ILMU TASAWUF



ILMU TASAWUF

Sungguh menyedihkan ILMU TASAWUF masih dianggap asing dalam kalangan umat Islam di Malaysia hari ini, hingga ada yang memberi tanggapan ianya salah dan melabelkan tasawuf itu sebagai ilmu sesat, Walhal ilmu tasawuf itu sangat penting untuk setiap orang kerana ia jalan untuk membersihkan hati kita dari segala sifat keji dan tercela lalu mengisikannya dengan sifat yang baik dan mulia.
Rata-rata ilmuwan agama di Malaysia ini lebih menjurus kepada pengkhususan dalam bidang fiqh dan syariat sahaja hingga menjadikan pendedahan terhadap ilmu tasawuf dalam masyarakat menjadi terhad.
Dalam pemerhatian saya , kebiasaannya orang Melayu terutamanya di bandar-bandar kurang mendalami ilmu tasawuf kerana jarang diajar di surau atau masjid. Ada yang menganggap ilmu tasawuf sebagai eksklusif dan dipelajari orang tertentu saja, iaitu yang sudah mahir dalam ilmu fiqh serta tauhid.
Paling menyedihkan ada juga yang beranggapan ilmu tawasuf sebagai sesat. Saya tak menafikan ada golongan yang sebegitu (kerana salah memahami atau belajar) yang dikaitkan dengan individu atau kumpulan tertentu.
Hasil kajian lain pula mendapati, ilmu tasawuf yang tiada dalam silibus pelajar di sekolah menjadikan bidang ini kurang diberi pendedahan sedangkan ilmu dalam bidang agama lain dipelajari pada peringkat sekolah.
Ia menjadikan mereka yang kemudiannya menjadi pendakwah dan pegawai agama, tidak mempunyai pengetahuan tasawuf hingga cenderung beranggapan tidak perlu belajar ilmu ini, sebaliknya cukup dengan fiqh dan syariat saja.
Hakikatnya, ilmu tasawuf sangat penting dalam kehidupan beragama kerana pendidikan dalam bidang ini dapat mendidik hati manusia menjadi lebih baik
Salah tanggapan yang dibawa oleh golongan agama menyebabkan ada orang awam menganggap ilmu tasawuf sebagai sesat sedangkan ulama terdahulu mewajibkan mendalami ilmu tasawuf
Ramai yang hanya fokus pada fardhu ain san kifayah hingga menjadikan lebih banyak yang dipelajari dan tiada akan habis. Lalu menyebabkan manusia lupa kepada ilmu tasawuf
Justeru, pihak tertentu wajib menyarankan supaya mendalami ilmu tauhid, fiqh dan tasawuf secara serentak kerana masa sekarang yang disifatkan semakin suntuk.
KEGAGALAN golongan agamawan dan masyarakat umum memahami istilah sufi yang sarat falsafah antara faktor menyebabkan ilmu tasawuf dipinggirkan, bahkan lebih membimbangkan ia dikatakan bertentangan dengan syarak.
Kesukaran mencari ahli agama yang mampu menterjemah dan memberikan huraian lengkap khususnya ungkapan berkaitan tauhid sufi juga menyebabkan berlaku salah faham serta persepsi negatif terhadap orang yang mengamalkannya.
Ada golongan akademik Islam memandang tauhid kerohanian ini dengan pandangan akal, iaitu tidak lebih sekadar terminologi falsafah, bukan ilmu agama. Ia tambah melarat apabila ahli agama yang mengajar tidak mampu memahami kitab tasawuf.
Akhirnya, kerana bimbang melakukan kesalahan dalam penyampaian, maka ia terus ditinggalkan. Lama kelamaan, ia makin parah apabila bertindak mengharamkan tasawuf. Sungguh menyedihkan.
Ilmu tasawuf itu penting kepada setiap umat Islam ke arah menjadi Muslim yang sempurna. Bagaimanapun, ia bukan mudah kerana memerlukan keyakinan yang kuat kepada Allah SWT, bukan sahaja daripada zahir, bahkan secara batin.
Jalan tasawuf sama seperti syariat Islam, cuma bahasa yang ditulis dalam kitab agak rumit kerana padat dengan istilah sufi membuatkan timbul andaian ia berbeza dengan pengajian agama yang biasa dipelajari.
"Contohnya, orang tasawuf berkata hidup ini jangan berikhtiar. Ini bukan bahasa akal, tetapi menuntut kita memahaminya menggunakan bahasa kerohanian. Jadi, orang biasa yang tidak mendalami ilmu tasawuf akan melihat ungkapan ini sebagai ganjil.
Sedangkan maksudnya, selepas kita berusaha sehabis daya, maka serahkan sebulatnya kepada Allah SWT tanpa berfikir atau berharap kepada hasilnya," katanya.
Orang sufi melihat maksud ikhtiar ialah memilih dan tertakluk kepada Allah SWT untuk memberikan jawapan, tugas kita sebagai khalifah adalah bekerja serta beribadah dengan sebaiknya tanpa mengharap balasan. Dalam contoh lain "Kalau dah kenal Allah , Tak payah solat"
Maknanya bukan bila kita belajar mengenal diri dan Allah tak perlu solat , Tapi erti sebenarnya bila kita dah kenal diri dan kenal Pencipta kita Maka solat tidak menjadi susah , Tak payah yang dimaksudkan adalah tak susah.
Rasulullah SAW mengajarkan umat Baginda mengenai Islam, iman dan ihsan"
ISLAM yang dimaksudkan ialah syariat membabitkan rukun seperti syahadah, solat, zakat, berpuasa dan melaksanakan haji yang perlu diamalkan kerana perintah datang daripada Allah S.W.T
IMAN pula membabitkan akidah yang bermakna membenarkan dan meyakini Allah S.W.T yang diperinci menerusi enam perkara, iaitu percaya kepada Allah, malaikat, kitab yang diturunkan Allah, rasul, kiamat serta qada dan qadar.
IHSAN pula terkandung dalam ilmu tasawuf, iaitu beribadah Seolah-olah kita memandang Allah , Dan ikhlas dan mengerjakan sesuatu dengan penuh kesungguhan serta tekun. Tasawuf diamalkan supaya amalan yang dilakukan dengan ikhlas dan solat yang didirikan dengan penuh khusyuk, sekaligus menjadikan ibadat semata-mata kerana Allah S.W.T
Namun, ia perlu bermula daripada hati. Jadi tasawuf ialah ilmu yang yang dapat membentuk hati supaya menjadi manusia yang berakhlak mulia. Jadinya Islam Iman dan Ihsan itu adalah Ilmu syariat , ilmu Tasawuf dan Tauhid. Ketiga-tiga ini adalah wajib kita pelajari.
Ilmu tasawuf juga berbicara penyakit hati seperti riak, takbur, ujub dan suma’ah serta diajar untuk mengubatinya iaitu; Lawan kepada sifat tercela terbabit umpamanya ikhlas, khusyuk, redha, ikhlas, sabar, jujur dan pemurah.
Ilmu tasawuf ini mengajar kita menghilangkan sifat buruk dan beramal dengan sifat yang baik. Imam Ghazali menyebut penyucian jiwa haruslah menghilangkan sifat buruk, iaitu al-Takhalli dan menempatkan diri dengan sifat baik, iaitu al-Tahalli.
Jadi dalam melaksanakan amalan yang wajib juga perlu ditambah dengan amalan sunat seperti zikir. Dalam tasawuf itu mengajarkan kita perbanyakkan zikir.
Allah S.W.T berfirman;
“Orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Ar-Ra’d: 28)
Dewasa ini ramai yang memerlukan ketenangan justeru bibir dan hati perlulah dibasahkan dengan berzikir kepada Allah S.W.T , Bukannya sekadar di bibir.
Apabila mencapai puncak ketenangan, kita akan membuat ibadat dengan ikhlas. Dengan ibadat itu juga Allah S.W.T redha dan cinta kepada InsanNya. Jadi apabila diuji, kita tak cepat melatah mampu bersabar dan redha kerana ia tanda Allah S.W.T cinta kepada Insan-Nya.
Golongan agamawan hari ini perlu lebih serius mempelajari bidang ilmu tasawuf kerana ia elemen penting dalam pegangan akidah Islam dan membantu orang awam menzahirkan keimanan secara lahiriah dan memiliki kerohanian yang kukuh. Harapan saya moga masyarakat hari ini tidak terlalu mudah dan menghukum ilmu tasawuf itu sesat dan sebagainya , Saya berharap kalian lebih terbuka dan bersangka baik dengan ilmu TASAWUF.
( Sumber dari Tengku Daeng Mawelle )
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan