WALI MAZJUB - AL-MARHUM SHEIKH ABDULLAH BIN HARUN 1837 - 1993 M



WALI MAZJUB - AL-MARHUM SHEIKH ABDULLAH BIN HARUN 1837 - 1993 M

"Kisah Pertemuan Sheikh Mahmud Dengan Sheikh Abdullah Bin Harun"

Sheikh Abdullah Bin Harun ataupun nama samarannya Sheikh Lah Kereta Api adalah seorang Ahlullah yang Allah S.W.T sembunyikan kewaliannya. Masyarakat setempat menganggap beliau orang gila padahal beliau merupakan salah seorang Auliya’ yang besar yang sentiasa karam di dalam memandang kebesaran Allah. Beliau seorang yang majzub. Menurut Syeikh Mahmud, Sheikh Abdullah Bin Harun adalah seorang Ahlullah berpangkat Imaman.




Sheikh Mahmud mengetahui tentang Sheikh ini melalui seorang bekas pengikut Sheikh Mahmud yang bernama Haji Abdul Rahman. Beliau telah menceritakan kepada Sheikh Mahmud tentang beberapa orang yang telah beliau temui termasuklah Sheikh Abdullah Bin Harun.

Kesemua yang diceritakan oleh Haji Abdul Rahman itu tidak masuk dalam golongan Ahlullah melainkan Sheikh Abdullah Bin Harun seorang saja. Sebelum bertemu dengan Sheikh Mahmud, Haji Abdul Rahman pernah menceritakan tentang Sheikh Abdullah ini kepada salah seorang ulama di tempat beliau.

Tetapi ulama itu berkata bahwa Sheikh Abdullah bukan seorang Wali Allah kerana dia tidak sembahyang. Haji Abdul Rahman telah bercerita perkara ini kepada Sheikh Mahmud sewaktu mereka bermalam di rumah Abbas sepupu Sheikh Mahmud di Simpang Ampat.

Pada keesokan paginya, Sheikh Mahmud dan Abbas pergi ke tempat Sheikh Abdullah Bin Harun di Sungai Korok, Kedah. Apabila sampai di kediaman Sheikh Abdullah, mereka melihat Sheikh Abdullah tidak menghiraukan kedatangan mereka. Beliau hanya sibuk membuat kerjanya membaiki jalan-jalan yang berlopak dan berlubang di sekitar kediamannya dengan menggunakan sabut dan pelepah kelapa.

Apabila Sheikh Mahmud memandang Sheikh Abdullah, beliau sudah nampak tanda orang yang kenal Allah S.W.T pada wajah Sheikh Abdullah.

Kemudian Sheikh Mahmud telah masuk ke dalam alam Khidir Alaihi salam secara kerohanian untuk memastikan adakah Sheikh Abdullah mendapat ilmu daripada Khidir Alaihi salam, Tetapi Sheikh Abdullah tidak menunjukkan sebarang reaksi.

Kemudian Sheikh Mahmud telah masuk ke dalam alam Sultan Auliya’ Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani pula secara kerohanian untuk memastikan adakah Sheikh Abdullah mendapat ilmu Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani, tetapi Sheikh Abdullah tetap tidak menunjukkan sebarang reaksi.

Tetapi apabila Sheikh Mahmud masuk ke dalam alam jazbah, beliau telah bertemu dengan kerohanian Sheikh Abdullah di alam Jabarrut.

Pada masa itu barulah Sheikh Abdullah bin Harun menunjukkan reaksi dan berkata; “Hang nak pisang?”

Sheikh Abdullah telah menebang pohon pisang di tepi kediamannya lalu menghadiahkan setandan pisang kepada Sheikh Mahmud. Pada masa itu Sheikh Abdullah telah menunjukkan reaksi seperti orang siuman tidak seperti orang gila. Beliau telah menyisir pisang itu dan meletakkan dengan baik ke dalam raga motor Abbas.

Kemudian Sheikh Abdullah Bin Harun duduk mencangkung di depan kediamannya sambil mengurut-ngurut janggutnya dan mendongak ke langit. Selepas itu beliau telah memberi isyarat agar mengikutnya masuk ke dalam rumah kediamannya.

Semasa masuk ke dalam rumah kediaman itu, Sheikh Abdullah telah menghamparkan guni plastik untuk dijadikan hamparan duduk kepada Sheikh Mahmud dan Abbas. Kemudian telah memberi mereka berdua bantal dan memberi isyarat menyuruh mereka berdua agar tidur.

Selepas itu, dia pun masuk ke dalam kelambunya dan tidur. Menurut Abbas dia tak tidur kerana mahu melihat dengan mata kepalanya sendiri apa yang akan terjadi. Semasa mengintai itu dia telah ternampak cahaya kehijauan kebiru-biruan di dalam kelambu Sheikh Abdullah.

Selang tidak beberapa lama selepas itu, Sheikh Abdullah pun keluar dari kelambunya dan Sheikh Mahmud pun tersedar, Sheikh Abdullah telah berkata kepada mereka berdua, katanya; “Rayuan ada!”

Kemudian Sheikh Mahmud telah memeluk Sheikh Abdullah sambil menangis dan memohon agar Sheikh Abdullah mendoakannya.

Pada malam harinya sekitar jam 3.00 pagi ketika Sheikh Mahmud sedang tidur di rumahnya sendiri, tiba-tiba beliau telah terjaga dari tidur dan bangun terus saja berzikir. Hal ini terjadi kerana kerohanian Sheikh Abdullah Bin Harun telah datang mengejutkan Sheikh Mahmud daripada tidur dan mengajak berzikir. (Peristiwa ini berlaku pada tahun 1979)

Pada tahun 1982 Masehi, Sheikh Mahmud mendapat alamat kerohanian agar pergi berjumpa Sheikh Abdullah Bin Harun sekali lagi.

Apabila sampai di kediaman Sheikh Abdullah, Sheikh Mahmud telah mengucapkan salam. Tetapi Sheikh Abdullah telah membalas salam itu dengan menyebut; “Emmmh”. Selepas itu beliau telah memberi isyarat kepada Sheikh Mahmud agar masuk ke dalam rumah kediamannya.

Pada pertemuan kali ini Sheikh Abdullah telah memberi pengajaran kepada Sheikh Mahmud dengan membuat isyarat saja. Isyarat yang beliau buat ialah beliau hanya menggosok-gosok kepalanya dengan kedua belah tangannya.

Pada tahun 1985 Masehi, Sheikh Mahmud telah mendapat alamat kerohanian sekali lagi supaya pergi berjumpa Sheikh Abdullah Bin Harun.

Pada kali ini Sheikh Abdullah telah memberi pengajaran kepada Sheikh Mahmud. Hanya dengan membuat isyarat menggunakan tangannya dengan melurut-lurut tapak tangan kanannya ke atas lengan kirinya bermula dari siku hingga ke jari kiri dan tapak tangan kirinya ke atas lengan kanannya bermula dari siku hingga ke jari kanan.

Arifbillah Sheikh Abdullah Bin Harun telah meninggal dunia pada tahun 1993M ketika berusia 156 tahun dan dimakamkan di lorong Kubur Teluk Malek Naga Jitra Kedah. Sebulan sebelum beliau meninggal dunia, Sheikh Mahmud mendapat alamat yang Sheikh Abdullah akan meninggal, lalu Sheikh Mahmud pun bermunajat kepada Allah S.W.T agar memperlihatkan kewalian yang ada pada Sheikh Abdullah kepada orang ramai.

Pada hari kematian Sheikh Abdullah, Sheikh Mahmud berada di Madrasah Nurul Iman Kok Sira, Thailand.

Sheikh Mahmud telah berdampingan dengan Sheikh Abdullah selama 13 tahun. Dalam tempoh itu beliau hanya menerima tiga pengajaran daripada Sheikh ini. Itupun hanya dengan isyarat saja.

Pada tahun 2003 ketika berbual dengan Tengku Harmy dan Allahyarham Pak Yusuf di bawah sarang burung merpati di Madrasah Nurul Iman Hulu Langat barulah Allah S.W.T merungkaikan kepada Sheikh Mahmud terhadap 3 pengajaran daripada Syeikh Abdullah bin Harun.

1) Pengajaran yang pertama bermaksud hendaklah ada zuhud dan yakin.

2) Pengajaran yang kedua bermaksud janganlah menggunakan logik akal semata-mata.

3) Pengajaran yang ketiga bermaksud janganlah merasa kita ini memiliki sesuatu walaupun sebesar zarah sekali pun.

Ketiga-tiga pengajaran ini sebenarnya adalah merupakan perwatakan para Muqarrabin lagi Siddiqin. Tidak ramai yang dapat berguru dengan Sheikh Abdullah @ Sheikh Lah Kereta Api dikeranakan wataknya yang tidak bercakap dan hanya membuat isyarat tangan dan penampilannya yang seperti orang kurang siuman. Antara muridnya yang masih ada sehingga hari ini adalah Tok Wali Paksu Mid Bukit Tembaga Kuala Nerang.

Bissirril Al-Fatihah
Moga Allah Merahmati Ruh AuliyaNya

 ( Tengku Daeng Mawelle )

Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan