SIFAT 20, TAUHID DAN TASAWWUF*
Al-Imam Sanusi al-Hasani, pengarang kitab Akidah/Tauhid ASWJ yang termasyur.
(Salasilah atau Sanad perguruan saya, daripada Arwah Guru saya sampai kepada al-Imam Sanusi al-Hasani dan sampai kepada al-Imam Abu Hassan al-Asy'ari)
* Beberapa kesimpulan fahaman penting yang perlu dijelaskan ialah;
1) Sifat 20 adalah salah satu method sistematik susunan Imam Sanusi dan Para Ulama’ Ahlul Sunnah Wal Jamaah untuk mencapai Makrifatullah (Mengenal Allah).
Pelajaran Sifat 20 masyhur ia dipelajari secara majoriti sejak berkurun lamanya bukan sahaja di Nusantara bahkan di Timur Tengah. Maka berada didalam jalan yang ramai adalah lebih selamat tanpa menafikan kemungkinan ada kaedah lain. Kita mesti mengelak bersikap mudah menyesatkan sekiranya ada kaedah-kaedah lain yang boleh mencapai maksud yang sama.
2) Pelajaran Sifat 20 bukanlah menghadkan Sifat Allah kepada 20 sahaja sebagaimana setengah dakwaan. Tiada Para Ulama’ yang mengarang ilmu ini menulis ‘Allah hanya ada 20 Sifat’.
Cuma, ia Sifat-Sifat yang Wajib diketahui oleh mukallaf adapun Sifat-Sifat Allah swt sangatlah banyak dan tidak diketahui hadnya. Kita Wajib iktiqad secara umum (ijmal) bahawa Allah swt mempunyai segala sifat kesempurnaan yang tidak terhingga.
Hanya Allah swt yang mengetahui akan Dia. Demikian juga bila kita belajar empat Sifat Para Rasul. Bukanlah Para Rasul hanya Bersifat Amanah, Tabligh, Fathonah dan Siddiq. Cuma empat bilangan Sifat ini adalah yang Wajib diketahui adapun Sifat-Sifat Kemuliaan Para Rasul teramatlah banyak.
3) Sifat 20 yang kita pelajari didalam Kitab Tauhid mempunyai Dalil Naqli (Al Quran dan Hadis) dan dikuatkan pula dengan hujahan Dalil Aqli (Hujahan Akal) agar sejahtera Hati dan Akal mengakui dan mengimani Sifat-Sifat Allah swt.
Sebagai contoh, dia mengakui Sifat Wujud Allah, tapi akalnya bermain syak wasangka, maka Hujahan Akal mensejahterakan Akal mereka. Dalil Nas dan Hujahan Akal yang berkaedah mantiqi menawarkan jawapan yang kukuh serta jazam.
4) Mengatakan belajar Sifat 20 adalah payah dan menyusahkan orang adalah tidak adil dan tidak patut kerana setiap subjek dipelajari mengikut tertib kitabnya.
Kalau mengaji Sifat 20 terus buka kitab Syarah Jauharah, Syarah Hud Hudi atau Syarah Taftazani atau kitab-kitab Tauhid yang level pertengahan dan tinggi, memanglah tidak boleh difahami. Perbahasan dalam kitab-kitab tinggi bukan fardhu ain, ia suatu tingkatan untuk mereka yang berhajat mendalami furu’-furu’ Akidah untuk menjadi tempat rujukan.
5) Kalau kita mengaji kitab fiqh, terus ambil I’anath Tholibin atau Iqna’ dan semisalnya, kita pasti akan mendakwa fiqh ini sangat susah. Kita akan kepeningan apabila membuka kitab fiqh ‘level’ rujukan mufti, maka bermulalah dari kitab-kitab yang kecil terlebih dahulu.
6) Dari segi perbahasan Tasawwuf, Sifat-Sifat Allah yang kita pelajari bertujuan melahirkan sifat faqir dan kehambaan. Apabila kita belajar bahawa Allah swt itu bersifat Qudrat, maka tahulah kita bahawa kita bersifat lawannya.
Hakikatnya kita ini dhaif dan lemah yang sentiasa berhajat kepada Allah swt. Kita belajar bahawa Allah bersifat Ilmu, maka tahulah kitab bersifat jahil yang sentiasa berharap akan pembukaan dariNya.
7) Lahir perbahasan Istighna dan Iftiqar iaitu simpulan Sifat 20 adalah nak tegaskan bahawasanya Allah swt tidak berhajat kepada sesiapa atau apapun bahkan sebenarnya kita yang berhajat kepada-Nya. Tiada yang terlepas dari keberhajatan.
8) Walau beratus Kitab Tauhid yang dipelajari, namun ia tetap masih dalam Tauhid martabat akal selagi mana tidak sampai ke tahap penyaksiaan atau merasai pada jiwa.
Kita belajar Sifat Qudrat Iradah Allah, memang betul kita belajar namun bagaimana kita ‘merasai dan menyaksi’ serta keyakinan akan Qudrah Iradah Allah.
Dari segi teorinya, kita memang akui tapi dalam hidup kita tidak menyaksikan apa yang berlaku adalah kenyataan Qudrat IradahNya hingga kita menjadi orang yang menyalahkan takdir dan berputus asa dengan Rahmat Allah swt.
9) Oleh kerana itu, disana ada perbahasan Tauhid Ehsan, Tauhid Tasawwuf atau Tauhid Syuhudiah atau Dzauqiah yang menuju ke tahap proses memindahkan maklumat Tauhid di akal kepada jiwa. Maka memerlukan perjalanan penyucian batin dan zikir yang berterusan sehingga sebati dengan darah daging seperti yang tersebut matan Ummu al-Barahin. Ini dibincangkan lebih dalam ilmu sulukiah.
10) Sebagai kesimpulan, orang awam mesti menekankan ilmu Tauhid sekurang-kurangnya tahap asas atau fardhu ain iaitu mengetahui Sifat Wajib, Mustahil dan Harus bagi Allah dan demikian pula kepada sekalian Rasul.
Jika ada masa lebih, ambil cakna dan belajar fahaman-fahaman yang menyimpang seperti Jabariah, Qadariah, Muktazilah, Syiah, Mujassimah, Musyabihah dan Wahabiah Takfiriah. Setelah itu, berlatihlah mengingati Allah swt secara berterusan (Bersalik), dan sebaiknya proses Salik itu dibawah bimbingan Para Murabbi Rohani.
* Kandungan kitab Ummu al-Barahin karangan Imam Sanusi yang masyur dikalangan ASWJ.
Kebiasaan kandung kitab didalam bidang Akidah perbahasan Akidah akan meliputi apa yang terkandung didalam Rukun Iman yang enam.
Namun begitu, kitab kecil ini hanya membincangkan permasalahan Akidah yang berkaitan dengan Ketuhanan dan Kenabian sahaja. Secara kasarnya kitab ini mengandungi empat bahagian utama iaitu;
1) Penjelasan Hukum Akal. Didalam bahagian ini Beliau menjelaskan bahawa ada tiga Hukum Akal iaitu,
a) Al-wujub (Wajib)
b) Al-istihalah (Mustahil)
c) Al-jawaz (Harus)
2) Al-Ilahiyyat. Didalam bahagian ini Imam Sanusi menetapkan dua puluh Sifat yang Wajib dan Mustahil bagi Allah yang Wajib diketahui oleh mukallaf dan satu Sifat yang Harus bagi Allah swt, yang wajib diketahui oleh mukallaf.
3) Al-Nubuwwat. Didalam bahagian ini Imam Sanusi menetapkan hanya tiga Sifat sahaja yang Wajib dan Mustahil dan satu Sifat Harus bagi Rasul yang Wajib atas setiap mukallaf mengetahuinya.
4) Huraian Dua Kalimah al-Syahadah. Didalam bahagian ini Imam Sanusi menghuraikan Dua Kalimah Syahadah berasaskan Sifat-Sifat yang Wajib, Mustahil dan Harus bagi Allah swt dan Rasul. Di sini juga beliau menjelaskan dua Sifat Ketuhanan iaitu,
a) Al-istighna’
b) Al-iftiqar
Dari ulasan ringkas kitab Ummu al-Barahin di atas, dapatlah dirumuskan bahawa walaupun kitab ini adalah sebuah karya Akidah yang kecil, ringkas dan padat, namun isi kandungannya menrangkumi sebahagian besar Asas Akidah Islam iaitu al-ilahiyyat dan al-nubuwwat. Gaya bahasa yang digunakan oleh Imam Sanusi mudah difahami dan ciri ini merupakan antara keistimewaan karya ini. Maka carilah kitab ini untuk mendalami dan memahami Ilmu Tauhid atau Akidah.
* Kata Nasihat;
Simpanlah kitab-kitab Agama Islam atau kitab-kitab ilmu pengetahuan sebanyak mana yang mungkin, untuk kita membaca dan memahami landasan ilmu Allah swt yang begitu luasnya dan juga untuk generasi kita akan datang, sebelum mereka kehausan ilmu Agama Islam atau ilmu pengetahuan agar mereka tidak tersasar atau tersesat dari landasan ilmu Allah swt.
Yang paling penting adalah ilmu Akidah atau Tauhid, kerana dengan seiring maju dan modennya zaman dengan teknologi, mereka akan semakin sukar menemukan Jati Diri mereka, juga ilmu yang benar tentang Kebenaran Allah swt, malahan Ulama' Su' juga bagaikan cendawan yang tumbuh diwaktu hujan. Semuanya akan berubah apabila kemewahan menguasai mata mereka. Jaga-jagalah anak kita jangan sampai jadi Hamba Dunia dan tersesat didalam syurga palsu selamanya, sedangkan kita akan menuju ke Negeri Akhirat yang kekal Abadi (Syurga Allah).
"Didiklah anak cinta akan ilmu akhirat sejak dari kecil. Suka menuntut ilmu, sentiasa inginkan ilmu kerana dengan ilmu itu mampu menjaganya tanpa kita." - Syeh Haqtullah
"Jika kalian mati janganlah kalian meninggalkan harta yang banyak kepada anak-anakmu, kerana anak-anakmu akan menjaga hartanya, tetapi tinggalkanlah mereka ilmu, nescaya ilmu akan menjaga mereka." - Syeh Haqtullah
"Ilmu (agama) itu lebih baik dari harta. Ilmu akan menjagamu, sedangkan harta mesti engkau menjaganya. Harta akan berkurang ketika dinafkahkan, namun ilmu malah bertambah ketika di infakkan."
(Saidina Ali ra)
“Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan dibelakang mereka anak-anak lemah, yang mereka khawatir terhadap (kesejahteraan) mereka.”
(Surah an-Nisa : 9)
Allah swt berfirman;
"Dan mereka berkata: "Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) niscaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala".
(QS. Al-Mulk : 10)
0 comments:
Catat Ulasan