Kaedah : ' Mazhab bagi orang awam adalah mazhab mufti mereka...'


Kaedah : ' Mazhab bagi orang awam adalah mazhab mufti mereka...'

Persoalannya sering kali kita mendengar kaedah fiqh ini diucapkan dan dituturkan oleh kebanyakan para asatizah dan agamawan, namun kefahaman disebalik kaedah fiqh ini sering kali juga disalahertikan oleh mereka, budaya palatao makin menjadi-jadi kebelakangan ini dalam kalangan mereka tersendiri sedangkan umat kini sedang tenat dengan erti keberagaman yang sebenar, tidak kurangnya netizen dan marhean yang bersikap sentiasa mengeksploitasi dan memprovokasi kefahaman agama, orang awam menurut istilah para fuqaha' dan usuliyyin adalah mereka yang tidak sampai kepada tahap mampu memahami secara mendalam dalil-dalil syarak dan mentarjih (preponderantly) dalil-dalil syarak yang manakah lebih kuat keberhujahannya untuk dijadikan sandaran hujjah bagi hukum hakam, maka mereka adalah muqallid, dan bukanlah mujtahid seperti para mufti, Al-imam Zarkasyi (1) menjelaskan seorang mujtahid adalah seorang yang mempunyai kepakaran yang mendalam terhadap pentarjihan dalil-dalil syarak, namun begitu tidak semua para mufti marcapada kini khususnya realiti di Malaysia mempunyai kepakaran dan kelayakan sepatutnya sebagai seorang mujtahid, tanggungjawab dan tugas mereka di tampuk bidang dan jabatan pemfatwaan negara hanyalah sebagai pemberitahu atau penjelas selok belok hukum hakam syarak sahaja sebagaimana telah saya telah kongsikan dalam perkongsian saya terlebih dahulu perbezaan antara mufti dan mujtahid menurut perspektif para ulama Mutaqaddimin dan Mutaakhirin, sehubungan itu terdapat khilaf antara Al-Imam Az-zarkasyi dan beberapa tokoh ulama terkemuka dalam usul fiqh berkenaan adakah ikutan orang awam terhadap pendapat mufti mereka dalam permasalahan fiqh merupakan suatu bentuk ijtihad ataupun ia hanyalah taqlid?, saya tidak sentuh secara terperinci perbahasan berkenaannya dalam perkongsian ringkas saya edisi bahasa Melayu kalian bolehlah membacanya di perkongsian yang berbahasa Arab...
2. Adakah orang awam wajib bagi mereka mengikuti mazhab tertentu?,
Para ulama berpendapat (pendapat yang shahih) tidak lazim bagi orang awam mengikuti mazhab tertentu tetapi mereka diperwajibkan dan dipertanggungjawabkan mengikuti mazhab mufti mereka, pendapat ini disokong oleh Al-imam Juwaini dalam Al-burhan dan Al-imam Nawawi dalam Raudhoh dan Al-rawabidh Fil Usul Wal Dhawabid, pendapat yang kedua dinukilkan oleh Ibn Najjar Al-hanbali dalam Syarh Kawkab Al-munir, menyatakan orang awam diperwajibkan dan dipertanggungjawabkan mengikuti mazhab tertentu daripada mazhab-mazhab muktabar yang empat.
Justeru meskipun Al-imam Juwaini berpendapat demikian, ia sama sekali tidak menjejaskan keutuhan binaan mazhab islami semasa yang sudah menjadi ikutan berzaman, di mana melalui perundangan hukum hakam syarak yang termaktub dalam mazhab, kita dapat membezakan ibadah manakah yang menerima pensyariatan rukhsah ataupun tidak, bahkan jika diamati dengan teliti dan mata hati yang celik kita akan fahami bahawasanya seorang awam atau mustafti tidak boleh (haram) baginya sesuka hati berpindah-randah mazhab setelah ia mengikuti mazhab tertentu atau mazhab yang diamalkannya tanpa alasan munasabah dan sebab yang logikal, setiap kali ia menghadapi permasalahan fiqh, di mana ia tidak mengetahui tentangnya secara jelas, maka ia perlu merujuk kepada mereka yang mempunyai keahlian, kepakaran dan berautoriti dalam menyelesaikan dan merungkaikan permasalahan fiqh mereka antaranya para mufti sepertimana saranan dalam surah Al-nahl ayat ke 43 ; bermaksud 'Tanyakanlah mereka yang berkeahlian dalam kalangan kamu jika kamu tidak mengetahui sesuatu perkara tersebut...'
3. Adakah orang awam tidak mempunyai mazhab?...
Dinukilkan oleh Al-imam Ar-ra'fie daripada Imam Abi Fath Mohamed Ibn Ata' Al-harwiy daripada kota Al-ha'arah (الهَرَاة) adalah merupakan salah seorang Ashab Syafieyyah yang terulung, menyatakan bukanlah maksud yang dikehendaki sebalik kaedah yang disebutkan oleh Imam Syafie ini adalah bahawasanya orang awam tidak mempunyai mazhab yang dijadikan ikutan keberamalan dan sandaran hukum hakam bagi mereka sebaliknya ia bermaksud, orang awam yang tidak mempunyai kepakaran dalam ijtihad maka ia diperbolehkan memilih mana-mana mazhab yang muktabar untuk dijadikan ikutan keberamalan dan sandaran hukum hakam berbeza dengan mujtahid, Al-imam Ibn Hajar Al-Haitami turut menjelaskan makna kaedah ini dalam Fatawa Fiqhiyyah Al-kubra miliknya (2)...
Selain itu, walaupun syarak membenarkan orang awam memilih mazhab yang sesuai dijadikan ikutan keberamalan dan sandaran hukum hakam bagi mereka, namun syarak juga menjelaskan mereka (orang awam) yang memilih mazhab sewenang-wenangnya tanpa displin dan aturan yang betul akan menatijahkan kepada kefasikan berikut perincian pendapat para ulama terhadap golongan orang awam yang bersikap sebegini ;
1. Ia tergolong dalam golongan orang yang fasiq secara mutlak menurut Al-imam Marwazi.
2. Ia tergolong dalam kalangan orang yang fasiq, jika ia memilih-milih mazhab sedia ada menurut hawa nafsu tanpa sandaran alasan munasabah dan sebab yang logikal (Tatabu' Al_rukhas) demi mencari Rukhsah, kesenangan dalam beribadah semata-mata dan matlamatnya, menurut Al-imam Ahmad Ibn Hanbal dan disokong oleh Imam Nawawi dalam fatwanya...(3).
Peringatan ;
Makna yang sahih disebalik hadis yang bermaksud 'Tanyakanlah pada hati kamu, dan jika kamu berfatwa kepada individu tertentu...' adalah berkenaan soal warak apabila mendepani perkara yang syubhat, dan menjaga diri daripada terjatuh dalam kancah noda dosa dan kemaksiatan, solusinya hadis ini tidak pantas difahami secara literal, sebaliknya ia perlu difahami dengan kefahaman yang jelas dan betul, sebagaimana disebutkan oleh Al-imam Az-zarkasyi, Al-imam Ghazali (4) dan Al-imam Munawi (5) hadis ini memberikan gambaran yang jelas, emosi dan perasaan tidak dapat dijadikan panduan dan sandaran utama dalam menentukan kesahihan hukum hakam syarak...
Wallahua'lam,
Alfaqer IzzAzhary.
Rujukan ;
(1). Tasynif Masami' Lil Zarkasyi m/s (3/75), Al-fusul Fil Usul Lil Abi Bakr Jassas m/s (3/281), Al-faqih Wal Mutafaqqih Lil Khatib Baghdadi m/s (2/68).
(2). Fatawa Fiqhiyyah Al-kubra Lil Haitami m/s (4/135).
(3). Raudhah At-tholibin m/s (11/117)
(4). Bahrul Muhith Lil Zarkasyi m/s (8/117)
(5). Faidhul Al-qadir m/s (1/495)
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan