Al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy.
Oleh: Dr. Sulaiman bin Ibrahim al Baruhiy
Nama asalnya ini ialah Ahmad ibn Muhammad ibn ‘Abd al-Karim ibn ‘Ata’ Allah. Laqab atau gelaran beliau ialah Taj al-Din dan kunyah (nama timangan) beliau pula ialah Abu al-Fadl atau Abu al-‘Abbas. Kebanyakan kitab-kitab tarajum hanya menyebut nama beliau secara ringkas sahaja. Hanya Ibn ‘Ajibah yang menyebut nama beliau secara penuh iaitu Abu al-Fadl Ahmad ibn Muhammad ibn ‘Abd al-Karim ibn ‘Abd al-Rahman ibn ‘Abd Allah ibn Ahmad ibn ‘Isa ibn al-Husayn ibn ‘Ata’ Allah.
Penulis buku-buku sejarah menyebut bahawa beliau adalah anak kelahiran bandar Iskandariah, Mesir. Justeru, beliau telah dinisbahkan kepada bandar tersebut sebagai al-Iskandaraniy, al-Sakandariy atau al-Iskandariy. Beliau berasal daripada keturunan Arab puak al-Judhamiy dan bermazhab Malikiy.
Menurut al-Taftazaniy, al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy dilahirkan pada sekitar tahun 658H. Sejarah telah mencatatkan secara ijma‘ bahawa beliau meninggal dunia pada tahun 709H.
Bapa beliau ialah Muhammad ibn ‘Abd al-Karim ibn ‘Ata’ Allah. Bapa beliau telah hidup sezaman dengan al-Syaykh Abu al-Hasan al-Syadhiliy (w656H), pengasas tarekat al-Syadhiliyah. Hal ini dapat difahami dari petikan yang ditulis sendiri oleh al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy dalam karyanya Lata’if al-Minan di mana beliau menyatakan bahawa bapanya memberitahunya bahawa dia pernah menemui al-Syaykh Abu al-Hasan al-Syadhiliy (q.s.r.).
Al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy telah melalui suatu proses pembelajaran yang panjang menerusi manhaj pengajian secara bertalaqqi dan berguru. Beliau telah berguru dengan sebilangan besar guru-guru yang masyhur pada zamannya dalam pelbagai bidang.
Antara guru-guru beliau ialah al-Faqih Nasir al-Din Ibn al-Munir al-Jarawiy al-Judhamiy al-Iskandariy (w683H), seorang imam yang handal dalam fiqh dan Bahasa Arab serta merupakan ‘allamah al-Iskandariyyah pada zamannya dan meninggal dunia di Iskandariah pada tahun 683H, yang menerajui Madrasah al-Malikiyyah. Beliau adalah seorang yang sangat alim di Iskandariah pada zamannya sehingga ‘Izz al-Din Ibn ‘Abd al-Salam (577-660H) menyifatkannya sebagai salah seorang daripada dua orang tokoh ulama kebanggaan Mesir; Ibn al-Munir dan Ibn Daqiq al-‘Id (w702H). Al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy pernah menyebut beberapa kali perihal gurunya Ibn al-Munir itu dalam kitabnya Lata’if al-Minan.
Ibn Hajar al-‘Asqalaniy (773H-852H) ada menyebut bahawa beliau pernah mendengar (sami‘a) daripada al-Syaykh al-Abarquhiy dan belajar ilmu nahw daripada al-Syaykh al-Muhyi al-Mazuniy. Al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy telah meriwayatkan bahawa beliau pernah mempelajari atau mengambil hadith daripada tokoh ini.
Al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy telah mempelajari hadith daripada al-Syaykh al-Imam al-Hafidh Syaraf al-Din Abu Muhammad ‘Abd al-Mu’min ibn Khalaf ibn Abi al-Hasan al-Dimyatiy (613H-705H)
Al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy telah mempelajari ilmu usul fiqh, ilmu kalam dan semua ilmu logik seperti falsafah dan mantiq daripada al-Syaykh Muhammad ibn Mahmud ibn Muhammad ibn ‘Abbad yang masyhur dengan gelaran Syams al-Din al-Asbahaniy.
Kemuncak pembelajaran dan pengajian beliau ialah bersama dengan al-Syaykh Abu al-‘Abbas al-Mursiy, tokoh generasi kedua dalam Tarekat Shadhiliyyah. Sejarah telah mencatatkan bahawa beliau telah berguru selama 12 tahun dengan al-Syaykh Abu al-‘Abbas al-Mursiy, iaitu sehingga gurunya itu meninggal dunia pada tahun 686H.
Ketokohan beliau dalam bidang tarbiyah ruhiyyah telah berjaya melahirkan ramai tokoh-tokoh tasawuf yang hebat. Antara murid-murid beliau yang menjadi tokoh ulama selepas beliau ialah:
(1) Al-Syaykh Syaraf al-Din Abu Sulayman Dawud al-Bakhiliy al-Iskandariy yang merupakan tuan guru kepada datuk kepada keluarga al-Sadat al-Wafa’iyyah di Mesir, iaitu al-Sayyid Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad Wafa al-Syadhiliyy (702H-765H).
(2) Al-Imam al-Muhaddith al-Mufassir Abu al-‘Abbas Syihab al-Din Ahmad ibn al-Milaq al-Sakandariy yang merupakan tokoh yang mengambil alih tugas kepimpinan tarekat Syadhiliyyah selepas kewafatan al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy.
(3) Al-Imam Taj al-Din Muhammad al-Nakhkhal, saudara kandung al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy.
(4) Al-Imam al-Hafidh al-Mufassir al-Faqih al-Usuliy al-Mu’arrikh Abu al-Hasan Taqiy al-Din ‘Aliy ibn ‘Abd al-Kafi al-Subkiy al-Ansariy al-Khazrajiy (683H-756H)
0 comments:
Catat Ulasan