Memahami Allah wujud tidak bertempat
Allah Tidak Bertempat, Tidak Menempati, Tidak ditempati. Tidak berpenjuru. Maka:
- Jika anda menghadap arah ka'bah atau masjidil haram, itu arah kiblatnya solat.
- Jika anda berdoa menengadah, itu qiblatnya doa.
- Ruku' sujud ke arah tanah, bawah itu kiblatnya rukuk dan sujud.
Qiblat bukan arahnya Allah. Tangan menengadah ke atas, bukan Allah di atas. Rukuk dan sujud ke bawah, bukan Allah bawah atau di tanah.
Arah itu makhluk. Bukan Khalik. Diciptakan oleh Allah diperuntukkan kepada manusia. Atas segala hal yang diatas kepala. Bawah segala hal yang dibawah kaki.
Allah ituTuhan Yang Maha Esa
DALAM ruangan ini, suka saya ingin menjelaskan berkenaan pemahaman Allah wujud tidak bertempat berdasarkan kepada dalil-dalil supaya masyarakat kita hari ini tidak mudah terkeliru dengan sesuatu ucapan yang meletakkan sifat yang tidak layak buat Allah SWT. Ini termasuk dakwaan segelintir pihak bahawa Allah SWT 'istiwa' di Arasy dengan mentakwilkan bahawa 'Allah bersemayam di Arasy.'
Untuk memahami juzuk ilmu ini, kita perlu fahami terlebih dahulu tentang pembahagian jisim. Secara khususnya, jisim terbahagi kepada dua iaitu Jisim Al-Kasif dan Jisim Al-Lathif.
Tentunya ada masyarakat kita yang tertanya-tanya tentang dua istilah berkenaan. Jisim Al-Kasif ialah apa yang dapat dipegang dengan tangan dan memenuhi ruang atau tempat.
Contoh paling mudah untuk jisim yang memenuhi istilah ini adalah manusia, batu, kayu dan sebarang objek yang memenuhi prinsip apabila dipegang oleh tangan, ia memenuhi ruang dan tempat.
Merujuk kepada Jisim Al-Lathif pula ia adalah apa yang tidak boleh dipegang dengan tangan dan juga memenuhi ruang serta tempat. Contoh kepada jisim ini adalah udara, cahaya, malaikat dan sebarang ciptaan yang tidak mampu untuk dipegang oleh tangan fizikal manusia.
Jelas, kedua-dua jisim ini mempunyai sifat yang sama iaitu Jisim Al-Kasif dan Jisim Al-Lathif memerlukan tempat iaitu sesuatu untuk memenuhi ruang. Buktinya, manusia sebagai Jisim Al-Kasif dan udara mewakili Jisim Al-Lathif menempati sesuatu ruang. Manusia berpindah daripada suatu tempat ke suatu tempat iaitu daripada rahim ibu ke alam dunia dan bakal berpindah ke alam kubur. Udara yang memenuhi ruang belon itu akan mengakibatkan belon pecah jika semakin kuat tekanannya dan udara berbindah keluar daripada belon berkenaan.
Bagaimana pula maksud di sebalik al-Makan atau tempat atau ruang yang diisi oleh suatu jisim. Semua jisim sama ada al-Kasif dan al-Lathif memerlukan kepada tempat dan kedua-duanya berhajat kepada prinsip berkenaan. Sama seperti manusia dan udara berhajat kepada tempat.
Natijah pertama daripada perbahasan ini adalah semua jisim berhajat kepada suatu tempat dan timbul pula persoalan apakah Allah SWT itu suatu jisim?
Berkata Imam Ahmad bin Hanbal: "Sesiapa berkata Allah itu jisim, tetapi tidak seperti jisim-jisim lain maka ia telah kafir." (Dinaqalkan oleh Imam Badruddin Al-Zarkasyi)
Mengapa kufur jika berkata demikian? Ini kerana jisim itu sendiri menunjukkan ia adalah makhluk sama ada Jisim Al-Kasif atau Jisim Al-Lathif, kedua-dua adalah menepati sifat makhluk sedangkan Allah SWT berfirman: "Tiada sesuatu pun sama seperti-Nya (Allah)." (Surah Asy-Syura, ayat 11).
Hikmah kepada perbahasan ini menunjukkan bahawa Allah wujud tidak bertempat dan ia selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diperakui oleh seluruh sahabat Nabi,imam-imam serta ulama-ulama muktabar sepanjang zaman.
Untuk memahami Allah SWT tidak terikat kepada masa dan perubahan, pembaca harus melihat kepada ringkasan penulis berikut untuk memberi gambaran yang lebih jelas.
1) Kita sudah memahami Allah tidak bertempat. Hanya makhluk dan segala jisim sahaja bertempat.
2) Seterusnya kita akan bincangkan mengenai penafian keterikatan masa dan perubahan ke atas Allah. Untuk mudah faham maka kita baca dalam bentuk soal jawab.
3) Adakah setiap yang bertempat pasti dilalui masa?
Ya benar.
4) Apakah bukti Jisim Al-Kasif (manusia) terikat dengan masa?
Bukti: Manusia senantiasa berpindah tempat daripada alam rahim ke alam dunia.
Setiap tempat ada masanya tersendiri:
Alam rahim: 9 bulan 10 hari
Alam dunia: 1 hari bersamaan 365 hari
Kesimpulannya, walau di mana pun manusia atau Jisim Al-Kasif itu pasti terikat dengan masa.
5) Apakah bukti Jisim Al-Lathif (udara) terikat dengan masa?
Bukti: Udara mengambil masa tertentu untuk mengisi sesuatu belon. Juga memerlukan masa tertentu untuk keluar daripada belon.
Masa yang diambil oleh udara tersebut membuktikan udara terikat dengan masa.
6) Apakah persamaan keduanya?
Jisim Al-Kasif dan Jisim Al-Lathif bertempat, terikat dengan masa dan mengalami perubahan.
7) Apakah bukti Jisim Al-Kasif (manusia) mengalami perubahan?
Manusia terjadi daripada persenyawaan, berubah kepada zigot, embrio, fetus dan seterusnya sehingga cukup 9 bulan 10 hari.
Setelah dilahirkan manusia mengalami perubahan bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua.
Natijah perubahan ini adalah manusia akan mati. Dan membuktikan Allah menjadikan dan mematikan manusia. Manusia tidak layak mengaku sebagai tuhan.
8) Apakah bukti Jisim Al-Lathif (udara) mengalami perubahan?
Udara juga mengalami perubahan samada sejuk atau panas, kuat atau perlahan.
Perubahan tekanan udara akan menghasilkan puting beliung, ribut dan hujan lebat.
Ini bukti Jisim Al-Lathif seperti udara juga berubah-ubah.
9) Apakah berubah-ubah itu?
Imam Sanusi menyebut: "Alam (makhluk) itu berubah-ubah, dan setiap yang berubah-ubah adalah baharu (dijadikan)."
Setiap makhluk berubah-ubah kerana ada yang mengubahnya iaitu Allah. Makhluk itu baharu (dijadikan) kerana Allah Al-Qadim yang menjadikan makhluk.
10) Apakah dalil aqli Allah tidak berubah-ubah?
Setiap yang berubah-ubah itu baharu (dijadikan). Sedangkan, Allah bersifat Al-Qadim yakni tiada permulaan & tiada yang menjadikan Allah. Maka Allah tidak berubah-ubah.
11) Apakah dalil lagi?
Perubahan menatijahkan kematian seperti manusia, jin dan malaikat akan mati. Sedangkan Allah bersifat Al-Baqa' (kekal dan tidak akan binasa). Maka Allah tidak boleh disifatkan dengan berubah-ubah.
12) Apa pula dalil naqli Allah tidak bertempat, tidak bermasa dan tidak berubah-ubah?
Hadis Nabi shalallahu alaihi wasallam: "Allah ada azali sedangkan tiada sesuatu selain Allah" (HR Bukhari)
13) Apakah kefahaman daripada hadis di atas?
Imam Ibnu Hajar ketika mensyarahkan hadis di atas menyatakan: "Maksud dengan كان yang pertama ialah azali." (Fath Al-Bari, 6/334)
Allah azali, tiada yang menjadikan Allah bermaksud Allah tidak berubah daripada tiada kepada ada. Sedangkan makhluk berubah-ubah daripada tiada kepada ada.
Nash menyatakan tiada sesuatu wujud selain Allah. Maka pada ketika itu, tiada masa, tiada tempat, tiada Arasy, tiada Kursi dan tiada segala makhluk. Maka jelaslah Allah tidak bertempat dan tidak bermasa. Setelah Allah ciptakan tempat, Allah tetap tidak bertempat dan tidak bermasa kerana Allah tidak berubah-ubah.
Berdasarkan kefahaman yang lepas maka jelaslah Allah tidak berubah-ubah.
Secara lansung, ternafi juga ke atas Allah kaifiyyat. Kerana kaifiyyat bermaksud perubahan daripada sesuatu kepada sesuatu.
Maka benarlah kata Imam Al-Khattabi: "Kaifiyyat ke atas Allah dan sifat-Nya ternafi (tiada)." (Ma'alim As-Sunan, 4/328)
Samalah juga dengan kata Imam Malik: "Dan kaifiyyat ke atas-Nya marfu' (tiada)." (Al-Asma' Wal Sifat, hal.408)
Oleh itu, fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah Allah wujud tidak bertempat, tidak dilalui masa, tidak berarah, tidak berjisim dan Allah Maha Suci daripada segala sifat makhluk.
Penulis adalah Setiausaha Muzakarah Hadis dan Syariat (Muhadis) Ustaz Hafiz Za’farani
Allah Tidak Bertempat, Tidak Menempati, Tidak ditempati. Tidak berpenjuru. Maka:
- Jika anda menghadap arah ka'bah atau masjidil haram, itu arah kiblatnya solat.
- Jika anda berdoa menengadah, itu qiblatnya doa.
- Ruku' sujud ke arah tanah, bawah itu kiblatnya rukuk dan sujud.
Qiblat bukan arahnya Allah. Tangan menengadah ke atas, bukan Allah di atas. Rukuk dan sujud ke bawah, bukan Allah bawah atau di tanah.
Arah itu makhluk. Bukan Khalik. Diciptakan oleh Allah diperuntukkan kepada manusia. Atas segala hal yang diatas kepala. Bawah segala hal yang dibawah kaki.
Allah ituTuhan Yang Maha Esa
0 comments:
Catat Ulasan