KALIMAH "ALLAH", OTORITI DAN KEBENARAN MUTLAK

 

KALIMAH "ALLAH", OTORITI DAN KEBENARAN MUTLAK
Sungguhpun di dalam al-Qur'an ada menyebutkan bahawa apabila ditanyakan kepada mushrikin "siapakah yang menciptakan langit dan bumi" , dan dalam ayat yang lain "siapakah yang mentadbir alam", maka pasti mereka menjawab "Allah".
Akan tetapi, semua ayat-ayat yang seumpama itu adalah ayat-ayat Makki iaitu fasa dimana Rasulullah ﷺ masih berada di Mekah yakni ketika otoriti kekuasaan masih belum ada di tangan Baginda. Kalimah "Allah" sudah memang digunakan oleh orang Arab Jahiliah kerana mereka semua adalah berketurunan Nabi Isma‘il bin Nabi Ibrahim as. Sememangnya masih tersisa ajaran-ajaran Nabi Ibrahim pada pengamalan orang-orang Arab Jahiliah. Manakala Nabi Isma‘il as adalah merupakan manusia pertama yang berbicara dengan bahasa Arab yang fasih.
Namun, setelah Rasulullah ﷺ berpindah ke Madinah dan Baginda telah memegang otoriti pemerintahan, maka selepas berlakunya Pembukaan Kota Mekah (Fath al-Makkah) yang mana seluruh Mekah telah berada di bawah kepimpinan Baginda ﷺ, Allah Ta'ala menurunkan ayat al-Qur'an di mana Dia sendiri tidak mengizinkan NamaNya disebut dalam Kota Mekah oleh golongan mushrikin. Yakni dengan cara Allah tidak mengizinkan orang mushrikin untuk terus tinggal di bumi Mekah.
Ayat al-Quran yang dimaksudkan adalah di awal Surah al-Tawbah:
بَرَآءَةٌ مِّنَ اللّٰهِ وَرَسُوْلِهٖۤ اِلَى الَّذِيْنَ عَاهَدْتُّمْ مِّنَ الْمُشْرِكِيْنَ ۗ
فَسِيْحُوْا فِى الْاَ رْضِ اَرْبَعَةَ اَشْهُرٍ وَّا عْلَمُوْۤا اَنَّكُمْ غَيْرُ مُعْجِزِى اللّٰهِ ۙ وَاَ نَّ اللّٰهَ مُخْزِى الْكٰفِرِيْنَ
وَاَ ذَا نٌ مِّنَ اللّٰهِ وَرَسُوْلِهٖۤ اِلَى النَّا سِ يَوْمَ الْحَجِّ الْاَ كْبَرِ اَنَّ اللّٰهَ بَرِيْٓءٌ مِّنَ الْمُشْرِكِيْنَ ۙ وَ رَسُوْلُهٗ ۗ فَاِ نْ تُبْتُمْ فَهُوَ خَيْرٌ لَّـكُمْ ۚ وَاِ نْ تَوَلَّيْتُمْ فَا عْلَمُوْۤا اَنَّكُمْ غَيْرُ مُعْجِزِى اللّٰهِ ۗ وَبَشِّرِ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا بِعَذَا بٍ اَ لِيْمٍ ۙ
(Ini adalah) pembebasan tanggungjawab perjanjian dari Allah dan RasulNya terhadap kaum kafir mushrik yang kamu mengikat perjanjian setia (dengan mereka). Oleh itu hendaklah kamu (hai kaum mushrik) bergerak di muka bumi (dengan bebasnya) selama empat bulan, dan ketahuilah bahawa kamu tidak terlepas dari (azab seksa) Allah. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah akan menghina orang-orang yang kafir (dengan bala bencana di dunia dan azab seksa di akhirat)."
Dan inilah perisytiharan dari Allah dan RasulNya kepada umat manusia, (yang diisytiharkan) pada Hari Raya Haji yang terbesar, bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya memutuskan tanggungjawab terhadap orang-orang mushrik; oleh itu jika kamu (wahai kaum mushrik) bertaubat (dari kufur) maka yang demikian adalah baik bagi kamu; dan jika kamu berpaling (ingkar), maka ketahuilah sesungguhnya kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari Allah. Dan khabarkanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan ditimpakan) dengan azab yang tidak terperi sakitnya". (Al-Taubah:1-3)
Ayat al-Qur'an diatas yang merupakan Ayat Madani menyatakan dengan tegas bahawa selepas peristiwa Pembukaan Kota Mekah yang berlaku pada tahun ke-8 Hijrah, para mushrikin diberi tempoh masa 4 bulan untuk meninggalkan kesyirikan dan beriman hanya kepada Keesaan Allah. Seandainya mereka tidak mahu beriman kepada Allah yang Maha Esa, mereka hendaklah keluar dari Kota Mekah bagi mencari tempat tinggal di negeri lain. Demikian adalah kerana bumi Mekah disucikan Allah sehingga hanya orang yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya sahaja yang diizinkan masuk kedalamnya. Sejarah telah menyaksikan bahawa berbondong-bondong penduduk Mekah terutamanya Quraisy telah masuk Islam pada peristiwa tersebut.
Firman Allah lagi:
يٰۤاَ يُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْۤا اِنَّمَا الْمُشْرِكُوْنَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَـرَا مَ بَعْدَ عَا مِهِمْ هٰذَا ۚ وَ اِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيْكُمُ اللّٰهُ مِنْ فَضْلِهٖۤ اِنْ شَآءَ ۗ اِنَّ اللّٰهَ عَلِيْمٌ حَكِيْمٌ
"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir mushrik itu adalah najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haram sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Al-Taubah:28)
Ayat diatas adalah wahyu yang diturunkan Allah sebagai penegasan kepada perkara yang perlu dijunjung dgn teguh yang menjadi hak orang Islam yang memegang otoriti untuk menyekat sebarang bentuk kesyirikan untuk masuk ke dalam Masjidil Haram. Seandainya demikian itu perintah Allah terhadap kesucian Masjidil Haram, sudah tentu kesucian nama Allah adalah terlebih berhak untuk dijunjung.
Rasulullah ﷺ bersabda pada Haji Wada':
أيها الناس إن الشيطان قد يئس أن يعبد في أرضكم هذه
Wahai manusia! Syaitan telah berputus asa untuk disembah (yakni berhala dan kesyirikan) di tanah kalian ini (Mekah).
Sejak dari itu, kalimah "Allah" telah disebut di Mekah oleh orang-orang yang memahami lafaz tersebut dengan konteks ketuhanan yang benar.
Demikian itu jugalah pengalaman sejarah di Alam Melayu dimana sejak dari awal Islam mula datang rantau ini yang mana orang Islam adalah pemegang otoriti pemerintahan, kalimah "Allah" telah pun difahami dengan kefahamannya yang tepat menurut pandangan alam Islam (Worldview of Islam) yang telah suci dari sebarang makna kesyirikan. Tugas pemerintah sebagai Ketua Agama di rantau Melayu adalah sentiasa melindungi segala hak berkaitan kesucian agama Islam dari dicemari kefahamannya dari segala bentuk penyelewengan.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan nama Allah digunakan secara rasmi oleh orang bukan Islam. Pokok masalah bukanlah terletak pada sekadar menyebutkan kalimah Allah yang ia boleh saja diucapkan oleh siapa sahaja, akan tetapi, permasalahannya ialah pada pengesahan otoriti untuk membenarkan "hak penggunaan" nya secara rasmi oleh orang bukan Islam. Terdapat jurang perbezaan yang nyata antara "menyebutnya" dan "hak menggunakannya".
Sebagai contoh di Malaysia, orang bukan Islam dibenarkan bebas menganut apa sahaja agama yang mereka inginkan, tetapi adakah sepatutnya mereka diberikan hak untuk menggunakan nama "Islam" bagi agama mereka dengan beralasankan maksud kalimah Islam adalah "menyerah diri" . Oleh itu, mereka juga ingin menggunakannya kerana mereka mendakwa mereka juga adalah orang yang menyerah diri kepada Tuhan.
Tambahan pula, kelompok dari orang bukan Islam yang ingin menamakan diri mereka sebagai orang Islam sudah pun wujud pada ketika ini. Maka tidak mustahil sedikit masa lagi, mereka juga ingin menuntut hak yang sama untuk menggunakan kalimah "Islam" secara rasmi untuk diri mereka.
Jika kita tidak rela untuk memberi hak menggunakan kalimah Islam bagi merujuk agama selain Islam, adakah kalimah "Allah" yang merupakan nama khas bagi Tuhan yang berhak disembah yang NamaNya adalah semula-mulia dan setinggi-tinggi Nama, dengan semudahnya rela diberikan hak penggunaannya bagi merujuk kepada Tuhan yang bukan sebagaimana difahami oleh orang Islam sebagai Tuhan? Sudah pasti tidak!
Setiap istilah kunci Islam yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditafsirkan menurut kacamata yang benar menurut neraca kefahaman Islam yang tepat. Demikian adalah kerana Perkara 3 (1) yang menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan, memberi makna bahawa seluruh Perlembagaan Persekutuan telah di syahadahkan. Seandainya Perlembagaan Persekutuan itu diumpamakan sebagai seorang individu, maka agama individu tersebut adalah beragama Islam. Dan sebagai individu Islam, sudah tentu dia terikat dengan segala hukum-hakam dalam Islam.
Apabila Yang Dipertuan Agong mengangkat sumpah dengan nama Allah ketika pertabalannya, maka sudah tentu nama Allah yang dimaksudkan disitu adalah merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa, tidak beranak, tidak diperanakkan dan tiada sekutu bagiNya.
Istilah-istilah kunci seperti kalimah Allah, Ka'bah, Baitullah dan Islam adalah merupakan kebenaran mutlak (absolute truth) yang wajib dipertahankan prinsipnya dengan kukuh, lebih-lebih lagi oleh pihak berotoriti dalam negara umat Islam yang roh Perlembagaannya adalah Islam dan sumpah pertabalan YDPA-nya adalah dengan nama Allah.
Isu kalimah "Allah" ini jika tidak diselesaikan dengan segera, akan menyebabkan kekeliruan Aqidah yang merbahaya kepada pemikiran umat Islam di negara ini. Sekaligus akan membuka pintu yang luas kepada kelompok liberal dan pluralis yang dapat menggunakan kesempatan ini bagai menangguk di air keruh untuk menyebarkan kepincangan pemikiran mereka dikalangan masyarakat.
Kita amat berharap agar Majlis Raja-Raja Melayu berkenan untuk masuk campur tangan dalam hal yang sangat menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini yang dikhuatiri dapat mengganggu ketenteraman awam dalam tempoh yang berpanjangan.
Iqbal Zain al-Jauhari
Penasihat Gabungan NGO Mi'raj (Melayu Islam Raja)
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan