MENGENALI DAN MENDAMPINGI AHLI HAQ (ORANG YANG BENAR)




MENGENALI DAN MENDAMPINGI AHLI HAQ (ORANG YANG BENAR)

Hubungan yang rapat dengan ahlullah (orang yang hampir kepada Allah) dan kerap menghadirkan diri dalam majlis-majlis mereka akan menambah kekuatan agama dan akan menghasilkan kebaikan dan keberkatan.

Rasulullah bersabda :

"Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu perkara yang menguatkan agamamu dan dengannya kamu akan mendapat kebaikan dunia dan akhirat . Hendaklah kamu selalu bersama dengan orang yang mengingati Allah (ahlullah)."

Adalah penting untuk memastikan siapakah sebenarnya ahlullah ? Ahlullah ialah mereka yang mengikut sunah Rasulullah, kerana Allah telah menjadikan kekasihNya Nabi Muhammad sebagai contoh teladan untuk umatnya dan berfirman dalam kitabNya yang suci yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku . Nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah Maha Pengampun Maha Mengasihani."

Oleh itu, orang yang mengikut sunah Rasulullah dengan sempurna maka sebenarnya dialah ahlullah . Setakat mana seseorang itu jauh daripada amalan sunah Rasulullah setakat itu juga dia akan jauh daripada Allah .

Para mufassir menerangkan bahawa orang yang mendakwa mencintai Allah tetapi menentang sunah Rasulullah adalah seorang pendusta, kerana kaedah dan prinsip cinta ialah sesiapa yang dicintai maka rumahnya, dinding-dindingnya, halamannya, tamannya malah haiwan peliharaannya pun turut dicintai .

Seorang pujangga bermadah :

Aku melalui tembok-tembok bandar Laila,
Aku mencium tembok ini dan mencium tembok itu,
Bukan cinta bandar itu yang mengasyikkan hatiku,
Tetapi cinta sidia yang mendiami di bandar itu .

Seorang pujangga lain bermadah :

Kamu menderhakai Allah tetapi
kamu mendakwakan cinta kepadaNya .
Demi Allah, ini adalah perkara yang pelik.
Jika cintamu benar pasti engkau mentaatiNya.
Kerana kekasih patuh kepada yang dikasihinya.

Rasulullah pernah bersabda,"Semua umatku akan memasuki syurga kecuali mereka yang enggan ?" Maka Nabi bersabda,"Sesiapa yang mentaatiku akan memasuki syurga dan sesiapa yang menderhakaiku, merekalah yang enggan." (Dipetik dari kitab Misykat, hadith riwayat Bukhari).

Dalam hadith yang lain Nabi bersabda, "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga keinginannya mengikut agama yang saya bawa." Sungguh menghairankan jika terdapat orang yang melaung-laungkan kesejahteraan Islam dan umatnya tetapi mereka sendiri tidak mentaati Allah dan RasulNya .

Sekiranya dikatakan di hadapan mereka itu bahawa perkara yang mereka lakukan bertentangan dengan sunah dan berlawanan dengan cara Nabi maka kita dianggap seolah-olah telah menikam mereka dengan lembing .

Seorang pujangga berkata :

Sesiapa sahaja yang memilih jalan yang bertentangan dengan jalan pesuruh Allah, tidak mungkin akan sampai ke matlamatnya .

Ringkasnya, selepas dipastikan bahawa seseorang itu termasuk di kalangan ahlullah maka hendaklah kamu mengukuhkan hubungan dengannya, sentiasa menghadirkan diri dalam majlisnya dan mengambil manfaat daripada ilmunya . Amalan ini akan menjadi sebab untuk kemajuan agama dan amalan ini juga adalah perintah Rasulullah .

Dalam sebuah hadith Rasulullah bersabda,"Apabila kamu melalui taman-taman syurga maka hendaklah kamu dapatkan sedikit sebanyak hasilnya." Para sahabat bertanya,"Apakah taman-taman syurga ya Rasulullah?" Baginda menjawab,"Majlis-majlis ilmu." (Dipetik dari kitab at-Targhib, hadith riwayat Tabarani).

Dalam hadith yang lain Nabi bersabda,"Luqman al-Hakim telah menasihati anaknya,'Hai anakku, ambil beratlah untuk duduk dalam majlis-majlis ulama dan dengarilah kata-kata para hukama' kerana sesungguhnya Allah menghidupkan hati-hati yang mati dengan cahaya hikmah sebagaimana Allah menghidupkan bumi yang mati dengan air hujan."(Dipetik dari kitab at-Targhib, hadith riwayat Tabarani) . Hukama' ialah orang yang mahir dalam ilmu agama .

Dalam sebuah hadith yang lain didapati bahawa seseorang telah bertanya kepada Rasulullah,"Siapakah sahabat yang paling baik buat kami?" Nabi bersabda,"Seseorang yang apabila kamu memandangnya kamu akan teringatkan Allah, percakapannya menambahkan ilmumu dan amalannya mengingatkan kamu kepada akhirat."(Dipetik dari kitab at-Targhib, hadith riwayat Abu Ya'ala)

Satu hadith lagi berbunyi,"Sebaik-baik hamba Allah adalah mereka yang apabila dipandang wajahnya akan mengingatkan kamu kepada Allah .

Allah telah berfirman :
"Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar." (at-Taubah : 119)

Para mufassir menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan 'orang yang benar' dalam ayat di atas ialah guru-guru mursyid, kerana sesiapa yang berkhidmat kepada mereka akan maju dan mencapai darjat kerohanian yang tinggi dengan tarbiah dan kekuatan kewalian (kerohanian) yang terdapat pada mereka .

Mafhum daripada nasihat Syaikh Akbar rah."Sekiranya amalan-amalan kamu belum mengikut sunah Nabi maka hendaklah kamu mencari guru mursyid kemudian berkhidmatlah kepada beliau dan tinggallah bersamanya sambil belajar daripadanya serta rundingkanlah segala masalah dunia dan agama kamu dengannya supaya dia dapat membimbing kamu ke arah mendapat keredhaan Allah .

Nabi bersabda,"Mana-mana kumpulan manusia yang duduk mengingati Allah dalam sesuatu majlis maka para malaikat mengerumuni mereka, rahmat meliputi mereka, sakinah turun ke atas mereka dan Allah akan menyebut nama-nama mereka kepada malaikat yang berada di sisiNya .

Bagi hati yang rindu tidak ada nikmat yang lebih besar daripada namanya disebut dalam majlis kekasihnya .

Dalam satu hadith yang lain ada sabdaan Nabi yang berbunyi,"Mana-mana kaum yang berhimpun lalu mengingati Allah sedangkan mereka tidak menghendaki dengan amalan itu kecuali keredhaan Allah maka seorang penyeru akan menyeru mereka dari langit . Bangunlah kamu, keampunan adalah untuk kamu, kejahatan kamu telah ditukarkan kepada kebaikan ."(Dipetik dari kitab at-Targhib, hadith riwayat Ahmad)

Dalam satu hadith yang lain Nabi bersabda,"Tiadalah sesuatu kaum pun yang menghadiri mana-mana majlis dan mereka tidak mengingati Allah dan tidak berselawat ke atas Nabi kecuali penyesalan bagi mereka pada hari kiamat walaupun mereka akan memasuki syurga dengan sebab ganjaran." Antara doa-doa Nabi Daud ialah,"Wahai Allah, sekiranya engkau melihat aku keluar dari majlis ahli zikir dan pergi ke majlis orang yang lalai maka patahkanlah kakiku".

Apabila tiada lagi suara dan rupanya maka lebih baik telingaku menjadi pekak dan mataku menjadi buta .

Hazrat Abu Hurairah berkata,"Majlis-majlis yang mengingati Allah adalah bergemelapan pada pandangan penduduk langit sebagaimana bintang-bintang pada pandangan penduduk bumi." Sekali Hazrat Abu Hurairah telah pergi ke pasar dan berkata kepada orang ramai,"Kamu duduk-duduk sahaja di sini sedangkan harta pusaka Rasulullah sedang dibahagi-bahagikan di masjid." Orang ramai berkejaran ke masjid .

Mereka mendapati tiada suatu benda pun dibahagikan di sama . Mereka kembali dan berkata,"Di sana tidak ada apa-apa pun yang dibahagikan."Hazrat Abu Hurairah bertanya,"Jadi, apa yang sedang berlaku di sana?" Mereka menjawab,"Sebahagian manusia sibuk dengan berzikir dan sebahagian lagi sedang membaca al-Quran." Beliau pun berkata,"Itulah pusaka Rasulullah."

Banyak hadith seumpama ini telah diriwayatkan oleh Imam Ghazali rah. Malah yang mengatasi segala kelebihan itu ialah, Rasulullah sendiri pun diperintahkan oleh Allah untuk menyertai majlis tersebut .

Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah dalam ayat yang bermaksud :

"Dan jadikan dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadat kepada Tuhan pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan janganlah kamu memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana kamu mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah kamu mematuhi orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati (mematuhi pengajaran) Kami serta menurut hawa nafsunya dan tingkah lakunya pula adalah melampaui batas." (Al-Kahfi : 28)

Dalam beberapa hadith diriwayatkan bahawa Nabi sendiri bersyukur kepada Allah dan berkata,"Allah telah membangkitkan di kalangan umatku orang yang aku sendiri disuruh bersabar duduk bersama mereka."

Dalam ayat ini juga terdapat larangan daripada mengikuti mereka yang lalai daripada mengingati Allah, menurut hawa nafsu serta melewati batas .

Oleh itu, mereka yang menjadikan orang kafir dan fasiq sebagai ikutan dalam urusan agama dan dunia serta bermati-matian membela kata-kata dan amalan orang musyrik dan Nasrani hendaklah berfikir arah manakah yang sedang mereka tuju ?

Pujangga farsi bermadah :

Aku takut kamu tidak akan sampai ke Ka'abah wahai badawi
Kerana Jalan yang kamu ikuti menuju ke Turki .

Maksudku hanya untuk memberi nasihat dan telah aku tunaikan .
Aku serahkan kepada Allah dan aku pohon berundur diri .

"Dan tidaklah wajib atas rasul-rasul kecuali menyampaikan" (al-Maidah : 99)

WALLAHU A'LAM

 ( Sumber dari Rahmat Rahman )

Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan