MENGAPA ORANG ISLAM TIDAK BERSATU ?

 


MENGAPA ORANG ISLAM TIDAK BERSATU ?

Walaupun teks ini pada awalnya telah menjadi perkara pertama dari lima noktah yang membentuk perkara kedua dari tujuh perkara dalam bab Sinaran Ketujuh Belas, ia telah dijadikan bab tersendiri dalam Sinaran Kedua Puluh kerana kepentingannya.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
اِنَّۤا اَنْزَلْنَا اِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ فَاعْبُدِ اللهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينُ اَلاَ لِلّٰهِ الدِّينُ الْخَالِصُ
“Sesungguhnya kami menurunkan kepada mu kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran. Maka sembahlah Allah dengan mengikhlaskan penyembahanmu kepada-Nya. Tidakkah kepunyaan Allah itu agama yang bersih…” (al-Zumar: ayat 2)
Sabda Nabi Muhammad SAW
هَلَكَ النَّاسُ اِلاَّ الْعَالِمُونَ وَهَلَكَ الْعَالِمُونَ اِلاَّ الْعَامِلُونَ وَهَلَكَ الْعَامِلُونَ اِلاَّ الْمُخْلِصُونَ وَالْمُخْلِصُونَ عَلٰى خَطَرٍ عَظِيمٍ
“Seluruh manusia akan binasa melainkan orang yang berilmu, dan binasalah orang yang berilmu kecuali mereka yang beramal dan yang beramal akan binasa kecuali yang ikhlas, namun mereka yang ikhlas pun berada dalam bahaya yang besar.”
( Lihat, al-‘Ajluni, Kashf al-Khafa’, ii, 415; al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, iii, 414.)
Ayat al-Quran dan hadis di atas menunjukkan betapa pentingnya keikhlasan dalam Islam dan betapa kebesarannya menjadi asas kepada segala urusan agama. Dari beberapa perkara yang berhubung dengan keikhlasan, kami hanya akan menjelaskan lima perkara sahaja.
PERKARA PERTAMA
Terdapat satu persoalan penting dan menghairankan; ketika golongan duniawi dan ahli gaflah (lalai) bahkan ahli dhalalah (sesat) dan ahli nifaq (munafik) dapat bekerjasama tanpa permusuhan dan tidak ada hasad dengki di antara mereka, mengapakah golongan-golongan yang berpegang kepada agama, para ulama dan ahli-ahli tarikat sufi bertelagah dan bermusuhan sesama sendiri, sedangkan sebenarnya mereka adalah golongan hak dan mudah mencapai persetujuan harmoni. Pada hakikatnya persetujuan itu adalah hak orang-orang yang bersaudara dan perbalahan itu adalah untuk mereka yang munafik. Bagaimanakah kebenaran dan kebatilan itu boleh bertukar tempat?
Jawapannya: Kita akan mengemukakan tujuh sebab dari banyak sebab-sebab yang menyakitkan, memalukan dan dahsyat, yang menyebabkan mereka yang menyintai Islam menangis.
Sebab Pertama:
Perselisihan di antara golongan yang benar tidak disebabkan daripada kekurangan kebenaran. Begitu juga kesatuan di kalangan golongan yang lalai tidaklah disebabkan oleh apa-apa kebenaran yang mereka anuti, bahkan ia adalah kerana peranan dan tugas-tugas tertentu yang diberikan kepada beberapa kelas di dalam masyarakat, seperti ahli-ahli dunia(1) , politik, pendidikan dan seumpamanya telah ditentukan dan dibezakan (2) di antara mereka. Begitu juga dengan ganjaran maddi (material) dan maknawi (moral) yang mereka jangkakan disebabkan tugas mereka untuk meneruskan kehidupan, semuanya ini telah ditetapkan dan dibezakan. Tiada perkara yang sama ke tahap yang boleh membawa kepada konflik, perselisihan dan permusuhan. Walau bagaimana buruk pun jalan yang dilalui, mereka akan dapat mengekalkan persatuan dan persefahaman.
Tetapi bagi golongan agama, para ulama dan mereka yang mengikuti jalan tarikat sufi, tugas masing-masing adalah melibatkan semua manusia. Ganjaran kebendaan mereka tidak dikhaskan dan ditentukan. Bahagian mereka pada pandangan masyarakat dan penerimaan termasuk perhatian umum tidaklah ditentukan.
Ramai yang layak untuk menempati satu kedudukan yang setaraf. Banyak tangan yang menghulur untuk mendapatkan ganjaran maddi atau maknawi. Oleh itu, permusuhan dan hasad dengki akan timbul. Maka muafakat akan bertukar menjadi perbalahan dan persefahaman menjadi perpecahan.
Penyakit yang hebat ini tidak akan dapat dirawat melainkan oleh ubat berkesan yang mengembalikan keikhlasan.
Iaitu dengan seseorang itu berusaha untuk mematuhi arahan ayat al-Quran berikut dengan mementingkan kebenaran serta petunjuk daripada mengikut hawa nafsu, dengan mengutamakan kebenaran daripada keegoan diri:
اِنْ اَجْرِىَ اِلاَّ عَلَى اللهِ
“Balasanku hanyalah daripada Allah semata-mata.” (Yunus: 72)
Begitu juga dengan mematuhi arahan ayat al-Quran berikut dengan tidak mempedulikan upah yang berbentuk material dan maknawi yang datang daripada manusia (3):
وَمَا عَلَى الرَّسُولِ اِلاَّ الْبَلاَغُ
“Dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan yang terang nyata.” (al-Nur: 54)
Dia juga hendaklah menyedari bahawa kesenangan manusia dengan kata-katanya, dan pengaruhnya terhadap mereka yang menyebabkan mereka memberikan perhatian kepadanya adalah perkara-perkara yang dikurniakan oleh Allah berdasarkan kelebihan dan sifat ihsan yang ada pada-Nya semata-mata. Semua itu tidak termasuk dalam bidang tugasnya yang hanya terbatas dalam menyampaikan dakwah sahaja. Dia sama sekali tidak dipertanggung jawabkan untuk memperolehi kelebihan-kelebihan tersebut.
Sesiapa yang berjaya melakukan yang demikian dengan taufiq yang diberikan oleh Allah, maka dia berjaya mengecapi kelazatan keikhlasan. Jika tidak, dia akan kehilangan banyak kebaikan.
Sebab Kedua:
Kesepakatan ahli dhalalah lahir daripada kehinaan mereka, sementara perselisihan ahli hidayah lahir daripada kemuliaan dan ketinggian mereka.
Oleh kerana ahli dunia dan ahli dhalalah yang alpa itu tidak bersandar kepada yang hak dan hakikat yang sebenar, maka mereka adalah golongan yang lemah dan hina. Mereka merasa amat perlu untuk mendapatkan kekuatan dan amat berharap untuk memperolehi bantuan orang lain serta melakukan kesepakatan dengan mereka. Mereka amat berharap untuk mencapai persepakatan tersebut sekalipun jalan yang mereka lalui adalah jalan kesesatan. Mereka berusaha bersungguh-sungguh dan bantu-mebantu atas dasar kebatilan, bahkan mereka ikhlas kerananya. Mereka juga mempamerkan keteguhan pendirian dan ketetapan hati untuk terus berada dalam kekufuran. Mereka melakukan persepakatan dalam keadaan nifaq mereka. Oleh itu, mereka beroleh kejayaan dalam usaha yang mereka lakukan, kerana keikhlasan yang sempurna meskipun dalam perkara kejahatan tidak akan dipersia-siakan, pasti akan mendapat kejayaan. Setiap hamba yang memohon sesuatu daripada Allah dengan penuh keikhlasan, pasti akan diperkenankan permohonannya oleh Allah.
Manakala ahli hidayah, ahli agama, ulama dan ahli tariqat, bersandarkan kepada yang hak dan hakikat. Semasa menjalankan tugas atas dasar kebenaran ini, mereka hanya berharap kepada keredhaan Allah. Mereka merasa tenang dengan-Nya setenang-tenangnya. Mereka juga memperolehi kebanggaan dan kemuliaan yang hakiki ketika menjalankan tugas tersebut. Setiap kali merasa lemah, mereka dengan segera bertimpuh mengharapkan bantuan Allah sahaja, bukan daripada manusia. Mereka memohon kekuatan daripada-Nya semata-mata. Di samping itu, mereka melihat segala jalan yang bersimpang siur di hadapan mereka adalah sesat jika dibandingkan dengan jalan yang sedang dilalui. Oleh itu, anda dapati mereka tidak merasa perlu untuk meminta pertolongan dan bantuan daripada orang lain, bahkan mereka tidak melihat terdapat faedah daripada melakukan persepakatan dengan orang-orang yang berselisih dengan mereka. Mereka juga merasa tidak perlu kepada persepakatan tersebut.
Sesungguhnya, jika terdapat sebarang kedegilan dan keegoan, seseorang akan merasa dirinya betul dan orang lain bersalah. Perselisihan dan permusuhan akan mengambil tempat kerukunan dan kasih sayang. Maka keikhlasan akan hilang sama sekali.


MENGAPA UMAT ISLAM TIDAK BERSATU? (Bhg 2)
oleh:
Badiuzzaman Said Nursi, Lamaat ke 20, daripada kitab al-Lamaat
Oleh itu, satu-satunya penyelesaian bagi situasi yang meruncing dan dahsyat ini, mengandungi sembilan perkara berikut:
1. Bertindak dengan sikap yang positif, dengan kecintaan terhadap caranya sendiri dan menjauhi permusuhan terhadap pandangan orang lain, tidak mengkritik mereka, masuk campur dalam kepercayaan dan ilmu mereka atau mengambil tahu urusan mereka dengan apa cara sekalipun.
2. Bersatu dalam ikatan Islam dengan mengambil kira berbagai-bagai cara yang boleh membawa kepada persefahaman, kasih sayang dan persaudaraan.
3. Berpendirian dengan satu sikap iaitu insaf bahawa seseorang itu boleh dan berhak mengatakan, “cara saya adalah lebih betul, benar dan lebih bagus” tanpa dia campur tangan dalam kaedah dan cara orang lain. Tetapi dia tidak boleh mengatakan bahawa “cara saya sahajalah yang benar”, kerana dengan berpendapat demikian dia telah menghukumkan cara orang lain adalah batil.
4. Sedar bahawa persepakatan dengan orang-orang yang benar adalah salah satunya jalan untuk memperolehi taufik Ilahi dan punca kemuliaan Islam.
5. Menjaga dan memelihara kebenaran dengan mewujudkan suatu gabungan, iaitu dengan melakukan persepakatan dengan ahli kebenaran bagi menghadapi ahli kesesatan dan kebatilan yang sentiasa melakukan tipudaya dengan penuh helah dalam bentuk gabungan. Ahli kesesatan dan kebatilan dapat melakukan demikian kerana mereka dapat bantu-mebantu dan bersepakat. Mereka juga tahu bahawa setiap penentangan yang dilakukan dari pihak kebenaran secara individu meskipun kuat, akhirnya pasti akan menemui kegagalan ketika berhadapan dengan pihak kesesatan.
6. Demi untuk memelihara yang hak daripada serangan-serangan kebatilan.
7. Meninggalkan kepentingan diri sendiri dan tipu daya nafsu.
8. Meninggalkan konsep yang salah mengenai kemuliaan diri.
9. Meninggalkan perasaan hasad dengki, persaingan dan semua perkara yang merugikan.
Jika kesembilan perkara di atas dipatuhi, keikhlasan akan dapat dipelihara dan manusia dapat melaksanakan fungsinya dengan baik (9).
Sebab Ketiga
Perselisihan di antara ahli-ahli hak (benar) tidaklah berpunca daripada kekurangan keghairahan dan cita-cita yang tinggi. Begitu juga dengan kesatuan di antara ahli-ahli dhalalah (sesat) bukanlah disebabkan dari kemuliaan cita-cita mereka. Bahkan perbalahan ahli-ahli hak adalah berpunca daripada salah guna ketinggian cita-cita melampau. Apa yang mendorong ahli-ahli hidayah kepada menyalahgunakan keghairahan mereka yang tinggi dan sehubungan dengan itu kepada perbalahan dan permusuhan adalah keinginan ekstrim kepada anugerah alam akhirat yang pada dasarnya dianggap sebagai sifat yang terpuji. Dengan memikirkan di dalam diri, “Biarlah aku yang mendapat ganjaran ini, biarlah aku yang membimbing orang-orang ini, biarlah mereka mendengar dari aku,” dia mengambil sikap permusuhan terhadap saudaranya sebenar yang berhadapan dengannya. Padahal saudaranya itu berhajat kepada kasih sayang, bantuan dan persaudaraannya. Lalu dia berkata kepada dirinya, “Mengapakah murid-muridku pergi kepadanya? Mengapakah aku tidak mendapat murid-murid yang seramainya, lalu jatuh ke lembah egoisma, cenderung kepada penyakit cita-cita yang kronik, hilang semua keikhlasan dan terbukalah pintu kemunafikkan baginya.
Rawatan untuk kesalahan, luka dan sakit rohani yang dahsyat ini ialah dengan prinsip bahawa “Keredhaan Allah SWT akan tercapai hanya dengan keikhlasan”, bukanlah dengan ramainya pengikut atau kejayaan yang besar. Sesungguhnya perkara yang akhir ini adalah berkait dengan keizinan Allah, ia tidak boleh dipohon, walaupun kadangkala diberikan. Kadangkala satu perkataan sahaja akan memberikan hidayah kepada seseorang dan seterusnya keredhaan Tuhan. Pengikut yang ramai tidak sepatutnya mendapat perhatian sangat kerana kadangkala membimbing seorang ke jalan yang benar boleh mendatangkan keredhaan Tuhan seperti membimbing seribu orang. Lagipun keikhlasan dan sikap berpegang kepada yang hak memerlukan seseorang itu menginginkan orang-orang Islam dapat mengambil manfaat dari sesiapapun dan di sebarang tempat yang mereka mampu. Dengan berfikir, “Biarlah mereka mengambil pelajaran dari aku supaya aku dapat pahala”, adalah tipu daya nafsu dan ego.
Wahai manusia yang tamak dengan pahala akhirat dan pencapaiaan amal-amal yang melayakkan kamu kepadanya! Terdapat setengah nabi yang hanya mempunyai pengikut yang kecil tetapi menerima pahala yang tidak terhingga dari tugas kenabiannya yang suci itu. Kejayaan yang sebenarnya terletak bukan dengan memperolehi pengikut yang ramai tetapi dengan mendapat keredhaan Ilahi. Fikirkanlah, siapakah saudara apabila berkata, “Biarlah setiap orang mendengar daripada saya,” dengan itu bukankah saudara terlupa akan tanggungjawab saudara dan mencampuri hal yang secara tegasnya adalah hak Allah? Penerimaan orang terhadap saudara dan untuk mendapatkan orang berhimpun di sekeliling saudara adalah hak Allah. Oleh itu, lihatlah hanya akan tugas dan urusan saudara dan jangan mencampuri hak Allah.
Lagipun, bukan sahaja manusia yang memperolehi pahala dari mereka yang mendengar dan bercakap perkara-perkara yang hak. Makhluk-makhluk Tuhan yang mempunyai perasaan, yang mempunyai roh dan malaikat-malaikat-Nya yang memenuhi alam semesta dan menghiasi seluruh pelusuk bahagiannya turut mendengar. Jika saudara mengkehendaki pahala yang banyak, ambillah keikhlasan sebagai asas dan hanya memikirkan keredhaan Allah. Kemudian setiap suku kata dari perkataan yang dirahmati yang dikeluarkan dari mulut saudara akan dihidupkan kembali dengan keikhlasan dan niat yang hakiki dan masuki telinga ramai makhluk-makhluk yang mempunyai perasaan, menerangi mereka dan menghasilkan pahala kepada saudara. Contohnya bila saudara berkata, “Segala pujian dan kesyukuran kepada Tuhan,” berjuta perkataan-perkataan ini, kecil dan besar telah ditulis atas permukaan udara dengan kehendak Ilahi. Oleh kerana Pengukir Yang Maha Bijaksana tidak membuat sebarang perkara yang membazir atau sia-sia, Dia telah mencipta telinga-telinga yang tak terhingga banyaknya, sebanyak yang diperlukan untuk mendengar perkataan-perkataan yang dirahmati itu. Jika perkataan-perkataan itu dihidupkan di udara melalui keikhlasan dan niat yang benar, ianya akan memasuki telinga makhluk-makhluk Tuhan yang mempunyai roh seperti rasanya buah-buahan yang lazat di dalam mulut. Tetapi jika perkataan-perkataan itu tidak dihidupan melalui keredhaan Ilahi, ianya tidak akan didengar, dan pahala akan hanya diperolehi oleh satu sebutan yang dilakukan oleh mulut. Berilah perhatian yang betul-betul kepada perkara ini, wahai qari dan qariah yang berasa sedih disebabkan suara-suara mereka tidak dirasakan merdu dan tidak ramai orang yang mendengar!
Sebab Keempat
Adalah sama, bahawa permusuhan dan perselisihan di antara ahli-ahli hidayah tidak disebabkan oleh kegagalan untuk menjangka akibat-akibat dari apa yang akan terjadi atau dari pandangan yang singkat. Begitu juga persefahaman yang bersungguh-sungguh hati di antara ahli-ahli dhalalah adalah tidak dihasilkan dari pandangan yang jauh atau kemuliaan dalam visi mereka. Lebih tepatnya, ia adalah kerana ahli-ahli hidayah melalui pengaruh yang hak dan hakikat, tidak tunduk kepada emosi yang buta dari nafsu, sebaliknya mengikut pandangan yang jauh dari hati dan akal. Oleh kerana mereka gagal untuk memelihara istiqamah dan keikhlasan pada arah yang dituju, mereka tidak berupaya mengekalkan kedudukan yang tinggi dan jatuh ke dalam perselisihan. Bagi ahli-ahli dhalalah, di bawah pengaruh nafsu, dari tanggapan perasaan yang buta kepada kesemua akibat dan selalunya mengutamakan satu “gram” manfaat yang singkat dari satu “tan” kebahagian yang mendatang, mereka akan berhimpun dengan keinginan yang bersungguh-sungguh untuk bersatu demi untuk faedah dan keseronokan yang singkat. Sesungguhnya, penyembah-penyembah nafsu dan buta hati tidak dapat tidak akan berkumpul dalam hal manfaat dan keseronokan duniawi yang singkat dengan kelebihan-kelebihannya. Adalah benar bahawa ahli-ahli hidayah telah menumpukan pandangan mereka terhadap pahala akhirat dengan kesempurnaannya mengikut arahan-arahan yang mulia dari hati dan akal.
Akan tetapi, walaupun melalui tujuan yang betul, keikhlasan yang sempurna dan pengorbanan diri yang melahirkan persatuan dan ikatan adalah sesuatu yang boleh dicapai. Disebabkan mereka telah gagal untuk menghapuskan sifat takabbur dan riak dari dalam diri mereka dan terlalu berlebihan dengannya, mereka hilang punca persaudaraan, kekuatan yang mulia dan membiarkan keikhlasan mereka dimusnahkan. Tanggungjawab mereka terhadap hari akhirat pun dicederakan. Sesungguhnya, keredhaan Tuhan bukanlah boleh diperolehi dengan mudah.
Rawatan kepada penyakit yang serius ini adalah dengan mempunyai perasaan bangga dalam kumpulan ahli-ahli hak, mengikut prinsip berkasih sayang kerana Allah dengan bersikap ingin menjadi pengikut dan menangguhkah kepimpinan untuk mereka; dan dengan memikirkan sesiapa sahaja yang berusaha menuju ke jalan yang hak adalah lebih baik dari dirinya, dengan ini memecahkan takburnya dan mendapatkan semula keikhlasan. Penyelamat dari penyakit ini boleh juga diubati dengan mengetahui bahawa satu “gram” amal yang dilakukan dengan keikhlasan adalah lebih utama dari satu “tan” amal yang dilakukan tanpa keikhlasan, dan dengan mengutamakan kedudukan sebagai pengikut dari menjadi pemimpin dengan mengetahui kesemua bahaya-bahaya dan tanggungjawab yang melibatkan seorang pemimpin. Dengan ini keikhlasan boleh dicapai dan tanggungjawab seseorang menyediakan dirinya ke alam akhirat dapat dilakukan dengan betul.
Sebab Kelima
Perselisihan dan tidak persetujuan di antara ahli-ahli hidayah bukanlah hasil dari kelemahan dan persatuan yang kuat ahli-ahli dhalalah. Malahan kurangnya persatuan di antara orang-orang yang mendapat petunjuk datangnya dari kekuatan yang dihasilkan dari sokongan yang diberikan oleh keimanan yang tulin. Di sebaliknya persatuan di antara ahli-ahli ghaflah (lalai) dan ahli-ahli dhalalah (sesat) datang dari kelemahan dan kedaifan yang mereka hadapi dari kekurangan sokongan dari dalam diri mereka sendiri. Orang-orang yang lemah mengadakan persatuan yang kuat secara tepatnya disebabkan keperluan mereka terhadap persatuan (10). Oleh kerana orang-orang yang kuat tidak merasakan keperluan yang sama, persatuan mereka adalah lemah. Singa tidak memerlukan persatuan seperti musang dan dengan itu hidup bersendirian, sebaliknya kambing membuat perkumpulan untuk menyelamatkan diri mereka dari serigala.
Kumpulan dan keperibadian kolektif dari yang lemah adalah kekuatan di sebaliknya kumpulan dan keperibadian kolektif dari yang kuat adalah lemah. Terdapat kiasan yang halus berhubung dengan perkara ini di dalam al-Quran, dalam firman: وَقَالَ نِسْوَةٌ فِى الْمَدِينَةِ “dan wanita di dalam bandar itu berkata; (Yusuf: ayat 30)”, di mana perkataan قَالَ “berkata” adalah di dalam bentuk maskulin. Walaupun ia sepatutnya feminin disebabkan dua perkara. Wanita adalah kata nama feminin dan suatu bentuk jamak dalam Bahasa Arab selalunya dianggap sebagai feminin. Tetapi dalam keadaan berlawanan lihatlah ayat قَالَتِ اْلاَعْرَابُ “Orang-orang Arab padang pasir berkata; (al-Hujurat: ayat 14)” di mana perkataan perbuatan قَالَتِ “berkata” di sini adalah dalam feminin walaupun subjek dalam ayat ini ada satu kumpulan lelaki. Di sinilah terletak satu petunjuk bahawa persatuan orang-orang yang lemah dan wanita yang lembut memperolehi tenaga ketahanan dan kekuatan sehingga memperolehi sesuatu bentuk sifat kelelakian. Penggunaan perkataan maskulin قَالَ dari kata perbuatan dalam al-Quran itu adalah paling sesuai. Lelaki-lelaki yang kuat di sebaliknya dan khususnya orang-orang Arab Beduain, bergantung kepada kekuatan diri mereka sendiri. Persatuan mereka adalah lemah, kerana mereka mengambil pendirian yang lembut dan berhati-hati dengan itu menghasilkan sikap kewanitaan, di mana penggunaan perkataan feminin قَالَتِ dalam kata perbuatan itu adalah bersesuaian sekali. Begitulah juga dengan orang-orang yang mendapat hidayah yang hanya tunduk dan menyerahkan usaha mereka kepada sokongan yang dihasilkan dari keimanan yang kukuh kepada Tuhan. Jadi, mereka tidak menunjukkan keperluan atau memohon pertolongan dan bimbingan dari orang-orang lain. Jika mereka berbuat demikian, kadangkala mereka tidak akan mengikut orang-orang yang berkenaan langsung. Tetapi golongan-golongan duniawi, jika meninggalkan hal-hal duniawi yang menjadi punca kepada pertolongan mereka yang sebenar, akan jatuh ke dalam kelemahan dan kedaifan lalu merasa keperluan yang amat sangat kepada pertolongan dan persatuan, akan melakukan pengorbanan diri dengan hati yang bersungguh-sungguh.
Ahli-ahli hidayah tidak mengiktiraf dan mencari kekuatan yang sebenarnya yang boleh didapati dari persatuan. Dengan ini mereka jatuh ke dalam perbalahan disebabkan kejahatan dan akibat-akibat yang buruk dari kegagalan ini. Di sebaliknya, ahli-ahli dhalalah dan bathil menganggap kekuatan mereka boleh didapati dari persatuan, dengan kelemahan mereka yang sedia ada akan memilih persatuan yang menjadi sebab utama kepada pencapaian semua cita-cita.
Rawatan dan ubat bagi penyakit yang menjadi perbalahan di antara orang-orang yang mendapat hidayah ini ialah dengan menjadikan larangan dari Yang Maha Esa sebagai undang-undang pada tingkah laku seseorang seperti yang terkandung dalam ayat:
وَلاَ تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ
“Janganlah kamu bersengketa, nescaya kamu akan gagal dan kekuatan akan hilang.” (al-Anfal : 46)
dan arahan bijaksana Allah Yang Maha Esa dalam kehidupan sosial yang terkandung dalam ayat :
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوٰى
“Bertolong-tolonglah kamu di dalam kebajikan dan taqwa.”(Surah al-Maidah: 2)
Mereka mestilah selanjutnya insaf betapa bahayanya kepada Islam perbalahan dan bagaimana ia boleh menolong orang-orang yang sesat berjaya ke atas orang-orang yang diberi hidayah. Kemudian, mereka sepatutnya dengan bersungguh-sungguh hati dan dengan pengorbanan mengikuti gerabak sebenar ahli-ahli hidayah dengan merasai kelemahan dan kedaifan diri. Akhirnya, saudara janganlah mementingkan diri sendiri, tinggalkan sifat munafik serta berpura-pura dan berpeganglah dengan kuatnya kepada keikhlasan.
Sebab Keenam
Perselisihan di antara ahli-ahli hak tidak timbul dari kurangnya kelelakian, aspirasi dan semangat; sama juga halnya, penyatuan sepenuh hati di antara ahli-ahli dhalalah, ahli-ahli gaflah dan ahli-ahli dunia berhubung dengan urusan dunia tidaklah terhasil dari kelelakian, cita-cita dan semangat mereka. Sebaliknya ahli-ahli hak umumnya hanya prihatin dengan faedah yang akan diperolehi di akhirat dan dengan itu mengarahkan semangat, cita-cita dan kejujuran terhadap perkara-perkara lain yang penting dan banyak. Oleh kerana mereka tidak meluangkan masa, yang merupakan modal sebenar manusia untuk sesuatu keperhatinan yang khusus, kesatuan mereka dengan rakan-rakan mereka tidak dapat menjadi kukuh. Keprihatinan mereka banyak dan melibatkan skop yang luas. Bagi ahli-ahli duniawi yang sesat dan lalai pula, mereka hanya memikirkan kehidupan di dunia ini, dan dengan kuat memeluk keprihatinan kehidupan dunia ini dengan seluruh pancaindera, hati dan roh, dan berpaut teguh pada sesiapa sahaja yang menolong mereka dalam hal-ehwal mereka. Seperti peniaga berlian Yahudi yang gila, yang memberikan harga yang sangat tinggi untuk sekeping kaca yang hampir tidak bernilai, dengan menumpukan masa yang bernilai tinggi untuk perkara-perkara yang sebenarnya dan pada pandangan ahli hak tidak bernilai. Membayar harga yang tinggi dan melibatkan diri dengan pengabdian seluruh pancaindera secara semula jadi tentulah akan menghasilkan keikhlasan sepenuh hati yang menatijahkan kejayaan dalam perkara-perkara yang dihadapi, sehingga ahli-ahli hak dikalahkan. Akibat kekalahan ini, ahli-ahli hak jatuh ke tahap yang rendah, penghinaan, kemunafikan dan kecurangan, dan keikhlasan mereka akan hilang. Oleh itu ahli-ahli hak terpaksa menyanjung dan merasa rendah diri di hadapan segelintir orang-orang yang keji dan hina di dunia ini.
Wahai ahli-ahli hak! Wahai ahli-ahli syariah, ahli-ahli hakikat dan ahli-ahli tarekat yang semuanya yang menyembah Tuhan! Dalam menghadapi penyakit perselisihan yang luar biasa ini, abaikanlah kesalahan sesama sendiri, tutuplah mata di atas kekurangan di antara satu sama lain! Berkelakuanlah mengikut adab peraturan yang ditetapkan oleh kriteria yang ada di dalam ayat:
وَاِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا
“Ketika mereka melewati kesalahan, mereka melewatinya dengan penghindaran terhormat.” (al-Furqan: ayat 72)
Anggaplah ini sebagai adab utama anda – di mana bergantungnya kedudukan anda di akhirat dengan meninggalkan perpecahan dalaman apabila diserang oleh musuh dari luar, dan dengan demikian membebaskan ahli-ahli hak dari kerendahan dan penghinaan! Amalkan persaudaraan, kasih sayang dan kerjasama yang dilakukan secara berterusan oleh ratusan anjuran ayat al-Quran dan hadis Nabi (SAW)! Bentukkanlah dengan segala kuasa anda persatuan dengan kenalan dan saudara anda dalam agama yang lebih kuat daripada penyatuan ahli-ahli duniawi! Janganlah jatuh ke dalam pertikaian! Jangan katakan kepada diri sendiri, "Daripada menghabiskan masa berharga saya untuk perkara-perkara kecil itu, biarkanlah saya mengunakannya untuk perkara-perkara yang lebih berharga seperti berzikir, bermunajat dan bertafakkur kepada Allah"; kemudian menarik diri dari persatuan dan melemahkan perpaduan.
Apa yang anda bayangkan sebagai perkara yang kecil kepentingannya dalam jihad maknawi ini, mungkin sebenarnya merupakan suatu yang sangat besar kepentingannya.
Dengan cara yang sama bahawa dalam keadaan tertentu yang penting, jam tangan yang dikawal untuk satu jam oleh seorang askar mungkin bersamaan dengan ibadat sepanjang tahun pada zaman ini, ketika ahli-ahli hak telah dikalahkan. Hari-hari yang berharga yang anda habiskan untuk beberapa perkara yang dianggap kecil berhubung perjuangan maknawi mungkin bernilai seribu hari, seperti nilainya jam askar tadi.
Apa sahaja yang dilakukan demi Allah tidak boleh dibahagikan sebagai kecil dan besar, berharga dan tidak bernilai. Sebuah atom yang dibelanjakan dengan ikhlas demi keredhaan Ilahi akan menjadikannya seperti bintang. Yang penting bukan cara yang digunakan, tetapi natijahnya. Selagi natijahnya adalah untuk keredhaan Ilahi dan berpaksikan keikhlasan, segala kaedah yang digunakan untuk mendapatkannya akan mendapat nilai yang besar, bukannya kecil.
Sebab Ketujuh
Perselisihan dan permusuhan di antara ahli-ahli hak tidaklah timbul dari rasa cemburu dan ketamakan duniawi, dan sebaliknya kesatuan di antara ahli-ahli duniawi dan lalai bukanlah timbul dari kemurahan dan kemulian hati. Sebaliknya ahli-ahli hakikat tidak mampu untuk mengekalkan sepenuhnya kemurahan hati dan aspirasi tinggi yang timbul dari perkara-perkara yang hak, atau tindakan-tindakan yang terpuji dalam persaingan yang ujud di jalan Ilahi. Dengan penyusupan dari perkara-perkara yang tidak sepatutnya, mereka telah menyalahgunakan sebahagian bentuk persaingan yang terpuji itu dan jatuh ke dalam perselisihan dan permusuhan, menyebabkan kecederaan besar kepada diri mereka dan masyarakat Islam. Bagi ahli-ahli gaflah (lalai) dan dhalalah (sesat), agar tidak kehilangan manfaat yang sementara yang mereka tergila-gila dengannya dan tidak mahu menyinggung perasaan pemimpin dan rakan-rakan yang mereka sembah demi keuntungan. Dalam kerendahan, penghinaan dan kekurangan kelakian mereka itu, mereka amalkan kesatuan dengan segala kosnya dengan rakan-rakan mereka, walau bagaimanapun keji, pengkhianat dan merbahaya rakan-rakan mereka itu, dan dengan sepenuh hati bersetuju dengan rakan-rakan mereka dalam bentuk apa pun yang ditentukan oleh kepentingan mereka bersama. Hasil dari kerjasama sepenuh hati ini, mereka memang mendapat faedah-faedah yang diinginkan.
Maka wahai ahli-ahli hak yang berhadapan dengan perbalahan dan ditimpa bencana! Melalui kehilangan keikhlasan dan kegagalan anda untuk menjadikan reda Ilahi sebagai satu-satunya tujuan di zaman bencana ini, anda telah menyebabkan ahli-ahli hakikat mengalami kehinaan dan kekalahan. Dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama dan akhirat seharusnya tidak ada persaingan, dengki atau cemburu. Sesungguhnya tidak ada di dalamnya kebenaran. Sebab adanya iri hati dan cemburu adalah apabila ada beberapa tangan menjangkau satu objek yang sama, apabila beberapa mata tertumpu pada satu kedudukan, ketika beberapa perut sedang merasa lapar di hadapan sepotong roti, dengan ini, rasa iri hati akan pertama kalinya timbul akibat konflik, perselisihan dan persaingan, dan seterusnya cemburu. Oleh kerana ramai orang menginginkan benda yang sama di dunia ini, dan kerana keadaan dunia yang sempit dan sementara, ia tidak dapat memuaskan keinginan manusia yang tidak terbatas itu, maka mereka menjadi musuh di antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, di akhirat nanti, syurga selama lima ratus tahun akan diberikan kepada seorang individu; tujuh puluh ribu istana dan bidadari akan diberikan kepadanya; dan setiap orang di dalam Syurga akan merasa puas sepenuhnya dengan bahagiannya (11). Oleh itu, jelas bahawa tidak ada sebab akan persaingan di akhirat, dan juga tidak akan ada persaingan di sana. Sekiranya demikian, tidak perlunya ada persaingan berhubungan dengan amalan soleh yang menatijahkan pahala di akhirat; tidak ada ruang untuk cemburu di sini. Yang cemburu di sini adalah sama ada munafik, mencari hasil duniawi melalui prestasi amalan baik, atau si ikhlas tetapi penyembah yang jahil, tidak mengetahui tujuan sebenar amalan baik dan tidak memahami bahawa keikhlasan adalah roh dan asas dari semua amalan baik. Dengan memupuk semacam perbalahan dan permusuhan terhadap auliya-auliya (orang-orang yang dikasihi) Allah, dia sebenarnya sedang meragui betapa luasnya kasih sayang Ilahi.
Satu peristiwa yang menyokong kebenaran ini: Salah seorang bekas sahabat saya mempunyai permusuhan yang telah dipupuk terhadap seseorang. Ketika amal soleh dan kewalian musuhnya itu dikagumi di hadapannya, dia tidak cemburu atau marah. Kemudian, apabila dikatakan kepadanya, "Musuhmu itu berani dan kuat." Kami melihat urat rasa cemburu dan permusuhan tiba-tiba muncul pada lelaki itu. Kami berkata kepadanya: “Kewalian dan amal soleh adalah kekuasaan dan kemuliaan seumpama intan permata untuk hidup kekal abadi, namun kamu tidak cemburu padanya. Walaupun, kekuasaan duniawi dapat dijumpai pada lembu jantan, dan keberanian pada binatang buas; jika dibandingkan dengan kewalian dan amal soleh, haiwan-haiwan ini adalah umpama sekeping kaca jika dibandingkan dengan intan permata." Lelaki itu menjawab: “Kami berdua telah memusatkan perhatian kami terhadap dunia ini pada satu objek. Langkah-langkah yang membawa kepadanya diberikan oleh perkara-perkara seperti keberanian dan kekuatan. Atas sebab inilah saya cemburu kepadanya. Objek dan tempat-tempat di akhirat adalah tidak terhad bilangannya. Walaupun dia adalah musuh saya di sini, di sana dia boleh menjadi saudara saya yang tersayang dan intim."
Wahai ahli-ahli hakikat dan tarekat! Perkhidmatan untuk perkara-perkara hak adalah seperti membawa dan memelihara harta yang besar dan berat. Mereka yang memikul amanah itu di bahu mereka akan gembira dan bersyukur setiap kali tangan-tangan yang kuat membantu mereka. Jauh dari menjadi cemburu, seseorang harus dengan bangga memuji kekuatan, keberkesanan dan kemampuan dari mereka yang mempunyai cinta sejati tampil untuk menghulurkan bantuan. Mengapakah melihat saudaramu yang sebenarnya dan pembantu-pembantu yang sanggup mengorbankan diri dalam suasana permusuhan, dengan itu keikhlasanmu akan hilang? Anda akan terdedah kepada tuduhan-tuduhan yang menakutkan dari mata ahli-ahli dhalalah, seperti mengejar kepentingan duniawi melalui agama, dengan menjana pendapatan dari ilmu-ilmu hakikat dan bersaing terhadap orang lain dengan keserakahan dan ketamakan walaupun ia adalah sesuatu yang seratus kali lebih rendah daripada kedudukan dan keimanan anda.
Satu-satunya ubat untuk penyakit ini adalah dengan menuduh diri anda sendiri sebelum orang lain membangkitkan tuduhan-tuduhan mereka, dan sentiasa memihak kepada rakan anda, bukan diri anda sendiri. Adab yang benar dan keadilan yang dibentuk oleh para sarjana seni perbahasan adalah: "Sesiapa pun yang berhasrat dalam perbahasan mengenai apa-apa perkara bahawa kata-katanya sendiri yang sepatutnya menjadi benar, bergembira bahawa dia ternyata benar dan musuhnya menjadi salah dan tersilap, maka orang seperti itu telah bertindak tidak adil." Bukan hanya itu, orang seperti itu kalah, kerana ketika dia muncul sebagai pemenang dalam perbahasannya itu, dia tidak akan belajar apa-apa sebelumnya yang tidak diketahui olehnya, dan kemungkinan kebanggaannya akan menyebabkan dia mengalami kekalahan. Tetapi jika lawannya menjadi betul, dia akan mengetahui sesuatu yang sebelumnya tidak diketahui olehnya dan dengan itu memperoleh sesuatu tanpa kerugian, dan juga diselamatkan dari kebanggaan. Dengan kata lain, sesiapa yang adil dalam urusannya dan cenderung akan yang hak akan menundukkan keinginan jiwanya sendiri untuk menuntut apa yang hak. Sekiranya dia melihat lawannya betul, dia akan menerimanya dengan rela hati dan menyokongnya dengan senang hati. Berikutnya ahli-ahli agama, ahli-ahli hak, ahli-ahli tarekat, dan ahli-ahli ilmu mengambil prinsip ini sebagai panduan mereka, mereka akan mencapai keikhlasan, dan akan mendapat kejayaan dalam tugas-tugas yang mempersiapkan mereka untuk akhirat. Melalui rahmat Ilahi, mereka akan dibebaskan dari kesengsaraan dan musibah yang mengerikan ini yang dengannya kini mereka sedang menderita. Maha Suci Engkau! Kami tidak mempunyai pengetahuan melainkan apa yang telah Engkau ajarkan;
سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَۤا اِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا اِنَّكَ اَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui, Maha Bijaksana. (al-Baqarah:ayat 32)
Terjemahan:
Khairul Anuar Mohd. Nayan, Pengerusi, Persatuan Kebudayaan Malaysia Turki.
Nota kaki:
(10) Antara organisasi yang paling kuat dan berkesan di Barat ialah Pertubuhan Hak Asasi dan Kebebasan Wanita di Amerika Syarikat, walaupun wanita disebut sebagai mereka dari kalangan yang sederhana dan lemah. Begitu juga dengan organisasi orang-orang Armenia, walaupun mereka lemah dan jumlahnya sedikit berbanding dengan orang lain, dengan tingkah laku yang kuat dan pengorbanan diri, memberikan bukti dalam pemerhatian kita ini.
(11) Soalan penting yang diajukan oleh orang yang terkenal: Menurut tradisi lima ratus tahun syurga akan diberikan kepada semua orang di Syurga. Bagaimana kecerdasan akal duniawi dapat memahami kebenaran ini?
Jawapannya: Di dunia ini setiap orang mempunyai dunia peribadinya dan dunia sementaranya yang terhad seluas dunia ini, tonggaknya adalah kehidupnya. Dia memanfaatkan dunianya melalui pancaindera dalaman dan luarannya. Dia berkata kepada dirinya sendiri, "Matahari adalah pelita saya, bintang-bintang adalah lilin saya." Kewujudan makhluk lain dan makhluk bernyawa sama sekali tidak menolak hak miliknya; sebaliknya, mereka mencerahkan dan menerangi dunianya. Dengan cara yang sama, walaupun berada di dataran yang jauh lebih tinggi, selain taman masing-masing bagi mereka yang beriman yang berisi ribuan istana dan bidadari, terdapat syurga peribadi lima ratus tahun untuk semua orang, selain dari syurga umum. Dia akan mendapat keuntungan dari syurga yang berkekalan miliknya melalui deria dan perasaannya, mengikut tahap perkembangan yang telah dicapainya. Hakikat bahawa orang lain berkongsi dalam syurga yang umum yang sama, sama sekali tidak mencederakan milik atau ganjarannya, tetapi sebaliknya menguatkannya, dan menghiasi syurga yang luas. Manusia di dunia ini mendapat faedah dari kebun yang dilawati selama satu jam, tontonan yang menakjubkan yang berlangsung selama sehari, negara yang didiaminya selama sebulan dan perjalanan yang berlangsung selama setahun, dengan mulut, telinganya, matanya, rasa dan semua deria yang lain. Begitu juga, di alam yang kekal abadi, deria bau dan sentuhannya, yang di dunia sementara ini hampir tidak mendapat keuntungan dari kebun yang dilawati selama satu jam, akan mendapat keuntungan seolah-olah dari kebun yang dilawatinya selama setahun. Rasa penglihatan dan pendengaran yang di sini hampir tidak mendapat keuntungan dari lawatan yang berlangsung selama setahun, akan mendapat manfaat daripada lawatan lima ratus tahun dengan cara yang sesuai dengan alam yang kekal abadi itu, dihiasi dari hujung ke hujung. Setiap orang yang beriman akan mendapat keuntungan sesuai dengan peringkat rohani, dan keuntungan, kegembiraan dan kesenangan melalui pancainderanya yang akan berkembang sehubungan dengan pahala yang dimilikinya di dunia ini dan perbuatan baik yang telah dilakukannya.
Terjemahan:
Khairul Anuar Mohd. Nayan, Pengerusi, Persatuan Kebudayaan Malaysia Turki.
Notakaki:
(9) Telah dicatatkan dalam hadis-hadis Nabi yang sahih bahawa pada akhir zaman orang-orang yang soleh di kalangan orang-orang Kristian akan bersatu dengan umat al-Quran dan memerangi musuh bersama mereka, iaitu orang-orang atheis. Dan pada masa ini juga, umat Islam dan hak perlu bersatu dengan ikhlas bukan hanya dengan saudara-saudara mereka yang beriman, tetapi juga dengan saudara-saudara mereka yang baik dan dari kalangan orang-orang Kristian, dengan mengelakkan perbincangan dan perdebatan mengenai perbezaan mereka untuk memerangi musuh bersama iaitu ateisme yang agresif.

oleh:
Badiuzzaman Said Nursi, Lamaat ke 20, daripada kitab al-Lamaat

Sumber:
Terjemahan oleh Khairul Anuar Mohd. Nayan, Pengerusi, Persatuan Kebudayaan Malaysia Turki.
Notakaki:
(1) Mereka yang hanya melihat akan kehidupan dunia ini dan tidak melihat akan kehidupan akhiratnya.
(2) Ingatan: Perlu diketauhi bahawa perhatian manusia tidak boleh dituntut, tetapi hanya diberikan. Jika ia diberikan, seseorang itu tidak sepatutnya bergembira. Jika seseorang itu bergembira dengannya, keikhlasannya akan hilang dan kemunafikan akan mengambil tempatnya. Perhatian manusia, jika diiringi oleh keinginan untuk penghormatan dan kemasyhuran, bukanlah satu anugerah atau hadiah, tetapi suatu teguran dan hukuman kerana kurangnya keikhlasan. Perhatian manusia, kehormatan dan kemasyhuran seperti itu, mencederakan keikhlasan yang merupakan sumber kekuatan kehidupan untuk semua perbuatan baik, dan walaupun ia memberikan sedikit kesenangan sehingga ke pintu kubur, di sebalik pintu kubur itu ia mengambil bentuk suatu azab seksaan. Oleh itu, kita tidak sepatutnya menginginkan perhatian manusia, tetapi melarikan diri dan menghindar darinya. Berwaspadalah mereka yang menyembah kemasyhuran dan mengejar kehormatan dan pangkat! Tiada suatu pun harus dituntut hasil daripada khidmat keagamaan yang diberikan agar keikhlasan tidak menjadi sia-sia. Meskipun ummat Islam bertanggungjawab untuk menjamin kesempurnaan kehidupan ahli agama dan mereka pun berhak untuk mendapat bahagian daripada harta zakat, namun mereka tidak tergamak untuk meminta-minta sesuatu daripada manusia. Bahkan kadang-kadang ketika diberikan pelbagai jenis hadiah, mereka tidak mengambilnya. Apa yang lebih utama ialah mementingkan golongan yang lebih berhak untuk memperolehinya daripada mementingkan keinginan hawa nafsu sendiri. Apa yang lebih penting juga ialah redha terhadap pembahagian rezki yang dikurniakan oleh Allah dan berpada dengan apa yang ada agar mendapat pujian Allah SWT seperti di dalam al-Quran sebagaimananya firman-Nya yang bermaksud: “Dan mereka mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat.”- (al-Hasyir: 9). Dalam keadaan ini sahajalah, seseorang telah berjaya memperolehi keikhlasan sejati dan menyelamatkan dirinya daripada kemusnahan yang dahsyat.
(3) Sifat al-ithar (mementingkan orang lain) yang dipraktikkan oleh para sahabat (r.a.) dan menyebabkan mereka mendapat pujian daripada Allah seharusnya dijadikan sebagai guru dan penunjuk jalan kepada kita. Iaitu dengan mengutamakan orang lain daripada diri sendiri ketika menerima hadiah dan sedekah dan tidak menerima sesuatu hasil daripada sebarang khidmat keagamaan yang diberikan, bahkan seseorang itu tidak boleh menuntutnya walau pun hanya di dalam hatinya sahaja. Jika dia tetap menerima sesuatu, maka hendaklah dia menganggapnya sebagai pemberian Ilahi semata-mata agar dia tidak berterusan berada dalam keadaan merasa terhutang budi kepada manusia.
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan