat-sifat Kerohanian yang tinggi itu didalam setiap masa.
6) AHLI NAFSU MARDHIYYAH.
Tidak syak lagi Maqam Mardhiyyah ini lebih tinggi daripada Maqam Radhiah kerana Nafsu mereka ini dan segala hal ataupun segala apa-apa yang baik percakapan atau lakonan yang keluar daripada mereka adalah Diredhai oleh Allah swt dan diakui oleh Allah swt.
Oleh itu, maka jadikan jiwa mereka, perasaan mereka, lintasan atau khuatir hati mereka, gerak geri mereka, penglihatan mereka, pendengaran mereka, percakapan mereka, pancaindera mereka dan seterusnya kesemuanya pergerakan mereka adalah Diredhai oleh Allah swt belaka.
Sabda Nabi saw;
"Sentiasalah hambaKu berdamping diri kepadaKu dengan mengerjakan ibadat sunat hingga aku kasihkan dia maka apabila Aku kasihkan dia nescaya adalah Aku pendengarannya yang ia mendengar dengan dia, penglihatannya yang ia melihat dengan dia, pertuturan lidahnya yang ia bertutur dengan dia, penampar tangannya yang ia menampar dengan dia, berjalan kakinya yang ia berjalan dengan dia dan fikiran hatinya yang ia berfikir dengan dia"
Maksudnya ialah segalanya perbuatan atau lakonan yang terbit daripada hamba Allah swt yang Wali umpama ini adalah kesemuanya berlaku dengan Keredhaan Allah swt dan dengan Keizinan Allah swt belaka.
Oleh itu, maka timbullah dari sisinya perkara-perkara yang Ganjil, Ajaib dan Luarbiasa pada pandangan orang ramai seumpamanya berjalan diatas air, boleh pergi ke Makkah dalam sekelip mata dan lain-lainnya. Dan juga sering kali setengah daripada tingkah lakunya terjadi sebagai tanda Kenyataan Allah swt atau Takdir Allah swt.
Ingatkah kamu dengan sejarah Nabi Isa as ?
Iaitu tatkala Beliau melawat sebuah kubur orang yang telah mati dan Beliau pun berkata kepadanya serta di isyaratkan kepada mayat didalam kubur itu yakni berdirilah engkau dengan izin Allah !.
Maka mayat didalam kubur itu pun hidup dan bangun berdiri serta berjalan hidup-hidup.
Sebuah cerita yang berlaku kepada Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani iaitu tatkala ia sudah selesai daripada makan dan tertinggal di hadapannya sisa-sisa tulang ayam, lalu beliau pun menyeru kepada tulang-tulang ayam itu dengan katanya;
"Hai Tulang...! jadilah engkau ayam kembali !".
Maka terjadilah tulang-tulang itu seekor ayam berlari hidup-hidup. Sedang ibu seorang budak khadam Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani menyaksikan perkara ganjil itu dengan keadaan pelik.
Mengapakah keganjilan demikian berlaku ?
Jawabnya ialah kerana pengucapan-pengucapan orang Maqam Mardhiyyah umpama ini telah Diredhai dan Diizinikan oleh Allah swt dan satu perkara yang harus di ingatkan bahawa di hadapan orang-orang yang seumpama ini, janganlah sesekali celupar mulut mengatakan sesuatu yang menyinggungkan hatinya, takut-takut terkeluar dari mulutnya pengucapan-pengucapan yang Diredhai oleh Allah swt, maka menjadi celakalah orang itu.
Berkata Imam Tarekat Ahmadiah Sidi Syeikh Ahmad bin Idris Rahmatullah Taala' yang masyhur keramatnya;
"Permulaan Tarekatku ialah 'GILA' diperkatakan orang,
Dipertengahan jalan, datang bermacam-macam ilmu pemberian Allah dengan tidak perlu payah belajar,
Dan diakhir Tarekatku ialah 'KUN FAYAKUN' (Maksudnya datang bermacam-macam Keramat jika dikehendaki."
Dengan huraian diatas ini, maka terang dan fahamlah kepada kita maksud kata-kata Hadis Qudsi yang mengandungi cerita-cerita Keramat tadi atau HIKMAH.
Orang yang mencapai Maqam Mardhiah ini digelar WALI ALLAH didalam Martabat Khawas Al-Khawadh yakni Wali Allah didalam Martabat yang ISTIMEWA daripada Wali-Wali yang tertentu.
"Ibarat emas bermutu sembilan, Syurga tetap terjamin."
Sifat-sifat budi atau Kerohanian yang timbul dari Benih Waja Mardhiah yang bertuah ini, diantaranya ialah;
- Elok dan tingginya budi atau kesusilaan, umpama Nabi-Nabi.
- Lemah lembut didalam pergaulan masyarakat sebagaimana Sifatny Nabi-Nabi.
- Sentiasa Rasa perdampingan dengan Allah swt.
- Sentiasa berfikir pada kebesaran Allah swt.
- Redha dan rela dengan apa-apa pemberian Allah swt.
Dan lain-lainnya lagi daripada sifat-sifat budi kesusilaan yang Terpuji...
7) AHLI NAFSU KAMIL.
Orang yang hendak mencapai Nafsu Kamil ini mestilah dia melalui dahulu proses perjalanan Nafsu-Nafsu satu demi satu yakni dimulai dengan dari Nafsu Ammarah, kemudian Lawwamah, kemudian Mulhamah dan kemudian seterusnya.
Ini jika dia menurut jalan Adab Tarbiyah dengan cara yang teratur, berlainan orang Majdzub maka ia mungkin terlipat atau melangkah jalan dengan cara cepat tetapi orang Majdzub ini dibimbangi tidak akan mencapai kejayaannya, kerana ia tidak ada Istiqamah didalam perjalanannya.
Disana ada jalan lebih baik dan lebih teratur dari itu iaitu jalan Adab Tarbiyah Guru melalui Suluk campur Jazbah. Inilah jalan paling
terbaik
sekali didalam dunia Suluk dan Tarbiyah, seperti yang terdapat pada Tarekat Naqsybandiah dan lain-lainnya lagi.
Oleh sebabitu orang yang hendak mencapai Maqam Nafsu Al-Kamil ini bukanlah mudah malah berhajatlah kepada semangat yang benar-benar tinggi berkhemah dan berani menempuh jalan yang sukar dan susah.
Syeikh Abdul Kadir al-Jailani umpamanya, selama tiga puluh tahun lebih beliau telah merempuh jalan seumpama itu, lain orang lain pula perjalanannya, ada masa yang singkat, ada yang lama...
Maqam Nafsu Al-Kamil ini adalah yang paling Tertinggi dan Teristimewa sekali dari Maqam Wali-Wali yang lain diatas muka bumi ini, kerana ia dapat menghimpunkan antara Batin dengan Zahir atau antara Hakikat dengan Syariat, kerana itu maka ia digelarkan Maqam Baqa', Kamil Mukamil, Al-Insan Kamil, yakni Roh atau Hatinya kekal dengan Allah swt, tetapi Zahir tubuh kasarnya itu bersama-sama didalam pergaulan masyarakat, dia juga menjadi pemimpin untuk membentuk masyarakat ke arah jalan yang Diredhai Allah swt, seperti bagaimana yang terdapat kepada Khalifah-Khalifah, Khulafa Al-Rasyidin didalam zamannya atau sebagainya.
Hati mereka ini seumpama Kekal dengan Allah swt, sama ada di masa tidur ataupun semasa berjaga, kerana mereka dapat Bermusyahadah dengan Allah dalam setiap ketika, dan mereka yang mencapai Maqam ini tidak dapat dinilai dengan apa-apa benda kejadian di alam ini walaupun dengan harga emas sebesar dunia, kerana ia adalah Maqam Khawas Al-Khawas. Di ketika itu maka terjadilah gerak geri mereka, tutur kata mereka, tidur dan berjaga mereka, makan dan minum mereka dan kelakuan mereka adalah Ibadat semata-mata.
Rasul-Rasul, Nabi-Nabi dan Wali-Wali besar ini adalah terdiri dari golongan Maqam ini, tetapi pangkat Rasul lebih tinggi dari Nabi kerana Rasul Maqam risalah ibarat berlian dan Maqam Nubuwwah ibarat intan.
Sifat-sifat budi utama yang timbul dari Benih Nafsu Al-Kamil yang Teristimewa ini ialah sifat-sifat Kerohanian Murni dan juga perangai-perangai Terpuji sebagaimana yang terdapat dalam peringkat-peringkat Nafsu yang baik seperti kita telah huraikan dengan panjang lebar diatas. Syurga untuk mereka Maqam Al-Kamil ini tetap Teristimewa, 'Ibarat emas bemutu sepuluh'.



* KESIMPULAN KAEDAH SUFI.
Dari penjelasan-penjelasan diatas dapatlah kita buat kesimpulan suatu kaedah;
- Tiap-tiap RASUL adalah NABI.
- Tiap-tiap NABI adalah WALI.
- Tiap-tiap WALI adalah SUFI.
Jadi, RASUL itu adalah SUFI lagi WALI lagi NABI...
Dan tidak boleh dikatakan Nabi kalau tidak Wali, dan tidak boleh dikatakan Wali kalau tidak Sufi. Dengan demikian maka Rasul itu mestilah Sufi mengikut pengertian bahawa Rasul itu adalah benar-benar Berhati Kerohanian yang Sufiah, dengan tidak dikira atau di iktibar dari mana asal-usul datang perkataan Sufi itu.
* KESIMPULAN MAQAM-MAQAM NAFSU DAN PEMBALASANNYA MENGIKUT LOGIK SUFI.
Dan dari penjelasan-penjelasan diatas juga dapatlah kita faham bahawa golongan AHLI SYURGA terdiri dari orang-orang yang KEIMANANNYA Bermaqam-maqam didalam Darjah Nafsu dan Ma'krifatnya. Oleh itu Ahli Syurga itu adalah mengikut Maqam-Maqam seperti berikut;
a) Maqam Berlian.
b) Maqam Intan.
c) Maqam Emas Sepuluh.
d) Maqam Emas Sembilan.
e) Maqam Emas Lapan.
f) Maqam Emas Tujuh.
g) Maqam Suasa.
h) Maqam Perak.
Selain daripada golongan itu maka semuanya dinilai Ahli Neraka kecuali orang-orang yang mendapat Rahmat besar dan Keampunan dari Allah Azzawajalla.
Ya Allah ya Tuhanku ! Ampunkanlah kami dari golongan orang awam yang banyak berdosa ini, kalau tidak dengan Rahmat-Mu maka celakalah kami di akhirat nanti...
Adapun orang-orang kafir yang sudah musnah Keimanannya didunia (Negara Nafsu) ini serupalah telur busuk yang sudah tidak boleh dibaiki semula, hendak digadai tidak laku, jika hendak disedekahkan juga tidak dipeduli orang bahkan dihina dan dilaknatnya kembali. Maka tempat yang wajar untuk orang yang demikian ialah dilontar sejauh-jauhnya ke dasar Kawah Neraka Jahanam buat selama-lamanya.
Begitulah Hikmat Allah swt yang sangat RAHSIA. Allah swt jadikan Syurga berlapis-lapis mengikut kadar Darjah Maqam-Maqam Nafsu dan begitu juga disebaliknya Allah swt jadikan Neraka.
Untuk diri kita sekarang, ukurlah diri sendiri terlebih dahulu, kita berbuat apa sekarang ?
Kemanakah kita akan pergi ?
Adakah kita dari golongan orang yang akan bernasib baik ?
Kalau tidak, maka akan buruklah akibatnya di akhirat nanti...
“Jika kau masih merasa lebih mulia dari sebutir debu yang menempel di kakimu, kau masih jauh dari pencerahan.”
( Sumber dari Syeh Haqtullah )
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan