Ziarah ke makam wali Allah Tuan Tulis ( 1840an - 1922 )


 

Ziarah ke makam wali Allah Tuan Tulis ( 1840an - 1922 )

Nama sebenarnya ialah Tuan Guru Haji Ismail Bin Hussien . Berasal dari Kampung Kuala Talang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan dilahirkan dalam keluarga yang miskin namun beliau sangat tekun mendalami ilmu walaupun terpaksa menempuh berbagai kesukaran .
Dengan berjalan kaki beliau merantau hingga ke Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang, Di sana beliau telah menemui guru yang membimbingnya . Dengan guru itu jugalah beliau mendalami soal-soal kerohanian . Nama gurunya tersebut ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan nama Tok Ayah Man . Beliau berasal dari Kelantan dan berhijrah ke Lubuk Kawah , Temerloh sekitar kurun ke 18 lalu membuka sebuah pondok pengajian disitu .
Gelaran Tuan Tulis padanya diberikan oleh guru dan sahabat beliau ketika belajar di pondok Tok Ayah Man . Kerana miskin, beliau tidak dapat membeli kitab-kitab yang menjadi teks pengajian sebagaimana yang dimiliki oleh pelajar-pelajar lain, lalu beliau berusaha menyalin kesemua matan kitab yang dipelajari. Beliau juga mencatat apa saja isi kuliah yang disampaikan oleh gurunya. Melihat kepada tabiatnya yang rajin dan tekun menulis itulah, guru dan sahabat-sahabat sepengajiannya memanggil beliau ‘Ismail Tulis’. Apabila tamat mengaji, orang-orang kampung menghormatinya pula dengan panggilan Tuan Tulis .



Tuan Tulis menulis kitab menggunakan dakwat yang dibuatnya sendiri menggunakan arang dan getah limau kasturi manakala pena nya dibuat dengan bilah segar kabung . Antara kitab yang beliau berjaya salin sepenuhnya ialah jilid pertama kitab Tafsir Jalalain .
Telah terjadi beberapa kisah kewalian keatasnya . Diantara yang mahsyur diceritakan masyarakat ialah :
1. Suatu ketika, tukang cukurnya masuk ke dalam rumah untuk mengasah pisau, dia terperanjat apabila mendapati Tuan Tulis sudah tidak ada di atas kerusinya. Tuan Tulis telah menghilangkan diri. Tidak lama kemudian Tuan Tulis muncul semula. Ditanya tukang cukur tersebut "Ke mana tuan pergi tadi?". Jawab Tuan Tulis " Aku ke Makkah, bantu memadamkan api kebakaran besar di sana " . Peristiwa itu berlaku pada awal tahun 1900.
2. Tuan Tulis kembali ke rahmatullah pada tahun 1922. Bagai­manapun, pada tahun 1925, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Pertama, Tuanku Muhammad ibnu Tuanku An-tah diberitakan telah diziarahi oleh Tuan Tulis ketika sedang terlantar uzur di London. Dalam pertemuan di London itu, Tuan Tulis meminta segelas air lalu menjampinya. Air jampi itu disapu di tempat sakit dan selebihnya diminum oleh Tuanku Muhammad. Seketika itu juga Yang Dipertuan Besar merasa sembuh dari penyakitnya.
3. Pernah berlaku ketika Tuan Tulis mengerjakan sawah bendang dengan dibantu oleh anak-anak muridnya, beliau menyajikan mereka buah tamar yang masih segar seolah-olah baru dipetik. Sedangkan di kawasan itu memang tidak ada pokok tamar.
4. Selain dari bertani, Tuan Tulis juga banyak menternak kerbau. Anehnya, kerbau-kerbau peliharaannya tidak seperti kerbau orang lain. Tuan Tulis pernah berpesan kepada kerbau-kerbaunya " Kamu makan rumput saja, jangan makan padi orang."
Dan semua kerbau Tuan Tulis sudah dikenal pasti tidak makan padi walaupun dibiarkan merayau tanpa ditambat. Ini satu keganjilan yang benar-benar berlaku .
Tuan Tulis seorang yang tidak besar sangat dan kecil sahaja . Biasanya memakai kain pelikat atau berseluar jerut, baju Melayu atau baju labuh, dan sentiasa berkopiah kadang kadang berserban , bertongkat dan gendong .Tuan Tulis juga seorang ahli zikir, dan banyak membaca Al Quran. Ibadahnya kemas dan sentiasa istiqamah .
Beliau menghembuskan nafas terakhirnya ketika berusia sekitar 80 an dan diriwayatkan sewaktu jenazah Tuan Tulis dibawa ke tanah perkuburan, beratus-ratus burung merpati peliharaannya terbang mengiringi dan melindungi jenazah beliau daripada pancaran matahari terik. Dan setelah selesai pengkebumian, kesemua burung merpati itu menghilang entah ke mana tidak pulang-pulang lagi ke sarangnya. Makamnya terletak di Kampung Kuala Talang, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan .
Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya . Amin

( Tengku Yusuff : Ziarah Ulama' & Maqam Auliya )

Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan