MEMPERKASA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL


MEMPERKASA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL


Sambutan Maulidur Rasul adalah sambutan yang menepati kehendak syarak berdasarkan dalil-dalil sama ada daripada al-Quran mahupun al-Sunnah. Walaupun perkara ini sering dipertikaikan menjelang tarikh kelahiran Rasulullah di dalam media-media massa, namun sayugia kita beriktiqad bahawa kecintaan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w perlu mengatasi nafsu kita yang suka berbahas dan menunjukkan ketinggian ilmu bagi menyanggah perkara-perkara yang telah diamalkan sekian lama oleh golongan solihin di kalangan umat Muhammad ini. Walau bagaimanapun hendaklah ada segolongan daripada kita untuk menjadi peneraju dalam perbahasan ilmiah bagi mempertahankan amalan mulia ini.


Al-Qadi ‘Iyad didalam bukunya al-Syifa’ bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa ada menyenaraikan contoh-contoh penghormatan para tabi’in terhadap baginda s.a.w, antaranya

وَرُئيَ ابنُ عُمَر وَاضِعاً يَدَهُ عَلَى مَقْعَدِ النِبيِّ صلى الله عليه وسلم مِنَ الْمنْـبَرِ ثُمَّ وَضَعَهَا عَلَى وَجْهِه. وَلِهذَا كَانَ مَالِك رَحِمَهُ الله لاَ يَرْكَبُ بِالْمَدِينَةِ دَابَّةً وَكَانَ يَقُولُ أسْـتَحْيي مِنَ الله أن أطَأ تُرْبَةً فِيهَا رسولُ الله صلى الله عليه وسلم بِحَافِرِ دَابَّةٍ.

Dalam hal ini Ibn Umar sendiri menyapukan tangannya ke muka setelah beliau menyentuh tempat duduk Rasulullah di atas mimbar sebagai pernyataan tanda sayangnya kepada Rasulullah. Imam Malik berasa malu untuk menunggang kenderaan di Madinah kerana di bumi itu kedapatan Maqam Rasulullah. Beliau juga pernah menegur Amirul Mukminin, Abu Jaafar supaya merendahkan suara di dalam masjid Nabawi dan menyuruh khalifah itu berdoa menghadap maqam rasulullah s.a.w dan menjadikannya sebagai wasilah.

Apakah kita tidak boleh menyatakan cinta dan kasih kita kepadanya dengan mengumpulkan hati-hati yang menyayanginya baginda, lalu meyebut-menyebut namanya, berselawat kepadanya dan mengambil kesempatan untuk memuliakan sunnah-sunnahnya.

Oleh itu kita perlu kesampingkan isu ini dan tidak melayani kerakusan akal manusia yang kononnya intelek tetapi di dalam kalam-kalam mereka tersirat usaha menjauhkan kita dari junjungan Muhammad s.a.w.

MEMPERKASA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL


Alhamdulillah kita telah berjaya mengajak masyarakat untuk menyambut kelahiran Baginda s.a.w. Pelbagai sambutan dan perarakan dibuat di merata tempat. Laungan selawat berkumandang dengan kuatnya di mana-mana. Tidak kurang juga yang mengadakan majlis ceramah dan forum. Namun begitu kita perlu mengorak langkah untuk memperkasakan lagi sambutan ini supaya ianya benar-benar mendatangkan impak yang positif dan seterusnya membuahkan kejayaan dalam usaha meninggikan mertabat Islam di Malaysia.

Sambutan Maulidur Rasul mempunyai beberapa kekuatannya yang tersendiri, antaranya:

Pertama, Maulidur Rasul sebagai alat penyatuan jiwa umat Islam.

Sebenarnya pelbagai teori telah dibuat oleh pakar-pakar sosiologi berkenaan kesatuan masyarakat. Ada yang berdasarkan asas-asas kebendaan, kemanusiaan dan kerohanian. Namun begitu teori-teori yang dikemukan adalah hasil pemikiran manusia yang dipengaruhi oleh persekitarannya.

Teori-teori itu mungkin boleh diguna pakai tetapi ianya tidak mampu bertahan, bahkan kadang-kadang membawa kemusnahan yang lebih dahsyat. Sebagai contoh kita tidak lagi mampu menggunakan kaedah menyediakan keperluan harian sebagai asas kesatuan kerana manusia kini mempunyai kemampuan untuk memilikinya dengan mudah. Penganjuran majlis keramaian yang menyediakan makan-minum pun sebenarnya sudah tidak relevan memandangkan manusia kini mampu menyediakannya sendiri atau mendapatkannya daripada kedai-kedai yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Sebaliknya kita memerlukan bahan tara yang tidak terikat dengan kehendak-kehendak material semata-mata. Kita memerlukan satu model perpaduan yang sedia diuji dan berkesan agar penyatuan jiwa yang digerakkan itu lebih berdaya tahan dan berkekalan.
Oleh itu Sambutan Maulidur Rasul adalah rencah utama kepada penyatuan jiwa yang lebih tersusun. Keimanan dan kecintaan kepada Rasulullah mampu mengajak manusia berkasih sayang, yang menjangkau sempadan perkauman dan kebudayaan. Bahkan Rasulullah adalah model penyatuan yang rabbani. Hal ini selaras dengan ayat al-Quran,

Yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.

Satu pelan bertindak yang tersusun perlu disediakan agar umat Islam dapat merasai hakikat iman dan sayang pada Nabi. Pelbagai modul berkaitan rasa sayang pada Nabi perlu dirangka. Ianya bukan setakat satu taklimat dan makluman bahawa kita mesti sayangkan Nabi sebagaimana yang diajar dikelas-kelas dan program-program takmir. Modul itu perlu dicerakinkan dengan perbuatan dan tindakan seperti selawat kepada baginda secara istiqamah, pelaksanaan sunnah dan lain-lain. Adalah besar harapan kita akan ada satu institusi yang diwujudkan di dalam masyarakat yang mampu memaklum dan membimbing kaedah-kaedah yang pratikal dalam menyayangi Nabi.

Kedua, Sambutan Maulidur Rasul telah diterima pakai oleh orang ramai

Justeru umat Islam yang mencintai Nabi perlu berusaha untuk menggunakan kesempatan ini bagi menyediakan pelbagai program bagi menarik minat masyarakat untuk menjiwai keimanan dan kecintaannya kepada Nabi.

Para pendakwah perlu mengutamakan kualiti berbanding sambutan ramai bagi sesuatu program. Ini kerana para penganjur amat ghairah untuk meraih sokongan orang ramai bagi mengimarahkan program berkenaan tetapi program yang dianjurkan tidak memberi kesan mendalam kepada masyarakat.

Oleh itu selain sambutan besar-besaran, program sampingan yang dihadiri oleh peserta dalam jumlah yang kecil perlu diperbanyakkan. Program-program berbentuk halaqah, mukhaiyam, dan lain-lain amat sesuai dilaksanakan. Aspek-aspek yang disentuh perlu diberi penumpuan secara intensif selaras dengan keadaan golongan sasaran.

Sabda Rasulullah

خَاطِبُوا النَّاسَ عَلَى قَدْرِ عُقُوْلِهِمْ

Yang bermaksud, berbicaralah dengan orang ramai berdasarkan tahap pemikiran mereka.


Ketiga, Sambutan Maulidur Rasul tiada bantahan daripada Non Muslim

Sambutan Maulidur telah diketahui umum termasuk di kalangan orang bukan Islam. Bahkan ketiadaan bantahan daripada mereka sepatutnya diambil kesempatan yang optima untuk menzahirkan keimanan dan rasa kecintaan kita kepada Rasulullah. Pemupukan rasa cinta yang mendalam kepada Baginda dapat diperluaskan dengan program-program dakwah yang lebih tersusun dan sistematik kepada golongan non-muslim. Keislaman mereka adalah satu cahaya yang akan membawa kebaikan kepada kesejahteraan Negara dan penyatuan masyarakat yang paling utuh dan melepasi sempadan perkauman.

Apabila masyarakat berbilang kaum dan budaya, bersatu di dalam agama Islam dan bersatu di bawah lembayung kecintaan kepada Rasulullah maka akan bersinarlah izzah Islam dan orang mukmin. Ianya merupakan satu anugerah Allah kepada hamba-Nya yang muttaqin.

Firman Allah,

Yang bermaksud, Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Kita perlu menoleh lebih kerap kepada fiqh sirah dan mengambil istifadah daripadanya dalam menangani keruncingan yang dihadapi oleh umat Islam sekarang dan umat Melayu khasnya. Malangnya kita terus terlalai untuk menggunakan kekuatan ini bagi menempa kejayaan baru. Hal ini kerana keegoan dan rasa sombong diri telah banyak meranapkan keutuhan dan kekuasaan umat Islam dari dahulu sehingga sekarang.

CABARAN USAHA MEMPERKASAKAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL


Dalam usaha untuk memperkasa Sambutan Maulidur Rasul ini terdapat pelbagai cabaran yang harus ditangani. Cabaran yang paling utama ialah pendekatan yang sesuai bagi menjayakan usaha tersebut. Apa yang berlaku kini kaedah pendidikan dan dakwah banyak mengasingkan antara makrifah ( المعرفة ) dengan ilmu( العلم ). Menurut Imam Ibn al-Qayyim, al-Makrifah bermaksud mendatangkan gambaran sesuatu benda atau perkara. Ia juga disebut sebagai tasawwur. Manakala ilmu ialah mendatangkan hal keadaan dan sifat sesuatu benda atau perkara. Ia juga disebut sebagai tasdiq ( تصديق ) Menurut Ibn Qayyim lagi kata lawan kepada al-Makrifah ialah al-Ingkar ( الإنكار ) manakala kata lawan kepada al-Ilmu ialah al-Jahl ( الجهل ).

Sebagai contoh umat Islam masa kini mengetahui Maulidur Rasul tetapi mereka gagal menghayati hikmah dan makna sebenar Maulidur Rasul. Mengetahui adanya Maulidur Rasul itu disebut al-Makrifah. Manakala mengetahui hikmah dan maksud maulidur Rasul itu disebut ilmu.

Hal ini sama dengan kenal kereta itu makrifah manakala mengetahui sifat, manafaat dan keadaan kereta itu disebut ilmu. Kenal al-Quran adalah makrifah manakala mengetahui isikandungannya adalah ilmu. Tidak mahu mengenal al-Qur’an itu disebut ingkar manakala tidak mahu mengetahui isi kandungan al-Qur’an itu disebut jahil.

Masyarakat kini hanya mementingkan maklumat berbanding penghayatan yang sebenar terhadap maklumat tersebut. Mereka tidak diasuh untuk mencerakinkan kedua-dua perkara tersebut iaitu antara makrifah dan ilmu.

Masyarakat yang bermaklumat diangkat melangit berbanding masyarakat yang menghayatinya. Implikasinya masyarakat kini mencari ilmu tanpa berguru dan menggantikannya dengan peralatan moden dan canggih. Masyarakat sudah tidak menjadi manusia dalam pengertian yang sebenar. Mereka tiada sentuhan kerohanian dan tidak berinteraksi sesuai dengan status manusiawinya yang mempunyai ciri istimewa lain iaitu aqal dan jiwa.

Masyarakat Islam mengetahui serba serbi tentang ketamadunan dan ketokohan manusia yang membina tamadun tersebut. Apatah lagi jika tokoh itu Baginda s.a.w. Sudah pasti terdapat pelbagai saluran maklumat yang memaparkan segala-galanya berkaitan baginda. Namun orang yang mengetahui itu tidak dapat menghayati pengertian tersirat dan hikmah-hikmah yang terkandung di dalamnya disebabkan interaksi itu hanya dengan peralatan-peralatan yang jamad ( جماد ) dan tiada unsur-unsur rohani dan kejiwaan.

Cabarannya ialah apakah pendekatan yang dapat mengembalikan peranan manusia atau dalam konteks ini seorang muallim dan mursyid untuk menanamkan rasa cinta kepada Baginda s.a.w.?

Pada hemat saya, peranan ini dapat dikembalikan semula hanya apabila muallim dan mursyid itu mempunyai kecerahan jiwa yang hakiki. Mereka dengan upaya sendiri perlu kembali dan terjun ke dalam masyarakat. Mereka mesti menjadi orang penting dalam menangani keperluan rohani dan jasmani mereka. Hal inilah yang dilakukan oleh tokoh tasawuf dalam berdakwah ke seluruh pelusuk alam. Sebagai contoh mereka berjaya menonjolkan diri di tengah-tengah kesibukan masyarakat melayu Melaka yang berdagang dengan masyarakat antarabangsa. Natijahnya Istana dan rakyat mendapat limpahan taufiq dan hidayah Allah. Negara hindu menjadi Negara Islam, masyarakat Hindu menjadi masyarakat Islam bahkan seorang Raja Hindu seperti Parameswara menjadi Raja yang muslim.

Para pencinta Rasulullah perlu sentiasa hadir di sisi masyarakat agar dapat membentengi mereka dengan kefahaman Islam yang cukup. Hal ini penting bagi mendepani fahaman songsang yang sentiasa berlegar-legar di sekeliling masyarakat. Golongan anti Islam sentiasa berusaha untuk menjauhkan umat Islam daripada hakikat Islam itu sendiri. Mereka mewujudkan keraguan-keraguan berkenaan kemuliaan baginda.

Sebagai contoh berkaitan Nur Muhammad. Hadith Riwayat Jabir berkaitannya telah ditolak. Namun pada hakikatnya Hadith ini bukan hadith mawdu‘ sebagaimana yang didakwa mereka. Syaikh Muhammad Mutwali al-Sya‘rawi ketika mengulas maksud hadith ini berkata, “Secara tabie, awal sesuatu kejadian bermula daripada yang tinggi, kemudian baru dicipta yang rendah. Adalah tidak diterima akal bahawa tanah dicipta terlebih dahulu daripada Nabi Muhammad. Ini kerana setinggi-tinggi perkara di sisi manusia ialah para Rasul manakala setinggi-tinggi darjat kerasulan itu ialah kerasulan Nabi Muhammad s.a.w..”

Sebenarnya banyak lagi bentuk tentangan dan cabaran yang sedang dan bakal kita hadapi bagi memperkasakan Sambutan Maulidur Rasul ini. Namun besar harapan kita agar Sambutan Maulidur Rasul dapat diadakan dalam berbagai-bagai bentuk dan kaedah. Hal ini penting agar ianya dapat memberi faedah yang meluas kepada seluruh umat di dalam pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat. Sekian wallahu a’lam.

Bahagian Tarekat Tasauwuf - Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Oleh: Dato’ Haji Mohd Murtadza bin Haji Ahmad
Mantan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan